Siapakah Mahram Bagi Wanita
Setelah penulis menyentuh persoalan aurat dan ikhtilath, berikut penulis bawakan pula siapakah yang dimaksudkan sebagai mahram bagi seseorang wanita. Sekaligus ia juga akan menjelaskan setakat mana sebenarnya batas aurat seorang wanita di hadapan mahramnya.
>> Definisi mahram (bagi wanita)
Secara bahasa, seseorang disebut sebagai mahram bagi seorang wanita adalah apabila orang itu tidak halal untuk menikahi wanita tersebut buat selamanya.
Adapun secara istilah, mahram bagi seorang wanita adalah laki-laki yang boleh memandangnya, bersalaman (atau bersentuhan) dengannya serta berdua dengannya atas keperluan tertentu (selagi tidak mengundang fitnah), boleh menemani atau melakukan safar (perjalanan) bersamanya, dan juga mereka yang diharamkan bernikah dengannya buat selamanya dengan sebab fitrah yang menjadikannya mahram.
Ketetapan ini berlaku sama ada disebabkan ikatan nasab (keturunan) seperti ayah dan anak lelakinya, sebab ikatan perkahwinan seperti suami dan suami dari anak perempuannya serta anak lelaki suaminya, atau pun dengan sebab penyusuan seperti anak yang disusukannya serta saudara lelaki sepersusuan.
>> Berikut Adalah Perinciannya
Melalui ayat 23-24 Surah An-Nisaa’ berikut ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan siapa dia yang termasuk mahram selamanya hasil ikatan perkahwinan, penyusuan, dan nasab.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالاتُكُمْ وَبَنَاتُ الأخِ وَبَنَاتُ الأخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلابِكُمْ وَأَنْ تَجْمَعُوا بَيْنَ الأخْتَيْنِ إِلا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا (٢٣)وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ كِتَابَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ فَمَا اسْتَمْتَعْتُمْ بِهِ مِنْهُنَّ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً وَلا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَاضَيْتُمْ بِهِ مِنْ بَعْدِ الْفَرِيضَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
“Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara (adik-beradik kandung) ayahmu yang perempuan; saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu (adik-beradikmu) yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan; ibu-ibu isterimu (mertua); anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum bercampur dengan isterimu itu (lalu kamu ceraikan), maka tiada dosa kamu mengawininya; (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu); dan menghimpunkan (dalam perkawinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) wanita yang bersuami, kecuali budak-budak yang kamu miliki (Allah telah menetapkan hukum itu) sebagai ketetapan-Nya atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu untuk dikahwini bukan untuk berzina. Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna) sebagai suatu kewajiban, dan tidak mengapa bagi kamu terhadap sesuatu yang kamu telah saling merelakannya setelah menentukan mahar itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah An-Nisaa’, 4: 23-24)
Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):
Ayat yang mulia ini menjelaskan haramnya mahram disebabkan nasab (keturunan) dan sebab-sebab lain yang mengikutinya berupa penyusuan dan pernikahan. Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
“Diharamkan ke atas kamu tujuh wanita kerana nasab dan tujuh wanita lagi kerana pernikahan.” Kemudian beliau membaca, “Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu (adik-beradikmu) yang perempuan…” sehingga akhir ayat.
Ath-Thabari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
“Yang diharamkan kerana nasab ada tujuh, dan yang kerana pernikahan juga ada tujuh. Kemudian beliau membaca ayat, “Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu (adik-beradikmu) yang perempuan, saudara-saudara (adik-beradik) ayahmu yang perempuan; saudara-saudara (adik-beradik) ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu (adik-beradikmu) yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan.” Mereka adalah mahram dengan sebab nasab.
Firman Allah (terjemahan maksudnya):
“… Ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara (adik-beradik) perempuan sepersusuan.” Sebagaimana diharamkan atas kamu ibu-ibu yang melahirkan kamu, maka demikian juga diharamkan ke atas kamu ibu-ibu yang menyusui kamu.” (lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 2/247-248)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Katakanlah kepada wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menahan (menjaga) pandangannya dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) kain tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara (adik-beradik) mereka yang lelaki, atau anak-anak saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak memiliki keinginan (terhadap wanita) atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” (Surah An-Nuur, 24: 31)
Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bolehnya mahram yang disebutkan melihat bahagian perhiasan (aurat tertentu) dari tubuh wanita. Iaitu sebagaimana yang ditegaskan oleh ayat:
“… dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) khimar (kain tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka… (dan seterusnya)”
Di antara hikmah bolehnya wanita tidak menutup bahagian aurat tertentu di hadapan mahram adalah bagi memudahkan pelbagai urusan mereka. Di mana antaranya kerana mereka sentiasa berada bersama bercampur-baur dan keluar-masuk di dalam rumah yang sama. Serta juga dengan sebab hubungan kekerabatan yang rapat dan keadaan yang aman dari fitnah. Wallahu a’lam.
Terdapat sebahagian ulama menyatakan bahawa pak cik dari pihak bapa atau dari pihak ibu tidak termasuk mahram yang dibolehkan untuk tidak menutup aurat (membuka khimar) di hadapannya. Ini antaranya kerana pak cik dari sebelah ibu mahupun bapa tidak disebutkan dalam Surah An-Nuur di atas.
Ini adalah sebagaimana apa yang disebutkan oleh Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):
عن الشعبيوعِكْرمَة في هذه الآية: { وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ } -حتى فرغ منها قال: لم يذكر العم ولا الخال؛ لأنهما ينعَتان لأبنائهما، ولا تضع خمارها عند العم والخال فأما الزوج فإنما ذلك كله من أجله، فتتصنع له ما لا يكون بحضرة غيره.
“Ibnul Mundzir meriwayatkan atsar daripada Asy-Sya’bi dan ‘Ikrimah berkenaan ayat ini, (kata beliau) “Pada ayat ini Allah tidak menyebutkan pak cik dari pihak bapa atau pak cik dari pihak ibu. Kerana hukum pak cik dari pihak bapa atau pak cik dari pihak ibu mengikuti anak-anak pak cik mereka (sepupu). Dengan demikian, mereka tidak boleh melepaskan khimar (tudung) ketika berhadapan dengan pak cik dari pihak bapa atau pak cik dari pihak ibu.
Adapun suami tentu dibolehkan kerana setiap perilaku isteri dalam menjaga kehormatannya adalah termasuk dalam rangka berbakti untuk suaminya. Dengan itu, isteri boleh melakukan apa sahaja di hadapan suaminya, selama mana tanpa kehadiran lelaki lain bersamanya.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/47)
Namun, (lebih tepat) kebanyakan ulama berpendapat bahawa mereka (pak cik dari pihak ayah atau dari pihak ibu) adalah sama hukumnya dengan mahram yang lainnya dengan berdalilkan hadis daripada ‘Urwah dan ‘Aisyah berkenaan hukum penyusuan. Begitu juga sebagaimana dijelaskan dalam Surah An-Nisaa’, ayat 23-24 di atas.
‘Urwah menyatakan bahawa ‘Aisyah telah mengkhabarkan kepadanya:
أَنَّ عَمَّهَا مِنْ الرَّضَاعَةِ يُسَمَّى أَفْلَحَ اسْتَأْذَنَ عَلَيْهَا فَحَجَبَتْهُ فَأَخْبَرَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَهَا لَا تَحْتَجِبِي مِنْهُ فَإِنَّهُ يَحْرُمُ مِنْ الرَّضَاعَةِ مَا يَحْرُمُ مِنْ النَّسَبِ
“Sesungguhnya pak cik sepersusuannya yang bernama Aflah meminta izin untuk menemuinya tetapi dia menutup diri darinya. Lalu beliau mengkhabarkan perkara tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah pun bersabda, “Janganlah kamu menutup (menghijab) diri daripadanya kerana sesungguhnya apa yang diharamkan kerana hubungan penyusuan adalah sama seperti apa yang haram kerana hubungan nasab.” (Hadis Riwayat Muslim, 7/335, no. 2621)
Dalam riwayat yang lain, ‘Aisyah berkata kepada ‘Urwah:
اسْتَأْذَنَ عَلَيَّ أَفْلَحُ بْنُ قُعَيْسٍ فَأَبَيْتُ أَنْ آذَنَ لَهُ فَأَرْسَلَ إِنِّي عَمُّكِ أَرْضَعَتْكِ امْرَأَةُ أَخِي فَأَبَيْتُ أَنْ آذَنَ لَهُ فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ لِيَدْخُلْ عَلَيْكِ فَإِنَّهُ عَمُّكِ
“Aflah bin Qu’ais meminta izin untuk masuk menemuiku tetapi aku enggan membenarkannya. Lalu beliau mengirimkan pesanan, “Aku adalah pak cik kamu di mana isteri saudara lelakiku telah menyusukanmu.” Tetapi aku (‘Aisyah) tetap tidak membenarkannya (untuk beliau menemuiku).
Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang, lalu aku ceritakan perkara tersebut kepada beliau. Dan beliau pun bersabda, “Biarkanlah dia masuk menemuimu kerana dia adalah pak cik kamu (kerana hubungan penyusuan).” (Shahih Muslim, no. 1445)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
“Hadis-hadis ini sama dalam perkara menetapkan keharaman seseorang untuk dinikahi dengan sebab penyusuan. Semua ulama juga turut bersepakat adanya keharaman tersebut antara anak yang disusukan dan perempuan yang menyusukan. Anak yang disusukan menjadi anak bagi perempuan yang menyusukannya sehingga haram untuk dinikahi selamanya. Si anak boleh memandang perempuan tersebut, berduaan dengannya, dan juga melakukan perjalanan (safar) bersamanya. Tetapi tidaklah berlaku hukum status sebagai ibu dari setiap sisi di mana keduanya tidak saling mewarisi, masing-masing tidak wajib memberi nafkah kepada yang lain…
… Para ulama juga sepakat tentang keharaman untuk melakukan pernikahan di antara ibu yang menyusukan dengan anak-anak susuannya, begitu juga antara anak yang menyusu dengan anak-anak dari ibu yang menyusukannya. Dalam perkara ini mereka seperti anak-anak kandung berdasarkan hadis-hadis ini.
Begitu juga dengan lelaki yang disandarkan kepada si ibu kerana statusnya sebagai suami si ibu yang menyusukan si anak tadi….
Maka mazhab kami dan mazhab ulama seluruhnya menyatakan dengan sebab penyusuan tersebut, haram melaksanakan pernikahan di antara lelaki tersebut dengan anak-anak yang menyusu kepada isterinya. Si anak menjadi anak bagi lelaki (suami) tersebut. Anak-anak dari lelaki tersebut menjadi saudara bagi anak yang menyusu kepada isterinya. Saudara lelaki dari lelaki tersebut menjadi pak cik baginya. Saudara perempuan lelaki tersebut menjadi mak cik baginya. Anak-anak dari anak yang menyusu kepada isterinya menjadi cucu kepada si lelaki tersebut.” (Syarah Shahih Muslim, 10/19)
>> Senarai Mahram
Berikut diringkaskan senarai mahram yang disebutkan oleh kedua-dua ayat tersebut berserta hadis-hadis berkaitan penyusuan. Dari ayat 31 Surah An-Nuur, Allah Subhanahu wa Ta’ala memulakannya berdasarkan turutan berikut:
1, Suami. Adapun setiap perilaku isteri dalam menjaga kehormatannya adalah termasuk dalam rangka berbakti untuk suaminya, dan hubungannya terhadap suami adalah bersesuaian dengan statusnya sebagai isteri dalam Islam.
2, Bapa, termasuk datuk. Sama ada datuk dari pihak ibu ataupun ayah.
3, Bapa suami (bapa mertua) dan ke atas (dari datuk si suami, ayah datuk suami, dan seterusnya…).
4, Anak-anak mereka dan anak-anak suami mereka. Termasuklah cucu dan ke bawah seterusnya.
5, Saudara (adik-beradik) secara mutlak, sama ada saudara kandung, saudara (adik-beradik) se-bapa, saudara (adik-beradik) se-ibu, dan seterusnya ke bawah seperti anak-anak mereka dan cucu mereka.
6, Anak-anak saudara lelaki (yakni anak saudara atau anak kepada adik-beradik mereka) dan anak-anak saudara perempuan. Iaitu anak-anak dari adik, kakak, atau abang mereka.
7, Pak cik dari pihak bapa mahupun dari pihak ibu, yakni adik-beradik ayah dan ibu.
8, Mahram kerana penyusuan. Para ulama bersepakat bahawa mereka sama seperti mahram yang lainnya.
9, Termasuk mahram yang diharamkan nikah dengannya untuk selamanya adalah seperti bapa mertua, suami anak-anak perempuan mereka (menantu lelaki), dan suami ibu mereka (ayah tiri yang telah bergaul bersama-sama ibunya).
Selain dari mereka yang disebutkan, maka tidak termasuk mahram. Dan ringkasan senarai ini adalah khusus bagi seorang perempuan, manakala bagi lelaki juga tercakup dalam maksud senarai tersebut mengikuti status mereka sama ada sebagai suami, ayah, pak cik, adik-beradik (kandung atau sepersusuan), mertua, datuk, anak, cucu, anak saudara, dan seterusnya.
>> Batasan Aurat Yang Boleh dilihat Oleh Mahram
Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 629H) menyatakan, “Mahram boleh melihat sesuatu yang biasa nampak dari aurat seseorang wanita seperti anggota-anggota wudhu’nya.” (Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 6/554)
Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anha, berliau berkata:
كَانَ الرِّجَالُ وَالنِّسَاءُ يَتَوَضَّئُونَ فِي زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمِيعًا
“Dahulu kaum lelaki dan wanita pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam melaksanakan wudhu’ secara bersama-sama.” (Shahih Al-Bukhari, no. 193)
Kata Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H), “Dalam hadis tersebut terdapat suatu penjelasan yang menunjukkan seseorang lelaki boleh melihat anggota-anggota wudhu’ bagi mahramnya, demikian juga sebaliknya.” (Ibnul Jauzi, Jami’ Ahkam an-Nisaa’, 4/195)
Manakala sebahagian pandangan yang lain menyatakan bahawa mahram dibolehkan melihat wanita melainkan aurat di antara pusat dengan lutut. Dan sebahagian pandangan lagi menyebutkan mahram dibolehkan melihat pada wanita kecuali tubuh (aurat) di antara dada dengan lutut. Wallahu a’lam.
Dengan itu, seorang mahram boleh melihat seorang wanita berdasarkan penjelasan di atas dengan syarat bukan dalam keadaan bersyahwat dan bukan pula dalam keadaan yang boleh menyebabkan timbulnya fitnah. Sekiranya syahwat dan fitnah berlaku, maka perkara tersebut adalah terlarang dan perlu dihindari.
Atau dengan kata lain, seseorang wanita diwajibkan menutup seluruh tubuhnya ketika di hadapan mahram melainkan pada bahagian yang menjadi anggota wudhu’nya maka ia dibolehkan terbuka. Tetapi sekiranya membuka sebahagian aurat tersebut boleh menyebabkan datangnya fitnah dan syahwat, maka menutup seluruh tubuh adalah yang terbaik kerana mengelakkan fitnah dan syahwat itu sendiri termasuk sebahagian dari tujuan asal menutup aurat.
Penjelasan ini antaranya penulis ambil secara langsung (dengan susunan semula) daripada Syaikh Abu Malik Kamal As-Sayyid Salim, iaitu pada kitab beliau Fiqhus Sunnah lin Nisaa’ sebagai rujukan utama di samping membuat semakkan sampingan lainnya kepada kitab tafsir (Ibnu Katsir), hadis (Kutubut Tis’ah), dan syarah hadis (Al-Bukhari dan Mislim). Buku ini telah diterjemahkan oleh beberapa penerbit antaranya oleh Pustaka Ibnu Katsir dengan judul Ensiklopedi Fiqih Wanita dan Fiqih Sunnah Wanita oleh penerbit Griya Ilmu.
>> Penutup
Kesimpulannya, wanita diperbolehkan untuk tidak menutup di bahagian tertentu pada auratnya apabila berdepan dengan mahram (sebagaimana penjelasan artikel). Dan wajib mengenakan penutupan aurat dengan sempurna di hadapan selain mahram iaitu terhadap selain individu yang dijelaskan di atas. Ada pun penutupan aurat dengan sempurna, bolehlah merujuk semula kepada artikel sebelumnya dan antara buku yang baik yang dapat dicadangkan adalah Jilbab Al-Mar’atil Muslimah, dan buku ini telah beredar edisi terjemahannya.
Selain itu wanita juga dibolehkan bersalaman, memandang, berkenderaan, dan bermusafir bersama mahramnya asalkan dalam keadaan aman dari fitnah.
Wallahu a’lam.