Sunnah Memelihara Janggut
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di hadapan umum. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah salah satu sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan di dalam banyak hadis-hadisnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang wajib diikuti.
Oleh itu, isu memelihara dan larangan mencukur janggut bukanlah isu yang dipandang remeh kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah meninggalkan banyak pesannya berkaitan perkara ini.
Definisi Janggut
Disebutkan dalam Lisaan Al-‘Arab:
اللِّحْية اسْمُ يَجْمَعُ مِنَ الشَّعَرِ مَا نَبَتَ عَلَى الْخَدَّيْنِ والذقَن، وَالْجَمْعُ لِحًى ولُحًى
“Al-Lihyah (janggut) adalah kata nama yang merujuk kumpulan rerambut yang tumbuh pada dua pipi dan dagu, dan lafaz jamaknya adalah lihaa (لِحًى) dan luhaa (لُحًى).” (Lisaan Al-‘Arab, 15/243)
Dalam Bahasa melayu, janggut merujuk kepada apa yang tumbuh di bahagian dagu, manakala yang tumbuh di sekitar pipi (bahagian rahang) dikenal sebagai jambang. Namun, yang benar secara syar’i dan bahasa ‘Arab, janggut (Al-Lihyah) adalah mencakupi jambang, iaitu bulu-bulu yang tumbuh pada bahagian bawah dagu lalu naik ke atas sampai ke hujung rahang di bawah berhampiran anak telinga.
Hadis-hadis Perintah Memelihara Janggut
Hadis dari Ibnu ‘Umar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
خَالِفُوا المُشْرِكِينَ: وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
“Selisihilah kaum musyrikin, simpanlah janggut (iaitu jangan dipotong, tetapi dengan membiarkannya tumbuh normal – pent.), dan potonglah (rapikan) misai.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5892)
Dalam Shahih Muslim:
خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ أَحْفُوا الشَّوَارِبَ، وَأَوْفُوا اللِّحَى
“Selisihilah kaum musyrikin, potonglah (pendekkan) misai dan peliharalah janggut (iaitu dengan membiarkannya tumbuh normal).” (Shahih Muslim, no. 259)
Dalam hadis yang lain dari Abi Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى خَالِفُوا الْمَجُوسَ
“Potonglah misai dan biarkanlah (peliharalah) janggut; selisihilah orang-orang Majusi.” (Shahih Muslim, no. 260)
Di hadis yang lain dari Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
خَرَجَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى مَشْيَخَةٍ مِنَ الْأَنْصَارٍ بِيضٌ لِحَاهُمْ فَقَالَ: ” يَا مَعْشَرَ الْأَنْصَارِ حَمِّرُوا وَصَفِّرُوا، وَخَالِفُوا أَهْلَ الْكِتَابِ ” . قَالَ: فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ يَتَسَرْوَلَونَ وَلْا يَأْتَزِرُونَ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” تَسَرْوَلُوا وَائْتَزِرُوا وَخَالِفُوا أَهْلَ الْكِتَابِ ” . قَالَ: فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ يَتَخَفَّفُونَ وَلَا يَنْتَعِلُونَ. قَالَ: فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” فَتَخَفَّفُوا وَانْتَعِلُوا وَخَالِفُوا أَهْلَ الْكِتَابِ ” . قَالَ: فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ يَقُصُّونَ عَثَانِينَهُمْ وَيُوَفِّرُونَ سِبَالَهُمْ . قَالَ: فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” قُصُّوا سِبَالَكُمْ وَوَفِّرُوا عَثَانِينَكُمْ وَخَالِفُوا أَهْلَ الْكِتَابِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar menemui tokoh-tokoh Anshar yang telah putih janggut-janggut mereka. Lalu beliau bersabda:
“Wahai orang-orang Anshar, merahkan dan kuningkanlah (janggut kalian) dan selisihilah ahli kitab (yakni Yahudi dan Nashara).”
Maka aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ahli kitab memakai seluar dan tidak memakai izar (kain sarung).” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Pakailah seluar dan pakailah kain sarung, selisihilah ahli kitab.”
Lalu aku bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ahli kitab memakai khuf dan tidak memakai kasut (atau selipar).” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Pakailah khuf dan pakailah juga kasut (atau selipar), serta selisihilah ahli kitab.”
Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ahli kitab memotong janggutnya dan membiarkan misainya.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Potonglah misai kalian dan peliharalah janggut kalian, serta selisihilah ahli kitab.” (Musnad Ahmad, no. 22283)
Kemudian dari atsar Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نُوفِيَ السِّبَالَ، وَنَأْخُذَ مِنَ الشَّوَارِبِ
“Bahawasanya kami (yakni para sahabat) telah diperintahkan agar membiarkan janggut dan memotong misai.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 25504)
Dari hadis-hadis ini menunjukkan bahawa asal sunnah memelihara janggut adalah dari Islam dan termasuk syi’ar Islam. Manakala amalan memotong janggut atau mencukurnya adalah dari syi’ar kaum kafir musyrik.
Bahkan kata Al-Imam Abu Syaammah rahimahullah (Wafat: 665H) ketika menyebutkan tentang hal ini di zaman beliau:
وقد حدث قوم يحلقون لحاهم وهو أشد مما نقل عن المجوس أنهم كانوا يقصونها
“Telah ada suatu kaum yang biasa mencukur janggutnya (sampai licin). Dan perkara tersebut lebih teruk dari apa yang dinukil dari keadaan orang-orang Majusi di mana mereka hanya memotongnya saja (tetapi tidak mencukurnya).” (Fath Al-Bari oleh Ibnu Hajar, 10/351)
Seterusnya hadis dari Ibnu ‘Umar, dalam redaksi yang lain:
عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ: أَمَرَ بِإِحْفَاءِ الشَّوَارِبِ، وَإِعْفَاءِ اللِّحْيَةِ
“Daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa beliau memerintahkan agar memotong misai dan memelihara janggut (iaitu dengan membiarkannya tumbuh normal).” (Shahih Muslim, no. 259)
Juga dari Ibnu ‘Umar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
انْهَكُوا الشَّوَارِبَ، وَأَعْفُوا اللِّحَى
“Potonglah (pendekkan) misai dan peliharalah (biarkanlah) janggut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5893)
Al-Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:
وأما أوفوا فهو بمعنى أعفوا أى اتركوها وافية كاملة لا تقصوها
“Adapun makna Awfuu (أوفوا), ia adalah A’fuu (أعفوا); iaitu biarkanlah (tinggalkanlah) ia agar tumbuh sempurna jangan dipotong.” (Syarh Shahih Muslim, 3/151)
Memelihara janggut adalah termasuk fitrah seorang manusia (atau muslim). Ini adalah sebagaimana hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
عَشْرٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: قَصُّ الشَّارِبِ، وَإِعْفَاءُ اللِّحْيَةِ
“Sepuluh (10) perkara termasuk fitrah adalah (antaranya) memotong (memendekkan) misai dan memelihara janggut (iaitu dengan membiarkannya tumbuh normal)…” (Shahih Muslim, no. 261)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ فِطْرَةَ الْإِسْلَامِ الْغُسْلُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَالِاسْتِنَانُ، وَأَخْذُ الشَّارِبِ، وَإِعْفَاءُ اللِّحَى، فَإِنَّ الْمَجُوسَ تُعْفِي شَوَارِبَهَا، وَتُحْفِي لِحَاهَا، فَخَالِفُوهُمْ، خُذُوا شَوَارِبَكُمْ، وَاعْفُوا لِحَاكُمْ
“Sesungguhnya (termasuk) fitrah Islam adalah mandi hari Juma’at, membersihkan gigi, memotong (memendekkan) misai dan memelihara janggut (dengan membiarkannya tumbuh normal), kerana sesungguhnya orang-orang Majusi memelihara misai dan memotong janggut, maka selisihilah mereka, hendaklah kalian memotong (memendekkan) misai kalian dan membiarkan janggut kalian tumbuh normal.” (Shahih Ibnu Hibban, no. 1221)
Kata Imam Ibnu Al-Atsir rahimahullah (Wafat: 606H):
[ عَشْرٌ من الفِطْرة ] أراد مِنَ السُّنَّةِ يَعْنِي سُنَنَ الْأَنْبِيَاءِ عَلَيْهِمُ السَّلَامُ الَّتِي أُمِرْنَا أَنْ نَقْتَدِيَ بِهِمْ
“[Sepuluh perkara termasuk fitrah] maksud fitrah yang dikehendaki di sini adalah dari As-Sunnah, iaitu sunnah para Nabi ‘alaihimus salaam yang mana kita diperintahkan mencontohi mereka.” (An-Nihayah fii Ghariib Al-Atsar oleh Ibnu Al-Atsir, 3/882 – Maktabah Syamilah)
Hal yang sama turut disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim (3/148), bahawa yang dimaksudkan dengan fitrah adalah dari sunnah atau ajaran para Nabi. Demikian pula menurut ulama yang lainnya.
Dari sini menunjukkan bahawa seluruh para Nabi itu memelihara janggut mereka dan tidak memotong atau mencukurnya. Dan disebutkan dalam banyak atsar bahwa para sahabat Nabi kita mengamalkan sunnah ini dengan baik, dan diikuti pula oleh para ulama setelah mereka.
Tahukah kita bahawa pernah dua orang utusan dari Parsi diutus kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Tetapi sesampainya mereka kepada Nabi Muhammad, apabila Nabi melihat misainya yang tebal dan janggutnya yang dicukur licin, Nabi lantas memalingkan wajahnya dari mereka berdua (beliau enggan menatapnya). Kata Nabi:
ويحكما من أمركما بهذا
“Celaka kalian! Siapakah yang telah memerintahkan kalian seperti ini?”
Mereka pun jawab, “Rabb kami (Kisra; Raja Parsi) yang telah memerintahkan kami seperti ini.” Maka Rasulullah menjelaskan:
لكني أمرني ربي عز و جل أن أعفي لحيتي وأن أحفى شاربي
“Akan tetapi, Rabb-ku ‘Azza wa Jalla telah memerintahkan aku agar memelihara janggut-ku dan memendekkan misaiku.” (Difaa’ ‘An Al-Hadiits An-Nabawi wa As-Siirah, 1/51)
Hukum Memelihara Janggut
Dari hadis-hadis tersebut menunjukkan bahawa memelihara janggut adalah termasuk sunnah bagi kaum lelaki, memotong sebahagian darinya adalah haram (manakala sebahagian ulama mengatakan makruh; iaitu dibenci), dan mencukurnya licin adalah haram secara ijma’.
Manakala memendekkan misai (tanpa mencukurnya) pula adalah sunnah agar jangan sampai menutupi bibir bahagian atas.
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
والمختار تركها على حالها، وألا يتعرض لها بتقصير شيء أصلاً
“Pendapat yang terpilih adalah membiarkan janggut sebagaimana adanya, dan tidak memendekkannya sama sekali.” (Syarh Shahih Muslim, 3/151)
Beliau juga berkata di kitab yang lain:
والصحيح كراهة الاخذ منها مطلقا بل يتركها على حالها كيف كانت للحديث الصحيح واعفوا اللحي واما الحديث عمرو بن شعيب عن ابيه عن جده ان النبي صلي الله عليه وسلم كان يأخذ من لحيته من عرضها وطولها فرواه الترمذي باسناد ضعيف لا يحتج به
“Yang sahih perbuatan memotong janggut adalah suatu yang dibenci secara mutlak (walaupun janggutnya panjang), sebalikya hendaklah dia membiarkan sebagaimana adanya, berdasarkan hadis yang sahih:
“… Biarkanlah janggut.”
Adapun hadis ‘Amru bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya:
“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dahulu pernah mengambil (memotong) janggutnya dari bahagian sisinya…”
Bahawa ia telah diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dengan sanad yang dha’if dan tidak boleh berhujah dengannya.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 1/290)
Kata Al-Imam Ibnu Hazm rahimahullah (Wafat: 456H):
واتفقوا أن حلق جميع اللحية مثلة لا تجوز
“Para ulama ittifaq (sepakat) bahawa mencukur seluruh janggut adalah tidak dibenarkan (haram).” (Maraatib Al-Ijmaa’ oleh Ibnu Hazm, m/s. 157)
Ini juga adalah sebagaimana salah satu pandangan Imam Asy-Syafi’i rahimahullah. Al-Hafiz Al-’Iraqi rahimahullah menyebutkan:
واستدل الجمهور على أن الأولى ترك اللحية على حالها، وأن لا يقطع منها شيء، وهو قول الشافعي وأصحابه
“Jumhur ulama berpegang pada pendapat pertama untuk membiarkan janggut sebagaimana adanya, tidak memotongnya sedikitpun. Dan ia juga merupakan pendapat Imam Asy-Syafi’i dan para sahabatnya.” (Tharhut Tatsrib, 2/83)
Berkata ulama Syafi’iyyah yang lainnya, semisal Abu Al-Hasan Al-Maawardi rahimahullah (Wafat: 450H):
وَلِذَلِكَ نَتْفُ اللِّحْيَةِ مِنَ السَّفَهِ الَّذِي تُرَدُّ بِهِ الشَّهَادَةُ، وَكَذَلِكَ خِضَابُ اللِّحْيَةِ مِنَ السَّفَهِ الَّذِي تُرَدُّ بِهِ الشَّهَادَةُ، لِمَا فِيهَا مِنْ تَغْيِيرِ خَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى
“Dan untuk yang demikian, mencukur (atau memendekkan) janggut adalah sebahagian dari kebodohan yang menjadikan persaksiannya tertolak, dan demikian pula dengan mewarnakan janggut, ianya sebahagian dari kebodohan yang menjadikan persaksiannya tertolak, kerana ia termasuk perbuatan mengubah ciptaan Allah Ta’ala.” (Al-Hawi Al-Kabir, 17/151)
Demikian pula pendapat Al-Imam Al-Ghazali rahimahullah (Wafat: 505H):
وأما نتفها في أول النبات تشبها بالمرد فمن المنكرات الكبار فإن اللحية زينة الرجال
“Adapun perbuatan mencukur janggut pada awal tumbuhnya, ia menyerupai orang yang tidak memiliki janggut, maka ia termasuk kemungkaran yang besar kerana janggut adalah hiasan bagi lelaki sejati.” (Ihya’ ‘Ulumiddin, 1/144)
Al-Imam Abu Ubaidillah Al-Halimi rahimahullah (Wafat: 403H):
لا يحل لأحد أن يحلق لحيته ولا حاجبيه، وإن كان له أن يحلق سباله؛ لأن لحلقه فائدة وهي أن لا يعلق به من دسم الطعام ورائحته ما يكره، بخلاف حلق اللحية فإنه هجنة وشهرة وتشبه بالنساء، فهو كجب الذكر
“Tidak halal bagi seorang pun untuk memotong (atau mencukur) janggutnya, dan tidak boleh juga keningnya, walaupun dia dibolehkan memotong misainya. Kerana memotong misai itu ada faedah, yakni agar sisa makanan atau bau yang tidak enak dari sisa makanan tidak melekat padanya. Berbeza dengan memotong (atau mencukur) janggut, kerana ia sebahagian dari bentuk hujnah (kesalahan), syuhrah (mencari kemasyhuran atau keanehan), dan menyerupai para wanita, di mana ia seperti menghilangkan zakar (kemaluan).” (Al-I’laam bi Fawaa’id ‘Umdatil Ahkam oleh Ibn Al-Mulaqqin, 1/711)
Dalam pendapat-pendapat ulama yang lain, menjelaskan bahawa mencukur janggut termasuk perbuatan maksiat dan kefasikan, persaksiannya tertolak, dan perbuatan mencukur janggut termasuk tasyabbuh (penyerupaan) dengan kaum kafir dan wanita.
Namun dari sini tidaklah bermakna bagi orang yang tidak dianugerahi dengan tumbuhnya janggut, harus mencari-cari sarana agar janggutnya tumbuh.
Kata Al-Imam Ibnu Daqiq Al-‘Ied rahimahullah (Wafat: 702H):
لا أعلم أحدا فهم من الأمر في قوله أعفوا اللحى تجويز معالجتها بما يغزرها كما يفعله بعض الناس
“Tidaklah aku ketahui dari seorang ulama pun yang memahami hadis Nabi “biarkanlah janggut” menunjukkan bolehnya atau harus mendapatkan rawatan penumbuhan janggut sebagaimana yang dilakukan sebahagian orang.” (Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar, 10/351)
Perbuatan Ibnu ‘Umar
Kemudian, sebahagian ulama membolehkan memendekkan janggut (bukan mencukurnya) jika panjangnya telah melebihi panjang satu genggaman tangan. Ini dilakukan ketika mengerjakan haji atau umrah. Ini berdasarkan hadis perbuatan Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu:
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ: إِذَا حَجَّ أَوِ اعْتَمَرَ قَبَضَ عَلَى لِحْيَتِهِ، فَمَا فَضَلَ أَخَذَهُ
“Adapun Ibnu ‘Umar: Apabila beliau mengerjakan haji atau ‘umrah, maka beliau menggenggam janggutnya. Apa yang melebihi dari genggaman tersebut, beliau pun memotongnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5892)
Atha’ B. Rabah rahimahullah berkata:
كَانُوا يُحِبُّونَ أَنْ يُعْفُوا اللِّحْيَةَ إلاَّ فِي حَجٍّ، أَوْ عُمْرَةٍ
“Mereka (para sahabat dan tabi’in) suka memelihara janggut, kecuali ketika waktu haji dan ‘umrah (mereka memotong darinya apa yang melebihi genggaman tangan mereka).” (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 25482. Sanadnya sahih)
Hadis ini menjelaskan perincian dari kesimpulan di atas bahawa dibolehkan memotong bahagian janggut yang melebihi dari satu genggaman tangan ketika melaksanakan haji atau ‘umrah. Apa yang kurang dari satu genggaman tangan, maka ia dibiarkan. Dan perkara ini turut ditegaskan oleh Imam Asy-Syafi’i dan murid-muridnya di beberapa kitab dan riwayat. Dan insyaAllah inilah pendapat yang benar dan paling mendekati kebenaran.
Manakala pendapat dalam mazhab Malik (termasuk Imam Malik sendiri) menyebutkan dibolehkan memotong sebahagian dari janggut yang terlalu panjang yang melebihi panjang satu genggaman tangan jika dengan panjangnya janggut (yang melebihi panjang satu genggaman tangan) tersebut membuat penampilan kelihatan tidak elok.
Manakala pendapat dari kalangan mazhab Hanafi dan Ahmad, mereka membolehkan dan menyukai memotong bahagian janggut yang melebihi dari satu genggaman tangan secara muthlaq. Dan tidak boleh memendekkan apa yang kurang dari satu genggaman tangan.
Wallahu a’lam.