Siapakah Orang Berilmu?

manusia paling bijak dan cerdasSiapakah Orang Berilmu?

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Orang yang paling berilmu adalah orang yang bertauhid, iaitu orang yang dengan ilmunya menjadikan dia mengabdi dan beribadah, cinta, berharap, dan takut hanya kepada Allah (dengan haq). Inilah ukuran keilmuan sebagaimana disebutkan dalam banyak dalil.

Sebaliknya, orang yang paling jahil dan bodoh pula adalah orang yang meninggalkan dari mempelajari ilmu-ilmu tauhid, berbuat syirik dan bid’ah, serta kafir terhadap Allah Ta’ala. Walaupun ramai orang yang menyanjung dan menganggap orang-orang musyrik, ahli bid’ah, dan orang-orang kafir ini sebagai orang yang genius, bijak dan cerdas!

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Allah mempersaksikan bahawasanya tidak ada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan hanya Dia, para Malaikat dan ORANG-ORANG YANG BERILMU (juga menyatakan yang demikian), yang menegakkan dengan keadilan (yakni tauhid). Tidak ada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan hanya Dia, yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 18)

Dalam ayat yang lain:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَكِنْ لَا يَعْلَمُونَ

“Apabila dikatakan kepada mereka, “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman.” Mereka menjawab, “Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?” Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak tahu.” (Surah Al-Baqarah, 2: 13)

Dalam ayat yang lain lagi:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

“Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah yang paling takut (tunduk) kepada-Nya adalah al-‘ulama (yakni orang-orang yang berilmu).” (Surah Fathir, 35: 28)

Dari atsar ‘Aun bin ‘Abdullah, beliau berkata:

قَالَ لِي عَبْدُ اللهِ: «لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ، وَلَكِنَّ الْعِلْمَ الْخَشْيَةُ»

“‘Abdullah (bin Mas’oud) telah berkata kepadaku, “Bukanlah ilmu itu dengan banyaknya riwayat, tetapi ilmu itu adalah al-khasy-yah (yakni takut yang menjadikannya tunduk kepada Allah).” (Hilyatul Auliyaa’, 1/131)

Beliau juga diriwayatkan berkata:

كفى بخشية الله علما، وكفى بالاغترار بالله جهلا

“Cukuplah seorang yang takut kepada Allah itu tanda berilmu, dan cukuplah seorang yang bermaksiat kepada Allah itu sebagai tanda kejahilan.” (Jaami’ Bayaan Al-‘Ilmi wa Fadhlih, 2/100 – Tahqiq Fawwaz Ahmad Zamarli, Mu’asasah Ar-Rayyan)

Kata seorang Tabi’in merupakan murib kepada Ibnu ‘Abbas, Masruq Al-Ajda’ rahimahullah (Wafat: 63H):

كَفَى بِالْمَرْءِ عِلْمًا أَنْ يَخْشَى اللهَ، وَكَفَى بِالْمَرْءِ جَهْلًا أَنْ يُعْجَبَ بِعِلْمِهِ

“Cukuplah seorang itu dikatakan berilmu jika dia takut kepada Allah. Dan cukuplah seorang itu dikatakan bodoh jika dia ‘ujub terhadap amalnya.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 4/68)

Al-Imam Malik bin Anas rahimahullah (Wafat: 179H) berkata:

لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ، وَلَكِنَّ الْعِلْمَ الْخَشْيَةُ

“Bukanlah ilmu itu dengan banyaknya riwayat (hafalan atau catatan), tetapi ilmu itu adalah al-khasy-yah (takut dan tuduk kepada Allah).” (Hilyatul Auliyaa’ oleh Abu Nu’aim, 1/131)

Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu berkata:

لَا تَكُونُ عَالِمًا حَتَّى تَكُونَ مُتَعَلِّمًا، وَلَا تَكُونُ بِالْعِلْمِ عَالِمًا حَتَّى تَكُونَ بِهِ عَامِلًا

“Tidaklah seorang menjadi ‘alim sampai dia belajar terlebih dahulu, dan tidaklah seorang berilmu terhadap suatu ilmu sampailah dia beramal dengannya.” (Iqtidha’ Al-‘Ilmi Al-‘Amal oleh Al-Khathib Al-Baghdadi, no. 17 – Al-Maktabah Al-Islami)

Fudhayl bin ‘Iyaadh rahimahullah (Wafat: 187H) berkata:

لَا يَزَالُ الْعَالِمُ جَاهِلًا بِمَا عَلِمَ حَتَّى يَعْمَلَ بِهِ، فَإِذَا عَمِلَ بِهِ كَانَ عَالِمًا

“Seorang yang berilmu akan tetap dianggap jahil terhadap ilmunya sampailah dia beramal dengannya. Apabila dia mengamalkan ilmunya barulah dia benar-benar berilmu.” (Iqtidha’ Al-‘Ilmi Al-‘Amal oleh Al-Khathib Al-Baghdadi, no. 43. Siyar A’lam An-Nubala’ oleh Adz-Dzahabi, 9/213)

Dari itu kita dapat memahami bahawa Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

جَزَاء بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka amalkan.” (Surah Al-Waqi’ah, 56: 24)

Allah TIDAK berfirman:

جَزَاء بِمَا كَانُوا يعَلمُونَ

“Sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka ketahui.”

Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata:

كُلُّ عِلْمٍ وَعَمَلٍ لاَ يَزِيْدُ الإِيمَانَ واليَقِيْنَ قُوَّةً فَمَدْخُوْلٌ، وَكُلُّ إِيمَانٍ لاَ يَبْعَثُ عَلَى الْعَمَلِ فَمَدْخُوْلٌ

“Setiap ilmu dan amal yang tidak menambah kekuatan iman dan keyakinan maka sungguh ia telah dimasuki sesuatu (yakni ada yang tidak kena dengan keikhlasan dan niatnya), dan setiap iman yang tidak menghantar agar beramal maka ia telah dimasuki sesuatu.” (Al-Fawa’id, 86 – Daar Al-Kitab Al-‘Ilmiyyah)

Dan Al-Imam Al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) mengatakan:Siapakah_Yang_Lebih_Berilmu

واعلم أن العلم ليس بكثرة الرواية والكتب ولكن العالم من اتبع الكتاب والسنة وإن كان قليل العلم والكتب ومن خالف الكتاب والسنة فهو صاحب بدعة وإن كان كثير الرواية والكتب

“Dan fahamilah bahawa ilmu itu bukanlah dengan banyaknya riwayat dan kitab, tetapi yang dikatakan sebagai ‘aalim (orang yang berilmu) itu adalah orang yang mengikuti Al-Kitab dan sunnah walaupun hanya sedikit ilmu dan kitabnya. Sesiapa yang menyalahi Al-Kitab dan As-Sunnah maka dia adalah ahli bid’ah walaupun ilmu dan kitabnya banyak.” (Syarhus Sunnah, m/s. 45, no. 81)

Disebutkan dalam sebuah hadis daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

Seorang sahabat Anshar datang kepada Nabi dan memberi salam, kemudian beliau bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا قَالَ فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الْأَكْيَاسُ

“Wahai Rasulullah, siapakah mukmin yang paling utama?” Rasulullah menjawab, “Yang paling baik akhlaknya.” Beliau bertanya lagi, “Lalu siapakah pula mukmin yang bijak?” Rasulullah jawab, “Yang paling banyak mengingati mati dan paling baik dalam membuat persiapan untuk alam berikutnya, maka itulah orang yang bijak.” (Sunan Ibnu Majah, no. 4249. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Wallaahu a’lam.