Sikap dan Tanggungjawab Seorang Muslim Terhadap Pemerintah

Sikap dan Tanggungjawab Seorang Muslim Terhadap Pemerintah

 

www.ilmusunnah.com

Sebagaimana rakyat memiliki hak terhadap pemerintah, maka demikian pula pemerintah memiliki hak terhadap rakyatnya yang telah diwajibkan oleh Islam. Bahawasanya pemerintah mempunyai hak-hak yang telah diwajibkan oleh agama ke atas rakyatnya, mengambil berat tentangnya, memelihara dan melaksanakannya kerana seluruh kemaslahatan umat dan masyarakat tidak akan terlaksana dan sempurna melainkan dengan adanya kerjasama antara pemerintah dan rakyat.sikap_muslim

Perkara ini benar-benar dijaga oleh Islam agar hubungan di antara rakyat dengan penguasa sentiasa berlangsung dengan baik sehingga akan terbentuklah sebuah institusi masyarakat dan negara yang stabil, kukuh dan teratur.

Di antara hak-hak dimaksudkan adalah kewajiban rakyat untuk bersikap tulus terhadap pemerintah, mentaatinya dalam hal-hal yang ma’ruf (bukan maksiat), menjaga kredibilitinya dengan tidak menafikan kekuasaan dan kepimpinannya, bersabar dengan keputusan yang telah diputuskan, membantu dan memberi kerjasama dalam hal-hal yang ma’ruf, serta menasihati dan mendoakannya dengan kebaikan.

Bersikap Tulus Terhadap Pemerintah

Dari hadis Tamim Ad-Daari, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

“Agama adalah an-nasiihah (bersikap tulus).” Kami (para sahabat) bertanya, “Untuk siapa (wahai Rasulullah)?”

Beliau menjawab, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan umat Islam secara umumnya.” (Shahih Muslim, no. 55)

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ  المراد به دين العمل، والنصيحة بمعنى إخلاص الشيء

“Dari Ad-Diin an-nasiihah, maksud yang dikehendaki di sini, ad-diin adalah diinul ‘amal (agama), manakala an-nasiihah pula adalah membersihkan, memurnikan, mengikhlaskan sesuatu.” (Syarh Al-Arba’in An-Nawawiyyah, no. 7)

Dan Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin menjabarkan bahawa sikap tulus terhadap pemerintah adalah dengan mengiktiraf kepimpinannya, menyebarkan kebaikan-kebaikan mereka, melaksanakan apa-apa yang diperintahkan oleh mereka dan apa-apa yang mereka larang (melainkan jika ianya berupa kemaksiatan kepada Allah), dan hendaklah menutup ‘aib mereka serta menjaga kredibiliti mereka sebagai seorang pemimpin, tidak membangkang terhadap kepimpinannya dan tidak pula memberontak, serta menasihati dan mendoakan mereka dengan kebaikan. (lihat: Syarh Al-Arba’in An-Nawawiyyah, no. 7 oleh Asy-Syaikh Ibn ‘Utsaimin)

Mentaati Pemerintah

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Wahai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul-(Nya), dan ulil amri di antara kalian. Kemudian jika kalian berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari akhir. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagi kalian) dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisaa’, 4: 59)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menyatakan, “Ulil amri di sini mencakupi dua golongan; iaitu ulama dan penguasa.” (Majmu’ Al-Fatawa, 18/158)

Asy-Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdil Hamid hafizahullah menegaskan:

فَأهل السُّنَة والجماعة: يقولون إِن طاعة أُولي الأَمر في المعروف أَصل عظيم من أُصولِ العقيدة، ومن هنا أَدرجها أَئمَة السلف في جملة العقائد، وقل أَن يخلو كتاب من كتب العقائد إِلا تضمن تقريرها وشرحها وبيانها، وهي فريضة شرعية لكلِّ مسلم؛ لأنها أَمر أَساسي لوجود الانضباط في دولة الإسلام

“Ahli Sunnah wal-Jama’ah menegaskan bahawa ta’at kepada ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang ma’ruf merupakan salah satu prinsip penting dalam prinsip-prinsip beraqidah. Dari sinilah para ulama terdahulu memasukkannya dalam kategori perbahasan ‘aqidah. Hampir tidak ada kitab-kitab tentang ‘aqidah ahlus sunnah yang tidak menyebutkan perkara ini, menerangkan, dan menjelaskannya. Dan ianya merupakan kewajipan bagi setiap muslim secara syar’i. Kerana hal tersebut adalah perkara yang asas dalam mewujudkan ketertiban dalam Negara Islam.” (Al-Wajiiz fii ‘Aqidah As-Salaf Ash-Sholeh, m/s. 130)

Sebagaimana dari hadis Abu Hurairah, Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

“Hendaklah setiap muslim mendengar dan taat kepada penguasa pada apa yang dia suka atau benci, selama mana bukan maksiat. Apabila dia diperintahkan dengan suatu kemaksiatan, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat (pada maksiat tersebut).” (Shahih Al-Bukhari, no. 7144)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani Rahimahullah menyatakan, “Hadis ini merupakan dalil wajibnya taat kepada pemerintah, hal tersebut berlaku dalam perkara yang bukan maksiat. Hikmah taat kepada pemerintah adalah agar dapat menjaga persatuan kalimat, kerana yang dinamakan sebagai perpecahan adalah kehancuran.” (Fathul Bari, 13/112)

Al-Harb bin Ismail Al-Kirmani rahimahullah (Wafat: 280H) berkata di dalam kitabnya Al-‘Aqidah dengan menukil perkataan daripada sejumlah ulama salaf:

وإن أمرك السلطان بأمر فيه لله معصية فليس لك أن تطعه البتة وليس لك أن تخرج عليه ولا تمنعه حقه

“Dan sekiranya sultan (pemerintah) memerintahkan kepada kamu tentang suatu perkara kemaksiatan di sisi Allah, maka tidak ada ketaatan bagimu terhadapnya. Akan tetapi, kamu juga tidak boleh keluar dari ketaatannya (dengan menjatuhkannya) dan tidak boleh menahan haknya sebagai pemerintah.” (Mu’taqad Ahl As-Sunnah wa Al-Jama’ah kama Naqalahu Al-Imam Harb Ibn Ismail Al-Kirmani, no. 23 – Tahqiq Sulaiman Ad-Dubaihi. Al-Arwaah ila Biladil Afraah oleh Ibn Al-Qayyim, 1/289)

Kewajiban mentaati pemerintah adalah bersifat umum, tidak kira sama ada kepada pemerintah yang baik atau yang zalim selama mana mereka masih muslim dan menegakkan solat, maka tidak boleh memberontak atas mereka sampailah jelas kekafiran darinya. Inilah i’tiqad Ahlus Sunnah wal Jama’ah, mereka mendahulukan nash-nash (dalil-dalil) syar’i dan tidak berkiblat kepada hawa nafsu.

Hal ini berbeza dengan pegangan sebahagian kelompok serpihan dalam kalangan kaum muslimin, ada di antara mereka yang membolehkan memberontak kepada pemerintah apabila melihat pemerintah berbuat zalim atau maksiat (dosa besar) sebagaimana kelompok sesat khawarij. Kemudian ada pula kelompok yang terlalu menganggap suci pemerintah mereka sehingga ke tahap memaksumkan mereka dan tidak perlu menasihatinya, iaitu sebagaimana kelompok kafir Syi’ah Ar-Rafidhah.

Memuliakan dan Menjaga Kredibiliti Pemerintah

Islam memerintahkan agar memuliakan pemerintah. Di antara sebabnya adalah kerana beratnya tugas yang mereka tanggung. Tidak boleh bagi sesiapa pun untuk memperlekehkan penguasa, sama ada dengan celaan, khianat, ghibah (umpatan) atau yang selainnya. Namun amat mendukacitakan apabila prinsip yang mulia ini telah banyak dilupakan oleh sebahagian kaum muslimin. Jangan hairan seandainya ada penguasa dijatuhkan kehormatannya, dicela dan direndahkan. Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang keras sikap mengkhianati dan merendah-rendahkan pemerintah.

Al-Imam Ibn Abi ‘Ashim meriwayatkan dalam kitabnya As-Sunnah (2/727) dari Muawiyah bin Abi Sufyan, beliau berkata:

لما خرج أبو ذر إلى الربذة، لقيه ركب من أهل العراق، فقالوا: يا أبا ذر، قد بلغنا الذي صنع بك، فاعقد لواء يأتك رجال ما شئت. قال: مهلا مهلا يا أهل الإسلام، فإني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: سيكون بعدي سلطان فأعزوه. من التمس ذله ثغر ثغرة في الإسلام، ولم يقبل منه توبة حتى يعيدها كما كانت

“Ketika Abu Dzar keluar menuju Robadzah, beliau bertemu dengan sekelompok orang-orang dari ‘Iraq. Mereka berkata:

“Wahai Abu Dzar kami sudah tahu apa yang dilakukan penguasa ke atas-mu, duduklah dan pasangkanlah bendera (pemberontakan), maka orang-orang akan berhimpun bersamamu.”

Abu Dzar pun berkata:

“Tenang.. tenang, wahai ahli Islam, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Akan ada sepeninggalanku nanti para penguasa, hormatilah mereka, siapa yang mencari-cari keburukannya, sungguh dia telah meruntuhkan dinding Islam. Tidak akan diterima taubatnya sampailah dia mengembalikan dinding yang dirosakkannya itu sebagaimana awalnya.” (As-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Ashim, no. 894)

Di hadis yang lain, dari Ziyad bin Kusaib, beliau menceritakan:

كُنْتُ مَعَ أَبِي بَكْرَةَ تَحْتَ مِنْبَرِ ابْنِ عَامِرٍ وَهُوَ يَخْطُبُ وَعَلَيْهِ ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَقَالَ أَبُو بِلَالٍ انْظُرُوا إِلَى أَمِيرِنَا يَلْبَسُ ثِيَابَ الْفُسَّاقِ فَقَالَ أَبُو بَكْرَةَ اسْكُتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ

“Pada suatu masa aku pernah berada tepat di bawah mimbar Ibnu ‘Amir bersama-sama Abu Bakrah. Ketika itu Ibnu ‘Amir sedang memberi khutbah dengan mengenakan pakaian yang nipis (jarang). Lalu Abu Bilal berteriak, “Lihatlah pemimpin kita ini, dia mengenakan pakaian orang fasiq!”

Maka, Abu Bakrah pun berkata, “Diamlah, bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang menghina penguasa Allah di muka bumi, nescaya Allah akan menghinakannya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2224)

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

نَهَانَا كُبَرَاؤُنَا مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا تَسُبُّوا أُمَرَاءَكُمْ وَلَا تَغُشُّوهُمْ، وَلَا تَعْصُوهُمْ، وَاتَّقُوا اللهَ وَاصْبِرُوا، فَإِنَّ الْأَمْرَ إِلَى قَرِيبٍ

“Para ulama besar kami dari sahabat-sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang kami, mereka berkata, “Janganlah kalian mencela (atau memaki-hamun) pemerintah kalian, janganlah kalian menipu (atau mempersendakan) mereka, dan janganlah kalian membenci mereka. Bertaqwalah kalian kepada Allah dan bersabarlah, kerana sesungguhnya perintah itu adalah dekat.” (As-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Ashim, no. 1015. Syu’ab Al-Iman oleh Al-Baihaqi, no. 7117)

Larangan membenci di sini maksudnya adalah membenci mereka sebatas pada keburukan-keburukan dan kemaksiatan-kemaksiatan mereka, atau pada kezaliman mereka. Berlepas diri pada hal-hal yang menyelisihi syara’ dan jika punya kemampuan hendaklah menasihati mereka dengan kebenaran. Demikianlah sikap seorang yang beriman, mereka tidak akan suka pada kemaksiatan, tidak pada kezaliman, dan tidak pula pada dosa-dosa.

Tetapi mereka tidak membenci pemerintah di sini, maksudnya mereka tidak bertindak memusuhi pemerintah secara umum. Demikian pula mereka tidak mengambil kesempatan atas kesalahan-kesalahan pemerintah untuk mencerca dan mencela mereka, memburuk-burukkan mereka, mencaci maki-mereka, apatah lagi untuk menjatuhkan dan memerangi mereka.

Semoga Allah merahmati Sahl bin ‘Abdillah At-Tustari (Wafat: 283H) yang telah berkata:

لا يزال الناس بخير ما عظموا السلطان والعلماء؛ فإذا عظموا هذين أصلح الله دنياهم وأخراهم، وإذا استخفوا بهذين أفسد دنياهم وأخراهم

“Manusia akan sentiasa dalam kebaikan selama mereka menghormati penguasa dan para ulama. Apabila mereka memuliakan dua golongan ini, Allah akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka. Apabila mereka merendahkannya, bererti mereka telah menghancurkan dunia dan akhirat mereka sendiri.” (Tafsir Al-Qurthubi, 5/260)

Ini kerana apabila kewibawaan dan kredibiliti penguasa telah dijatuhkan dan pudar, maka rasa hormat terhadapnya pun akan hilang, perpaduan akan terpecah-belah, kestabilan negara menjadi goyah, dan banyak urusan tidak akan mampu berjalan dengan lancar. Dan apabila urusan pentadbiran tidak berjalan dengan baik, maka akan banyaklah keburukan menyusul, pihak musuh pula akan mudah mengambil peluang dan kesempatan.

Dr. Khalid bin ‘Ali Al-Anbari hafizahullah berkata:

أوجب الشارع الشريف على الأمة توقير الأمراء واحترامهم وتبجيلهم، ونَهى في الوقت نفسه عن سبهم وانتقاصهم والحط من أقدارهم، وذلك لتقع مهابتهم والرهبة منهم في نفوس الرعية، فتنكف عن الشر والفساد والبغي والعدوان النفوس الردية

“Syara’ yang mulia telah mewajibkan ke atas umat ini supaya menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, kita  dilarang mencaci mereka dan menyebut-nyebut kekurangan serta kelemahan mereka (khasnya secara terbuka) kerana perkara ini akan menyebabkan lahirnya kebencian rakyat terhadap mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan permusuhan.” (Fiqh As-Siyasah Asy-Syar’iyah fii Dhaw Al-Qur’an wa As-Sunnah wa Aqaul Salaf Al-A’immah oleh Dr. Khalid Al-Anbari, m/s. 203-204)

Tidak Menggugat Kedudukan Pemerintah

Hadis daripada ‘Auf bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ فَقَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

“Sebaik-baik pemimpin bagi kamu adalah orang-orang yang kamu semua cintai dan mereka pun mencintai kamu semua, juga yang kamu semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua.

Adapun seburuk-buruk pemimpin di antara kamu adalah orang-orang yang kamu membenci mereka dan mereka pun membenci kamu semua, juga yang engkau semua mencela mereka dan mereka pun mencela kamu semua.”

‘Auf berkata, “Kami para sahabat lalu berkata, “Ya Rasulullah, adakah kita tidak boleh menentang pemimpin-pemimpin yang seperti ini? Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Jangan menentang mereka dengan pedang, selama mereka masih tetap mendirikan solat bersama-sama kamu. Jika kamu melihat pada pemimpin kamu sesuatu yang kamu benci, maka bencilah perbuatan tersebut, tetapi janganlah kamu melepaskan ketaatan (dengan menggugat kedudukannya sebagai pemimpin).” (Shahih Muslim, no. 1855)

Dalam hadis tersebut dan hadis-hadis berikutnya dijelaskan bahawa tidak boleh menggugat atau menjatuhkan pemerintah selagi mana mereka masih Islam dan mendirikan solat. Tetapi yang harus dilakukan bagi membendung keburukan mereka (jika mereka berbuat keburukan dan ketidak-adilan) adalah dengan jalan nasihat, rundingan, galakkan untuk bertaubat, dan dorongan untuk berbuat kebaikan, serta memperbanyakkan doa.

Namun terdapat juga pendapat dari kalangan ahlus sunnah yang menyatakan bahawa pemerintah yang zalim boleh dilucutkan kepimpinannya (atau diminta melucutkan kekuasaannya), namun hendaklah dilakukan melalui jalan rundingan dan nasihat secara tertutup bersama-sama dengannya. Ia dilakukan oleh ahlu halli wal aqdi atau kalangan ahli ilmu yang punya autoriti (bukan kalangan masyarakat awam), dengan syarat telah tersedia penggantinya yang diketahui kewibawaannya (oleh ahli ilmu), dan hendaklah ia berlangsung secara aman tanpa sebarang kekacauan serta dapat dipastikan maslahatnya secara jelas. Tidak boleh dilakukan dengan jalan provokasi, revolusi, mencanang keburukannya di khalayak umum, tidak boleh dengan jalan kudeta, kekerasan, atau yang seumpamanya.

Manakala bagi pemerintah yang telah jatuh kafir atau murtad, maka sepakat para ulama menyatakan ia boleh dijatuhkan dan syaratnya hendaklah punya kemampuan (baik dari sudut hujah mahupun kekuatan), dipastikan kemaslahatannya secara jelas, tidak mengakibatkan perpecahan atau kucar-kacir kepada negara (yang berakibat hilangnya keamanan dan terjejas urusan umum), tidak menimbulkan kemudharatan yang lebih besar dan telah dipastikan penggantinya yang berwibawa. Namun jika tidak punya kemampuan dan dijangkakan hanya akan menimbulkan kemudharatan yang lebih besar, maka hendaklah tetap bersabar.

Seterusnya, dalam riwayat yang lain disebutkan:

قَالُوا قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ عِنْدَ ذَلِكَ قَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ أَلَا مَنْ وَلِيَ عَلَيْهِ وَالٍ فَرَآهُ يَأْتِي شَيْئًا مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ فَلْيَكْرَهْ مَا يَأْتِي مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ وَلَا يَنْزِعَنَّ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami memerangi (menentang) mereka pada ketika itu?” Rasulullah menjawab, “Jangan, selagi mana mereka masih solat bersama-sama kamu! Jangan, selagi mana mereka masih solat bersama-sama kamu! Ingatlah, jika ada pemimpin yang menguruskan urusan seseorang lalu dia melihat pemimpinnya melakukan maksiat kepada Allah, maka bencilah maksiat tersebut, dan jangan melepaskan ketaatan darinya.” (Shahih Muslim, no. 1855)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

فقد نهى رسول الله صلى الله عليه و سلم عن قتالهم مع إخباره أنهم يأتون أمورا منكرة فدل على أنه لا يجوز الإنكار عليهم بالسيف كما يراه من يقاتل ولاة الأمر من الخوارج والزيدية والمعتزلة وطائفة من الفقهاء وغيرهم

“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang dari memerangi mereka (pemimpin) walaupun pemimpin tersebut melakukan perkara-perkara yang mungkar. Ini menunjukkan bahawa tidak dibolehkan mengingkari (atau menentang) mereka dengan pedang (senjata) sebagaimana yang difahami oleh golongan yang memerangi para pemimpin dari kalangan Khawarij, Zaidiyyah, Mu’tazilah, dan sekelompok (sebahagian kecil) dari para fuqaha’ (ahli fiqh) dan selainnya.” (Minhaj As-Sunnah oleh Ibn Taimiyyah, 3/392 – Mu’assasah Al-Qurthubah)

Dari hadis Ummu Salamah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا

“Nanti akan datang para pemimpin yang berbuat baik juga berbuat mungkar. Sesiapa yang memahami (perkara tersebut) maka dia terlepas, sesiapa yang mengingkari bererti dia selamat. Berbeza dengan orang yang rela dan patuh.” Para sahabat pun bertanya, “Bolehkah kita memeranginya (menentanganya)?” Beliau menjawab, “Jangan, selagi mana mereka masih mendirikan solat.” (Shahih Muslim, no. 1854)

Dalam riwayat atau lafaz yang lain juga dari hadis Ummu Salamah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّهُ يُسْتَعْمَلُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ فَقَدْ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا أَيْ مَنْ كَرِهَ بِقَلْبِهِ وَأَنْكَرَ بِقَلْبِهِ

“Akan diangkat para penguasa untuk kamu. Di mana kamu mengenalinya dan kemudian engkau mengingkarinya (kerana dia telah melakukan maksiat). Sesiapa yang benci (terhadap maksiat tersebut), maka dia telah berlepas diri. Sesiapa yang mengingkarinya, benar-benar dia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya pula kepada mereka yang redha dan mengikuti keburukan pemimpin tersebut (dia tidak akan selamat).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh memeranginya (menentanganya)?” Beliau menjawab, “Tidak, selagi mereka masih melaksanakan solat.” Iaitu sesiapa yang membenci dan mengingkari dengan hatinya.” (Shahih Muslim, no. 1854)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menukilkan perkataan Al-Qadhi ‘Iyadh:

أجمع العلماء على أن الإمامة لا تنعقد لكافر، وعلى أنه لو طرأ عليه الكفر انعزل. قال: وكذا لو ترك إقامة الصلوات والدعاء إليها

“Para ‘ulama telah berijma’ (bersepakat) bahawa imamah (kepimpinan) tidak boleh diserahkan kepada orang kafir. Apabila secara tiba-tiba kekafiran terjadi padanya, maka ia dilucutkan (sebagai pemimpin).” Dan beliau turut menyatakan, “Begitu juga apabila dia meninggalkan perlaksanaan solat dan seruan kepadanya (seruan solat).” (Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 12/229)

Bersabar Dengan Keputusan Mereka

Dari hadis Ibnu ‘Abbas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَكَرِهَهُ فَلْيَصْبِرْ، فَإِنَّهُ لَيْسَ أَحَدٌ يُفَارِقُ الجَمَاعَةَ شِبْرًا فَيَمُوتُ، إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

“Sesiapa yang melihat pada amirnya (pemerintah) sesuatu yang dibencinya, hendaklah dia tetap sabar dengan sebab tersebut. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu keluar dari Al-Jama’ah (yakni tidak mentaati pemerintahnya) walaupun sejengkal lalu dia mati dalam keadaan tersebut (keluar dari ketaatan terhadap pemerintah), maka matinya itu adalah mati dalam keadaan jahiliyah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7143)

Al-‘Aini rahimahullah (Wafat: 855H) berkata:

يعني فليصبر على ذلك المكروه ولا يخرج عن طاعته لأن في ذلك حقن الدماء وتسكين الفتنة إلا أن يكفر الإمام ويظهر خلاف دعوة الإسلام فلا طاعة لمخلوق عليه وفيه دليل على أن السلطان لا ينعزل بالفسق والظلم ولا تجوز منازعته في السلطنة بذلك

“(Maksud hadis ini) hendaklah bersabar dengan apa yang tidak disukai dan tidak keluar dari ketaatan kepadanya. Ini bertujuan memelihara pertumpahan darah dan membendung fitnah dari berlaku, melainkan jika pemerintah tersebut telah kafir dan menzahirkan amal-amal yang menyelisihi seruan dasar Islam, maka tidak ada lagi ketaatan untuk makhluk ke atasnya. Dan ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa pemerintah tidak terlucut jawatannya dengan sebab fasiq dan zalim, dan tidak dibenarkan mengingkari kekuasaannya dengan sebab tersebut.” (‘Umdatul Qari Syarh Shahih Al-Bukhari oleh Badr Al-Din Al-‘Aini Al-Hanafi, 35/109 – Maktabah Syamilah)

Demikian juga ketika pemerintah berbuat sesuatu hal yang mungkar atau kezaliman, agama telah memerintahkan agar kita tetap bersabar, iaitu tetap melazimi kebenaran dan tidak melakukan sebarang tindakan yang menyelisihi ketetapan dari Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Dari hadis ‘Abdullah bin Mas’oud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً وَأُمُورًا تُنْكِرُونَهَا. قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: أَدُّوا إِلَيْهِمْ حَقَّهُمْ، وَسَلُوا اللَّهَ حَقَّكُمْ

“Sesungguhnya kalian akan menyaksikan setelah peninggalanku atsarah (perbuatan mementingkan diri dari kalangan penguasa) dan pelbagai perkara yang kalian ingkari (dalam hal agama).” Mereka (para sahabat) bertanya:

“Maka apakah yang engkau perintahkan kepada kami wahai Rasulullah?” Rasulullah bersabda:

“Tunaikanlah kepada mereka (para pemerintah) hak-hak mereka (sebagai pemimpin) dan mintalah kepada Allah hak-hak kalian.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7052. Sunan At-Tirmidzi, no. 2190)

Menasihati Pemerintah Dengan Kebenaran

Termasuk sikap dan tanggungjawab seorang muslim terhadap pemerintahnya adalah dia menghendaki kebaikan untuk pemerintahnya. Termasuk dalam makna tersebut adalah dia menasihati pemerintahnya dengan nasihat-nasihat kebaikan, mendorongnya kepada kebaikan, dan hal ini dilakukan dengan penuh kebijaksanaan, menginginkan kemaslahatan, dan penuh ketulusan (kerana mencari wajah Allah) di atas kebenaran dengan cara yang benar pula.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan tentang kedudukan nasihat:

والنصيحة فرض يجزى فيه من قام به ويسقط عن الباقين قال والنصيحة لازمة على قدر الطاقة اذا علم الناصح انه يقبل نصحه ويطاع امره وامن على نفسه المكروه فان خشى على نفسه أذى فهو فى سعة والله اعلم

“Nasihat merupakan suatu kefardhuan (fardhu kifayah), jika ada orang yang telah melaksanakannya, maka yang lain terlepas dari kewajiban tersebut. Dan nasihat adalah suatu tuntutan berdasarkan kemampuan masing-masing. Jika seseorang mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima, perintahnya akan diikuti, dan dirinya bebas dari perkara-perkara yang membahayakan dan dibenci, maka dia perlu memberikan nasihatnya. Tetapi sekiranya dia bimbang akan mendapat bahaya maka dia boleh memilih sama ada menasihati ataupun tidak. Wallahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 2/39)

Dari hadis Abu Hurairah, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda::

إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلاَثًا يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلاَهُ اللَّهُ أَمْرَكُمْ

“Sesungguhnya Allah meredhai untuk kalian tiga perkara dan membenci untuk kalian tiga perkara, iaitu Dia redha kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, hendaklah kalian berpegang-teguh kepada Tali Allah dan janganlah kalian bercerai-berai, dan hendaklah kalian memberi nasihat kepada orang-orang  yang diberi Allah tanggungjawab mengurus urusanmu (para pemimpin).” (Al-Muwaththa’ oleh Al-Imam Malik, no. 133. Al-Adabul Mufrad oleh Al-Bukhari, no. 442. Syu’abul Iman oleh Al-Baihaqi, no. 7493. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth. Lihat juga: Majmu’ Al-Fatawa, 35/7)

Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibn Abi ‘Aashim:

فَقَالَ عِيَاضُ بْنُ غَنْمٍ يَا هِشَامُ بْنَ حَكِيمٍ قَدْ سَمِعْنَا مَا سَمِعْتَ وَرَأَيْنَا مَا رَأَيْتَ أَوَلَمْ تَسْمَعْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

وَإِنَّكَ يَا هِشَامُ لَأَنْتَ الْجَرِيءُ، إِذْ تَجْتَرِئُ عَلَى سُلْطَانِ اللهِ، فَهَلَّا خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ السُّلْطَانُ، فَتَكُونَ قَتِيلَ سُلْطَانِ اللهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

Berkata ‘Iyadh bin Ghunm, “Wahai Hisyam bin Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau belum mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang mahu menasihati sultan (pemerintah) di dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia memegang tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya.”

Dan bahawasanya engkau wahai Hisyam, adalah orang yang lancang ketika berhadapan dengan penguasa Allah, tetapi tidakkah engkau takut sekiranya pemimpin itu membunuhmu lalu engkau menjadi mayat yang dibunuh oleh penguasa Allah Tabaraka wa Ta’ala (disebabkan tindakan yang tidak syar’i dalam menyikapi penguasa – pent.)?” (Musnad Ahmad, no. 14792. Ibnu Abi ‘Ashim, no. 910 pada bab “Bagaimana Menasihati Pemerintah”. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dalam sebuah atsar sahabat, iaitu daripada ‘Abdullah bin Abi Aufa ketika dia diajukan persoalan pemimpin yang menzalimi rakyat oleh Ibnu Jumhan – beliau pun berkata:

عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ

“Hendaklah engkau sentiasa bersama As-Sawadul A’dzam (kebenaran). Sekiranya engkau mahu pemimpin tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahu kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga dia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah. Kerana engkau tidak lebih tahu daripada dia.” (Musnad Ahmad, no. 19415)

Dari atsar Sa’id bin Jubair rahimahullah ketika bertanya kepada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

قُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: آمُرُ إِمَامِي بِالْمَعْرُوفِ؟ قَالَ: إِنْ خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ فَلاَ، فَإِنْ كُنْتَ فَاعِلًا فَفِيمَا بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ. زَادَ أَبُو عَوَانَةَ: وَلاَ تَعِبْ إِمَامَكَ

Aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas, “Adakah aku perlu mengajak pemimpinku kepada kebaikan?” Ibnu ‘Abbas menjawab, “Sekiranya engkau takut ia akan membunuhmu, maka tidak perlu. Tetapi jika kamu memang mampu melakukannya, maka lakukanlah (nasihat tersebut) hanya di antara engkau dengan dia sahaja.”

Tambah Abu ‘Awanah, “Dan jangan engkau mengumpat (mencari-cari serta mencanang-canangkan keburukan) pemimpinmu.” (Syu’ab Al-Iman oleh Al-Baihaqi, no. 7592. Mushannaf oleh Ibn Abi Syaibah, no. 38462. Jaami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam oleh Ibn Rajab, no. 7 dan 34)

Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah (Wafat: 161H) mengatakan:

لَا يَأْمُرُ السُّلْطَانَ بِالْمَعْرُوفِ إِلا رَجُلٌ عَالِمٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، رَفِيقٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، عَدْلٌ.

“Tidak selayaknya mengajak pemerintah kepada yang ma’ruf melainkan dia seorang yang ‘alim (berilmu) dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, berlemah-lembut dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, serta bersikap adil (dalam menyampaikan).” (Al-Baghawi, Syarhus Sunnah, 10/54)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

“Dan (Rasulullah) juga memerintahkan supaya melaksanakan amar ma’ruf serta nahi mungkar kepada mereka (pemerintah) dan kepada selain mereka dengan cara yang disyari’atkan, termasuk dalam perkara ini adalah menyampaikan risalah Allah kepada mereka.

Ianya hendaklah tidak ditinggalkan kerana sebab takut, kedekut dan malu (atau segan) kepada mereka, serta tidak demi menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, tidak pula dilaksanakan supaya dapat meraih kuasa (atau kedudukan – pent.) ke atas mereka atau umat Islam secara umum, bukan pula kerana hasad (atau dengki), sombong, dan riya’ kepada mereka dan masyarakat awam (umat Islam secara umumnya).” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/20-21)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وقال جماهير أهل السنة من الفقهاء والمحدثين والمتكلمين لا ينعزل بالفسق والظلم وتعطيل الحقوق ولا يخلع ولا يجوز الخروج عليه بذلك بل يجب وعظه وتخويفه للأحاديث الواردة في ذلك قال القاضي وقد ادعى أبو بكر بن مجاهد في هذا الاجماع وقد رد عليه بعضهم هذا بقيام الحسن وبن الزبير وأهل المدينة على بني أمية وبقيام جماعة عظيمة من التابعين والصدر الأول على الحجاج مع بن الأشعث وتأول هذا القائل قوله أن لا ننازع الأمر أهله في أئمة العدل وحجة الجمهور أن قيامهم على الحجاج ليس بمجرد الفسق بل لما غير من الشرع وظاهر من الكفر قال القاضي وقيل أن هذا الخلاف كان أولا ثم حصل الإجماع على منع الخروج عليهم والله اعلم

“Majoriti ulama ahli sunnah dari kalangan fuqaha’ (ahli fiqh), ahli hadis,  dan ahli kalam menyatakan bahawa pemimpin tidak dilucutkan (atau dijatuhkan kepimpinannya) atas sebab kefasikannya, kezalimannya, dan perbuatannya yang merampas hak-hak umat Islam, dan tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan) kepadanya. Tetapi umat Islam wajib untuk menasihati dan menggerunkan hatinya dengan hadis-hadis (yang berbentuk ancaman) berkaitan perkara tersebut.

Al-Qadhi berkata, “Abu Bakar bin Mujahid telah menyatakan adanya ijma’ atas perkara ini, sebahagian ulama telah membantah pernyataan tersebut dengan apa yang dilakukan oleh Al-Hasan dan Ibnu Az-Zubair, serta penduduk Madinah terhadap bani Umayyah. Juga pertembungan dua kumpulan besar dari kalangan tabi’in dan generasi awal dari umat ini terhadap Al-Hajjaj bin Yusuf, bukan kerana sekadar kefasikan, akan tetapi ketika dia telah mengubah sebahagian syari’at dan menampakkan kekafiran.” Al-Qadhi berkata lagi, “Perbezaan ini timbul pada awalnya, kemudian terjadi ijma’ (kesepakatan) yang melarang memberontak kepada pemerintah.” Wallahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 12/229)

Al-Hafiz Ibnu ‘Abdil Bar Al-Maliki rahimahullah (Wafat: 463H) berkata:

إِنْ لَمْ يَكُنْ يَتَمَكَّنُ نُصْحَ السُّلْطَانِ فَالصَّبْرُ وَالدُّعَاءُ فَإِنَّهُمْ كَانُوا يَنْهَوْنَ عَنْ سَبِّ الْأُمَرَاءِ

“Jika tidak mampu (atau tidak memungkinkan) untuk menasihati sultan (pemerintah), maka bersabar dan berdoalah, kerana sesungguhnya para salaf dahulu (yakni ulama generasi awal) melarang dari perbuatan mencela pemerintah.” (At-Tamhiid li ma fi Al-Muwaththa’ min Al-Ma’aani wal Asaaniid, 21/287)

Menolong Mereka Dalam Al-Haq (Kebenaran)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) ketika menjelaskan hadis “Agama adalah An-Nashihah (bersikap tulus)…”, beliau berkata:

وأما النصيحة لأئمة المسلمين فمعاونتهم على الحق وطاعتهم فيه وأمرهم به وتنبيهم وتذكيرهم برفق ولطف واعلامهم بما غفلوا عنه ولم يبلغهم من حقوق المسلمين وترك الخروج عليهم وتألف قلوب الناس لطاعتهم

“Makna An-Nashihah untuk para pemerintah umat Islam adalah tolong-menolong bersama mereka di atas al-haq (kebenaran), mentaati arahan mereka dalam kebenaran, menegur dan mengingatkan mereka dengan cara lemah-lembut, memberitahu mereka tentang apa-apa yang mereka lalai darinya supaya mereka tidak melanggar hak-hak umat Islam, tidak menjadi pembangkang kepada mereka, dan membentuk hati-hati manusia agar mentaati mereka.” (Syarh Shahih Muslim, 2/38)

Mendoakan Mereka

Di antara amalan mulia seorang muslim adalah mendoakan kebaikan untuk pemerintah mereka, dan untuk saudara-saudaranya seislam. Namun sayang apabila tampak di banyak keadaan sebahagian dari umat Islam lebih senang dan terdorong untuk mencela, memaki, dan menghina pemerintah walaupun tanpa sebarang hujah dan dalil yang benar. Sedangkan yang diperintahkan kepada kita dan menjadi prinsip ahlus sunnah wal-jama’ah adalah mendoakan mereka, menasihati mereka dengan kebenaran, dan menjaga kredibiliti mereka.

Al-Imam Al-Hafiz Abu Bakr Al-Ismaili rahimahullah (Wafat: 371H) menegaskan:

 ويرون الدعاء لهم بالإصلاح والعطف إلى العدل، ولا يرون الخروج بالسيف عليهم ولا قتال الفتنة، ويرون قتال الفئة الباغية مع الإمام العدل، إذا كان وجد على شرطهم في ذلك

“Dan mereka (ahli hadis) berpandangan disyari’atkan berdoa untuk kebaikan para pemimpin umat Islam dan supaya mereka berubah untuk bersikap adil, dan mereka juga berpegang tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan atau memberontak) terhadap mereka dengan senjata dan hendaklah kaum muslimin tidak turut serta berperang ketika terjadi fitnah (pertikaian di antara sesama kaum muslimin), dan mereka juga berpegang tentang wajibnya memerangi golongan yang zalim yang dilakukan bersama pemerintah yang adil apabila ditentukan kesesuaian dengan syarat yang mereka tetapkan dalam perkara tersebut.” (I’tiqad A’immatil Hadits oleh Al-Ismaili, m/s. 75-76)

Al-Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari rahimahullah (Wafat: 324H) menegaskan dalam kitab aqidahnya:

ونرى الدعاء لأئمة المسلمين بالصلاح والإقرار بإمامتهم، وتضليل من رأى الخروج عليهم إذا ظهر منهم ترك الاستقامة

“Dan kami (ahli sunnah wal-jama’ah) beri’tiqad akan kesunnahan mendoakan dengan doa-doa kebaikan untuk pemerintah kaum muslimin dan mengakui kepimpinan mereka serta menganggap sesat sesiapa sahaja yang berpendapat perlu memberontak (melawan atau menjatuhkan) pemerintah jika mereka melakukan kezaliman.” (Al-Ibanah ‘an Ushul Ad-Diyanah, m/s. 20)

Dari teks ini menjelaskan bahawa di antara perbezaan antara kelompok yang berada di atas jalan yang lurus dengan kelompok yang sesat lagi menyimpang adalah sikap mereka terhadap pemerintah.

Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) meriwayatkan dari gurunya, Abu ‘Utsman Ash-Shabuni rahimahullah (Wafat: 449H), beliau menegaskan dalam kitab yang menyimpulkan i’tiqad ahli hadis (ahlus sunnah):

فانصح للسلطان و أكثر له من الدعاء بالصلاح و الرشاد بالقول و العمل و الحكم فإنهم إذا صلحوا صلح العباد بصلاحهم و إياك أن تدعو عليهم باللعنة فيزدادوا شرا و يزداد البلاء على المسلمين و لكن ادع لهم بالتوبة فيتركة الشر فيرتفع البلاء عن المؤمنين

“Nasihatilah para pemerintah, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenaran buat mereka dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Kerana apabila mereka baik, maka akan baiklah rakyatnya.

Berhati-hatilah kalian, jangan sampai mendoakan keburukkan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukkan ke atas umat Islam. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk pemerintah semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (Syu’ab Al-Iman oleh Al-Baihaqi, no. 7401)

Demikianlah pendirian dan wasiat para ulama kita, mereka menegaskan pendirian agar mengambil sikap menasihati, memperkuatkan kesabaran, sentiasa memperbaiki diri dengan ilmu, ber-inabah kepada Allah dan mendoakan pemerintah dengan doa-doa kebaikan.

Jadi, berapa banyakkah doa-doa yang telah kita panjatkan? Berapa ramaikah di antara kita yang telah bersungguh-sungguh bersimpuh sujud dan bertahajjud di keheningan malam memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah dan kebaikan buat para penguasa?

Atau sebahagian dari kita hanya tahu mencela, menghina, merendah-rendahkan, menabur kebencian dan membuat-buat kedustaan? Tidaklah hal ini menambah kebaikan melainkan hanya menambah-besarkan keburukan sedia ada.

Untuk penjelasan terperinci bahagian ini, pembaca boleh menyemak ke artikel kami berjudul “Doa Mustajab Buat Pemerintah.”

Penutup

Demikianlah sebahagian dari nukilan tentang sikap dan tanggungjawab seorang muslim terhadap pemerintahnya. Iaitu Mereka tetap melaksanakan ketaatan kepada pemerintah sebagaimana yang diperintahkan oleh agama, sama ada di ketika senang mahupun sukar. Mereka tidak suka kepada kekacauan dan pemberontakan sama ada yang dilakukan dengan lisan seperti menebar aib, mencela, menghina, mencaci, memaki-hamun, mencanang kesalahan penguasa di media-media terbuka, dan mereka juga tidak suka memalukan pemerintah. Apatah lagi melakukan pemberontakan secara kekerasan seperti melakukan demonstrasi jalanan, provokasi, dan pelbagai lagi bentuk-bentuk lainnya yang hanya membawa kepada kesan yang jauh lebih buruk bukan sahaja kepada diri pelaku, malah kepada masyarakat umum seluruhnya.

Ketahuilah bahawa apabila pemerintah digugat dan kredibiliti mereka dijatuhkan, maka pasti kekacauan dan ketidak-stabilan akan menyusul. Akhirnya keadaan negara dan masyarakat pasti akan goyah dan pelbagai kemaslahatan pun akan sirna. Di saat inilah biasanya musuh-musuh sama ada dari dalam mahupun luar akan mengambil kesempatan.

Terakhir…, suatu hal yang harus difahami adalah bahawa bagaimana keadaan masyarakat secara umum, maka demikianlah keadaan pemerintah yang akan diangkat untuk mereka.

Allah Subhanhu wa Ta’ala berfirman:

وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi wali (pemimpin) bagi sebahagian yang lain dengan sebab apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al-An’am, 6: 129)

Maka, marilah sama-sama kita renungi dan perbaiki diri untuk mewujudkan suatu keadaan yang lebih baik dan bersesuaian dengan ketetapan yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Wallaahu a’lam.