Sudahkah Kita Mencintai Kerana Allah?
Cinta kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala merupakan sesuatu yang sangat penting dalam kelestarian sesebuah persahabatan dan persaudaraan sesama muslim. Bukan hanya di dunia, bahkan cinta kerana Allah Ta’ala akan melestarikan perhubunggan sehingga ke Syurga.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
“Teman-teman dekat pada hari itu (yakni hari Kiamat) saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa.” (Surah Az-Zukhruf, 43: 67)
Hubungan apa pun yang dibina tidak di atas dasar cinta kerana Allah, maka ia adalah semu, memperdaya, dan hanya bertahan sekadar di dunia semata. Semua keakraban dan pertemanan yang tidak dibina atas dasar cinta kerana Allah akan berubah menjadi permusuhan dan kebencian kelak di akhirat.
Ketika di dunia pun, betapa banyak persahabatan dan persaudaraan yang dapat kita saksikan berubah kebencian dan permusuhan seiring luputnya kepentingan duniawi yang melandasi hubungan tersebut. Cinta seperti ini adalah cinta yang semu dan mainan, tidak ada kebaikan di dalamnya, dan tidak mampu membawa pelakunya ke jalan kebaikan.
Dari itu, di antara tanda kesempurnaan cinta seorang hamba kepada seseorang yang lain dari kalangan hamba-hamba-Nya adalah dia mencintainya kerana Allah. Dia mencintai untuk saudaranya apa yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya untuknya; berupa hidayah, keimanan, kebahagiaan, keselamatan, dan pelbagai kebaikan baik di dunia mahupun akhirat. Dan dia membenci untuk saudaranya dari apa-apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, yakni dari apa-apa yang menyebabkan saudaranya jatuh ke lembah keburukan, kebinasaan, serta kemudharatan.
Dari hadis Abu Umamah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ، وَأَبْغَضَ لِلَّهِ، وَأَعْطَى لِلَّهِ، وَمَنَعَ لِلَّهِ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ الْإِيمَانَ
“Siapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menahan (tidak memberi) kerana Allah, benar-benar dia telah menyempurnakan keimanan.” (Sunan Abi Dawud, no. 4681)
Maka, siapa yang mencintai para Nabi, para sahabat, dan orang-orang soleh lainnya disebabkan keimanan dan keteguhan mereka di atas kebenaran (agama Allah), serta kerana sebagaimana yang diperintahkan di dalam agama, bukan kerana yang lainnya, bukan kerana hartanya, bukan kerana rupa parasnya, bukan kerana popularitinya, atau bukan kerana ketaksuban kepadanya, bermakna dia telah mencintai mereka kerana Allah. Dan kelak di hari Kiamat kita akan dikumpulkan bersama-sama orang yang kita cintai.
Sebagaimana kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ يَوْمَ القِيَامَةِ
“Pada hari Kiamat, seseorang itu akan bersama siapa yang dia cintai. ” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3535. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
Maka perhatikanlah kerana apa dan kepada siapa kecintaan di hati-hati kita? Apakah kepada orang-orang yang beriman, soleh, dan bertaqwa? Apakah kepada para Nabi, kepada sahabat-sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? Dan bagaimana kecintaan kita terhadap saudara-saudara muslim kita?
Cinta dan benci kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah simpulan cinta dan ikatan perhubungan yang terkuat dan ikatan iman.
Dari hadis Al-Baraa’ bin ‘Aazib, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ أَوْثَقَ عُرَى الْإِيمَانِ أَنْ تُحِبَّ فِي اللهِ، وَتُبْغِضَ فِي اللهِ
“Sesungguhnya ikatan keimanan yang paling kuat adalah engkau mencintai kerana Allah, dan engkau membenci kerana Allah.” (Musnad Ahmad, no. 18524)
Cinta kerana Allah Ta’ala adalah cinta yang menjadi sebab bagi seseorang meraih manisnya iman.
Dari hadis Anas bin Malik, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
“Tiga perkara yang sesiapa memilikinya dia akan merasa manisnya iman; Iaitu Allah dan Rasul-Nya menjadi yang paling dicintainya dari selain keduanya, mencintai seseorang kerana Allah semata-mata, dan benci jika dikembalikan kepada kekufuran sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api.” (Shahih Al-Bukhari, no. 16)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا، وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا، أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ
“Kalian tidak akan masuk Syurga sampailah kalian beriman, dan kalian tidak dikira beriman sampailah kalian berkasih-sayang (kerana Allah). Mahukah kalian aku tunjukkan tentang suatu (amalan) yang apabila kalian melakukannya kalian akan saling mencintai? (Yakni) Sebarkanlah salam di antara kalian.” (Shahih Muslim, no. 54)
Dari hadis ini menjelaskan di antara sebab masuk Syurga dan bukti keimanan adalah dengan saling berkasih-sayang kerana Allah. Dan di antara amalan yang dapat memupuk dan menyuburkan kasih-sayang dan keimanan tersebut adalah dengan menyebarkan salam. Yakni saling bertegur-sapa, saling mengenal, saling mengharapkan, mendoakan keselamatan dan kebaikan sesama kaum muslimin.
Ketahuilah bahawa persaudaraan dan saling mencinta kerana Allah ini termasuk sebahagian dari bentuk nikmat yang besar dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dengan nikmat ini akan terjalinlah kesatuan, keamanan dan kestabilan dalam masyarakat, seraya jauh dari perselisihan, perbalahan dan huru-hara.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
“… dan ingatlah akan nikmat Allah atas kalian di ketika kalian dahulunya (di masa Jahiliyyah) saling bermusuh-musuhan, lalu Allah pun menyatukan hati-hati kalian, lalu menjadilah kalian dengan nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kalian telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kalian darinya. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya untuk kalian, agar kalian mendapat petunjuk.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 103)
Persaudaran dan cinta kerana Allah adalah anugerah dan nikmat dari Allah yang wajib kita jaga dan syukuri. Kerana dengan persaudaraan inilah ketaksuban dan kefanatikan ala jahiliyyah dapat dihapuskan, permusuhan dapat dihindarkan, pertelingkahan dapat dileraikan, dan huru-hara pun dapat dijauhkan, seraya diganti dengan keamanan, kestabilan, ketulusan, dan keikhlasan kerana Allah. Dan hal inilah kelak mendatangkan keberkahan yang besar dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, baik di dunia mahupun akhirat.
Dari hadis Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: المُتَحَابُّونَ فِي جَلَالِي لَهُمْ مَنَابِرُ مِنْ نُورٍ يَغْبِطُهُمُ النَّبِيُّونَ وَالشُّهَدَاءُ
“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku, maka bagi mereka itu mimbar-mimbar dari cahaya yang dicemburui oleh para Nabi dan para syuhada’.” (Musnad Ahmad, no. 22080. Sunan At-Tirmidzi, no. 2390. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي، الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي
“Sesungguhnya Allah berfirman pada hari Kiamat: “Di mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini Aku nunaungi mereka di bawah naungan-Ku, di hari yang tiada naungan kecuali naungan-Ku.” (Musnad Ahmad, no. 7231, 8455. Shahih Muslim, no. 2566)
Di Antara Bukti Mencintai Kerana Allah
Berikut adalah di antara ciri dan bukti cinta yang kita curahkan merupakan cinta kerana Allah.
1, Menyukai kebaikan dan membenci keburukan bagi saudaranya,
Dari hadis An-Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ، وَتَرَاحُمِهِمْ، وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
“Perumpamaan kaum mukminin dalam cinta-mencintai, sayang-menyayangi, dan bantu-membantu itu seperti suatu jasad. Apabila salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh anggota tubuhnya yang lain akan turut merasakan sakitnya, dengan tanpa dapat tidur (kerana berjaga malam) dan kerana demam (menahan sakit).” (Shahih Muslim, no. 2586)
Dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidaklah salah seorang di antara kalian beriman (dengan keimanan yang sempurna) sampailah dia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Musnad Ahmad, no. 13962. Shahih Al-Bukhari, no. 13)
Maka, di antara bukti kita mencintai seorang muslim yang lainnya kerana Allah, tentu kita juga akan menginginkan agar dia mendapatkan kebaikan sebagaimana kebaikan yang kita dapatkan atau miliki. Kita akan berharap dia mendapat ilmu dan hidayah sebagaimana yang kita miliki, kita akan berharap dia mendapat kesenangan sebagaimana yang kita miliki, dan kita tidak suka jika dia ditimpa dengan suatu kesusahan sebagaimana kita juga tidak suka sekiranya ditimpa dengan kesusahan.
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ الْمُؤْمِنِ، وَالْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ، يَكُفُّ عَلَيْهِ ضَيْعَتَهُ، وَيَحُوطُهُ مِنْ وَرَائِهِ
“Seorang mukmin itu ibarat cermin bagi mukmin yang lainnya, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin yang lainnya, dia sentiasa mencegah saudaranya dari kepayahan (disebabkan kehilangan harta), dan melindunginya dari hal yang membahayakan (yang tidak disedarinya).” (Sunan Abi Dawud, no. 4918. Dinilai hasan oleh Al-Albani)
Jika kita mencintai seseorang kerana Allah, sudah tentu kita tidak senang seandainya melihatnya dalam keadaan melakukan dosa dan maksiat, yang akan menjadi sebab dia terancam dengan dosa dan akibat yang buruk sama ada di dunia mahupun di akhirat. Maka, kita pun akan berusaha mengajaknya meninggalkan dosa dan maksiat tersebut dalam rangka mencintainya kerana Allah dan tidak suka sekiranya dia terus-menerus dalam keadaan dosa tersebut.
Dan dalam sebuah hadis dari hadis Tamim Ad-Daari, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ
“Agama adalah an-nasiihah (bersikap tulus).”
Para sahabat bertanya, “Untuk siapa (wahai Rasulullah)?”
Nabi menjawab, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum muslimin, dan rakyatnya (kaum muslimin secara umumnya).” (Shahih Muslim, no. 55)
Al-Imam Al-Khaththabi rahimahullah (Wafat: 388H) berkata:
النَّصِيحَةُ كَلِمَةٌ يُعَبَّرُ بِهَا عَنْ جُمْلَةٍ هِيَ إِرَادَةُ الْخَيْرِ لِلْمَنْصُوحِ لَهُ
“Nasihat adalah ungkapan yang menjelaskan sejumlah perkara yang merujuk kepada menghendaki kebaikan bagi yang diberi nasihat.” (An-Nihayah fii Gharibil Hadits wal-Atsar oleh Ibn Al-Atsir, 5/142. Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam oleh Ibn Rajab Al-Hanbali, m/s. 219 – Mu’asasah Ar-Risalah, Cet. 10. ‘Aun Al-Ma’bud oleh Al-‘Adzim Abadi, 13/196)
2, Tidak Hasad,
Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):
الْحَسَدَ هُوَ الْبُغْضُ وَالْكَرَاهَةُ لِمَا يَرَاهُ مِنْ حُسْنِ حَالِ الْمَحْسُودِ
“Hasad adalah rasa benci dan tidak senang terhadap apa-apa yang dilihatnya dari hal-hal yang baik pada orang yang dia hasad.” (Majmu’ Al-Fatawa, 10/111)
Yakni dia tidak senang terhadap kesenangan, kebaikan, dan kenikmatan yang ada pada diri orang lain, tetapi merasa suka sekiranya orang lain mendapat kesusahan, kepayahan, dan berada dalam keburukan, atau terluput dari kesenangan dan hal-hal yang baik yang telah Allah kurniakan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ
“Dan janganlah engkau iri hati pada apa yang telah Allah kurniakan kepada sebahagian kamu melebihi sebahagian yang lain…” (Surah An-Nisaa’, 4: 32)
Kata Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah (Wafat: 1376H):
ينهى تعالى المؤمنين عن أن يتمنى بعضهم ما فضل الله به غيره من الأمور الممكنة وغير الممكنة. فلا تتمنى النساء خصائص الرجال التي بها فضلهم على النساء، ولا صاحب الفقر والنقص حالة الغنى والكمال تمنيا مجردا لأن هذا هو الحسد بعينه، تمني نعمة الله على غيرك أن تكون لك ويسلب إياها. ولأنه يقتضي السخط على قدر الله . .. وإنما المحمود أمران: أن يسعى العبد على حسب قدرته بما ينفعه من مصالحه الدينية والدنيوية، ويسأل الله تعالى من فضله، فلا يتكل على نفسه ولا على غير ربه.
“Allah Ta’ala melarang orang-orang yang beriman bersikap iri hati dengan mengharapkan apa yang telah Allah kurniakan kepada sebahagian yang lainnya dari hal-hal yang mungkin dan tidak mungkin. Maka tidak boleh bagi kaum wanita iri hati terhadap kekhususan yang telah dikurniakan atas kaum lelaki yang mana mereka diberikan kelebihan tertentu berbanding kaum wanita. Dan tidak boleh bagi orang yang faqir dan miskin menginginkan kedudukan orang lain yang diberikan kekayaan dan kesempurnaan menghilang (atau luput), kerana ini adalah sebahagian dari bentuk hasad, yakni berharap agar nikmat Allah atas orang selain-mu tersebut menjadi milik-mu dan nikmat tersebut dihilangkan dari orang tersebut. Dan bahawasanya tidakan tersebut menatijahkan sikap benci pada ketentuan Allah… Adapun yang terpuji, ada dua; (yakni) dia berusaha berdasarkan kadar kemampuannya bagi apa-apa yang bermanfaat untuknya dari hal-hal yang mendatangkan kemaslahatan agamanya dan dunianya, dan hendaklah dia memohon kepada Allah Ta’ala agar diberikan kurniaan-Nya, dia tidak bersandar semata-mata atas dirinya sendiri dan tidak pula pada selain Rabb-nya.” (Taisir Al-Karim Ar-Rahman fi Tafsir Kalam Al-Mannan, m/s. 176)
Dari hadis Anas radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا تَحَاسَدُوا، وَلَا تَبَاغَضُوا، وَلَا تَقَاطَعُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا
“Janganlah kalian saling hasad, jangan saling membenci, dan janganlah kalian saling memutuskan hubungan, tetapi jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara.” (Shahih Muslim, no. 2559)
3, Memenuhi hak-hak Saudaranya,
Di antara tanda kecintaan seorang muslim kepada muslim yang lainnya adalah dengan memenuhi keperluan dan hak-hak saudara muslimnya.
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ» قِيلَ: مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ؟، قَالَ: «إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَسَمِّتْهُ، وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ
“Hak seorang muslim terhadap muslim yang lainnya itu ada enam.” Sahabat bertanya, “Apa-apa dia wahai Rasulullah?”
Rasulullah bersabda:
“Apabila bertemu dengannya, ucapkanlah salam kepadanya, apabila diundang (untuk suatu kebaikan) penuhilah, apabila dia meminta nasihatmu maka nasihatilah, apabila dia bersin lalu memuji Allah maka doakanlah dia dengan rahmat, apabila dia sakit maka ziarahilah, dan apabila dia meninggal dunia maka uruslah jenazahnya.” (Musnad Ahmad, no. 9341. Shahih Muslim, no. 2162)
Di antara ciri yang lainnya, adalah dia menunaikan zakat, mengeluarkan sedekah, memenuhi janji, dan seumpamanya.
4, Mengajaknya kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran,
Orang-orang yang beriman sentiasa berharap dan berusaha mengajak saudara-saudaranya kepada hal-hal yang baik yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan berusaha menjauhkan saudaranya dari hal-hal yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dia sentiasa mengharap agar dirinya bersama-sama saudaranya atau orang-orang yang dicintainya berada dalam kebaikan dan kecintaan kepada Allah Ta’ala. Dan dia benci dan bimbang sekiranya saudaranya berada dalam kemaksiatan atau hal-hal yang dimurkai oleh Allah Ta’ala, sehingga akan menatijahkan keburukan bagi saudaranya tersebut.
Maka bila dia menyedari saudaranya berbuat silap, dia pun berusaha agar dapat menjelaskan yang benar agar saudaranya tidak terus-menerus dalam kesilapan. Apabila saudaranya berbuat maksiat, maka dia pun menegurnya, menasihati dan mengingatkannya akan bahaya berada dalam kemaksiatan tersebut agar dia segera meninggalkan maksiat tersebut.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
“Orang-orang yang beriman yang lelaki dan orang-orang beriman yang perempuan, sebahagian mereka adalah penolong dan pelindung bagi sebahagian yang lain, mereka memerintahkan kepada kebaikan dan melarang dari kemungkaran.” (Surah At-Taubah, 9: 71)
5, Bertolong-tolongan dalam kebaikan dan tidak bertolong-tolongan dalam hal dosa dan permusuhan,
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Bertolong-tolonganlah dalam kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya adzab Allah sangatlah pedih.” (Surah Al-Ma’idah, 5: 2)
6, Membantu saudaranya yang dizalimi dan juga yang berbuat zalim,
Dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا» فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا، أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ؟ قَالَ: تَحْجُزُهُ، أَوْ تَمْنَعُهُ، مِنَ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ
“Bantulah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi.”
Maka berkatalah seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, menolongnya apabila dia dizalimi (itu kami maklum), tetapi apabila dia yang zalim bagaimana cara menolongnya?”
Rasulullah bersabda, “Hendaklah engkau tahan atau halang dia dari kezalimannya, maka demikianlah cara menolongnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6952)
Kerana apabila seseorang meninggalkan kezalimannya, maka orang yang lain akan selamat dari keburukannya, dan dia pun akan selamat dari mendapat dosa dan ancaman dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka, tindakan menahannya dari terus berbuat zalim adalah merupakan tanda kecintaan kerana Allah Ta’ala kerana ia merupakan kebaikan bagi orang yang berbuat zalim tersebut dan bagi orang yang lain (yang dizalimi).
7, Mendoakan kebaikan dan keampunan untuk saudaranya,
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memuji orang-orang mukmin yang mendoakan mukmin yang lainnya sebagaimana firman-Nya:
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
“Dan orang-orang yang datang setelah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdo’a:
“Ya Rabb kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau jadikan hati-hati kami dengki (berpenyakit) terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Rabb kami, sesungguhnya Engkau Maha Mengasihani lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Hasyr, 59: 10)
Pada ayat ini terkandung faedah agar mendoakan orang-orang yang kita cintai dari kalangan orang-orang yang beriman, dan anjuran agar menyelamatkan hati-hati kita dari penyakit dengki dan hasad.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
“Dan mohonlah keampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang beriman yang lelaki dan orang-orang beriman yang perempuan.” (Surah Muhammad, 47: 19)
Maka di sini dapat kita ambil faedah, di antara bukti kecintataan kepada saudaranya kerana Allah, adalah dengan menginginkan kebaikan untuknya, dan di antara tanda menginginkan kebaikan untuk saudaranya (kerana Allah) adalah dengan mendoakan kebaikan untuknya (sama ada berupa hidayah, rahmat, keampunan, keselamatan, ataupun kebaikan-kebaikan yang lainnya). Dan ini adalah bukti ketulusan dalam persaudaraan sekaligus termasuk bentuk terapi yang mampu menghilangkan perasaan benci, hasad, dan iri hati. Dan bahkan dia mendapat keutamaan dari doanya serta mendapat doa pula dari para malaikat.
Dari hadis Ummu Darda’ radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ دَعَا لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ، وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Siapa yang mendoakan untuk saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya tersebut, maka malaikat yang diutuskan di sisinya akan mengatakan, “Aamiin, dan bagi engkau yang semisal dengannya.”.” (Shahih Muslim, no. 2732)
Dari hadis Ummu Darda’, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Doa seorang muslim kepada saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya tersebut adalah doa yang mustajab (dikabulkan). Di sisi kepalanya ada malaikat yang diutus. Ketika dia berdoa untuk saudaranya dengan kebaikan, malaikat tersebut pun mengatakan:
“Amin, dan bagi engkau juga yang semisal denganya.”.” (Shahih Muslim, no. 2733)
8, Mengkhabarkan Perihal Kecintaannya,
Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
أَنَّ رَجُلًا كَانَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرَّ بِهِ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي لَأُحِبُّ هَذَا، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَعْلَمْتَهُ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: «أَعْلِمْهُ» قَالَ: فَلَحِقَهُ، فَقَالَ: إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللَّهِ، فَقَالَ: أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ
“Bahawa ada seorang lelaki di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian ada seorang lelaki yang lain berjalan melintasi mereka, lalu lelaki di sisi Nabi tersebut berkata (kepada Nabi):
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mencintai orang ini.”
Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bertanya, “Adakah engkau telah mengungkapkannya kepada orang tersebut?”
Beliau jawab, “Belum.” Maka Nabi pun bersabda, “Beritahulah kepadanya.”
Lalu langsung beliau pun menyusul lelaki yang melintasi mereka tadi seraya mengucapkan padanya, “Sungguh, aku mencintai engkau kerana Allah.”
Maka orang tersebut pun menjawab, “Semoga engkau juga dicintai oleh Dzat yang mana engkau mencintai aku kerana-Nya.”.” (Sunan Abi Dawud, no. 5125)
Baca juga artikel, “Apa Yang Diucapkan Tatkala Seseorang Datang Mengungkapkan Rasa Cinta Kerana Allah?”
9, Berbuat baik dan memberi kemanfaatan kepada saudaranya,
Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَنْفَعْهُ
“Sesiapa di antara kalian yang mampu memberikan manfaat untuk saudaranya, maka hendaklah dia melakukannya.” (Musnad Ahmad, no. 15102. Shahih Muslim, no. 2199)
10, Berusaha melepaskan kesusahan saudaranya, memenuhi keperluannya dan menutupi aibnya,
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
“Sesiapa yang menghilangkan suatu kesukaran seorang Mukmin dari kesukaran-kesukaran dunia, maka Allah pun menghilangkan darinya kesukaran-kesukaran di hari Kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan urusan seorang Mukmin, maka Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Dan sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa menolong hamba-Nya selagi mana hamba tersebut menolong saudaranya.” (Musnad Ahmad, no. 7427. Shahih Muslim, no. 2699)
Baca artikel, “Melapangkan Kesusahan dan Menutupi ‘Aib Seorang Muslim.”
11, Berbuat baik kepada saudaranya dalam rangka mencari wajah Allah,
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا (8) إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنْكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا (9) إِنَّا نَخَافُ مِنْ رَبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا (10) فَوَقَاهُمُ اللَّهُ شَرَّ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَلَقَّاهُمْ نَضْرَةً وَسُرُورًا
“Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepada kalian hanyalah untuk mengharapkan wajah Allah, kami tidak berhajatkan balasan dari kalian dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesungguhnya kami takut akan (azab) Rabb kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Maka Allah memelihara mereka dari kesusahan hari tersebut, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati.” (Surah Al-Insan, 76: 8-11)
12, Tidak memburukkan saudaranya, merendahkan atau menghinanya,
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan/meremehkan/mentertawakan sekumpulan yang lain, boleh jadi yang direndahkan/diremehkan/ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik darinya.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 11)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ
“Cukuplah seseorang itu dikatakan berbuat buruk apabila dia menghina saudaranya yang sama-sama muslim.” (Shahih Muslim, no. 2564)
Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:
لا تحتقر أخاك المسلم: لا في خِلْقته ولا في ثيابه ولا في كلامه ولا في خُلقه ولا غير ذلك. أخوك المسلم حقه عليك عظيم فعليك أن تحترمه وأن توقره، وأما احتقاره فإنه محرم، ولا يحل لك أن تحتقره
“Janganlah engkau menghina saudaramu sesama muslim; jangan pada fizikalnya, jangan pada pakaiannya, jangan pada cara bercakapnya, jangan pada tingkah-lakunya, dan jangan pada yang lainnya. Saudaramu sesama muslim memiliki hak yang besar dari dirimu, maka hendaklah engkau hargai dan hormati dia. Adapun perbuatan menghina (atau merendah-rendahkan)nya, ia adalah suatu yang sangat diharamkan, dan tidak halal bagimu menghinakannya.” (Syarh Riyadh Ash-Shalihin, 6/260)
Maka, jika kita mengetahui pada diri saudara kita terdapat kesalahan atau aib, hendaklah kita perbaiki dengan jalan nasihat dan teguran dengan memenuhi tuntutan adab-adabnya, yakni dalam rangka menginginkan kebaikan untuknya, kerana mencintainya dan kerana mencintai kebaikan untuknya.
Jika saudara semuslim kita melakukan suatu kesalahan yang melayakkannya untuk menerima suatu hukuman, maka berilah hukuman pada kadarnya dan jangan sampai melampaui batas, atau serahkanlah kepada yang berhak untuk menghukumnya.
Dan janganlah sampai kita menjadi sebab yang semakin menjauhkan saudara kita dari kebenaran dan kebaikan, atau menjadi sebab yang mencampakkannya kepada mudharat dan kebinasaan. Sebaliknya hendaklah kita berusaha untuk menjadi sebab yang mendekatkanya kepada kebaikan, menjaduhkannya dari kemudharatan dan menjauhkannya dari kebinasaan. Semoga Allah memberikan kita dan mereka hidayah dan taufiq-Nya.
13, Tidak mengganggu dan menyakiti saudaranya,
Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ، وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
“Seorang muslim itu adalah yang kaum muslimin selamat dari (gangguan) lisannya dan tangannya. Dan orang yang berhijrah itu adalah siapa yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah darinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 10, 6484. Muslim, no. 41)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ النَّاسُ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ، وَالْمُؤْمِنُ مَنْ أمِنَهُ النَّاسُ عَلَى دِمَائِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ
“Seorang muslim itu adalah yang kaum muslimin selamat dari (gangguan) lisannya dan tangannya. Dan seorang yang beriman itu adalah yang orang-orang merasa aman darah mereka dan harta-harta mereka dari (gangguan)nya.” (Musnad Ahmad, no. 8931. Sunan At-Tirmidzi, no. 2627. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
14, Mendamaikan saudara-saudaranya yang sedang bertikai,
Allah Suhanahu wa Ta’ala berfirman:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) di antara saudara-saudara kalian (yang bertikai) itu, dan bertaqwalah kepada Allah, moga-moga kalian mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 10)
Maka, demikianlah secara ringkas. Semoga Allah mengumpulkan kita dalam kebaikan, keampunan dan rahmat-Nya, serta mengumpulkan kita dalam persaudaraan dan kecintaan kepada-Nya dengan tulus dan benar.
Wallaahu a’lam.