Salah Faham Air Jampi

Salah Faham Air Jampi

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Suatu ketika atau mungkin sehingga masa ini, nama Holy Water (Air Keramat) memang cukup terkenal sebagai air sihir yang dikatakan dihasilkan golongan paderi kristian. Sebahagian masyarakat Islam khususnya dari kalangan orang Melayu pernah menggembar-gemburkan isu air tersebut (Holy Water) yang dikatakan memiliki kuasa tertentu mengakibatkan seseorang penganut Islam yang meminumnya murtad kerana lupa akan Allah, sukar bersyahadah, dan melahirkan perasaan benci Islam. Tetapi sebaliknya akan terus berminat kepada agama kristian lalu menganutinya.

Nah! Betapa hebatnya air Holy Water!

Namun sayangnya, fakta-fakta tersebut telah disangkal sendiri oleh para paderi kristian sekaligus menafikan kewujudan air sihir yang bersifat seperti itu. Seandainya benar sekalipun, ia tidak akan mampu memudharatkan umat Islam kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:

وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ

“Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada sesiapa pun, kecuali dengan izin Allah.” (Surah Al-Baqarah, 2: 102)

Di ayat yang lain:

وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَى

“Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang.” (Surah Thoha, 20: 69)

Logiknya, sekiranya Holy Water tersebut benar-benar wujud bagai dikata, sudah tentu tidak akan ada orang kristian yang akan memeluk Islam. Tetapi sebaliknya berlaku hari ini, puluhan ribu penganut kristian sukarela memeluk Islam di seluruh dunia. Paderi-paderi mereka pun ramai yang mendapat hidayah memeluk Islam dan kini giat berdakwah mengajak masyarakat sama-sama menerima Islam.

Setelah kewujudan “Holy Water” kristian menjadi reda, “Holy Water” buatan orang melayu masih belum reda malah semakin menyubur sehingga ke masa ini.

Holy Water milik masyarakat melayu ini dikatakan mampu mengubah seseorang yang malas menjadi rajin, si bodoh menjadi bijak, yang gelap hati akan menjadi ulama, yang selalu gagal boleh menjadi manusia berjaya, orang bujang boleh segera bertemu jodoh, miskin menjadi jutawan, malah sehingga boleh menjadikan seseorang yang sakit tenat kembali sihat.

Demikianlah sebahagian keajaiban Holy Water versi melayu pula. Ia bukan suatu yang ditakuti sebagaimana kewujudan Holy Water versi kristian. Tetapi, air keramat versi melayu ini adalah air yang menjadi buruan masyarakat yang mengejar keajaiban segera. Malangnya, mereka sebenarnya sedang menjadi mangsa golongan agamawan yang merosakkan.

Malah, kini ia bukan lagi setakat air, tetapi produk ini turut diperluaskan dalam bentuk lain seperti “Kismis Keramat”, “Madu Keramat”, dan seumpamanya. Produk-produk ini diberi nilai tarikan yang hebat.

Bagi menghasilkannya, akan dipanggaillah mana-mana orang berpangkat tok guru atau ustaz-ustaz tertentu supaya mereka membacakan doa-doa tertentu, atau jampi-jampi tertentu, atau dengan mana-mana ayat suci al-Qur’an atau kebiasaannya surah Yasin pada produk-produk tersebut. Setelah dibacakan pada produk tersebut, maka ia akan dibungkuskan untuk dipasarkan kepada para pengguna dan pembeli. Ada juga produk seperti madu asli yang khas dibacakan dengan 30 Juzuk al-Qur’an oleh Ma’had-ma’had tahfiz tertentu bagi menjadikan madu tersebut lebih “power” (memiliki nilai tambah) berbanding madu asli yang lainnya.

Namun ironinya, tidak pula kita temui kaedah dan daya tambah sedemikian rupa melalui kalam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Meminum madu sememangnya anjuran sunnah, sayangnya tidak pula Rasulullah Shalallallahu ‘alaihi wa Sallam mencontohkan atau menunjukkan kaedah jampi sebagaimana tersebut.

Sehingga saya sendiri pernah melihat ada sebahagian majlis-majlis bacaan yasin (yasinan) dan majlis-majlis tahlil (tahlilan) yang menyediakan air dalam jumlah-jumlah tertentu dengan diletakkan pada bekas-bekas tertentu yang kebiasaannya botol-botol bersaiz bekas mineral water, diletakkan pada kedudukan di tengah-tengah lingkaran majlis tersebut diadakan. Menariknya, apabila bacaan atau majlis hendak dimulakan, penutup bekas (atau botol) akan dibuka dan setelah tamat majlis, penutup botol akan ditutupkan semula. Kemudiannya air-air tersebut akan diagih-agihkan dan diminum dengan hasrat akan memberi keberkatan dan penerang hati kepada si peminumnya.

Air-air seperti ini kini boleh dianggap sebagai produk yang memiliki permintaan tinggi. Ia juga mampu memberi hasil pendapatan lumayan kepada para pengusahanya.

Demikianlah meluasnya produk-produk ganjil dan aneh dalam pasaran negara kita hari ini. Kejahilan sebahagian masyarakat kita menjadikan produk-produk jampi seperti ini begitu laris dan diterima. Agama dan ayat-ayat Allah dipergunakan untuk mengelabui manusia dan meraih keuntungan.

Jikalah benar para ustaz dan tok-tok guru tersebut ikhlas mahu membantu, apa salahnya jika dijampikan saja air di lautan, air sepanjang sungai, air-air di empangan milik jabatan bekalan air, selebar air di tasik, air setelaga, beras di gudang-gudang, dan padi yang sedang menguning di sawah-sawah padi. Cara seperti ini lebih membantu, malah hasilnya kelak bakal diterima oleh keseluruhan masyarakat dengan lebih komprehensif. Kebaikannya bakal dirasa bersama. Sama ada masyarakat yang miskin atau kaya. Yang mengetahui atau yang tidak mengetahui. Lalu, akan cerdik agama, bijak bestari dan sihat-sihat belakalah seluruh masyarakat kita lantaran berkatnya Holy Water versi melayu tersebut. Nescaya akan cemerlang, gemilang dan terbilang masyarakat kita di Malaysia dengan berkatnya Holy Water versi melayu tersebut.

Ingatlah, sekali-kali tidaklah demikian. Bahkan mereka akan menjadi masyarakat yang paling dangkal dan hina. Lantaran kegagalan mereka memahami tujuan dan maksud sebenar Al-Qur’an dan agama ini. Lantaran perbuatan mereka memperdagangkan ayat-ayat Allah!

Tidak dinafikan memang wujud hadis-hadis yang menunjukkan adanya persoalan ruqyah dan jampi. Namun bukan sehingga dijadikan bahan meraih keuntungan dan perniagaan. Bukan juga sehingga membacakan al-Qur’an 30 juzuk ke atas madu, kismis, air zam-zam, air kolam 7 masjid, dan seumpamanya. Sekiranya ia suatu yang baik, nescaya al-Qur’an dan sunnah terlebih dahulu mengajarkannya. Telitilah hadis-hadis yang menerangkan adab-adab memakan kismis, madu, atau air zam-zam. Wujudkah adab sebagaimana tersebut?!

Fahamilah bahawa orang yang jahil ubatnya menuntut ilmu, orang yang gelap hatinya perlu mempelajari al-Qur’an dan hadis, ubat kegagalan adalah dengan meningkatkan daya usaha dan perancangan, orang yang malas ubatnya adalah motivasi dan dorongan, orang yang sakit adalah berjumpa doktor. Jangan kita berputus asa, Allah memberi ruang kepada kita agar sentiasa berdoa memohon kepadanya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d, 13: 11 – lihat Tafsir As-Sa’di)

Mungkin ada sebahagian penyakit seperti kerasukan jin atau terkena sihir, bolehlah dia diberi rawatan terapi jampi berpandu petunjuk as-Sunnah. Antaranya dengan doa-doa tertentu yang tsabit dari sunnah. Bukannya main hentam kromo mengikuti sunnah baru (bid’ah) ciptaan para ustaz atau tok-tok guru tertentu yang mengejar keuntungan. Bukan juga dengan sekadar membeli air pelbagai kegunaan cap “tok ustaz” di pasaran lalu diberi kepada anak-anak yang sedang demam, anak yang mahu mengambil peperiksaan, anak-anak yang mahu menambah daya hafalan, dan seumpamanya.

Cara yang terbaik adalah si pesakit (yang mengalami gangguan) mengubati dirinya sendiri berpandukan zikir-zikir atau doa-doa yang ditunjuk-ajarkan oleh baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadis-hadisnya yang sahih. Di samping itu, mereka sendiri perlu mengubah cara hidupnya iaitu dengan cara memperbaiki amal-amalnya, menjauhi syirik (sentiasa memelihara aqidah), dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan cara yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Tidak lupa supaya dia sentiasa membaca, meneliti, serta mengamalkan isi kandungan al-Qur’an di mana pun dia berada. Jangan biarkan rumah-rumah seperti kuburan yang tidak dibacakan al-Qur’an sehingga memaksa penghuninya ketagih air jampi bacaan al-Qur’an.

Islam itu indah dan mudah untuk diamalkan. Ia dipraktikkan berdasarkan ilmu dan keikhlasan kerana Allah.

Sebuah catatan peringatan

Sepatutnya manusia pada hari ini perlu diajak kembali kepada al-Qur’an dengan cara membacanya, mempelajari, menghayatinya, menghafalnya, dan mengamalkannya. Tetapi sebaliknya yang mana cukup menyedihkan pada hari ini ada beberapa kes, yang mana orang-orang pergi kepada al-Qur’an hanya untuk dijadikan sebagai bacaan untuk orang sakit dan untuk menjampi air lalu air itu diperniagakan. Bahkan ada kes yang hampir sama, rakaman bacaan al-Qur’an (MP3) diperdengarkan untuk haiwan ternakan. Laa hawla walaa quwwata illaa billaah.

Apakah kelak al-Qur’an itu nanti hanya akan menjadi bahan makanan dan bahan dagangan tanpa diamalkan kandungannya? Kandungan dan fokus utama al-Qur’an adalah tauhid, mengajak kepada mentauhidkan Allah. Seharusnya itulah menjadi tumpuan masyarakat. Al-Qur’an adalah ubat dan penawar bagi penyakit di dalam dada, agar dada dan hati-hati menjadi lapang dengannya. Agar dada menjadi terang, keluar dari gelapnya kesesatan dan kejahilan.

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:

وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنْبَغِي لَهُ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌ (69) لِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِرِينَ (70)

“Al-Qur’an itu tidak lain, ia adalah peringatan dan kitab yang memberi penjelasan. Supaya ia menjadi peringatan UNTUK ORANG-ORANG YANG HIDUP dan sebagai perkataan yang haq ke atas orang-orang kafir.” (Surah Yasin, 36: 69-70)

Juga ayat:

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى

“Al-Qur’an itu adalah petunjuk dan penawar BAGI ORANG-ORANG MUKMIN. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang al-Qur’an itu suatu kegelapan bagi mereka.” (Surah Fushshilat, 41: 44)

Di ayat yang lain lagi:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Rabb-mu dan penyembuh BAGI PENYAKIT-PENYAKIT YANG BERADA DI DALAM DADA dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus, 10: 57)

Ingatlah, termasuk sifat kaum khawarij adalah dangkal kefahamannya dalam agama, walaupun mereka menghafal dan mampu membaca Al-Qur’an dengan baik. Tapi sayang… kata Nabi, bacaan Al-Qur’an mereka tidak masuk pun ke dalam hati mereka, bahkan tidak lepas pun dari tekak mereka. Mereka keluar dari batas-batas (disiplin) agama seperti anak panah menembus keluar dari tubuh sasarannya.

Maksudnya, mereka tidak faham pun apa yang mereka baca tersebut dengan kefahaman yang benar. Mereka mengambil Al-Qur’an, tetapi tidak meletakkannya pada tempat yang benar.

Wallahu a’lam.