Seorang Isteri Harus Sentiasa Bersedia Dalam Memenuhi Keperluan Emosi Suaminya

Seorang Isteri Harus Sentiasa Bersedia Dalam Memenuhi Keperluan Emosi Suaminya Secara Syar’i

www.ilmusunnah.com

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:isteri wajib penuhi panggilan suaminya

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلَّا فِي شَعْبَانَ، الشُّغْلُ مِنَ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Bahawa dahulu aku memiliki hutang puasa Ramadhan, sementara aku tidak mampu mengqadha’nya melainkan setelah masuk bulan Sya’ban, kerana aku sibuk melayani (memenuhi keperluan) Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1950)

Demikianlah ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha sebagai teladan isteri yang solehah, beliau sentiasa memberikan layanan dan khidmat sebaik mungkin untuk suaminya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dari hadis ini juga menjelaskan bahawa sebaik-baik ibadah bagi seorang perempuan (isteri) adalah dia berkhidmat untuk suaminya di rumah setelah dia melaksanakan kewajiban-kewajibannya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dan bagi mewujudkan keadaan seperti ini, ‘Aisyah sentiasa mempersiapkan dirinya pada bila-bila masa pun yang diinginkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sehingga terwujudlah keindahan, ketenangan dan kedamaian dalam sesebuah rumatangga. Dan demikianlah yang dilakukan oleh para isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam umumnya, mereka sentiasa bersaing bagi menyuburkan cinta bersama suaminya.

Al-Imam Ibn Al-Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) berkata:

وينبغي للمرأة أن تعرف أنها كالمملوك للزوج، فلا تتصرف في نفسها ولا في ماله إلا بإذنه، وتقدم حقّه على حقّ نفسها، وحقوق أقاربها. وتكون مستعدة لتمتعه بها بجميع أسباب النظافة، ولا تفتخر عليه بجمالها، ولا تعيبه بقبيح إن كان فيه.

“Seharusnya bagi seorang isteri supaya mengetahui bahawa dia adalah seperti hamba bagi suaminya. Maka janganlah dia bertindak pada dirinya dan jangan pada hartanya kecuali dengan seizin suaminya. Dan hendaklah dia mendahulukan hak suaminya atas hak dirinya dan hak-hak kerabatnya. Dan hendaklah dia sentiasa bersedia untuk melayani dan bersenang-senang bersama suaminya dengan mewujudkan sarana kebersihan dalam segala hal. Dan janganlah dia membanggakan dirinya atas suaminya dengan kecantikannya, dan janganlah dia mencela atau mencari-cari keburukan suaminya jika pada suaminya terdapat keburukan.” (Ahkaam An-Nisaa’ oleh Ibn Al-Jauzi, m/s. 139)

Atas alasan inilah mengapa tempat terbaik bagi seorang isteri adalah tetap berada di rumah suaminya.

Di hadis yang lain dari hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى امْرَأَةً، فَأَتَى امْرَأَتَهُ زَيْنَبَ، وَهِيَ تَمْعَسُ مَنِيئَةً لَهَا، فَقَضَى حَاجَتَهُ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: «إِنَّ الْمَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، فَإِذَا أَبْصَرَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ، فَإِنَّ ذَلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفْسِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat seorang wanita, lalu beliau pun pergi masuk kepada isterinya Zainab yang pada ketika itu sedang menyamak kulit miliknya, lalu beliau pun menunaikan “hajatnya” (yakni menyetubuhinya). Kemudian beliau pun keluar kepada para sahabatnya lalu bersabda:

“Sesungguhnya wanita itu datang dalam rupa syaitan dan pergi dalam rupa syaitan. Dari itu, jika salah seorang dari kalian melihat wanita (tanpa sengaja, lalu syahwatnya terangsang), maka hendaklah dia mendatangi isterinya, kerana dengan cara itu dia akan dapat menghilangkan apa yang ada di dalam dirinya (dari syahwat yang sedang bergelora).” (Shahih Muslim, no. 1403)

Pada hadis ini terdapat isyarat yang menganjurkan agar kaum wanita tetap tinggal di rumah sehingga mereka diibaratkan seperti syaitan (apabila keluar ke khalayak kaum lelaki) kerana pada diri mereka terdapat sesuatu yang mempersonakan kaum lelaki, menarik perhatian mereka, dan menimbulkan kecondongan terhadap wanita tersebut sehingga mampu mengundang fitnah dan hal-hal yang tidak diingini.

Dan pada hadis ini terkandung bimbingan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bagi kaum lelaki agar mendatangi isterinya seandainya syahwatnya memuncak, dan manakala bagi si isteri pula hendaklah sentiasa bersedia dan tidak menolak ajakan suaminya, walaupun sedang berada di dapur menguruskan kerja-kerjanya. (lihat: Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 9/178-179)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya tetapi si isteri enggan sehingga membuat suami merasa marah pada ketika itu, maka para malaikat pun melaknatnya sampai masuk waktu Subuh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3237)

Lalu jika seandainya si isteri lebih sering sibuk dengan hal-hal di luar, atau selalu keletihan dengan hal-hal di luar, bagaimanakah anjuran dan bimbingan ini dapat tercapai dan disempurnakan?

Dari hadis ‘Abdullah bin Abi Aufa radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَا تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا، وَلَوْ سَأَلَهَا نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى قَتَبٍ لَمْ تَمْنَعْهُ

“Demi jiwa Muhammad yang di Tangan-Nya, seorang isteri belumlah dianggap menunaikan hak Rabbnya sampailah dia menunaikan hak suaminya. Walaupun si suami “meminta” kepada isteri dalam keadaan dia sedang di atas unta (atau di dapur), maka dia tidak boleh menolaknya.” (Sunan Ibn Majah, no. 1853. Shahih Ibn Hibban, no. 4171)

Hadis ini turut mengandungi penjelasan bahawa urusan di dapur termasuk dari salah satu pekerjaan seorang isteri di rumahnya, di mana sebahagian ulama menjelaskan maksud Al-Qatab sebagai dapur.

Sebagaimana dari hadis yang lain, dari Thalq bin ‘Ali, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا الرَّجُلُ دَعَا زَوْجَتَهُ لِحَاجَتِهِ فَلْتَأْتِهِ، وَإِنْ كَانَتْ عَلَى التَّنُّورِ

“Apabila seorang lelaki (suami) mengajak isterinya untuk memenuhi “keperluannya” hendaklah dia segera mendatanginya walaupun si isteri sedang berada di dapur.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1160. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis Jaabir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا قَدِمَ أَحَدُكُمْ لَيْلًا، فَلَا يَأْتِيَنَّ أَهْلَهُ طُرُوقًا، حَتَّى تَسْتَحِدَّ الْمُغِيبَةُ، وَتَمْتَشِطَ الشَّعِثَةُ

“Jika salah seorang dari kalian datang (yakni pulang dari safar atau perjalanan jauh) pada malam hari, maka janganlah dia langsung mendatangi isterinya, (tetapi berilah khabar) agar si isteri dapat membersihkan bulu kemaluannya dan merapikan rambutnya.” (Shahih Muslim, no. 715)

Wallaahu a’lam.