Bagaimana Melaksanakan Puasa Sepanjang Tahun?
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Amalan puasa sunnah adalah termasuk amalan-amalan sunnah yang amat dianjurkan dan memiliki banyak keutamaan.
Dalam sebuah hadis disebutkan tentang amalan puasa ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ، قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: إِلَّا الصَّوْمَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي” ” لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ” وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
“Setiap amal (kebaikan) yang dilakukan oleh anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisalnya hingga tujuh ratus kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Kecuali amalan puasa, amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku, Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwatnya dan makanannya kerana Aku.”
Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika dia berbuka, dan kegembiraan ketika dia berjumpa dengan Rabb-nya. Sungguh, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari harumnya misk (kasturi).” (Shahih Muslim, no. 1151)
Hadis ini menunjukkan betapa besarnya keutamaan dan keagungan ibadah puasa secara umum berbanding ibadah-ibadah sunnah lainnya.
Kedua, termasuk sifat wali-wali Allah, iaitu orang yang dekat lagi dicintai Allah, adalah dia sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan amal-amal sunnah yang dicintai Allah sehingga dia mendapat keutamaan dan kedudukan di sisi Allah.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman sebagaimana dalam sebuah hadis qudsi:
مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ: كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ
“Sesiapa yang menyakiti wali-Ku (kekasih-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang ke atasnya. Dan tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku yang lebih Aku sukai dari dari sesuatu yang telah Aku wajibkan atasnya. Dan tidak henti-hentinya seseorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amal-amal sunnah sehinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, maka Aku akan menjadi pendengaran yang ia mendengar dengannya, penglihatan yang ia melihat dengannya, tangan yang ia memukul dengannya, dan kaki yang ia berjalan dengannya. Jika ia meminta, maka Aku akan memberinya. Dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku, maka Aku akan memberikan perlindungan kepadanya.” (Shahih al-Bukhari, Bab: Tawadhu’, no. 6502)
Doa orang-orang yang berpuasa dinyatakan mustajab Oleh Nabi. Ini sebagaimana hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
ثَلاَثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لاَ شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga doa yang mustajab yang tidak diragukan adalah doa ibu bapa, doa orang yang dalam safar (perjalanan), dan doa orang yang dizalimi.” (Sunan Abi Daud, no. 1536)
Dalam hadis yang lain:
ثَلَاثٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ، الإِمَامُ العَادِلُ، وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ، وَدَعْوَةُ المَظْلُومِ
“Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2526)
Kemudian, di Syurga terdapat sebuah pintu khas disebut Ar-Rayyaan, iaitu salah satu pintu Syurga yang khusus hanya bagi orang-orang yang berpuasa.
Dari Sahl bin Sa’d, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أَيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَدْخُلُونَ مِنْهُ، فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ، أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ
“Sesungguhnya di Syurga ada pintu disebut dengan nama Ar-Rayyaan. Mereka yang dibenarkan masuk melaluinya di hari Kiamat adalah dari kalangan orang-orang yang berpuasa, tidak dibenarkan masuk seorang pun selain dari mereka yang berpusa. Mereka akan dipanggil:
“Mana dia orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk. Apabila telah masuk yang terakhir dari mereka, maka pintu pun ditutup dan tidak dibenarkan seorang pun lagi masuk melaluinya.” (Shahih Muslim, no. 1152)
Selain itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turut menjelaskan bahawa:
الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ
“Puasa itu adalah perisai, maka janganlah bercakap kotor (atau keji), jangan seperti orang jahil, jika ada seseorang yang memusuhi atau menyakitinya, maka katakanlah:
“Sesungguhnya aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1894)
Hadis ini menunjukkan bahawa dengan berpuasa, Allah mendidik kita agar bersifat sabar, menjaga tutur kata, dan menjauhi kelakuan orang-orang bodoh.
Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H), “Kata “جُنَّةٌ” maksudnya adalah penutup atau penghadang dari perbuatan keji dan dosa-dosa, sekaligus perisai dari api Neraka.” (Syarah Shahih Muslim, 8/30-31)
Kemudian dalam hadis yang lain dari Abi Sa’iid Al-Khudri, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ، بَاعَدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
“Sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, maka Allah akan menjauhkan wajahnya dari Neraka sejauh (perjalanan) tujuh puluh tahun.” (Shahih Muslim, no. 1153)
Dari hadis Abi Umamah dalam Sunan At-Tirmidzi, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ جَعَلَ اللَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّارِ خَنْدَقًا كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ
“Sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, maka Allah menjadikan di antaranya dengan neraka sebuah parit seperti (jarak) antara langit dan bumi.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1624)
Demikian sebahagian keutamaan yang dijanjikan bagi orang-orang yang berpuasa. InsyaAllah berikut kita ikuti puasa-puasa sunnah Rasulullah atau puasa-puasa sunnah yang dianjurkan sebagaimana terdapat dalam sunnah dan petunjuk Rasulullah, sehingga jika diamalkan moga-moga kita akan sama-sama tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa berpuasa sepanjang tahun dan menjadi wasilah taqarrub serta meraih redha Allah Subhanahu wa Ta’ala.
1, Puasa Isnin dan Khamis
Hadis Dari Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
“Pelbagai amalan dihadapkan (kepada Allah) pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka jika amalanku dihadapkan (kepada Allah) dan aku dalam keadaan sedang berpuasa.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 747. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
‘Aisyah radhiyallahu ‘anha mengatakan:
إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَحَرَّى صِيَامَ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa memilih (dan menjaga) puasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 2360)
Dari Abi Qotadah radhiyallahu ‘anhu:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ الِاثْنَيْنِ؟ فَقَالَ: فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ditanya tentang puasa pada hari Isnin?” Maka beliau jawab, “Pada hari tersebut aku dilahirkan, dan padanya wahyu diturunkan kepadaku.” (Shahih Muslim, no. 1162)
2, Puasa Tiga Hari Setiap Bulan Hijriyyah
Mu’adzah Al-‘Adawiyyah bertanya kepada ‘Aisyah:
أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، قُلْتُ مِنْ أَيِّهِ كَانَ يَصُومُ؟ قَالَتْ: كَانَ لَا يُبَالِي مِنْ أَيِّهِ صَامَ
“Adakah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa tiga hari dari setiap bulan?” Jawab ‘Aisyah:
“Ya.” Mu’adzah bertanya lagi:
“Pada hari apa beliau melaksanakan puasa tersebut?” ‘Aisyah jawab:
“Beliau tidak kisah pada hari apa beliau berpuasa.” (Shahih Muslim, no. 1160. Sunan At-Tirmidzi, no. 763)
Dari Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ: بِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ
“Kekasihku (iaitu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) mewasiatkan kepadaku tiga perkara:
1, Berpuasa tiga hari setiap bulan.
2, Mengerjakan dua raka’at solat Dhuha.
3, Mengerjakan solat witir sebelum tidur.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1178, no. 1981. Muslim, no. 721)
Dari Abi Dzar radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ: ثَلَاثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ
“Rasulullah memerintahkan (menganjurkan) aku agar berpuasa dari setiap bulan pada tiga hari putih (ayyaam al-biidh), iaitu: hari ke 13, 14, dan 15 (pada setiap bulan).” (Sunan An-Nasaa’i, no. 2422. Shahih Ibnu Hibban, no. 3656. Dinilai hasan oleh Al-Albani)
Dari ‘Abdul Malik bin Minhaal, mengkhabarkan dari ayahnya:
وَكَانَ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا بِصِيَامِ أَيَّامِ الْبِيضِ الثَّلَاثَةِ، وَيَقُولُ: ” هُنَّ صِيَامُ الدَّهْرِ
“Bahawa dari sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, mereka berkata: “Bahawa Rasulullah memerintahkan kami berpuasa pada tiga hari putih, dan beliau berkata, itu adalah puasa sepanjang tahun.” (Musnad Ahmad, no. 20321)
Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah bersabda:
صَوْمُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ
“Puasa tiga hari (pada setiap bulan) adalah seperti puasa sepanjang tahun.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1979)
Dari hadis Abi Qotadah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ
“Puasa tiga hari setiap bulan dan dari Ramadhan ke Ramadhan berikutnya, maka ini adalah puasa sepanjang tahun seluruhnya.” (Shahih Muslim, no. 1162)
3, Puasa Nabi Daud ‘Alaihis Salaam
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ أَحَبَّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ وَأَحَبَّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ صَلاَةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ وَكَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا
“Puasa yang paling disukai di sisi Allah adalah puasa Daud, dan solat yang paling disukai Allah adalah solat Nabi Daud. Beliau biasa tidur di pertengahan malam dan bangun pada sepertiga malam terakhir dan beliau tidur lagi pada se-per-enam malam terakhir. Dan beliau biasa berpuasa sehari dan buka sehari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1131. Muslim, no. 1159)
Dalam riwayat yang lain, daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda kepadaku:
أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ، كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا
“Puasa yang paling dicintai Allah adalah puasa Daud, beliau berpuasa sehari dan berbuka (tidak berpuasa) sehari berikutnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1131)
Maksudnya, merutinkan dan membiasakan berpuasa dengan cara diselang-selikan antara hari berpuasa dan tidak berpuasa, iaitu contohnya hari ini puasa, esok tidak, kemudian lusa berpuasa lagi, dan berikutnya tidak. Demikianlah seterusnya kecuali pada hari-hari yang diharamkan untuk berpuasa. Puasa jenis ini dilakukan bagi mereka yang berkemampuan.
Kata Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H), “Puasa Daud sebaiknya hanya dilakukan oleh orang yang mampu dan tidak merasa berat ketika melakukannya. Jangan sampai dia meninggalkan amal-amal lain yang disyari’atkan dengan sebab melalukan puasa Daud ini. Dan jangan pula sampai puasa ini menjadikannya berat untuk belajar ilmu agama. Dari itu ketahuilah, di samping puasa ini masih ada ibadah-ibadah yang lainnya yang mesti dilakukan. Jika banyak melakukan puasa tetapi di lain sudut membuatkan dia menjadi lemah, maka apa yang wajar dia lakukan adalah dengan tidak memperbanyak ibadah puasa. Wallahul Muwaffiq.” (Ibn ‘Utsaimin, Syarah Riyadhush Shalihin, 3/470 – Daar al-Kutub Al-‘Ilmiyah, cet. 3, 1424H)
Lihat juga artikel berikut, https://ilmusunnah.com/?p=9899
4, Puasa di Bulan Sya’ban
‘Usamah bin Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
“Sya’ban adalah bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Rabb semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Musnad Ahmad, no. 21753. Sunan An-Nasaa’i, no. 2357. Dinilai hasan oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
‘Aisyah radhiyallahu ‘anha juga pernah mengkhabarkan dengan katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak pernah tidak berpuasa, dan beliau tidak berpuasa sampai kami mengatakan beliau tidak pernah berpuasa. Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah mengetahui beliau lebih banyak berpuasa sunnah selain dari bulan Sya’ban.” (Shahih al-Bukhari, no. 1969)
Boleh juga semak artikel lengkap di sini, https://ilmusunnah.com/?p=3396
5, Puasa Enam Hari di Bulan Syawal
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan berpuasa enam hari di bulan Syawwal, maka dia seperti berpuasa setahun penuh.” (Shahih Muslim, no. 1164)
Dari hadis Tsauban maula Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ، مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
“Siapa yang berpuasa enam hari (di bulan Syawal) setelah ‘Iedul Fithri, maka dia telah menyempurnakan puasa setahun penuh. (Karena) siapa yang datang dengan (satu amalan) kebaikan, maka baginya (ganjaran) sepuluh kebaikan yang semisalnya.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1715)
6, Puasa ‘Arafah
Umumnya, puasa hari ‘Arafah ini dilaksanakan pada hari ke 9 di bulan Dzulhijjah, yakni hari di mana orang-orang berhaji sedang wuquf di ‘Arafah.
Dari hadis Abi Qotadah Al-Anshari, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
“Puasa di hari ‘Arafah, aku berharap dengannya Allah akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan puasa di hari ‘Aasyuraa’, aku berharap kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Shahih Muslim, no. 1162)
lihat rincian komentar Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah di: https://ilmusunnah.com/tarikh-puasa-arafah/
Puasa di hari ‘Arafah adalah bagi selain dari mereka yang melaksanakan haji yang bukan sedang berada di ‘Arafah. Adapun bagi mereka yang sedang berhaji atau sedang wuquf di ‘Arafah, maka sunnah puasa ‘Arafah ini tidak dianjurkan untuk mereka.
Ini adalah sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْطَرَ بِعَرَفَةَ، وَأَرْسَلَتْ إِلَيْهِ أُمُّ الفَضْلِ بِلَبَنٍ فَشَرِبَ
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak berpuasa ketika di ‘Arafah. Dihidangkan kepada beliau oleh Ummu Al-Fadhl dengan minuman susu, beliau pun meminumnya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 750)
Demikian juga sebagaimana kata Ibnu ‘Umar, tatkala beliau berhaji bersama Nabi, Nabi tidak berpuasa pun ketika hari ‘Arafah, demikian juga ketika berhaji bersama Abu Bakr, demikian juga ketika bersama ‘Umar, juga ketika berhaji bersama ‘Utsman, mereka juga tidak berpuasa ketika di ‘Arafah tatkala berhaji. (lihat: Sunan At-Tirmidzi, no. 750)
Lihat artikel berkaitan Puasa Arafah di, https://ilmusunnah.com/?p=15041
7, Puasa di Awal Dzulhijjah (1 – 9 Dzulhijjah)
Dibolehkan juga berpuasa sunnah (serta memperbanyakkan ama-amal sunnah yang lainnya) secara umum di awal bulan Dzulhijjah berdasarkan keumuman hadis dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
“Tidak ada dari hari-hari untuk beramal soleh padanya yang lebih dicintai Allah dari sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah?” Maka jawab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Walaupun jihad di jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar dengan jiwa dan hartanya lalu tidak kembali lagi sesuatu pun darinya.” (Sunan Abu Daud, no. 2438. Sunan At-Tirmidzi, no. 757)
Juga sebagaimana hadis dari Hunaidah bin Kholid dari isterinya, dari sebahagian isteri-isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, mereka mengatakan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ تِسْعَ ذِي الْحِجَّةِ، وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنَ الشَّهْرِ وَالْخَمِيسَ
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau berpuasa di 9 hari pertama bulan Dzulhijjah, di hari ‘Aasyuraa’, tiga hari dari setiap bulan, Isnin pertama setiap bulan, dan hari Khamis.” (Sunan Abi Daud, no. 2437. Dinilai sahih oleh An-Nawawi, Ibnu Rejab, Al-Hafiz Ibnu Hajar, dan Al-Albani)
Wallahu a’lam, namun sebahagian ulama melemahkan hadis tersebut serta mengatakannya bertentangan dengan hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, yang mana kata ‘Aisyah:
مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَائِمًا فِي الْعَشْرِ قَطُّ
“Tidak pernah aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa 10 hari pertama bulan Dzulhijjah sama sekali.” (Shahih Muslim, no. 1176. Bab: Puasa sepuluh hari pertama di bulan Dzulhijjah)
Para ulama berbeza pendapat dalam menetapkan hal ini dan sebahagian mereka mengatakan:
1, Rasulullah tidak berpuasa penuh dan meninggalkannya ketika itu kerana bimbang akan ada dari kalangan umatnya yang akan menganggapnya sebagai wajib. Ini pendapat yang dikemukakan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari. (lihat: Fathul Bari, 2/460)
2, Apabila berlaku pertentangan antara yang menetapkan dengan yang tidak, maka yang didahulukan adalah dalil yang menetapkannya. Ini adalah pendapat Imam Ahmad sebagaimana dikemukakan oleh Al-Hafiz Ibnu Rejab dalam Latha’iful Ma’aarif.
3, Maksud hadis ‘Aisyah tersebut adalah untuk menunjukkan Nabi tidak berpuasa penuh pada sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah. Manakala hadis yang menetapkan menunjukkan Nabi berpuasa pada sebahagian besar sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah.
4, Manakala Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan:
“Para ulama mengatakan, hadis tersebut perlu dita’wil (ditafsirkan). Bahawa ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha mungkin saja tidak pernah melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan puasa tersebut (9 hari berturut-turut di awal Dzulhijjah), tetapi bukan bermakna Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah melaksanakan puasa tersebut sama sekali, kerana boleh jadi beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mungkin berada di rumah ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha pada satu hari di antara hari-hari awal Dzulhijjah dan berada pula di rumah isteri-isteri beliau yang lain pada hari-hari yang lain.
Atau, boleh jadi juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan sebahagian puasa dari keseluruhan hari tersebut pada suatu tahun, melaksanakan sebahagian puasa tersebut pada tahun lain, kemudian melaksanakan seluruh puasa tersebut pada tahun yang lainnya pula.
Atau, boleh jadi juga beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meninggalkan perlaksanaan puasa tersebut pada sebahagian tahun kerana suatu penghalang seperti safar, sakit, atau yang selainnya.” (Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzdzab, 8/387-388)
Manakala dalam Syarah Shahih Muslim, beliau menjelaskan:
“Perkataan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa Nabi tidak pernah berpuasa sepuluh hari pertama di bulan Dzulhijjah perlu dita’wil (ditafsirkan). Maksudnya, beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah berpuasa pada hari-hari itu mungkin kerana sakit, dalam perjalanan, atau sebab-sebab yang lainnya. Boleh jadi juga memang kerana ‘Aisyah tidak pernah melihat beliau berpuasa pada hari-hari tersebut (namun telah dilihat oleh isteri beliau yang lain – pent.), tetapi itu tidaklah menunjukkan bahawa beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak berpuasa sama sekali. Tafsiran seperti ini dikuatkan oleh hadis riwayat Hunaidah bin Kholid dari isterinya (sebagaimana riwayat Abi Daud di atas)…” (Syarah Shahih Muslim, 8/71-72).
Wallahu a’lam, insyaAllah inilah penafsiran yang terbaik.
8, Puasa Di Bulan Al-Muharram
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ، بَعْدَ رَمَضَانَ، شَهْرُ اللهِ الْمُحَرَّمُ، وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الْفَرِيضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ
“Puasa yang paling afdhal setelah puasa di bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Allah bulan al-Muharram. Dan solat yang paling afdhal setelah solat yang difardhukan adalah solat di malam hari.” (Shahih Muslim, no. 1163. Bab: Keutamaan Puasa Di Bulan Muharram)
9, Puasa ‘Asyura
‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
“Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke sepuluh Muharram).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana Allah telah menyelamatkan bani Isra’el dari kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada Allah. Dan kami pun turut serta berpuasa.”
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Shahih al-Bukhari, no. 2004. Bab Puasa Hari ‘Asyura)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari ‘Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa di bulan Ramadhan turun, puasa di hari ‘Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan:
فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ
“Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari ‘Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Shahih al-Bukhari, no. 2002)
Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari ‘Asyura (hari yang ke sepuluh) sahaja di bulan Muharram, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke sembilannya.
Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari ‘Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata, “Jika begitu, tahun depan insyaAllah kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Shahih Muslim, no. 1134)
Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke sepuluh Muharram atau dikenali sebagai hari ‘Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharram.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya:
وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
“Adapun puasa di hari ‘Asyura, aku memohon kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Shahih Muslim, no. 1162)
Juga sebagaimana dalam hadis yang lain sebagaimana telah disebutkan, puasa di hari ‘Asyura adalah termasuk puasa yang paling afdhal setelah puasa wajib di bulan Ramadhan. Dan Rasulullah sentiasa melaksanakannya puasa ‘Asyura ini dengan penuh kesungguhan. Ini adalah sebagaimana kata ‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ
“Tidaklah aku pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berusaha untuk melaksanakan puasa pada satu hari yang lebih beliau utamakan berbanding hari-hari lainnya melainkan pada hari ini iaitu hari ‘Asyura, dan pada bulan ini, iaitu bulan Ramadhan.” (Shahih al-Bukhari, no. 2006)
Beberapa Ketentuan Perlaksanaan Puasa Sunnah
1, Dibolehkan berniat puasa sunnah setelah terbit matahari jika belum menjamah sebarang makanan, minuman, dan selagi mana tidak melakukan hal-hal yang membatalkan puasa.
Ini berbeza keadaannya dengan puasa wajib yang niatnya wajib dilakukan sebelum masuk waktu fajar.
Dalilnya adalah sebagaimana hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:
دَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ: هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ؟ فَقُلْنَا: لَا، قَالَ: فَإِنِّي إِذَنْ صَائِمٌ ثُمَّ أَتَانَا يَوْمًا آخَرَ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، أُهْدِيَ لَنَا حَيْسٌ فَقَالَ: أَرِينِيهِ، فَلَقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا فَأَكَلَ
“Pada suatu hari, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam masuk menemuiku lalu beliau bertanya:
“Adakah di sisi kalian ada makanan?” Maka kami jawab, “Tidak ada.” Beliau berkata, “Maka jika begitu, aku akan berpuasa.”
Kemudian beliau datang di hari yang lain lalu kami berkata, “Wahai Rasulullah, kita telah diberi hadiah berupa Hais (makanan yang diadun dari campuran tepung, kurma, minyak, dan keju).” Maka beliau pun berkata, “Bawalah ke mari, sesungguhnya dari pagi aku berpuasa.” Maka beliau pun makan.” (Shahih Muslim, no. 1154)
Imam An-Nawawi meletakkan judul dalam Shahih Muslim bagi hadis ini sebagai, “Bab: Dibolehkan melaksanakan puasa sunnah dengan niat di siang hari sebelum waktu zawaal (tergelincir matahari ke barat), dan dibolehkan untuk membatalkan puasa sunnah walaupun tanpa udzur.” (Syarah Shahih Muslim, 8/33)
2, Bagi seorang isteri yang hendak berpuasa, ia wajib terlebih dahulu meminta izin dari suaminya. Ini adalah sebagaimana dalil hadis dari Abi Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لاَ تَصُومُ الْمَرْأَةُ وَبَعْلُهَا شَاهِدٌ إِلاَّ بِإِذْنِهِ
“Janganlah seorang wanita berpuasa dalam keadaan suaminya ada, melainkan dengan keizinannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5192. Muslim, no. 1026)
Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 767H), “Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah puasa thathowwu’ (puasa sunnah) yang tidak terikat dengan waktu tertentu.
Larangan yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah larangan bermakna haram, sebagaimana ditegaskan oleh para sahabat-sahabat kami (dari kalangan ulama bermazhab Asy-Syafi’i). Dan sebab pengharaman itu adalah kerana suami memiliki haq untuk bersenang-senang dengan isterinya di sepanjang hari.
Haq suami ini wajib ditunaikan dengan segera oleh si isteri. Dan tidak boleh haq tersebut terhalang disebabkan si isteri mengerjakan puasa sunnah atau puasa wajib yang boleh dikemudiankan.”
Kata Imam An-Nawawi lagi, “Adapun jika si suami keluar safar (bermusafir), maka si isteri boleh-lah berpuasa.” (Syarah Shahih Muslim, 7/115)
Wallahu a’lam.