Nukilan daripada Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat:751H)

فكان من هديه صلى الله عليه وسلم فعل التداوي في نفسه ، والأمر به لمن أصابه مرض من أهله وأصحابه ، ولكن لم يكن من هديه ولا هدي أصحابه استعمال هذه الأدوية المركبة التي تسمى أقرباذين ، بل كان غالب أدويتهم بالمفردات ، وربما أضافوا إلى المفرد ما يعاونه أو يكسر سورته ، وهذا غالب طب الأمم على اختلاف أجناسها من العرب ، والترك ، وأهل البوادي قاطبة ، وإنما عني بالمركبات الروم واليونانيون ، وأكثر طب الهند بالمفردات .
Sebahagian dari petunjuk Nabi ﷺ adalah baginda mengubati dirinya sendiri apabila sakit, dan baginda juga turut memerintahkan orang yang sakit sama ada dari kalangan ahli keluarganya atau para sahabatnya agar berubat.
Namun bukanlah termasuk petunjuk (atau kebiasaan) baginda ﷺ dan para sahabatnya untuk menggunakan ubat-ubatan yang kompleks yang dikenali sebagai “aqrabāzīn” (iaitu ubat-ubatan yang menggabungkan pelbagai aneka bahan, ramuan dan unsur sekaligus). Sebaliknya, kebanyakan ubat mereka merupakan ubat yang bersifat tunggal (terdiri dari satu bahan natural, atau ramuan yang sifatnya ringkas dan sederhana).
Adakalanya mereka menambah satu bahan lain sekadar dalam rangka membantu atau melemahkan kekuatan ubat utama bertujuan menyeimbangkan kesannya.
Dan inilah metode kebiasaan yang ditempuh dalam amalan perubatan bagi kebanyakan bangsa di dunia, sama ada bangsa Arab, Turki, mahupun golongan yang tinggal jauh di luar kota (golongan pedalaman, orang-orang kampung, gurun, dan semisalnya).
Berbeza dengan bangsa Rom dan Yunani, mereka adalah golongan yang banyak menggunakan ubat-ubatan dengan pelbagai aneka campuran (yang kompleks), sementara kebanyakan perubatan orang-orang India juga cenderung bersifat ubat tunggal (ramuan ringkas dan sederhana).
وقد اتفق الأطباء على أنه متى أمكن التداوي بالغذاء لا يعدل عنه إلى الدواء ، ومتى أمكن بالبسيط لا يعدل عنه إلى المركب .
Kalangan ahli perubatan (para doktor) telah sepakat bahawa selama mana sesuatu penyakit boleh dirawat dengan olahan dari zat-zat pemakanan yang biasa, maka tidak perlu terus beralih kepada ramuan ubat-ubatan khusus.
Dan apabila boleh dirawat dengan ubat yang bersifat tunggal (mudah dan ringkas – dari pemakanan contohnya), maka tidak perlu beralih kepada ramuan ubat-ubatan yang kompleks (dari pelbagai aneka campuran).
قالوا : وكل داء قدر على دفعه بالأغذية والحمية لم يحاول دفعه بالأدوية .
Mereka juga berkata:
“Setiap penyakit yang boleh dicegah atau dirawat dengan pemakanan dan disiplin diet, maka tidak perlu dirawat dengan ubat-ubatan.”
قالوا : ولا ينبغي للطبيب أن يولع بسقي الأدوية ، فإن الدواء إذا لم يجد في البدن داء يحلله ، أو وجد داء لا يوافقه ، أو وجد ما يوافقه فزادت كميته عليه ، أو كيفيته تشبث بالصحة وعبث بها . وأرباب التجارب من الأطباء طبهم بالمفردات غالبا ، وهم أحد فرق الطب الثلاث .
Mereka juga berkata:
“Tidak sepatutnya bagi seorang doktor bersikap terlalu cenderung memberi ubat, kerana apabila sesuatu ubat itu tidak menemui penyakit yang sesuai untuk dileraikannya, atau menemui penyakit tetapi tidak serasi dengannya, atau menemui penyakit yang serasi tetapi diberikan secara berlebihan atau dalam kadar yang salah, maka ubat itu akan cenderung mengganggu dan merosakkan kesihatan tubuh.”
Adapun para doktor yang berpengalaman dan telah teruji di bidangnya – kebanyakan rawatan mereka menggunakan ubat-ubatan yang bersifat tunggal (ringkas dan sederhana saja), dan mereka inilah salah satu daripada tiga golongan terbaik dalam bidang perubatan.
والتحقيق في ذلك أن الأدوية من جنس الأغذية ، فالأمة والطائفة التي غالب أغذيتها المفردات أمراضها قليلة جدا ، وطبها بالمفردات وأهل المدن الذين غلبت عليهم الأغذية المركبة يحتاجون إلى الأدوية المركبة ، وسبب ذلك أن أمراضهم في الغالب مركبة ، فالأدوية المركبة أنفع لها ، وأمراض أهل البوادي والصحاري مفردة ، فيكفي في مداواتها الأدوية المفردة ، فهذا برهان بحسب الصناعة الطبية .
Perincian dalam hal ini adalah secara dasarnya ramuan ubat-ubatan itu sendiri berasal dari jenis makanan juga (makanan yang baik-baik yang memiliki unsur penyembuhan yang diperlukan oleh tubuh – pent).
Maka sesuatu bangsa atau masyarakat yang kebanyakan makanannya bersifat tunggal (ringkas, mudah dan natural), maka mereka pun lebih cenderung kurang penyakit, dan jika terserang penyakit rawatan untuk mereka pun memadai dengan ramuan yang sifatnya tunggal (ringkas dan mudah).
Manakala bagi penduduk kota (atau bandar), yang makanan mereka cenderung bersifat pelbagai (aneka campuran, pemprosesan dan menu yang kompleks), maka mereka pun cenderung kepada aneka ubat-ubatan yang kompleks sifatnya (kombinasi aneka ramuan), kerana penyakit mereka pun biasanya berpunca dari faktor yang kompleks.
Oleh itu, ramuan ubat-ubatan yang sifatnya kompleks lebih padan untuk mereka.
Sedangkan penyakit penduduk yang jauh di luar kota dan padang pasir biasanya bersifat tunggal dan sederhana, maka ramuan ubat-ubatan yang bersifat tunggal sudah memadai untuk rawatan mereka.
Maka inilah bukti bersesuaian pertimbangan ilmu perubatan.
Sekian nukilan.
Dari kitab Zaadul Ma’ad.
