Sunnah Menutup Bekas Makanan dan Minuman Berserta Manfaatnya
Artikel ini adalah bagi menjelaskan sunnah menutup makanan atau minuman agar tidak terbiar terdedah sedang ia dalam keadaan tidak dimakan atau diminum.
Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَسْقَى، فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَلَا نَسْقِيكَ نَبِيذًا؟ فَقَالَ: «بَلَى»، قَالَ: فَخَرَجَ الرَّجُلُ يَسْعَى، فَجَاءَ بِقَدَحٍ فِيهِ نَبِيذٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَلَّا خَمَّرْتَهُ وَلَوْ تَعْرُضُ عَلَيْهِ عُودًا»، قَالَ: فَشَرِبَ
“Kami pernah bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu beliau meminta minuman, maka berkata seorang lelaki:
“Wahai Rasulullah, mahukah engkau minum nabiz (perahan/rendaman buah)?”
Rasulullah jawab, “Ya.”
Maka lelaki tersebut pun keluar dengan segera, lalu kembali dengan membawa segelas perahan buah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:
“Tidakkah engkau menutup bekas tersebut walaupun hanya dengan sekadar melintangkan sebatang lidi (atau ranting kecil) di atasnya?”
Kemudian beliau pun minum.” (Shahih Muslim, no. 2011)
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
ومعناه تمده عليه عرضا أى خلاف الطول وهذا عند عدم ما يغطيه به كما ذكره فى الرواية بعده ان لم يجد أحدكم الاأن يعرض على إنائه عودا أو يذكر اسم الله فليفعل فهذا ظاهر فى أنه إنما يقتصر على العود عند عدم ما يغطيه به
“Maksudnya, kamu lintangkan sebatang kayu (lidi) atau ranting kayu kecil di atasnya, yakni di ketika tidak ada sesuatu apa yang sesuai untuk dijadikan sebagai penutup sebagaimana yang disebutkan pada riwayat berikutnya:
“Apabila salah seorang di antara kalian tidak mendapatkan penutup (untuk menutup bekas makanan atau minuman – pent.) melainkan hanya sebatang lidi (atau ranting kecil) yang diletakkan secara melintang di atas bekas (makanan atau minuman), atau dengan menyebut nama Allah, maka lakukanlah.”
Ini secara zahirnya menunjukkan bolehnya menutup hanya dengan menggunakan sebatang ranting kecil (atau sebatang lidi) di ketika ketiadaan penutup yang dapat menutupnya.” (Syarh Shahih Muslim, 13/182-183)
Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَحُلُّوهُمْ، فَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا، وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا، وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ
“Apabila memasuki waktu malam, atau ketika senja, maka tahanlah anak-anak kalian (agar tidak keluar rumah) kerana Syaitan-syaitan sedang berkeliaran ketika itu. Jika waktu malam telah berlalu beberapa ketika, maka lepaskanlah mereka. Kuncilah pintu-pintu dan sebutlah nama Allah kerana Syaitan tidak mampu membuka pintu yang tertutup. Tutuplah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah. Tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah walaupun hanya dengan meletakkan sesuatu (sebatang ranting kayu kecil) di atasnya, dan matikanlah lampu-lampu kalian.” (Shahih al-Bukhari, no. 5623. Bab: Menutup Bekas-bekas Makanan)
Al-Imam An-Nawawi ketika menyebutkan hadis ini, beliau berkata:
هذا الحديث فيه جمل من أنواع الخير والأدب الجامعة لمصالح الآخرة والدنيا فأمر صلى الله عليه و سلم بهذه الآداب التى هي سبب للسلامة من ايذاء الشيطان وجعل الله عز و جل هذه الأسباب أسبابا للسلامة من ايذائه فلايقدر على كشف اناء ولا حل سقاء ولافتح باب ولاايذاء صبى وغيره اذا وجدت هذه الأسباب وهذا كما جاء فى الحديث الصحيح أن العبد اذا سمى عند دخول بيته قال الشيطان لامبيت أى لاسلطان لنا على المبيت عند هؤلاء
“Hadis ini mengandungi sejumlah perkara kebaikan dan adab-adab yang mencakup kemashlahatan di dunia dan akhirat. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan kita untuk melaksanakan adab-adab ini yang Allah ‘Azza wa Jalla jadikan (bagi hamba-Nya) sebagai sebab-sebab keselamatan dari gangguan syaitan. Syaitan tidak mampu membuka bekas makanan dan minuman yang tertutup, tidak mampu membuka pintu, dan tidak mampu mengganggu anak-anak kecil, atau yang selainnya jika sebab-sebab ini dilaksanakan. Sebagaimana juga ada disebutkan dalam hadis sahih bahawa jika seorang hamba menyebut nama Allah (yakni membaca basmalah) ketika masuk rumahnya, maka syaitan berkata, “Tidak ada tempat bermalam.” Maksudnya, syaitan tidak memiliki kekuatan untuk bermalam di rumah yang ditutup dan dibacakan basmalah.” (Syarh Shahih Muslim, 13/185)
Dalam riwayat lain dari hadis Jaabir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَطْفِئُوا المَصَابِيحَ إِذَا رَقَدْتُمْ، وَغَلِّقُوا الأَبْوَابَ، وَأَوْكُوا الأَسْقِيَةَ، وَخَمِّرُوا الطَّعَامَ وَالشَّرَابَ – وَأَحْسِبُهُ قَالَ – وَلَوْ بِعُودٍ تَعْرُضُهُ عَلَيْهِ
“Matikanlah lampu-lampu apabila kamu tidur, dan tutuplah (kunci) pintu-pintu. Ikatlah (tutuplah) bekas-bekas minuman, dan tutuplah makanan-makanan dan minuman-minuman walaupun hanya sekadar dengan meletakkan sebatang kayu (lidi) di atasnya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5624)
Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
غَطُّوا الْإِنَاءَ، وَأَوْكُوا السِّقَاءَ، فَإِنَّ فِي السَّنَةِ لَيْلَةً يَنْزِلُ فِيهَا وَبَاءٌ، لَا يَمُرُّ بِإِنَاءٍ لَيْسَ عَلَيْهِ غِطَاءٌ، أَوْ سِقَاءٍ لَيْسَ عَلَيْهِ وِكَاءٌ، إِلَّا نَزَلَ فِيهِ مِنْ ذَلِكَ الْوَبَاءِ
“Tutuplah bekas-bekas berisi makanan dan minuman, kerana dalam satu tahun ada satu malam yang wabak (penyakit) turun padanya, tidaklah ia melintasi bekas-bekas makanan yang tidak ditutup, ataupun kantong (yakni bekas air) yang tidak diikat (atau ditutup), melainkan akan turun padanya wabak tersebut.” (Shahih Muslim, no. 2014)
Selain dalam rangka mengikuti atau mentaati perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan lagi beberapa faedah berkaitan dengannya:
وذكر العلماء للأمر بالتغطية فوائد منها الفائدتان اللتان وردتا فى هذه الأحاديث وهما صيانته من الشيطان فإن الشيطان لايكشف غطاء ولايحل سقاء وصيانته من الوباء الذي ينزل فى ليلة من السنة والفائدة الثالثة صيانته من النجاسة والمقذرات والرابعة صيانته من الحشرات والهوام فربما وقع شيء منها فيه فشربه وهو غافل أو فى الليل فيتضرر به والله أعلم
“Para ulama menyebutkan beberapa faedah berkaitan hadis-hadis perintah menutup bekas-bekas makanan (atau minuman) yang di antaranya:
1, Menjaganya dari syaitan, kerana syaitan tidak mampu membuka penutup tersebut dan tidak akan melepaskan ikatan pada kantong air.
2, Menjaganya dari wabak penyakit yang mematikan yang turun pada satu malam dalam setahun.
3, Menjaganya dari najis-najis dan kotoran-kotoran.
4, Menjaganya dari dimasuki (atau dihurung) serangga yang mana jika tidak ditutup, ia akan mendedahkannya kepada serangga, lalu ia pun diminum sedang si peminum tidak menyedari, atau tatkala meminumnya pada malam hari (dalam keadaan gelap) sehingga si peminum pun terdedah dengan bahaya.
Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 13/183)