Susu Ibu Lambang Kasih Sayang

Susu Ibu Lambang Kasih Sayang

www.ilmusunnah.com

Bukan suatu yang asing kebanyakan wanita bergelar ibu pada hari ini amat disibukkan dengan pelbagai urusan di luar rumah seperti untuk keluar bekerja dan seumpamanya. Dalam masa yang sama, masa yang sepatutnya diperuntukkan bagi keluarga dan anak-anak menjadi terhad dan berkurang berbanding para ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa dalam meluangkan masanya untuk penjagaan dan pendidikan anak-anaknya termasuk tanggungjawab ke atas urusan rumah-tangga di ketika ketiadaan si suami.

Perkara ini mengakibatkan sebuah institusi keluarga menjadi sedikit berkurang dari sudut nilai sentuhan seorang wanita bergelar ibu. Lebih-lebih lagi buat anak-anak yang masih kecil yang benar-benar memerlukan belaian manja dan kasih-sayang sepenuh masa.

Di antara bentuk sentuhan kasih sayang yang sering dilupakan adalah menyusukan anak-anak berupa bayi seawal usia dua tahun pertama. Sebahagian dari ibu-ibu di luar sana mengambil mudah urusan penyusuan anak-anak kecil mereka dengan menyerahkannya kepada pengasuh atau orang-orang gaji lalu membiarkan susu tepung atau susu formula mengambil alih tempat air susunya. Padahal, peranan ibu untuk menyusukan anak-anak dengan baik telah pun disentuh di dalam al-Qur’an melalui ayat:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.” (Surah al-Baqarah, 2: 233)

Firman Allah tersebut turun dalam bentuk perintah atau suruhan kepada para ibu supaya menyusukan anak-anak mereka dengan air susunya. Dengan itu, menyusukan anak-anak adalah salah satu bentuk kewajiban yang diperintahkan agama. Penyusuan yang dimaksudkan di ayat tersebut adalah merujuk air susu ibu dan bukan dengan selainnya seperti dengan susu haiwan (atau susu formula).

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata:

هذا إرشاد من الله تعالى للوالدات أن يرضعن أولادهن كمال الرضاعة، وهي سنتان

“Ini adalah merupakan bimbingan dari Allah Ta’ala bagi para ibu supaya menyusukan anak-anak mereka dengan sempurna, iaitu sehingga dua tahun penuh.” (Tafsir al-Qur’an al-Adzim, 1/633)

Dalam ayat yang sama, seterusnya Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan:

وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَنْ تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُمْ مَا آتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Dan sekiranya kamu mahu anakmu disusukan oleh orang lain (dengan sebab kamu tidak mampu), maka tiada dosa bagi kamu apabila kamu memberikan upah menurut kewajaran, dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, 2: 233)

Ayat ini menunjukkan bahawa sekiranya ibu tidak mampu memberikan susunya, maka ia boleh meminta orang lain untuk menyusukannya dengan mengeluarkan upah tertentu. Menunjukkan bahawa susu badan tetap menjadi pilihan, dan bukan dengan susu-susu selainnya, bukan juga makanan-makanan yang selainnya. Dalam ilmu sains kontemporari sendiri menunjukkan bahawa anak-anak kecil seawal usia kelahiran tidak mampu mencerna makanan selain dari susu ibu dengan sempurna. Keadaan ini mampu mengundang risiko kepada kesihatan anak-anak.

Perkara ini telah disebutkan sejak lama dahulu oleh Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) yang merupakan salah seorang tokoh ulama Ahlus Sunnah wal-Jama’ah terkenal dan dalam masa yang sama merupakan salah seorang tokoh yang banyak mengupas isu-isu perubatan berpandukan dalil-dalil wahyu serta kajian-kajian perubatan Islam di zamannya. Beliau berkata:

وينبغي أن يقتصر بهم على اللبن وحده إلى نبات أسنانهم لضعف معدتهم وقوتهم الهاضمة عن الطعام فإذا نبتت أسنانه قويت معدته وتغذى بالطعام فإن الله سبحانه أخر إنباتها إلى وقت حاجته إلى الطعام لحكمته ولطفه ورحمة منه بالأم وحلمة ثديها فلا يعضه الولد بأسنانه

“Sebaik-baiknya bayi hanya diberikan dengan air susu ibu sahaja sehingga gigi-giginya tumbuh, kerana pada ketika itu organ dan sistem penceranaannya masih lemah untuk menghadam makanan (selain dari air susu ibu). Jika gigi-giginya telah tumbuh bermakna organ penceranaan telah mula mantap dan sempurna untuk mencernakan makanan. Bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah melewatkan waktu pertumbuhan giginya sehingga ke waktu yang ia benar-benar memerlukan makanan disebabkan hikmah tertentu, sebagai bukti kelembutan, dan dengan sebab kasih sayang-Nya terhadap bayi serta si ibu.” (Tuhfatul Maudud bi Ahkamil Maulud, m/s. 231)

Beliau juga turut menyebutkan:

أحدها أن تمام الرضاع حولين وذلك حق للولد إذا احتاج إليه ولم يستغن عنه وأكدهما بكاملين

“Bahawa termasuk hak anak-anak kecil adalah mendapatkan susu ibu untuk tempoh sepanjang dua tahun pertama selagi mana ia memerlukannya. Perkara ini dikuatkan lagi dengan kata “penyusuan sempurna” dalam ayat tersebut (merujuk Surah al-Baqarah, 2: 233).” (Tuhfatul Maudud bi Ahkamil Maulud, m/s. 234)

Demikian ini menunjukkan konsep penyusuan ekslusif menurut Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah.

Di antara hikmah bimbingan agama dalam perkara ini adalah dengannya para ibu dapat meluangkan sepenuh masanya untuk mendidik, menjaga, dan memberi kasih-sayang kepada si anak. Setiap penderitaan, pengorbanan, dan usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh si ibu dalam memberikan penjagaan dan pemakanan (susu ibu) kepada si anak di awal usianya bakal menjadi satu bentuk pendidikan awal dan sarana menerapkan kasih-sayang yang sempurna selain si ibu beroleh pahala yang besar dari sisi Allah.

Dari sinilah karektor, pemikiran, dan sikap anak-anak bakal dibentuk. Dan Islam mahu agar si ibu (dan bapa) sendiri yang membentuk anak-anak kecil ini sekaligus sebagai lambang kasih-sayang dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Dan inilah keutamaan para ibu berbanding segala bentuk urusan di luar rumah.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ

“Seseorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suami dan anak-anaknya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5200. Bab: Wanita Adalah Pemimpin Di Rumah Suaminya)

Dalam lafaz yang lain di riwayat Imam Muslim:

وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ، وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ

“Seorang isteri itu adalah pemimpin (yang memegang amanah) atas rumah dan anak-anak suaminya, dan kelak dia akan dipertanggungjawabkan (oleh Allah).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1829)

Amalan inilah yang merupakan tradisi kaum arab yang kemudiannya diteruskan dengan kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Yang dengannya telah melahirkan kumpulan manusia pilihan dari kalangan para sahabat radhiyallahu ‘anhum yang merupakan satu generasi ahli ilmu terbaik, manusia terbaik, terhebat, terkuat, mampu berjihad di medan perang, dan terpercaya dalam melaksanakan, mendukung, dan menyebarkan Islam ke seantero dunia. Dari merekalah lahirnya pelbagai contoh tauladan dan generasi gemilang umat Islam. Yang dimulai dengan kesempurnaan institusi kekeluargaan di atas petunjuk wahyu Allah Subhanahu wa Ta’ala yang dimainkan oleh wanita bergelar ibu sebagai salah satu faktor utama. (Lihat juga Surah Al-Qashash, 28: 7-13, ada maklumat yang dapat diambil pelajaran berkaitan penyusuan anak-anak di zaman Nabi Musa ‘alaihis Salaam)

Tiada contoh dari kalangan generasi awal umat Islam ini yang menunjukkan hak menyusu anak-anak digantikan dengan susu-susu haiwan atau formula walaupun di zaman mereka sangat terkenal dengan penghasilan produk pelbagai haiwan ternakan seperti unta, kambing, dan kibas mahupun lembu. Yang ada, sekiranya si ibu mengalami kekurangan susu, amalan mencari ibu susuan diusahakan. Ini menunjukkan bahawa susu ibu (susu badan) adalah ketutamaan, sekaligus menjadi sebuah kewajiban sebagai satu-satunya menu berkhasiat bagi si kecil. Di dalamnya mengandungi pelbagai zat (nutrisi) pemakanan yang diperlukan bayi pada awal usianya berbanding produk-produk makanan selainnya. Dengannyalah si kecil menjana tumbesaran sempurna dan memperkuat sistem immuniti tubuhnya.

Dalam masa yang sama, perkara ini sebenarnya mengajak kita berfikir berkenaan beberapa alternatif yang diwujudkan pada masa ini supaya si ibu tetap dapat memberikan air susunya kepada bayi-bayi mereka. Alternatif yang dimaksudkan adalah seperti memerah air susu ibu, membotolkannya, dan kemudian disejukkan (disimpan sebagai stok). Perkara ini dilakukan supaya bayi tetap dapat minum air susu ibu tersebut walaupun si ibu meninggalkannya lantaran sibuk dengan pelbagai urusan luar.

Perkara ini wajar dinilai kembali. Kerana urusan memberi tumpuan kepada si anak dalam soal penjagaan, belaian kasih-sayang, dan penyusuan adalah kewajiban buat para ibu. Manakala urusan menyibukkan diri dengan pelbagai urusan di luar rumah, bukanlah urusan bagi seorang wanita, apatah lagi bagi seorang ibu yang memiliki anak dan berkewajiban untuk menjaganya.

Soal penyusuan tidak terhad semata-mata untuk memenuhi perut si anak dengan air susu, tetapi ia turut memiliki pelbagai hikmah lainnya seperti belaian manja ketika menyusukan (agar susu dapat disalurkan dengan sempurna), jaminan nilai kualiti susu yang dicurahkan secara langsung terus ke mulut bayi, pandangan kemesraan, sentuhan kasih-sayang, dan pendidikan awal. Sebaliknya, si ayahlah yang bertanggungjawab mengendalikan pelbagai urusan di luar seperti urusan pekerjaan bagi memenuhi nafkah serta keperluan institusi kekeluargaan dan rumah-tangganya. Dalam ayat yang sama, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyebutkan:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا

“Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebankan melainkan menurut kadar kesanggupannya (kemampuan).” (Surah al-Baqarah, 2: 233)

Demikianlah bahawa pemberian air susu ibu yang sempurna kepada anak-anak berdasarkan petunjuk wahyu merupakan sebuah bukti dan lambang kasih-sayang yang agung bagi awal permulaan sebuah kehidupan manusia.

Menyusukan anak-anak adalah termasuk bentuk ibadah yang mulia, berpahala, dan termasuk bentuk pengorbanan yang besar bagi seorang ibu. Adakalanya si ibu keletihan, kekurangan makan, terpaksa berjaga malam, dan terpaksa meninggalkan pelbagai keperluannya yang lain demi menumpukan kepada penyusuan.

Sehingga dengan alasan dan sebab ini, Allah pun memerintahkan kita agar mensyukurinya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Ku-lah engkau kembali.” (Surah Luqman, 31: 14) – Lihat juga Surah Al-Ahqaaf, 46: 15.

Namun sayang… kerana amalan ini telah mula dilupakan dan dianggap remeh oleh sebahagian orang.

Wallahu a’lam