Tafsir Allah Istiwa di Atas Arsy Sebagaimana Dalam Tafsir Ibn Katsir
Dari Tafsir Al-Qur’an Al-Adzim oleh Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (Wafat: 774H)
www.ilmusunnah.com
Al-Hafiz menyebutkan sebagaimana dalam Tafsir-nya:
وأما قوله تعالى: { ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ } فللناس في هذا المقام مقالات كثيرة جدا، ليس هذا موضع بسطها، وإنما يُسلك في هذا المقام مذهب السلف الصالح: مالك، والأوزاعي، والثوري، والليث بن سعد، والشافعي، وأحمد بن حنبل، وإسحاق بن راهويه وغيرهم، من أئمة المسلمين قديما وحديثا
“Adapun firman Allah Ta’ala:
ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ
“Kemudian Allah istiwa di atas ‘Arsy.” (Surah Al-A’raaf, 7: 54)
Berkaitan penafsiran ayat ini, para ulama memiliki pendapat yang sangat banyak, namun bukan di sini tempat membahaskannya. Adapun kami dalam hal ini, menempuh mazhab As-Salaf As-Soleh (generasi awal yang soleh); yakni jalan yang telah ditempuh oleh Imam Malik, Al-Auzaa’i, Sufyan Ats-Tsauri, Al-Laits Ibn Sa’d, Asy-Syafi’i, Ahmad bin Hanbal, Ishaq Ibn Rahawayh, dan yang lainnya dari kalangan imam-imam kaum muslimin terdahulu mahupun kemudian.”
وهو إمرارها كما جاءت من غير تكييف ولا تشبيه ولا تعطيل. والظاهر المتبادر إلى أذهان المشبهين منفي عن الله، فإن الله لا يشبهه شيء من خلقه، و { لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ } [ الشورى:11]
“Yakni menerimanya sebagaimana datangnya dengan tanpa takyif (mempersoalkan kaifiyatnya), tanpa tasybih (menyerupakannya dengan apa-apa gambaran), dan tanpa ta’thil (penolakan dan pengingkaran).
Setiap makna zahir yang terlintas pada pemikiran orang-orang musyabbihah (yang menyerupakan Allah dengan makhluk), adalah suatu yang tidak benar penisbatannya kepada Allah, kerana Allah tidaklah menyerupai sesuatu pun dari ciptaan-Nya, (sebagaimana firman-Nya):
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
“Tidak ada sesuatu apapun yang serupa dengan-Nya, dan adalah Allah maha Mendengar lagi maha Melihat.” (Surah Asy-Syura, 42: 11).”
بل الأمر كما قال الأئمة -منهم نُعَيْم بن حماد الخزاعي شيخ البخاري -: “من شبه الله بخلقه فقد كفر، ومن جحد ما وصف الله به نفسه فقد كفر”. وليس فيما وصف الله به نفسه ولا رسوله تشبيه، فمن أثبت لله تعالى ما وردت به الآيات الصريحة والأخبار الصحيحة، على الوجه الذي يليق بجلال الله تعالى، ونفى عن الله تعالى النقائص، فقد سلك سبيل الهدى.
“Sebaliknya, perkaranya adalah sebagaimana yang dikatakan oleh para ulama yang di antaranya adalah Nu’aim bin Hammaad Al-Khuza’i salah seorang guru Al-Imam Al-Bukhari:
“Siapa yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, maka dia kafir. Dan siapa yang mengingkari dari apa-apa sifat yang telah Allah sifatkan bagi Diri-Nya, maka dia kafir.”
Tidak ada bentuk tasybih (penyerupaan kepada makhluk) pada apa-apa yang Allah sifatkan untuk Diri-Nya sendiri dan pada apa-apa yang disifatkan oleh Rasul-Nya tentang Allah. Maka siapa yang meng-itsbatkan (menetapkan) bagi Allah Ta’ala sebagaimana yang disebutkan pada ayat-ayat (Al-Qur’an) yang jelas dan sebagaimana hadis-hadis yang sahih, bersesuaian dengan keagungan Allah Ta’ala dan menafikan dari Allah Ta’ala segala bentuk kekurangan, bererti dia telah menempuh jalan Al-Huda (petunjuk).” (Tafsir Ibn Katsir, 3/426-427)
Di lembaran yang lain beliau menegaskan:
وقوله: { ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ } تقدم تفسير ذلك في سورة “الأعراف” وأنه يُمَرَّر كما جاء من غير تكييف، ولا تشبيه، ولا تعطيل، ولا تمثيل، تعالى الله علوا كبيرا.
“Dan firman-Nya:
ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ
“Kemudian Allah istiwa di atas ‘Arsy.” (Surah Ar-Ra’d, 13: 2)
“Tafsir ayat ini telah disebutkan pada tafsir Surah Al-A’raaf, yakni memahaminya sebagaimana datangnya tanpa takyif (mempersoalkan kaifiyatnya), tanpa tasybih (menyerupakan dengan makhluk), tanpa ta’thil (menolak dan mengingkarinya), dan tanpa mempermisalkannya (dengan sesuatu), bahawa Allah Ta’ala maha Tinggi setinggi-tingginya.” (Tafsir Ibn Katsir, 4/430)
Di lembaran yang lain pula, Al-Hafiz Ibn Katsir menyebutkan lagi:
وقوله { الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى }: تقدم الكلام على ذلك في سورة الأعراف، بما أغنى عن إعادته أيضًا، وأن المسلك الأسلم في ذلك طريقة السلف، إمرار ما جاء في ذلك من الكتاب والسنة من غير تكييف ولا تحريف، ولا تشبيه، ولا تعطيل، ولا تمثيل.
“Dan firman-Nya:
الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
“Ar-Rahman (Allah yang maha Pemurah) istiwa di atas ‘Arsy-Nya.” (Surah Thoha, 20: 5)
Telah berlalu perbicaraan tentang perkara ini di tafsir surah Al-A’raaf dengan suatu yang memadai dan tidak perlu diulangi di sini. Dan jalan (pemahaman) yang aslaam (selamat) pada perkara ini adalah dengan menempuh jalan para salaf (ulama generasi awal). Yakni membiarkan (atau menerima) maknanya sebagaimana yang datang dari Kitab Allah dan As-Sunnah dengan tanpa takyif (mempersoalkan kaifiyatnya), tanpa tahrif (pengubahsuaian dan penyelewangan maknanya), tanpa tasybih (menyerupakan dengan makhluk), tanpa ta’thil (penolakan mahupun pengingkaran), dan dan tanpa mempermisalkannya (dengan sesuatu apa pun).” (Tafsir Ibn Katsir, 5/273)
Wallaahu a’lam.