Sibuk Dengan Isu Semasa, Antara Hal Yang Menyibukkan Diri Dari Menuntut Ilmu
Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad bin ‘Abdillah As-Sadhan
Dipetik dari Kitab beliau Ma’aalim fii Thariiq Thalabil ‘Ilm
www.ilmusunnah.com
Di antara faktor berpalingnya dari menuntut ilmu adalah adanya sikap menyibukkan diri untuk mengikuti dan mengetahui perkembangan-perkembangan semasa (atau informasi-informasi terkini).
Pada permasalahan ini, manusia berbeza-beza dalam menyikapinya. Ada yang berlebih-lebihan, ada yang meremehkan, dan ada yang menyikapinya secara adil (yakni secara pertengahan dan bijaksana). Sikap yang pertama dan kedua adalah sikap yang salah.
Ilmu yang anda cari mendorong anda untuk mengetahui keadaan Anda. Anda tidak akan mampu mengatasi suatu permasalahan atau musibah yang menimpa anda, melainkan dengan meletakkannya pada timbangan syari’at secara benar. Seorang penyair mengatakan:
والشرع ميزان الأمور كلها وشاهدٌ لفرعها وأصلها
Syari’at adalah timbangan seluruh permasalahan,
Yang menjadi saksi bagi cabang permasalahan dan asalnya. (Ishlah Al-Masaajid, m/s. 110)
Orang yang berpaling (atau enggan) dari menuntut ilmu dan menghafalkannya, tetapi menyibukkan diri pada mengikuti berita-berita akhbar dan majalah, radio, televisyen, internet, lalu mencurahkan waktu serta tenaganya untuk hal yang demikian, kemudian berusaha mengatasi permasalahan dengan pandangannya yang kerdil tanpa merujuk kepada para ulama, maka dia telah rugi dan dia tidak akan mengetahui kadar kerugiannya melainkan setelah berlalunya masa yang panjang.
Seorang penyair mengatakan:
إذا أنت لم تزرع وأبصرت حاصدا، ندمت على التفريط في زمن البذر
Jika engkau tidak menanam di musim orang-orang menanam, dan ketika engkau melihat orang-orang di musim menuai,
Maka engkau akan menyesali penyia-nyiaan (waktu yang telah engkau lakukan) di musim menanam.
Sangat disayangkan, banyak dari kalangan para pemuda (yang punya semangat), mereka marah apabila larangan-larangan Allah Ta’ala dilanggar, dan menangis kerana kehormatan Allah Ta’ala dipersendakan, sedang mereka sendiri meremehkan pelbagai kemaksiatan yang lainnya seumpama ghibah (mengumpat), namimah (adu-domba), dan yang lainnya. Mereka tidak melihatnya sebagai kesalahan disebabkan kejahilan mereka terhadap hukum-hakam syari’at. Lalu mereka juga tidak melaksanakan solat sebagaimana yang dicontohkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sedangkan beliau telah bersabda:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat!” (Shahih Al-Bukhari, no. 631)
Mereka juga tidak berwudhu’ sebagaimana wudhu’nya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sedangkan beliau telah bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ كَمَا أُمِرَ، وَصَلَّى كَمَا أُمِرَ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Siapa yang berwudhu’ sebagaimana yang diperintahkan, dan solat sebagaimana yang diperintahkan, maka diampunkanlah dosa-dosanya yang telah lalu.” (lihat: Shahih Ibn Hibban, no. 1042. Musnad Ahmad, no. 23595)
Anda akan dapati mereka tidak hafal pun bacaan dzikir pagi dan petang, dan seringkali juga mereka lalai dari perkara-perkara yang seharusnya dihafal oleh para penuntut ilmu di peringkat pemula, apalagi yang lebih tua dari mereka. Benar-benar ini telah membuka pintu-pintu masuk Syaitan.
Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah termasuk orang yang paling tahu tentang keadaan dan permasalahan yang terjadi di tengah-tengah masyarakat pada masanya. Pada zaman beliau telah terjadi pelbagai macam fitan (pergolakan), musibah, dan permasalahan besar yang menimpa kaum muslimin. Namun demikian, beliau tetap menyibukkan diri untuk belajar, sehinggalah beliau mampu mengumpulkan ilmu yang sangat banyak. Dengan ilmu yang beliau miliki, beliau pun mampu mengatasi pelbagai permasalahan yang terjadi pada kaum muslimin, beliau dapatkan solusinya dari Al-Qu’an dan As-Sunnah, atau dari ushul-ushul dan kaedah-kaedah (disiplin) ilmu-ilmu yang lainnya.
Apapun keadaannya, tempat, zaman dan perselisihan serta penyimpangan manusia yang terjadi pada negara mereka. Bahawasanya Allah Ta’ala tidaklah menurunkan suatu penyakit melainkan diturunkannya sama ubatnya. Dan tidaklah Allah menurunkan suatu musibah atau bencana melainkan telah ada cara memperbaikinya pada Al-Kitab dan As-Sunnah. Dan ini adalah perkara yang tidak diperselisihkan padanya bagi orang-orang yang berakal.
Sekian nukilan – Wallaahu a’lam.
Disarikan dari Kitab Ma’aalim fi Thariiq Thalabil ‘Ilm oleh Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad bin ‘Abdillah As-Sadhan.