Prinsip Al-Walaa’ wal-Baraa’ Dalam ‘Aqidah Islam

Prinsip Al-Walaa’ wal-Baraa’ Dalam ‘Aqidah Islam

Syaikh Dr. Soleh B. Fauzan Al-Fauzan hafidzahullah
التوحيد للصف الاول العالي
www.ilmusunnah.com

1, DEFINISI AL-WALAA’ WAL BARAA’

Al-Walaa’الولاء” adalah kata masdar dari fi’il “waliya” yang ertinya dekat. Yang dimaksudkan dengan wala’ di sini adalah dekat kepada kaum muslimin dengan mencintai mereka, membantu, dan menolong mereka atas musuh-musuh mereka dan bertempat tinggal bersama mereka.

Manakala al-baraa’ “البراء” adalah masdar dari bara’ah yang bererti memutus atau memotong. “برى القلم” ertinya memotong pena. Maksudnya di sini adalah memutuskan hubungan atau ikatan hati dengan orang-orang kafir, sehingga tidak lagi mencintai mereka, membantu, dan menolong mereka serta tidak tinggal bersama mereka.

2, KEDUDUKAN AL-WALAA’ WAL BARAA’ DALAM ISLAM

Di antara hak tauhid adalah mencintai ahlinya iaitu para muwahhidin, serta memutuskan hubungan dengan para musuhnya iaitu kaum musyrikin. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (٥٥) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka adalah orang-orang yang ruku’ (tunduk kepada Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya, maka itulah hizbullaah (kelompok Allah), mereka-lah yang pasti menang.” (Surah al-Ma’idah 5: 55-56)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nashaara menjadi awliyaa’ (pemimpin dan orang-orang kepercayaan); sebahagian mereka adalah awliyaa’ bagi sebahagian yang lain. Sesiapa di antara kamu mengambil mereka sebagai wali (pemimpin dan orang kepercayaan), maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah al-Ma’idah 5: 51)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ أَنْ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (rahsia kaum muslimin), kerana rasa kasih sayang; sedangkan sesungguhnya mereka itu telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Rabb-mu.” (Surah al-Mumtahanah 60: 1)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ إِلا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ

“Dan orang-orang yang kafir, sebahagian mereka adalah awliyaa’ (pemimpin dan penolong) bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (kaum muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah, nescaya akan terjadi fitnah (musibah dan kekacauan) serta kerosakan yang besar di muka bumi.” (Surah Al-Anfaal, 8: 73)

لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang dari-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.” (Surah al-Mujadilah, 58: 22)

Dari ayat-ayat di atas jelaslah tentang kewajiban melahirkan kecintaan kepada sesama mukmin, dan memusuhi orang-orang kafir; serta kewajiban menjelaskan bahawa kecintaan sesama umat Islam adalah kebajikan yang amat besar, dan taat serta mencintai orang-orang kafir adalah bahaya besar.

Kedudukan al-walaa’ wal baraa’ dalam Islam sangatlah tinggi, kerana ia adalah tali iman yang paling kuat. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

أَوْثَقُ عُرَى الْإِيمَانِ الْحُبُّ فِي اللَّهِ وَالْبُغْضُ فِي اللَّهِ

“Tali iman yang paling kuat adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 30421, 30443, 34338)

Dan dengan al-walaa’ wal baraa’-lah kewalian (kecintaan dan kedekatan kepada) Allah dapat dicapai. Diriwayatkan oleh ‘Abdullah Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:

من أحب فى الله وأبغض فى الله ووالى فى الله وعادى فى الله فإنما تنال ولاية الله بذلك ولن يجد عبد طعم الإ يمان وإن كثرت صلاته وصومه حتى يكون كذلك وقد صارت عامة مؤاخاة الناس على أمر الدنيا وذلك لا يجدي على أهله شيئا

“Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi wala’ (kecintaan, kasih-sayang, dan ketaatan) kerana Allah, dan memusuhi kerana Allah, maka sesungguhnya hanya dengan perkara tersebut kecintaan Allah diperolehi. Dan seseorang hamba itu tidak akan merasa lazatnya iman, sekalipun banyak solat dan puasanya, sehingga ia melakukan perkara tersebut. Dan telah menjadi umum (lumrah) persaudaraan manusia berdasarkan kepentingan duniawi, yang demikian itu tidaklah bermanfaat sedikit pun bagi para pelakunya.” (Hadis Riwayat at-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir)

Maka jelaslah bahawa menjalin walaa’ (kecintaan) dan ukhuwah selain kerana Allah tidak ada gunanya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

3, MUDAAHANAH DAN KAITANNYA DENGAN AL-WALAA’ WAL BARAA’

Al-Mudaahanahالمداهنة” ertinya berpura-pura, menyerah, dan meninggalkan kewajiban amar ma’ruf nahi mungkar serta mengabaikan hal tersebut kerana tujuan duniawi atau kepentingan peribadi. Maka berbaik hati, bermurah hati, atau berteman dengan ahli maksiat ketika mereka berada dalam kemaksiatannya, sementara ia tidak melakukan pengingkaran sedangkan dia mampu melakukannya maka itulah mudaahanah.

Kaitan mudaahanah dengan al-walaa’ wal baraa’ tampak dari erti dan definisi yang kita paparkan tersebut, iaitu meninggalkan pengingkaran terhadap orang-orang yang bermaksiat padahal ia mampu melaksanakannya. Malah sebaliknya ia menyerah kepada mereka dan berpura-pura baik kepada mereka. Hal seperti ini bererti meninggalkan cinta kerana Allah dan permusuhan kerana Allah. Bahkan ia semakin memberikan dorongan kepada para penderhaka dan perosak. Maka orang pengampu atau mudahin seperti ini termasuk dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (٧٨)كَانُوا لا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ (٧٩) تَرَى كَثِيرًا مِنْهُمْ يَتَوَلَّوْنَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَبِئْسَ مَا قَدَّمَتْ لَهُمْ أَنْفُسُهُمْ أَنْ سَخِطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَفِي الْعَذَابِ هُمْ خَالِدُونَ

“Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan ‘Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka lakukan itu. Kamu melihat kebanyakan dari mereka tolong-menolong dengan orang-orang yang kafir (musyrik). Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka sediakan untuk diri mereka, iaitu kemurkaan Allah kepada mereka; dan mereka akan kekal dalam ‘azab.” (Surah al-Ma’idah 5: 78-80)

4, MUDARAH SERTA PENGARUHNYA TERHADAP AL-WALA’ WAL BARA’

Al-Mudaaraahالمداراة” adalah menghindari mafsadah (kerosakan) dan kejahatan dengan ucapan yang lembut atau meninggalkan kekerasan dan sikap kasar, atau berpaling pergi (menjauhi) orang-orang yang melakukan kejahatan tersebut apabila dibimbangi kejahatannya itu akan menjadi lebih besar dan buruk. Dalam sebuah hadis disebutkan:

شركم من اتقاه الناس خشية من شره

“Sejahat-jahat kamu adalah orang-orang yang ditakuti manusia kerana takut terhadap kejahatannya.”

Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawasanya seorang lelaki meminta izin masuk menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu berkata, “Dia saudara yang buruk dalam keluarga.” Kemudian ketika orang itu masuk dan menghadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau berkata, “Engkau tadi berkata tentang dia seperti apa yang engkau katakan.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إن الله يبغض الفحش والتفحش

“Sesungguhnya Allah membenci ‘fuhsy’ (ucapan keji) dan ‘tafahuhusy’ (berbuat keji).” (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnadnya)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengambil langkah mudaaraah terhadap orang tersebut ketika dia datang menemui Nabi. Sedangkan orang tersebut adalah orang yang jahat, kerana beliau menginginkan kemaslahatan (kebaikan) dalam agama. Maka keadaan tersebut menunjukkan bahawa mudaaraah tidak bertentangan dengan al-wala’ wal bara’, sekiranya ia benar-benar dapat dipastikan mengandungi kemaslahatan yang lebih banyak dalam bentuk menolak kejatahan atau menundukkan hatinya atau memperkecil dan memperingankan kejahatan.

Ini adalah salah satu kaedah dalam berdakwah atas jalan Allah. Termasuk di dalamnya adalah mudaaraah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terhadap orang-orang munafiq kerana bimbang akan kejatahan mereka dan untuk menundukkan hati mereka dan orang lain.

5, BEBERAPA CONTOH TENTANG SETIA DAN MEMUSUHI KERANA ALLAH

i, Sikap Nabi Ibrahim ‘alaihis Salam dan pengikutnya terhadap kaumnya yang kafir. Allah berfirman:

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآءُ مِنْكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّى تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ

“Sesungguhnya telah ada contoh teladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri terhadap kamu dari apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian untuk selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.” (Surah al-Mumtahanah, 60: 4)

Imam Ibnu Katsir berkata, “Allah Subhanahu wa Ta’ala berkata kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin yang diperintahkan-Nya untuk memerangi, memusuhi, dan menjauhi orang-orang kafir, “Sesungguhnya telah ada contoh teladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia”, maksudnya adalah pengikut-pengikut-nya yang mukmin.

Ketika mereka berkata kepada kaum mereka, “Sesunggugnya kami berlepas diri dari kamu dan dari apa yang kamu sembah selain Allah,” maksudnya, kami melepaskan diri dari kalian dan dari tuhan-tuhan yang kalian sembah selain Allah.

Kami ingkari (kekafiran) mu”, maksudnya dien-mu dan jalan-mu.

Dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya”, maksudnya telah disyari’atkan permusuhan dan kebencian (mulai dari sekarang) antara kami dan kalian selagi mana kalian tetap kafir. Maka selamanya kami berlepas diri dari kalian serta membenci kalian.

Sampai kamu beriman kepada Allah saja”, maksudnya sampai kalian mentauhidkan Allah semata, tanpa syirik, dan dengan membuang semua tuhan yang kalian sembah bersama-Nya.” (Dari Tafsir Ibnu Kafir)

Maka ayat tersebut menunjukkan bahawa al-Wala’ wal bara’ adalah ajaran Nabi Ibrahim, yang kita diperintahkan untuk mengikutinya. Allah menceritakan hal tersebut agar kita mencontohinya. Dia berfirman, “Telah terdapat bagimu teladan yang baik.” Dan pada penutup ayat, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيهِمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَمَنْ يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ

“Sesungguhnya pada mereka itu (Ibrahim dan umatnya) ada teladan yang baik bagimu; (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (pahala) Allah dan (keselamatan pada) Hari Kemudian. Dan barangsiapa yang berpaling, maka sesungguhnya Allah Dia-lah yang Maha kaya lagi Maha Terpuji.” (Surah al-Mumtahanah 60: 6)

ii, Sikap Orang-Orang Ansar radhiyallahu ‘anhum Terhadap Saudara-Saudara Dari Kaum Muhajirin. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالإيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (dari kaum Anshar) sebelum (kedatangan) mereka (kaum Muhajirin), mereka (kaum Anshar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (dari kaum Muhajirin). Dan mereka (kaum Anshar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) dari diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.” (Surah al-Hasyr, 59: 9)

Maksudnya, orang-orang yang tinggal di Darul Hijrah, iaitu Madinah, sebelum kaum Muhajirin, dan kebanyakan mereka beriman sebelum Muhajirin, mereka mencintai dan menyayangi orang-orang yang berhijrah kepada mereka, kerana kemuliaan dan keagungan jiwa mereka, dengan membahagikan harta benda mereka tanpa merasa iri terhadap keutamaan yang diberikan kepada Muhajirin dari diri mereka sendiri, sekalipun mereka sendiri juga sangat memerlukan.

Ini adalah puncak itsar (mengutamakan saudara) dan wala’ kepada Allah terhadap para penolong Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

iii, Sikap ‘Abdullah Bin ‘Abdullah Bin Ubay Bin Salul Terhadap Kemunafikan Ayahnya Yang Berkata Dalam Salah Satu Pertempuran:

لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأعَزُّ مِنْهَا الأذَلَّ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لا يَعْلَمُونَ

“Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat (al-a’azzu) akan mengusir orang-orang yang lemah (al-adzallu) darinya.” Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafiq itu tiada mengetahui.” (Surah al-Munafiqun 63: 8)

Dia menginginkan al-a’azzu (orang yang kuat) adalah dirinya, manakala al-adzallu (yang lemah) pula adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ia mengancam akan mengusir Rasulullah dari Madinah. Maka ketika hal itu didengar oleh anaknya, ‘Abdullah, seorang mukmin yang taat dan jujur, dan dia mendengar pula bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ingin membunuh ayahnya yang mengucapkan kata-kata penghinaan tersebut, juga kata-kata lainnya, maka ‘Abdullah menemui Rasulullah dan berkata, “Wahai Rasulullah, saya mendengar bahawa engkau ingin membunuh ‘Abdullah bin Ubai, ayah saya. Jika engkau benar-benar mahu melakukannya, maka saya bersedia membawa kepalanya kepada engkau.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Bahkan kita akan bergaul dan bersikap baik kepadanya selama dia tinggal bersama kita.”

Maka ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabat kembali pulang ke Madinah, ‘Abdullag bin ‘Abdullah berdiri menghadang di pintu kota madinah dengan menghunus pedangnya. Orang-orang pun berjalan melewatinya. Maka ketika ayahnya melalui, beliau pun berkata kepada ayahnya, “Mundur!” Ayahnya bertanya kehairanan, “Ada apa ini, engkau jangan biadap!”

Maka ia menjawab, “Demi Allah, jangan lalu tempat ini sebelum Rasulullah mengizinkan engkau, kerana beliau adalah al-‘Aziz (yang mulia) dan engkau adalah adz-Dzail (yang hina).”

Maka ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang padahal beliau berada di pasukan bahagian belakang, ‘Abdullah bin Ubay mengadukan anaknya kepada beliau. Anaknya, ‘Abdullah berkata, “Demi Allah wahai Rasulullah, dia tidak boleh memasuki kota sebelum engkau mengizinkannya.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun mengizinkannya, lalu ‘Abdullah berkata, “Kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengizinkan, maka lalulah sekarang.” (Disebutkan oleh Ibnu Katsir dalam tafsirnya tentang ayat di atas)

6, MENYAYANGI DAN MEMUSUHI PARA AHLI MAKSIAT

Penjelasan di atas adalah tentang pemberian wala’ kepada sesama mukmin sejati dan permusuhan kepada kafir sejati. Adapun golongan ketiga iaitu orang mukmin yang banyak melakukan dosa besar, pada dirinya terdapat iman dan kefasikan, atau iman dan kufur kecil yang tidak sampai pada tingkatan murtad (keluar dari Islam). Bagaimana hukumnya dalam hal ini?

Jawabannya adalah orang itu terdapat hak muwalah (diberi wala’) dan mu’adah (dimusuhi). Dia disayangi kerana imannya, dan dimusuhi kerana kemaksiatannya dengan tetap memberikan nasihat untuknya; memerintahnya pada kebaikan, melarangnya dari kemungkaran dan meminggirkannya bilamana peminggiran (atau pemulauan) tersebut memang dapat menjadikannya serik dan malu.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata, “Apabila berkumpul pada diri seseorang itu kebaikan dan kejahatan, ketakutan, dan kemaksiatan, atau sunnah dan bid’ah, maka dia berhak mendapatkan permusuhan dan siksa sesuai dengan kadar kejahatan yang ada padanya. Maka berkumpullah pada diri orang tersebut hal-hal yang mewajibkan pemuliaan dan mengharuskan penghinaan. Maka dia berhak mendapatkan ini dan itu. Seperti pencuri miskin; dia dipotong tangannya kerana mencuri, lalu ia diberi harta dari baitul mal yang boleh menampung keperluannya. Inilah hukum asal yang disepakati oleh ahlus sunnah wal jama’ah, berbeza dengan Khawarij, Muktazilah, dan orang-orang yang sefahaman dengan mereka. Mereka hanya mengelompokkan manusia dalam dua golongan: orang-orang yang dapat pahala sahaja atau mendapat siksa sahaja.” (Lihat Majmu’ Fatwa, 23/209-210)

Ini sangatlah jelas bagi masalah yang sangat penting ini.

7, MENYAMBUT DAN IKUT MERAYAKAN HARI RAYA ATAU PESTA ORANG-ORANG KAFIR SERTA BELANGSUNGKAWA DALAM HARI DUKA MEREKA

i, Hukum Menyambut Dan Bergembira Dengan Hari Raya Mereka.

Sesungguhnya di antara kesan terpenting dari sikap membenci orang-orang kafir ialah menjauhi ibadah mereka. Sedangkan syi’ar mereka yang paling besar adalah hari raya mereka, sama ada yang berkaitan dengan tempat mahupun waktu. Maka orang Islam berkewajiban menjauhi dan meninggalkannya.

Ada seorang lelaki yang datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk meminta fatwa kerana ia telah bernadzar memotong (menyembelih) haiwan di Buwanah (nama tempat), maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menanyakan kepadanya:

هَلْ كَانَ فِيهَا وَثَنٌ مِنْ أَوْثَانِ الْجَاهِلِيَّةِ يُعْبَدُ؟ قَالُوا: لَا، قَالَ: هَلْ كَانَ فِيهَا عِيدٌ مِنْ أَعْيَادِهِمْ؟، قَالُوا: لَا، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوْفِ بِنَذْرِكَ، فَإِنَّهُ لَا وَفَاءَ لِنَذْرٍ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ، وَلَا فِيمَا لَا يَمْلِكُ ابْنُ آدَمَ

“Adakah di sana ada berhala dari berhala-berhala jahiliyah yang disembah?” Orang tersebut menjawab, “Tidak”. Beliau bertanya lagi, “Adakah di sana tempat dilaksanakannya hari raya dari hari-hari raya mereka?” Orang tersebut menjawab, “Tidak”.

Maka Nabi bersabda, “Tepatilah nadzarmu, kerana sesungguhnya tidak boleh melaksanakan nadzar dalam maksiat terhadap Allah dalam hal yang tidak dimiliki oleh anak adam.” (Sunan Abu Daud, no. 3313)

Hadis di atas menunjukkan tidak boleh menyembelih untuk Allah di tempat yang digunakan menyembelih untuk selain Allah; atau di tempat orang-orang kafir merayakan pesta atau perayaan mereka. Kerana perbuatan tersebut membawa maksud mengikuti mereka dan menolong mereka di dalam mengagungkan syi’ar-syi’ar mereka atau menjadi wasilah yang menghantarkan kepada syirik. Begitu juga dengan turut serta merayakan hari raya (hari kebesaran) mereka, perkara ini menunjukkan sikap wala’ kepada mereka dan mendukung mereka dalam menghidupkan syi’ar-syi’ar mereka.

Di antara yang dilarang adalah menampakkan rasa gembira pada hari raya mereka, membantu perayaan mereka, memasak makanan sehubungan dengan hari perayaan mereka. Dan di antaranya lagi ialah mempergunakan kalendar Masehi, kerana hal itu menghidupkan kenangan terhadap hari Natal bagi mereka. Kerana itu para sahabat menggunakan kalendar Hijriyah sebagai gantinya.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah berkata di dalam Iqtida’ Shiratal Mustaqim (tahqiq oleh Prof. Dr. Nashir al-‘Aql), 1/425-426, “Turut serta merayakan hari-hari besar mereka tidak dibenarkan (dalam Islam) kerana dua alasan:

Pertama: Bersifat umum, seperti yang telah dikemukakan di atas bahawa hal tersebut bererti mengikuti Ahli Kitab, yang tidak ada dalam ajaran kita dan tidak ada dalam kebiasaan salaf. Mengikutinya bererti membawa kerosakan dan meninggalkannya terdapat maslahah (kebaikan) dalam menyelisihi mereka. Bahkan seandainya kesamaan yang kita lakukan merupakan sesuatu ketetapan semata, bukan kerana mengambilnya dari mereka, tentu yang disyari’atkan adalah menyelisihinya telah diisyaratkan di atas. Maka sesiapa yang mengikuti mereka, dia telah kehilangan maslahah ini sekali pun tidak melakukan mafsadah (kerosakan) apa pun, terlebih lagi kalau dia melakukannya.

Alasan kedua: Kerana perkara tersebut adalah bid’ah yang diada-adakan. Alasan ini jelas menunjukkan bahawa sangat dibenci hukumnya menyerupai mereka dalam hal tersebut.”

Beliau mengatakan, “Tidak halal bagi kaum muslimin ber-tasyabbuh (menyerupai) mereka dalam hal-hal yang khusus sempena hari raya mereka; seperti makanan, pakaian, mandi, menyalakan lilin, mengambil cuti dari hal-hal kebiasaan seperti bekerja dan beribadah atau pun yang lainnya. Tidak halal mengadakan kenduri atau memberi hadiah atau menjual barang-barang yang diperlukan untuk hari raya tersebut. Tidak halal mengizinkan anak-anak atau pun yang lainnya melakukan permainan pada hari itu, juga tidak boleh menampakkan perhiasan. Ringkasnya, tidak boleh melakukan sesuatu yang menjadi ciri-ciri khas dari syi’ar mereka pada hari tersebut. Waktu hari-hari raya mereka bagi umat Islam perlulah seperti hari-hari biasa sahaja, tiada hal yang istimewa atau khusus yang dilakukan umat Islam (bersempena dengannya – pent.). Adapun jika dilakukan hal-hal tersebut oleh umat Islam dengan sengaja maka pelbagai golongan dari kalangan salaf dan khalaf menganggapnya makruh (dibenci). Sedangkan pengkhususan seperti yang tersebut di atas maka tidak ada perbezaan di antara ulama, bahkan sebahagian ulama menganggap kafir orang yang melakukan hal tersebut, kerana dia telah mengagungkan syi’ar-syi’ar kekufuran. Segolongan ulama mengatakan, “Sesiapa yang menyembelih kambing pada hari raya mereka (kerana merayakannya), maka seolah-olah dia menyembelih babi.” ‘Abdullah bin ‘Amr bin Ash berkata, “Sesiapa yang mengikuti negara-negara ‘ajam (non-muslim) dan melakukan perayaan Nairuz (atau Nauruz – pesta tahun baru Iran yang bertepatan dengan tanggal 21 Mac) dan Mihrajan (pesta hari bahagia bila tiba musim luruh) serta menyerupai mereka sehingga ia meninggal dunia dan dia belum bertaubat, maka dia akan dikumpulkan bersama mereka pada hari kiamat.” (Majmu’ Fatawa, 25/329-330)

ii, Hukum Turut-Serta Merayakan Pesta, Walimah, Hari Bahagia atau Hari Duka Mereka Dengan Hal-Hal Yang Mubah Serta Berta’ziyah Pada Musibah Mereka.

Tidak boleh memberi ucapan selamat (tahni’ah) atau ucapan belasungkawa (ta’ziyah) kepada mereka, kerana pekara tersebut bererti memberikan wala’ dan mahabbah kepada mereka. Juga disebabkan perbuatan tersebut mengandungi erti penghormatan terhadap mereka. Maka hal tersebut diharamkan berdasarkan larangan-larangan ini. Sebagaimana haram mengucapkan salam terlebih dahulu atau membuka jalan bagi mereka.

Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata, “Hendaklah behati-hati jangan sampai terjerumus sebagaimana orang-orang bodoh, ke dalam ucapan-ucapan yang menunjukkan redha mereka terhadap agamanya. Seperti ucapan mereka, “Semoga Allah membahagiakan engkau dengan agamamu”, atau “memberkatimu dalam agamamu”, atau berkata, “Semoga Allah memuliakanmu”.

Kecuali jika berkata, “Semoga Allah memuliakanmu dengan Islam”, atau yang senada dengan itu. Ini termasuk bentuk-bentuk tahni’ah dengan perkara-perkara umum (yang mubah/dibolehkan – pent.).

Tetapi jika tahni’ah dengan syi’ar-syi’ar kufur yang khusus milik mereka seperti hari raya dan puasa mereka, dengan mengatakan, “Selamat hari raya Natal” umpamanya atau “Berbahagialah dengan hari raya ini” atau yang senada dengan itu, maka perbuatan ini jika penuturnya selamat dari kufur maka ia tidak lepas dari perbuatan yang HARAM dan dia sama seperti orang yang mengucapkan tahni’ah kepada kaum kafir sempena si kafir itu bersujud kepada Salib bahkan perbuatan itu lebih besar dosanya di sisi ALLAH dan lebih dibenci di sisi Allah berbanding seseorang yang mengucapkan tahniah atas sebab seseorang itu meminum arak, membunuh orang, berzina, dan seumpamanya.

Dan kebanyakan orang yang tidak memiliki ilmu agama terjebak dalam perkara ini dan dia tidak sedar betapa kejinya perbuatannya tersebut, maka sesiapa yang mengucapkan tahniah kepada seseorang sempena perbuatan maksiat, atau bid’ah, atau kufur, maka dia telah terdedah kepada kebencian Allah yang amat dahsyat dan kemurkaan-Nya.

Dan adalah ahli wara’ dari kalangan ulama’, mereka menjauhi perbuatan mengucapkan tahniah kepada orang zalim yang mendapat jawatan dan memberi tahniah kepada kaum jahil yang menjawat jawatan hakim, guru, dan fatwa, kerana menjauhi dari kebencian ALLAH dan jatuhnya darjat mereka di mata Allah.” (Ahkam Ahli Dzimmah, tahqiq oleh Dr. Subhi Saleh, 1/205-206)

Dari huraian tersebut jelaslah, memberi tahni’ah kepada orang-orang kafir dalam hal-hal yang dibolehkan (mubah) adalah dilarang jika mengandungi makna yang menunjukkan redha kepada agama mereka. Adapun memberikan tahni’ah atas hari-hari raya mereka atau syi’ar-syi’ar mereka adalah haram hukumnya dan sangat dibimbangi pelakunya jatuh kepada kekufuran.

8, HUKUM MEMINTA BANTUAN KEPADA ORANG-ORANG KAFIR

i, DALAM PERNIAGAAN ATAU PEKERJAAN

Allah s.w.t. berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لا يَأْلُونَكُمْ خَبَالا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman pendamping orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” (Surah Ali Imran, 3: 118)

Imam Al-Baghawi dalam tafsirnya menjelaskan, “Janganlah engkau menjadikan orang-orang yang bukan Islam sebagai wali (pemimpin), orang kepercayaan, atau orang-orang pilihan, kerana mereka tidak ada kebimbangan untuk melakukan apa-apa yang membahayakanmu.”

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah mengatakan, “Para peneliti telah mengetahui bahawa orang-orang ahli dzimmah dari kalangan Yahudi dan Nashaara mengirim berita kepada saudara-saudara seagamanya tentang rahsia-rahsia orang Islam. Di antara bait-bait yang terkenal adalah:

كُلُّ الْعَدَاوَاتِ تُرْجَى مَوَدَّتُهَا

إلَّا عَدَاوَةَ مَنْ عَادَاك فِي الدِّينِ

Setiap permusuhan dapat diharapkan kasih sayangnya,

Kecuali permusuhan orang yang memusuhi kerana agama.”

Kerana itulah mereka (dari kalangan kaum kafir) dilarang memegang jawatan yang membawahi orang-orang Islam dalam bidang pekerjaan, bahkan mengambil pekerja dari kalangan orang Islam yang kemampuannya masih di bawah kemampuan orang kafir itu sendiri adalah lebih baik dan lebih bermanfaat bagi umat Islam dalam agama dan dunia mereka. Sedikit tapi dari yang halal adalah diberkati Allah, sedangkan yang banyak tapi dari yang haram, itu adalah dimurkai Allah.” (Majmu’ Fatawa, 28/646)

Dari keterangan tersebut dapat disimpulkan:

1, Tidak boleh mengangkat orang kafir untuk kedudukan yang membawahi orang-orang Islam, atau yang memungkinkan dia mengetahui rahsia-rahsia umat Islam; misalnya para menteri atau para penasihat, kerana Allah s.w.t. berfirman:

لا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لا يَأْلُونَكُمْ خَبَالا

“…janganlah kamu ambil menjadi teman pendamping orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu.” (Surah Ali Imran, 3: 118)

Atau juga diangkat menjadi pegawai pemerintahan di wilayah negara Islam.

2, Dibolehkan mengupah orang-orang kafir untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan sampingan yang tidak menimbulkan suatu bahaya dalam politik negara Islam, umpamanya seperti menjadi penunjuk jalan, buruh pembinaan bangunan, projek pembaikan jalan, dan sejenisnya dengan syarat tidak ada orang Islam yang mampu untuk itu. Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu pernah mengupah seorang laki-laki musyrik dari Bani ad-Diil sebagai penunjuk jalan ketika berhijrah ke Madinah. (Sebagaimana dalam Riwayat Al-Bukhari di Shahih-nya)

ii, DALAM URUSAN PERANG

Dalam masalah ini terdapat perbezaan pendapat di antara para ulama. Dan yang benar adalah dibolehkan, apabila diperlukan dalam keadaan darurat, juga bila orang yang diminta pertolongan dari mereka tersebut dapat dipercayai dalam masalah jihad.

Ibnul Qayyim berkata tentang manfaat perjanjian Hudaibiyah:

“Di antaranya, bahawa meminta bantuan kepada orang musyrik yang dapat dipercayai dalam hal jihad adalah dibolehkan ketika benar-benar diperlukan, dan pada orang musyrik itu juga terdapat maslahah iaitu dia dekat dan mudah untuk bercampur dengan musuh dan dapat mengambil khabar serta rahsia mereka.” (Za’dul Ma’ad, 3/301, tahqiq Syu’aib dan ‘Abdul Qadir al-Arnouth)

Juga dibolehkan ketika dalam keadaan darurat, Imam Az-Zuhri meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meminta pertolongan kepada orang-orang Yahudi dalam perang Khaibar (Tahun 7H), dan Shafwan bin Umaiyyah ikut serta dalam perang Hunain sedangkan beliau pada saat itu masih musyrik. Termasuk darurat misalnya jumlah orang-orang kafir lebih banyak dan sangat ditakutkan, dengan syarat dia berpandangan baik terhadap kaum muslimin. Adapun jika tidak diperlukan maka tidak dibolehkan meminta bantuan kepada mereka, kerana orang kafir itu memiliki kebarangkalian besar untuk berkhianat dan boleh jadi mereka menjadi senjata makan tuan, diebabkan buruknya hati mereka. Tetapi yang tampak dari ucapan Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah adalah boleh meminta pertolongan kepada mereka secara mutlak. (Lihat Majmu’ Al-Fatawa, 28/624-643)

9 – MENGUTAMAKAN TINGGAL DAN BEKERJA DI NEGARA KAFIR

Seseorang muslim yang berkerja untuk mengabdi atau melayani orang-orang kafir adalah haram, kerana perkara tersebut menunjukkan maksud penguasaan orang kafir atas orang muslim serta menunjukkan penghinaan. Iqamah atau duduk/tinggal terus-menerus dalam kalangan orang-orang kafir juga adalah diharamkan. Kerana itu Allah mewajibkan hijrah dari negara kafir menuju negara muslim dan mengancam mereka yang tidak mahu berhijrah tanpa uzur syar’i. Juga mengharamkan seseorang muslim safar ke negara kafir kecuali kerana alasan yang syar’i dan mampu menzahirkan ke-Islamannya, kemudian setelah selesai tujuannya maka ia perlu segera kembali/pulang ke negara Islam.

Adapun pekerjaan seseorang muslim kepada orang kafir yang tidak bersifat melayani seperti menjahit atau membina bangunan dan yang lain sebagainya dari setiap pekerjaan yang ada dalam tanggungannya, maka ini dibolehkan, kerana tidak ada unsur penghinaan. Ini berdasarkan riwayat ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, di mana beliau berkata:

“Saya bekerja untuk seorang perempuan Yahudi dengan upah setiap timba air ditukar sebutir kurma. Kemudian saya ceritakan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan aku bawakan beberapa butir kurma lalu beliau pun memakan sebahagian kurma tersebut bersama saya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

“Dan Khabbab bekerja untuk al-‘Ash bin Wa’il di Mekah sedang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengetahuinya dan beliau pun menyetujuinya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Ini menunjukkan dibolehkan pekerjaan yang serupa ini, kerana ia merupakan aqad tukar-menukar seperti halnya jual beli, tidak mengandungi penghinaan terhadap muslim, tidak menjadikannya sebagai abdi, dan tidak pula bertentangan dengan sifat bara’-nya dari mereka dan dari agama mereka.

Adapun mereka yang mengutamakan bekerja bersama orang-orang kafir dan bertempat tinggal (menetap) bersama mereka berbanding bekerja dan ber-iqamah (menetap) di tengah-tengah kaum muslimin, ia beranggapan pula bolehnya wala’ kepada mereka dan redha terhadap agama mereka maka tidak syak lagi bahawa ini adalah murtad, keluar dari Islam. Apabila ia melakukan hal yang sedemikian kerana tamak terhadap dunia atau kekayaan yang melimpah di negara mereka dengan perasaan benci kepada agama mereka dan tetap menjaga agamanya, maka yang seperti ini diharamkan dan dibimbangi membawa kesan buruk terhadap dirinya, yang akhirnya menjadikannya redha dengan agama mereka.

10, HUKUM MENIRU KAUM KUFFAR, JENIS-JENIS, DAN KESANNYA

i, HUKUMNYA

Meniru kaum kuffar dalam hal-hal yang menjadi amalan keagamaan (atau kepercayaan) mereka atau adat mereka adalah haram dan diancam dengan ancaman yang keras, kerana itu merupakan bentuk wala’ kepada mereka. Padahal Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Sesiapa ber-tasyabbuh (menyerupai) dengan suatu kaum maka ia termasuk dari mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, dan disahihkan oleh Ibnu Hibban)

Kemudian keharamannya berbeza-beza menurut mafsadah (kerosakan) yang ditimbulkannya serta kesan-kesan yang disebabkan olehnya.

ii, JENIS-JENISNYA

Meniru dalam hal-hal yang menjadi ciri khas mereka terbahagi menjadi beberapa bahagian; ada yang kufur, ada yang mengarah kepada kekufuran atau kefasikan, dan ada yang maksiat biasa.

Bahagian Pertama:

Meniru mereka dalam ajaran atau bahagian dari agama mereka yang batil, seperti mendirikan bangunan di atas kuburan, atau mendewakan sebahagian makhluk dengan menjadikannya sebagai tuhan-tuhan kecil di samping Allah dengan beri’tikaf di atas kuburan mereka, atau mentaati mereka dalam penghalalan dan pengharaman, serta menghukumi sesuatu dengan selain apa yang diwahyukan oleh Allah; ini adalah kufur kepada Allah atau merupakan wasilah yang menghantarkan kepada kekufuran. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaknat orang Yahudi dan Nashaara kerana mereka menjadikan kuburan-kuburan sebagai tempat-tempat ibadah. (Sebagaimana dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لا إِلَهَ إِلا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

“Mereka menjadikan orang-orang ‘alimnya (Ahbaar) dan rahib-rahib atau sami-sami (ruhbaan) mereka sebagai tuhan selain Allah dan (mereka turut mempertuhankan) Al-Masih Ibn Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak diibadahi) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.” (Surah at-Taubah 9: 31)

Maka perbuatan mereka menjadikan para pendeta sebagai tuhan selain Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah kufur. Sedangkan mendirikan bangunan di atas kuburan adalah penghantar kepada kekufuran.

Bahagian Kedua:

Meniru mereka dalam bid’ah-bid’ah yang mereka adakan dalam agama mereka dalam hari-hari raya mereka yang batil, ini hukumnya adalah haram.

Bahagian Ketiga:

Meniru mereka dalam adat istiadat dan akhlak mereka yang buruk serta budaya mereka yang kotor, juga penampilan mereka yang tercela, seperti mencukur janggut, membuka aurat, dan yang lain seumpamanya. Ini adalah permasalahan yang sangat luas dan semua itu adalah haram hukumnya, termasuk dalam sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Sesiapa yang ber-tasyabbuh dengan suatu kaum maka ia termasuk golongan itu.”

Kerana menyerupai mereka secara zahirnya menunjukkan wala’ mereka secara batin.

Adapun hal-hal yang bukan menjadi ciri khas mereka, bahkan merupakan hal-hal milik bersama semua manusia, seperti mempelajari ilmu perindustrian yang sangat bermanfaat, membina kekuatan dan pertahanan, memanfaatkan apa yang dibolehkan Allah, sebagai contoh perhiasan yang telah dikeluarkan untuk para hamba-Nya, memakan hasil-hasil bumi yang baik; maka semua ini tidak disebut taqlid (meniru), sebaliknya termasuk ajaran agama kita. Dan pada dasarnya ia adalah milik kita, sedangkan mereka dalam hal ini hanya mengikuti kita. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

“Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?” Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat.” Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah Al-A’raaf, 7: 32)

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ

“Dan persiapkanlah apa jua kekuatan yang kamu mampu untuk menghadapi mereka…” (Surah Al-Anfal, 8: 60)

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ وَأَنْزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah Al-Hadid, 57: 25)

Allah Subhanahu wa Ta’ala mengkhabarkan bahawa besi mengandungi banyak daya guna untuk manusia secara umum.

iii, BEBERAPA KESAN NEGATIF TAQLID

A, Taqlid (meniru-niru atau menyerupai) kepada kuffar mengandungi sikap wala’ (cinta) kepada mereka, kerana menyerupai mereka pada perkara zahir menunjukkan rasa kecintaan kepada mereka dalam batinnya. Seandainya membenci mereka, tentu tidak akan mahu menirunya.

B, Taqlid kepada kuffar menunjukkan kekagumannya terhadap mereka dan apa yang ada pada mereka serta ketidak-senangannya kepada ajaran Islam dan penghinaannya kepada orang-orang Islam.

C, Taqlid kepada kuffar mengandungi makna tunduk atau mengikuti mereka dan tindakan menghancurkan sahsiah (keperibadian) umat Islam serta merosakkan kelangsungan identiti mereka.

D, Taqlid kepada kuffar melemahkan kaum muslimin dan menjadikan mereka bergantung kepada musuh-musuh mereka serta menjadikan mereka malas dalam bidang penghasilan, dan pada akhirnya mereka memiliki sikap meminta-minta belas kasihan kepada orang-orang kafir, sebagaimana yang banyak terjadi pada saat ini.

E, Taqlid kepada kuffar bererti turut membantu mereka dalam menghidupkan dan mengembangkan bid’ah serta kemusyrikan (atau kekafiran) mereka.

F, Taqlid kepada kuffar merosakkan agama kaum muslimin dengan terciptanya pelbagai bid’ah dengan kurafat yang diambil dari agama kaum kuffar.

11, BENTUK-BENTUK TAQLID KEPADA KUFFAR YANG BURUK

Iaitu melampaui batas dalam menyukai, menyenangi, dan meminati serta mengambil faedah dalam perkara-perkara yang tidak mengandungi faedah dan manfaat. Sehingga menggunakannya atau mengamalkannya yang mana menjadikan lupa kepada Allah, lalai dari ketaatan kepada-Nya serta lalai dan meninggalkan amal usaha yang berguna bagi dunia dan agama-nya.

Mereka melakukan hal ini sebagai kesan akibat dari kekosongan hidup yang dialaminya (seperti); hidup tanpa aqidah, pegangan dan prinsip, tanpa ibadah, dan tanpa kebajikan yang diusahakan sebagai bekal di hari kemudian (akhirat). Mereka melakukannya kerana terpedaya dan terpengaruh dengan bangsa-bangsa lain yang terus-menerus mengusahakan untuk menjauhkan mereka dari agama Allah dan akhirat mereka. Apa pun yang memalingkan dari agama dan ibadah adalah haram hukumnya, sekali pun bernilai dengan nilai yang tinggi seperti harta kekayaan.

Allah telah mengharamkan perbuatan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang jauh dari akhirat. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

“Wahai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Sesiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Munafiqun, 63: 9)

Maka bagaimanakah dengan hal-hal yang tidak bernilai, tidak berharga dan tidak berfaedah? Di antara hal-hal tersebut contohnya adalah seperti:

i, Apa yang mereka sebut sebagai dunia seni; seni suara, seni muzik, seni tari, seni drama, dunia teater, dan layar pawagam, serta pusat-pusat perfileman yang banyak didatangi oleh orang-orang yang bingung, jauh dari jalan kebenaran, dan jauh dari jalan yang lurus dalam kehidupan.

ii, Bergelut dengan dunia permodelan, penggambaran, fotografi, lukisan, dan pembuatan patung-patung dan lain-lain yang seumpamanya.

iii, Banyak di antara pemuda yang hidupnya bersungguh-sungguh dan bermati-matian demi membangunkan beberapa cabang sukan dan permainan. Sehingga ia lupa kepada Allah, lupa terhadap ketaatan, melalaikan (atau meremehkan) solat, dan lupa terhadap kewajiban-kewajiban lainnya dalam rumah mahupun pendidikan. Sepatutnya yang lebih wajar bagi mereka adalah mengarahkan perhatian kepada apa yang baik bagi umat dan tanah airnya serta berjuang untuk mencapai kemaslahatan dunia dan akhirat.

Di antara hal-hal tersebut di atas ada yang diharamkan dalam agama, ada pula yang dibolehkan selagi tidak mengalahkan apa yang lebih bermanfaat darinya. Apatah lagi umat Islam dewasa ini sedang menghadapi pelbagai bentuk tentangan dari para musuhnya.

Tentu yang lebih utama adalah menyusun waktu, strategi, dan kekuatan untuk menghadapi tentangan-tentangan ini, untuk memdamkan atau memperkecil kesan, akibat, dan bahayanya. Orang-orang Islam sebenarnya tidak mempunyai waktu yang terluang untuk bersantai-santai dan bersuka-ria dengan segala macam hiburan itu. Dan Allah-lah tempat kita memohon segala pertolongan.

12, SIKAP KAUM MUSLIMIN DAN PERMASALAHANNYA

Di antara sikap wala’ dan mahabbah kerana Allah adalah perlunya seseorang muslim itu mempedulikan urusan masyarakatnya secara umum dan mempedulikan urusan saudaranya sesama muslim secara khusus. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda yang maksudnya:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ، وَتَرَاحُمِهِمْ، وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kecintaan (persaudaraan), kasih-sayang, dan kelembutannya adalah bagaikan satu jasad. Apabila satu dari anggota tubuhnya mengadu kesakitan, maka seluruh tubuh-nya itu menanggungnya, tidak tidur malam dan demam.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ini adalah gambaran masyarakat muslim. Adapun gambaran sikap peribadi muslim adalah seperti yang disabdakan oleh Rasul Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

“Seorang mukmin dengan mukmin yang lainnya ibarat satu bangunan, yang sebahagian menguatkan sebahagian yang lain.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Maka kewajiban kaum muslimin, sama ada secara individu mahupun kelompok adalah mengambil berat pelbagai permasalahan yang ada di kalangan mereka, dan permasalahan yang ada antara mereka dengan musuh-musuh mereka, sehingga mereka dapat menjalin ukhuwah Islamiyah (persaudaraan yang islami). Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang maksudnya:

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ

“… Dari itu, bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara kamu…” (Surah Al-Anfal, 8: 01)

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 10)

Dan hendaklah mereka memperhatikan jihad melawan musuh-musuh mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قَاتِلُوا الَّذِينَ يَلُونَكُمْ مِنَ الْكُفَّارِ وَلْيَجِدُوا فِيكُمْ غِلْظَةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orang kafir yang ada di sekitar kamu itu, dan hendaklah mereka menemui kekerasan dari kamu, dan ketahuilah, bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (Surah At-Taubah, 9: 123)

Maksudnya ialah mempersiapkan diri sebelum berjihad dengan menyelesaikan pelbagai permasalahan yang wujud, menyatukan saf barisan, memperbaiki keadaan, dan mempersiapkan segala peralatan (kelengkapan). Maka, sesiapa yang tidak mempedulikan permasalahan kaum muslimin, bahkan bersikap pasif (tidak ambil peduli dan melemah), maka itu menunjukkan lemahnya iman, atau juga bererti bahawa dia itu munafiq yang memberikan wala’ kepada kuffar. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman tentang orang-orang munafiq:

الَّذِينَ يَتَرَبَّصُونَ بِكُمْ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ فَتْحٌ مِنَ اللَّهِ قَالُوا أَلَمْ نَكُنْ مَعَكُمْ وَإِنْ كَانَ لِلْكَافِرِينَ نَصِيبٌ قَالُوا أَلَمْ نَسْتَحْوِذْ عَلَيْكُمْ وَنَمْنَعْكُمْ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

“(Iaitu) orang-orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada dirimu (wahai orang-orang mukmin). Maka jika terjadi bagimu kemenangan dari Allah, mereka berkata: “Bukankah kami (turut berperang) beserta kamu?” Dan jika orang-orang kafir mendapat keberuntungan (kemenangan), mereka berkata: “Bukankah kami turut memenangkanmu, dan membela kamu dari orang-orang mukmin?” Maka Allah akan memberi keputusan di antara kamu di hari kiamat dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman.” (Surah An-Nisaa’, 4: 141)

Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa sikap kaum munafiq terhadap permasalahan umat Islam adalah pasif, menunggu, dan menonton siapa yang menang akan menjadi kawan.

Adapun mukmin yang benar selalu memiliki perwatakan taat, baik dalam ucapannya, amalnya, dan kepeduliannya dalam masyarakatnya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

“Agama adalah nasihat (atau kesetiaan).” Mereka bertanya, “Untuk siapa (wahai Rasulullah)?”

Beliau menjawab, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan umat Islam secara umumnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 55)

Demikianlah, mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta’ala memperbaiki keadaan umat Islam dengan meluruskan aqidah mereka, memperbaiki bangsa, dan para pemimpin mereka, dan semoga menyatukan hati mereka serta membulatkan tekad mereka.

Semoga selawat serta salam tetap tercurah untuk Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beserta keluarga dan sahabatnya. Ameen.