Menggali Hikmah dan Faedah Dari Surat Nabi Kepada Heracle
Sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari (Wafat: 256H) dan Imam Muslim (Wafat: 261H) rahimahumallah dalam kitab Shahih mereka masing-masing:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ: سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الهُدَى، أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الإِسْلاَمِ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ، يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ، فَإِنْ تَوَلَّيْتَ فَإِنَّ عَلَيْكَ إِثْمَ الأَرِيسِيِّينَ ” وَ {يَا أَهْلَ الكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَنْ لاَ نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ}
“Bismillaahir-rahmaanir-rahiim,
Daripada Muhammad, hamba Allah dan Rasul-Nya untuk Heracle. Kepada Penguasa Rom, Salaamun ‘ala manit taba’al-Huda (Salam (Keselamatan) ke atas sesiapa yang mengikuti petunjuk).
Amma ba’d (Kemudian dari itu), Aku mengajak engkau dengan seruan Islam. Masuk-lah engkau ke dalam Islam, maka engkau akan selamat, Allah akan memberi pahala kepada engkau dua kali lipat. Tetapi jika engkau berpaling, maka engkau menanggung dosa rakyat-mu, dan:
“Wahai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kalian, bahawa kita tidak menyembah melainkan kepada Allah, dan kita tidak men-syirikkan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian dari kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai sembahan (tuhan) selain Allah.” Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang Muslim (iaitu orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)).”.” (Shahih al-Bukhari, no. 7. Shahih Muslim, no. 1773)
Menggali Faedah Dan Hikmah Hadis:
1, Disunnahkan memulakan surat dengan lafaz basmallah (menyebut nama Allah) walaupun surat tersebut ditujukan untuk orang kafir.
2, Disunnahkan agar menyebutkan identiti diri di dalam surat.
3, Rasulullah menujukan suratnya kepada penguasa Rom dengan sebutan “عَظِيمِ الرُّومِ” (pembesar Rom), bukan dengan panggilan Raja Rom atau pemimpin Rom. Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
لأنه لا ملك له ولا لغيره إلا بحكم دين الإسلام ولا سلطان لأحد إلا لمن ولاه رسول الله صلى الله عليه و سلم أو ولاه من أذن له رسول الله صلى الله عليه و سلم بشرط وإنما ينفذ من تصرفات الكفار ما تنفذه الضرورة ولم يقل إلى هرقل فقط بل أتى بنوع من الملاطفة فقال عظيم الروم أي الذي يعظمونه ويقدمونه
“Tidak dikatakan sebagai Raja Rom untuk beliau dan tidak kepada selainnya kerana tidak ada kerajaan untuknya atau selain dirinya melainkan dengan hukum agama Islam. Tidak ada kekuasaan bagi seorang pun melainkan yang ditunjuk oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, atau penguasa yang ditunjuk oleh orang yang diberi izin oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan syarat. Penerapan kekuasaan dari kalangan kaum kafir hanyanyalah merujuk kepada kaedaan darurat. Beliau tidak menyebutnya sebagai Heracle semata, akan tetapi beliau gandingkan dengan kata yang mengandungi atau mengungkap maksud Heracle sebagai penguasa, iaitu dengan kata “عَظِيمِ الرُّومِ” iaitu orang yang dimuliakan dan diiktiraf (dari kalangan rakyat Rom). (Syarh Shahih Muslim, 12/108)
Ini antaranya adalah dalam rangka dakwah dengan perkataan lemah-lembut dan penuh hikmah tanpa mengabaikan prinsip-prinsip dasar tauhid.
4, Menunjukkan prinsip para Nabi dalam memulakan dakwahnya adalah dengan seruan masuk Islam, iaitu seruan mentauhidkan Allah, sekaligus memurnikannya dengan benar dan tulus semata-mata kerana Allah. Kemudian baru cabang-cabang Islam yang lainnya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat manusia supaya menyerukan, “‘Abdikanlah diri hanya kepada Allah dan jauhilah thaghut.” (Surah An-Nahl, 16: 36)
Juga sebagaimana dalam sebuah hadis daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:
لَمَّا بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُعَاذَ بْنَ جَبَلٍ إِلَى نَحْوِ أَهْلِ اليَمَنِ قَالَ لَهُ: «إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى، فَإِذَا عَرَفُوا ذَلِكَ، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ، فَإِذَا صَلَّوْا، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً فِي أَمْوَالِهِمْ، تُؤْخَذُ مِنْ غَنِيِّهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فَقِيرِهِمْ، فَإِذَا أَقَرُّوا بِذَلِكَ فَخُذْ مِنْهُمْ، وَتَوَقَّ كَرَائِمَ أَمْوَالِ النَّاسِ
“Ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengutus Mu’adz bin Jabal kepada penduduk Yaman, beliau berpesan:
“Sesungguhnya engkau akan mendatangi (menemui) ahli kitab, maka hendaklah yang pertama sekali engkau dakwahkan kepada mereka adalah ajakan untuk mentauhidkan Allah Ta’ala. Jika mereka telah memahami hal tersebut, maka khabarkan kepada mereka bahawa Allah memfardhukan ke atas mereka solat 5 waktu setiap hari. Apabila mereka telah solat, sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah memfardhukan ke atas mereka zakat dari harta-harta mereka, iaitu diambil dari kalangan kaya di antara mereka lalu diagihkan kepada orang-orang miskin. Jika mereka mentaatinya, maka ambillah sebahagian harta mereka dan jangan engkau ambil harta yang paling berharga milik mereka.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7372. Kitab Tauhid, Bab: Seruan Nabi Kepada Umatnya Agar Mentauhidkan Allah)
Ini kerana tauhid adalah hak ter-Agung Allah ke atas para hambanya, kunci keselamatan dan kebahagiaan, kerana hanya dengan tauhid yang benar dan tulus manusia akan terselamat dari siksa-Nya. Sekaligus berhak mendapat rahmat dari-Nya berupa Syurga yang penuh kenikmatan.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya kepada Mu’adz:
يَا مُعَاذُ أَتَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى العِبَادِ؟»، قَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: «أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلاَ يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، أَتَدْرِي مَا حَقُّهُمْ عَلَيْهِ؟»، قَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: أَنْ لاَ يُعَذِّبَهُمْ
“Wahai Mu’adz, tahukah engkau hak Allah atas para hamba-Nya?” Jawab Mu’adz, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Maka Nabi pun bersabda:
“Mereka wajib mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mensyirikkan sesuatu pun dengan-Nya. Tahukah engkau hak mereka (para hamba) terhadap Allah?” Jawab Mu’adz, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Maka Nabi pun bersabda:
“Dia tidak akan meng-adzab mereka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7373)
5, Perkataan Nabi: “سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الهُدَى” menunjukkan sesiapa yang mengikuti petunjuk (iaitu masuk Islam), maka dia selamat. Sebagaimana kata Nabi seterusnya:
“Masuk-lah engkau ke dalam Islam, maka engkau akan selamat.”
Selamat di sini merangkumi keselamatan dari diperangi, menjadi tawanan, dirampas hartanya, dan selamat dari adzab Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Sebahagian pihak, bahkan dari kalangan ahli ilmu baik dari kalangan terdahulu atau masa ini ada yang berdalil dengan sabda Nabi tersebut bagi mengharuskan memulakan ucapan salam ke atas kaum kafir.
Maka kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
أن المفسرين قالوا ليس المراد من هذا التحية إنما معناه سلم من عذاب الله من أسلم ولهذا جاء بعده أن العذاب على من كذب وتولى وكذا جاء في بقية هذا الكتاب فإن توليت فإن عليك إثم الاريسيين فمحصل الجواب أنه لم يبدأ الكافر بالسلام قصدا وأن كان اللفظ يشعر به لكنه لم يدخل في المراد لأنه ليس ممن أتبع الهدى فلم يسلم عليه
“Bahawa para ahli tafsir telah menjelaskan bahawa maksud perkataan tersebut bukanlah sebagai salam penghormatan. Sebaliknya makna salam tersebut adalah sebagai berita perkhabaran bahawa sesiapa sahaja yang memeluk Islam maka dia akan selamat dari adzab Allah. Oleh kerana itulah setelahnya disebutkan: “Bahawa adzab itu akan menimpa ke atas orang-orang yang mendustakan dan berpaling.” Demikianlah yang disebutkan dalam surat Rasulullah:
فَإِنْ تَوَلَّيْتَ فَإِنَّ عَلَيْكَ إِثْمَ الأَرِيسِيِّينَ
“Tetapi jika engkau berpaling, maka engkau menanggung dosa para rakyat-mu.”
Kesimpulannya, Rasulullah tidaklah mendahului ucapan salam kepada orang kafir sama sekali, walaupun lafaz tersebut seakan-akan menunjukkan ucapan salam ke atas mereka. Sebenarnya bukanlah itu maksud beliau, kerana Heracle bukanlah termasuk orang-orang yang mengikuti petunjuk, maka tidak boleh mendahului ucapan salam ke atasnya.” (Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar, 1/38)
Iaitu di mana Heracle tidak termasuk orang yang mengikuti petunjuk Muhammad, maka dia pun tidak termasuk dalam cakupan salam tersebut.
6, Perkataan Nabi: “يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ” (Allah akan memberi pahala kepada engkau dua kali lipat) dengan sebab masuk Islam. Maksudnya mereka diberi pahala dua kali ganda kerana telah beriman kepada Nabi yang diutus kepada mereka (iaitu dengan kitab yang terdahulu), kemudian beriman pula kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (yang diutuskan setelah itu).
Boleh jadi juga mereka diberi pahala dua kali ganda kerana masuk Islamnya mereka, lalu kemudian dengan sebab mereka masuk Islam, para pengikut mereka pula mengikuti mereka. Ini disebutkan dalam Syarah Shahih Muslim dan Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari.
7, Perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “فَإِنْ تَوَلَّيْتَ فَإِنَّ عَلَيْكَ إِثْمَ الأَرِيسِيِّينَ” (Tetapi jika engkau berpaling, maka engkau menanggung dosa para rakyat-mu).
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
من كان سببا لضلالة أو سبب منع من هداية كان آثما لقوله صلى الله عليه و سلم وإن توليت فإن عليك إثم الأريسيين ومن هذا المعنى قول الله تعالى وليحملن أثقالهم وأثقالا مع أثقالهم
“Sesiapa sahaja yang menjadi penyebab kesesatan atau menjadi penghalang hidayah (bagi seseorang atau sesuatu kaum), maka ia berdosa, bersesuaian dengan sabda Nabi: “Dan jika engkau berpaling, maka engkau menanggung dosa para rakyat-mu (pengikut-mu).” Perkataan ini selari dengan firman Allah:
“Dan mereka benar-benar akan memikul dosa-dosa mereka sendiri, dan dosa-dosa yang lain bersama dosa mereka…” (Surah al-Ankabut, 29: 13)
8, Disunnahkan menggunakan bahasa yang baik dan indah dalam berdakwah, ringkas, mudah difahami, serta memuatkan maksud yang jelas.
9, Menunjukkan larangan memerangi orang-orang kafir sebelum ditegakkan hujah dan dakwah ke atas mereka.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا
“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengannya (iaitu dengan Al-Qur’an) dengan jihad yang besar.” (Surah Al-Furqon, 25: 52)
Maksudnya, sebelum jihad di medan perang, ia harus dimulakan dengan jihad melalui jalan dakwah, bayan, dan hujah. Iaitu penjelasan agar orang-orang kafir kembali kepada Islam. Dan hal ini tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan ilmu dan oleh orang-orang yang berilmu, iaitu oleh mereka yang menguasai Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi dengan cara yang benar.
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah:
دعاء الكفار إلى الإسلام قبل قتالهم وهذا الدعاء واجب والقتال قبله حرام إن لم تكن بلغتهم دعوة الإسلام وإن كانت بلغتهم فالدعاء مستحب
“Mendakwahi orang-orang kafir agar masuk Islam sebelum memerangi mereka adalah wajib dan peperangan terhadap mereka sebelum ditegakkan hujah (ajakan kepada Islam) atas mereka adalah haram. Apabila telah sampai dakwah atas mereka, maka ia adalah mustahab.” (Syarh Shahih Muslim, 12/107)
10, Surat-surat Nabi kepada para pembesar kaum kafir ini menjadi bukti bahawa mengamalkan hadis ahad adalah wajib. Dan ini adalah ijma’. Ini sebagaimana dikatakan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah ketika mensyarahkan kandungan surah Nabi kepada Heracle yang mana kata beliau:
وجوب العمل بخبر الواحد وإلا فلم يكن في بعثه مع دحية فائدة وهذا إجماع من يعتد به ومنها
“(Ini menunjukkan) wajib beramal dengan hadis ahad, seandainya tidak, maka sudah tentu tiada gunanya Nabi mengutuskan Dihyah (kepada Heracle). Dan ini adalah ijma’ yang telah ditetapkan darinya.”
Dalam syarah beliau ke atas hadis yang lain dalam bab: “Surat-surat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada para raja kaum kafir.” Ketika menjelaskan hadis daripada Anas radhiyallahu ‘anhu berikut:
أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتَبَ إِلَى كِسْرَى، وَإِلَى قَيْصَرَ، وَإِلَى النَّجَاشِيِّ، وَإِلَى كُلِّ جَبَّارٍ يَدْعُوهُمْ إِلَى اللهِ تَعَالَى
“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menulis surat kepada Kisra (penguasa Parsi), kepada Qaisar (penguasa Rom), dan kepada Najasyi (penguasa Habsyah), dan kepada setiap penguasa lainnya. Beliau menyeru (mengajak) mereka semua kepada jalan Allah Ta’ala.” (Shahih Muslim, no. 1774)
Najasyi yang dimaksudkan dalam hadis ini bukan merujuk kepada raja Habsyah yang masuk Islam lalu jasadnya disolatkan oleh Nabi secara ghaib.
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah:
وفي هذا الحديث جواز مكاتبة الكفار ودعاؤهم إلى الإسلام والعمل بالكتاب وبخبر الواحد والله أعلم
“Pada hadis ini menunjukkan bolehnya menulis surat kepada kaum kafir dan mendakwahi (mengajak) mereka kepada Islam serta wajibnya beramal dengan Al-Kitab (Al-Qur’an) dan hadis ahad. Wallahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 12/113)
11, Hadis tentang surat Nabi ini mengandungi maklumat siapakah yang dimaksudkan sebagai ahli kitab. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah:
واستنبط منه شيخنا شيخ الإسلام أن كل من دان بدين أهل الكتاب كان في حكمهم في المناكحة والذبائح لأن هرقل هو وقومه ليسوا من بني إسرائيل وهم ممن دخل في النصرانية بعد التبديل وقد قال له ولقومه يا أهل الكتاب فدل على أن لهم حكم أهل الكتاب خلافا لمن خص ذلك بالإسرائيليين أو بمن علم أن سلفه ممن دخل في اليهودية أو النصرانية قبل التبديل والله أعلم
“Berdasarkan hadis ini, guru kami Syaikh Al-Islam, beliau beristinbath (mengambil dalil sebagai hukum) bahawa setiap mereka yang memeluk agama ahli kitab, maka dia adalah termasuk ahli kitab dalam soal pernikahan dan dalam status sembelihan. Kerana, Heracle dan kaumnya bukan berasal dari bangsa Bani Isra’el. Mereka adalah bangsa yang memeluk agama Nashrani (Kristian) setelah agama tersebut mengalami banyak perubahan (diubah-suai). Dan Allah berkata kepada Heracle dan kaumnya (dengan kata): “Wahai ahli kitab.” Ini menunjukkan bahawa mereka termasuk ahli kitab.
Pendapat ini berbeza dengan sebahagian lain yang berpendapat bahawa ahli kitab adalah sebutan khusus bagi Bani Isra’el atau sebutan bagi yang mengetahui bahawa nenek moyang mereka termasuk orang-orang yang memeluk agama Yahudi atau Nashrani sebelum berlaku perubahan.” (Fath Al-Bari, 1/38-39)
12, Dari hadis ini terdapat hujah bahawa orang junub (berhadas) dibolehkan membaca Al-Qur’an, dan bolehnya mengirim atau membawa beberapa ayat Al-Qur’an ke kawasan musuh atau orang-orang kafir dalam rangka dakwah.
13, Surat ini membawakan ayat Allah Ta’ala dari Surah Ali ‘Imran:
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
“Katakanlah: “Wahai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kalian, bahawa kita tidak menyembah melainkan kepada Allah, dan kita tidak men-syirikkan Dia dengan sesuatu apa pun dan tidak (pula) sebahagian dari kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai sembahan (tuhan) selain Allah.”
Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang Muslim (iaitu orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)).” (Surah Ali ‘Imran, 3: 64)
Dari ayat ini menunjukkan bahawa perselisihan antara agama itu dapat dihilangkan dan persamaan dapat direalisasikan apabila tauhid disatukan. Iaitu masing-masing kembali kepada satu kalimat dengan memurnikan pengabdian hanya kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun.
Bahkan ini termasuk perintah Allah agar mengatakannya ketika berdakwah kepada ahli kitab. Iaitu agar mengajak mereka kepada Islam. Bersatu di dalam Tauhid yang murni dan tulus.
Kemudian perintah Allah agar umat Islam berlepas diri terhadap segala bentuk kekafiran dan jalan-jalan agama orang-orang kafir.
Wallahu a’lam.