Sunnah Agar Mendoakan Orang Yang Menjamu Kita Makan

Sunnah Agar Mendoakan Orang Yang Menjamu Kita Makan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Di antara sebahagian dari sunnah yang merupakan anjuran daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah mendoakan orang-orang yang telah menjamu kita makan. Sama ada makanan berupa untuk berbuka, bersahur, kenduri, dalam undangan walimah, makan tengah hari, hidangan ketika ‘Ied (hari raya), atau yang seumpamanya.poster_makan_tangan_kanan

Ini adalah sebagaimana hadis-hadis berikut, antaranya dari hadis ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَمَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ

“Sesiapa yang melakukan kebaikan kepada kamu, maka balaslah kepadanya. Jika kamu tidak ada apa-apa untuk membalasnya, maka berdoalah untuknya sehingga kamu dapati bahawa kamu telah membalasnya.” (Sunan Abi Dawud, no. 1672. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Di antara sebahagian lafaz-lafaz doa yang tsabit daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam bab ini adalah sebagaimana berikut.

Dari hadis Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَ إِلَى سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ، فَجَاءَ بِخُبْزٍ وَزَيْتٍ، فَأَكَلَ، ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «

أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الْأَبْرَارُ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلَائِكَةُ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah datang kepada Sa’d bin ‘Ubadah. Sa’d pun menghidangkan untuk beliau roti dan minyak (di saat berbuka- pent.), lalu beliau pun memakannya. Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun mengucapkan:

“Orang-orang yang berpuasa telah berbuka di sisimu, orang-orang yang baik memakan makananmu, dan para malaikat pun mendoakanmu.” (Sunan Abi Dawud, no. 3854. Ibn Majah, no. 1747. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Dari hadis yang lain, dari riwayat ‘Abdullah bin Busr bahawa Nabi pernah mendoakan keluarganya (yakni keluarga ‘Abdullah bin Busr) sebaik dijamu (dengan doa berikut):

اللهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ

“Ya Allah, berkahilah mereka pada apa yang Engkau rezekikan pada mereka, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka.” (Musnad Ahmad, no. 16675. Shahih Muslim, no. 2042. Sunan Abi Dawud, no. 3729)

Atau berdasarkan salah satu lafaz dalam Musnad Ahmad:

اللهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ، وَبَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ

“Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka, dan berilah barakah pada makanan yang telah Engkau berikan kepada mereka.” (Musnad Ahmad, no. 17673. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Atau sebagaimana doa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika berdoa kepada Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya (yakni doanya):

أَكَلَ طَعَامَكُمْ الْأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمْ الْمَلَائِكَةُ وَأَفْطَرَ عِنْدَكُمْ الصَّائِمُونَ

“Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang berpuasa berbuka di tempatmu.” (Musnad Ahmad, no. 12406. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Boleh juga berdoa dengan doa Nabi berikut:

اللهُمَّ، أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي، وَأَسْقِ مَنْ أَسْقَانِي

“Ya Allah, berikanlah makan kepada orang yang memberiku makan, dan berilah minum kepada orang yang memberiku minum.” (Shahih Muslim, no. 2055)

Boleh dipilih dari doa-doa yang telah disebutkan ini dan tidak disyaratkan untuk mengucapkan setiap doa atau semua doa dalam satu-satu masa.

Sekian catatan ini. Wallaahu a’lam.