Siapa Yang Mencela Sahabat Rasulullah, Maka Dia Ahli Bid’ah

Siapa Yang Mencela Sahabat Rasulullah, Maka Dia Ahli Bid’ah

Asy-Syaikh Dr. Robee’ B. Hadi al-Madkhali hafidzahullah

Syarah Ushulus Sunnah, no. 25
www.ilmusunnah.com

Kata Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H):

ومن انتقص احدا من أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم أو ابغضه لحدث كان منه أو ذكر مساوئه كان مبتدعا حتىيترحم عليهم جميعا ويكون قلبه لهم سليما

Dan sesiapa yang mencela salah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam atau membencinya atas sebab suatu kesalahan dari mereka, atau menyebutkan keburukan-keburukannya, maka dia adalah mubtadi’ (ahli bid’ah), sampailah dia kembali menyayangi (dengan mendoakan rahmat) atas mereka semuanya dan hatinya dapat menerima dengan saliim (tulus).” (Ushulus Sunnah oleh Imam Ahmad B. Hanbal)

Ulasan Syaikh Dr. Robee’ hafidzahullah:

Ini adalah salah satu prinsip dasar ahli sunnah, iaitu tidak dibenarkan mencela walau seorang pun dari para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tidak pula menyebut keburukan mereka ataupun mengungkit-ungkit suatu kejadian dari mereka (yang mana mereka tersalah di dalamnya).

Amat disayangkan sekali, akibat mereka mengambil mudah agama, menganggap remeh para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam serta mengabaikan pula pengajian-pengajian aqidah Islam (yang benar), sehingga ketika ada seorang yang menghina para Nabi ‘alaihis Salam, mencela para sahabat radhiyallahu ‘anhum, mengkafirkan, dan menuduh mereka munafiq, serta mengkafirkan umat ini, ia boleh pula ditabalkan sebagai sayyid (penghulu) si tokoh besar dan imam dari kalangan para imam.

Dari sisi siapakah ini? Adakah dari sisi tokoh-tokoh pergerakan yang mendambakan kebangkitan umat serta mengembalikan kejayaannya?

Sedangkan mereka ini adalah orang-orang yang tidak dapat dipercaya atas agama Allah Subhanahu wa Ta’ala, malah mereka ini sepatutnya digabungkan saja bersama Rawafidh disebabkan pembelaan mereka terhadap Rafidhah. Ya, mereka membela ajaran ilhad (yang cenderung kepada penolakan terhadap agama), dan zanadaqah (golongan zindiq dan nifaq) ini. Mereka bela pula buku-buku yang memuatkan dosa-dosa kesalahan seperti ini. Mereka mencintai dan membenci berdasarkan perkara tersebut.

Kerana mereka itu tidak boleh dipercayai dalam perbicaraan permasalahan agama Allah Subhanahu wa Ta’ala, bahkan diri mereka sendiri tidak terpakai dan tidak dapat dipercayai. Mereka sepatutnya digabungkan sejajar dengan kelompok Rawafidh serta kelompok para pembela kesesatan lainnya. Hendaklah mereka diperangi (dibanteras) dengan sebenar-benarnya, kerana mereka ini adalah para pengkhianat dan pembuat tipu-daya yang telah menelantarkan dan menjerumuskan generasi muda umat ini dengan pelbagai talbis (tipu-daya), helah (muslihat), serta rencana-rencana yang penuh makar.

Inilah agama Allah, inilah aqidah ahli sunnah wal-jama’ah. Lalu bagaimana boleh kalian mengatakan, “Kami ini termasuk ahli sunnah wal-jama’ah”, sementara kalian berada di suatu lembah, mereka (ahli sunnah) pula di suatu lembah yang lain?!

Setiap kali kami datang ke lembah tersebut, kami dapati kalian bersama ahli bid’ah. Setiap kali kami menjejaki salah satu dari jalan ahli sunnah, kami dapati kalian berada pada jalan-jalan yang lain (yang berbeza). Kalian mempertahankan, dan membela ahli bid’ah dan para penganut kesesatan.

Demi Allah, mereka telah meletakkan kaedah-kaedah dan manhaj, juga mengatur dunia dan menetapkan aturan-aturan tersebut sebagai bentuk penjagaan terhadap ahli bid’ah. Bagaimana mereka ini dikatakan sebagai ahli sunnah?! Bahkan seharusnya mereka ini digolongkan bersama para pengikut kesesatan dan ahli bid’ah, juga bersama Rawafidh. Demikianlah.

Seandainya mereka mengaku-ngaku bahawa mereka berbeza dengan Rawafidh, kami tidak pun dapat membenarkan mereka. Kami tidak akan mempercayai mereka atas putra-putra kami.

Di saat ini, generasi muda kami yang ada di madrasah-madrasah dan universiti-universiti, di dalamnya terdapat para ahli bid’ah yang mendidik mereka. Dididik atas kerosakan, kesesatan, kesia-siaan serta dijauhkan dan dihalau dari manhaj ahli sunnah wal-jama’ah. Dan para pemuda itupun mengikuti mereka, sungguh amat disayangkan.

Para pemuda itu pula langsung memberikan kepercayaan membuta-tuli kepada orang-orang yang telah memperdaya dan mempermainkan akal-akal mereka.

“Dan sesiapa yang mencela salah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam atau membencinya atas sebab suatu kesalahan dari mereka…”

Katakanlah andai itu benar-benar terjadi dan benar bahawa seorang sahabat Rasulullah terjatuh dalam suatu kesalahan, maka janganlah engkau menyebut-nyebut dan mencelanya kerana hal tersebut. Tetapi katakanlah bahawa ia seorang mujtahid (ahli yang layak berijtihad). Demikianlah mazhab ahli sunnah wal-jama’ah, bahawa setiap perselisihan yang terjadi dalam kalangan sahabat, maka mereka semuanya adalah para mujtahid.

Banyak perkara yang dituduhkan kepada mereka adalah dusta. Ya, banyak perkara yang dinisbatkan atas mereka telah diselewengkan, diubah, ditambah, atau dikurangi, seperti dikatakan oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah.

Dan apapun kesalahan yang memang nyata terjadi dari kalangan sahabat, itu hanya umpama setitis air di samudera yang luas. Itulah perbandingan antara kesalahan dan kebaikan-kebaikan yang dilakukannya. Bahkan sebutir kurma yang mereka infaqkan, itu adalah lebih utama dari emas segunung Uhud. Maksudnya, jika engkau berinfaq seumpama gunung Uhud berupa emas, hakikatnya ia hanya menyerahkan satu mud (seraup dua tapak tangan)nya berupa gandum, atau bahkan hanya setengahnya sahaja (jika dibandingkan dengan infaq para sahabat). Infaq mereka (para sahabat) lebih utama di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala berbanding infaq sebesar gunung Uhud ataupun gunung-gunung seluruh dunia, baarakallahufiik.

Seandainya engkau kumpulkan infaq sebesar gunung-gunung tadi, itu tetap tidak akan dapat menyamai satu mud pun dari sedekah para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dari itu, wajib atas kita untuk menghormati dan mengangkat para sahabat radhiyallahu ‘anhum. Kita wajib mengenali kedudukan mereka di sisi Allah. Bagaimana Allah telah menjadikan satu mud salah seorang dari mereka, bahkan setengahnya lebih utama dari apa yang diinfaqkan oleh para pembesar tabi’in sekalipun. Lalau bagaimana lagi dengan engkau?

Orang-orang yang mencela para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tidaklah mereka itu mengutamakan para sahabat radhiyallahu ‘anhum sama sekali. Tetapi sebaliknya mereka menghinakannya. Begitu pula kelompok yang langsung membela dan cinta terhadap orang-orang seumpama ini, mereka ini juga tidak mengenali kadar dan kedudukan para sahabat.

Kerana jika tidak demikian, bagaimana mereka boleh mencintai (atau berbaik-baik terhadap) orang-orang yang mencela sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?! Mereka malah sengaja mencetak dan menyebar-luaskan buku-buku yang mencaci sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu ia dipopularkan serta dibela, lalu dikatakan:

“Kami termasuk ahli sunnah wal-jama’ah.”

Tidak, demi Allah… tidak, demi Allah… tidak, demi Allah. Sesungguhnya ahli sunnah berlepas diri dari orang-orang yang seperti ini.