Fatwa Al-Imam Asy-Syafi’i Berkaitan Nyanyian dan Tarian
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) menyebutkan dengan sanadnya sampai kepada Abu Thayyib Thaahir Ath-Thabari:
قال الشافعي الغناء لهو مكروه يشبه الباطل ومن استكثر منه فهو سفيه شهادته قال وكان الشافعي يكره التعبير
“Imam Asy-Syafi’i berkata, “Nyanyian adalah perkataan yang dibenci dan menyerupai kebathilan. Sesiapa yang suka (atau banyak) menyanyi (atau mendengarnya), maka dia adalah orang yang bodoh dan kesaksiannya tidak boleh diterima pakai, dan Asy-Syafi’i sangat membenci At-Taghbir (nyanyian/tarian sufi).”
قال الطبري: فقد أجمع علماء الأمصار على كراهية الغناء والمنع منه وإنما فارق الجماعة إبراهيم بن سعد وعبيد الله العنبري وقد قال رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “عليكم بالسواد الأعظم فإنه من شذ شذ في النار” وقال: من فارق الجماعة مات ميتة جاهلية
Ath-Thabari berkata: “Para ulama dari pelbagai wilayah telah ijma’ (bersepakat) tentang dibencinya nyanyian dan melarang darinya. Hanya Ibrahim bin Sa’ad dan ‘Ubaidillah Al-Anbari yang keluar dari kesepakatan ini. Sedangkan Rasulullah telah bersabda:
“Ikutilah As-Sawaadul A’zham, kerana sesiapa yang syadz (yakni yang mengambil pendapat yang pelik dari kebenaran), maka dia di Neraka.” Dan beliau bersabda:
“Sesiapa yang mati dalam keadaan menyelisihi Al-Jama’ah (kebenaran), maka matinya adalah mati jahiliyah.”
وقد كان رؤساء أصحاب الشافعي رضي الله عنهم ينكرون السماع وأما قدماؤهم فلا يعرف بينهم خلاف وأما أكابر المتأخرين فعلى الإنكار منهم أبو الطيب الطبري وله في ذم الغناء والمنع منه كتاب مصنف
فهذا قول علماء الشافعية وأهل التدين منهم وإنما رخص في ذلك من متأخريهم من قل علمه وغلبه هواه وقال الفقهاء من أصحابنا لا تقبل شهادة المغني والرقاص والله الموفق
“Para tokoh dari kalangan sahabat (pengikut) Asy-Syafi’i radhiyallahu ‘anhu tidak menyukai nyanyian malah melarangnya, tiada perselisihan di antara yang terdahulu ataupun yang terkemudian. Manakala ulama besar muta’akhirin juga turut mengingkari nyanyian. Di antaranya adalah Abu Thayyib Ath-Thabari, beliau memiliki buku berkenaan tercela dan terlarangnya nyanyian.
Ini adalah pendapat para ulama Syafi’iyah dan kalangan ahli ibadah di antara mereka. Dan yang memberi keringanan hukum berkenaan dengan alat-alat muzik hanyalah kalangan ulama terkemudian di antara mereka yang sedikit ilmunya dan lebih terpengaruh dengan hawa nafsunya. Berkata para fuqaha’ (ahli fiqh) dari kalangan sahabat kami, “Sumpah seseorang penyanyi dan penari tidak boleh diterima pakai.” Hanya kepada Allah kita memohon taufiq.” (lihat: Talbis Iblis oleh Ibn Al-Jauzi, m/s. 205-206)
Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) berkata:
خَلَّفْتُ بِالْعِرَاقِ شَيْئًا أَحْدَثَتْهُ الزَّنَادِقَةُ يُسَمُّونَهُ التَّغْبِيرَ، يَشْتَغِلُونَ بِهِ عَنِ الْقُرْآنِ
“Aku tinggalkan di ‘Iraq sesuatu yang diada-adakan oleh az-zanaadiqah (yakni para zindiq) yang disebut sebagai At-Taghbiir, ia melalaikan manusia dari Al-Qur’an.” (Manaqib Al-Imam Asy-Syafi’i oleh Abu Al-Hasan Al-Abri As-Sijistani, no. 52. Hilyatul Awliyaa’ oleh Abu Nu’aim, 9/146. Talbis Iblis oleh Ibn Al-Jauzi, m/s. 205. Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibn Taimiyyah, 11/569. Siyar A’lam al-Nubala’ oleh Adz-Dzahabi, 10/91)
Turut dinukil dengan lafaz yang lain:
خَلَّفْت بِبَغْدَادَ شَيْئًا أَحْدَثَتْهُ الزَّنَادِقَةُ يُسَمُّونَهُ التَّغْبِيرَ يَصُدُّونَ بِهِ النَّاسَ عَنْ الْقُرْآنِ
“Aku tinggalkan di Baghdad sesuatu yang diada-adakan oleh para zindiq sesuatu yang dinamakan sebagai at-taghbir, ia memalingkan manusia dari Al-Qur’an.” (lihat: Majmu’ Al-Fatawa, 11/592)
Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H):
ثم أطلق الاسم على كل من أسر الكفر وأظهر الإسلام حتى قال مالك الزندقة ما كان عليه المنافقون وكذا أطلق جماعة من الفقهاء الشافعية وغيرهم أن الزنديق هو الذي يظهر الإسلام ويخفي الكفر
“(Kata az-zanaadiqah) diithlaqkan untuk penamaan bagi setiap orang yang menyembunyikan kekufuran dan menzahirkan keislaman. Sampai Imam Malik mengatakan, “Zandaqah merupakan kebiasaan yang ada pada kaum munafiqin.” Demikian pula yang dikatakan oleh sejumlah ulama Syafi’iyyah dan selainnya, bahawa zindiq adalah orang yang memperlihatkan keislamannya dan menyembunyikan kekufuran.” (Fathul Bari 12/271)
Iaitu mereka beramal dengan amal-amal yang bukan dari Islam, tetapi mereka menzahirkan amalan tesebut atas nama Islam, namun hakikatnya mereka bukan dari Islam dan mereka juga beribadah kepada selain Allah di samping mengibadahi Allah. Dan dalam masa sama, mereka turut memerangi Islam.
At-Taghbiir adalah sya’ir-sya’ir (nyanyian) yang mengandungi galakkan bersifat zuhud terhadap dunia (yakni menjauhi dunia dan mencintai agama) yang dinyanyikan oleh para penyanyi, manakala sebahagian yang hadir bertindak memukul alat seperti kayu pada besi (yakni sebagai alat muzik) atau batu dengan mengikuti irama lagunya. (lihat: An-Nuur Al-Kaasyf fii Bayaan Hukm Al-Ghinaa’ wa Al-Ma’aazif oleh Ahmad bin Hussein Al-Azhari, m/s. 15, Maktabah Syamilah)
Al-Imam Ibnul Jauzi menjelaskan:
وقد ذكر أبو منصور الأزهري المغبرة قوم يغيرون بذكر الله بدعاء وتضرع وقد سموا ما يطربون فيه من الشعر في ذكر الله عز وجل تغييرا كأنهم إذا شاهدوها بالألحان طربوا ورقصوا فسموا مغيرة لهذا المعنى
“Sebagaimana disebutkan oleh Abu Manshur Al-Azhari, Al-Mughabbirah (pemain atau pelaku at-taghbiir) adalah suatu kelompok yang mendendangkan zikir kepada Allah dengan doa dan tadharru’ (merendah diri). Mereka lalu menamakan apa yang mereka dendangkan tersebut sebagai sya’ir berbentuk zikir kepada Allah. Sambil mereka mendendangkannya dengan irama tertentu, mereka menyaksikannya dengan gembira sambil menggoyang-goyang badan, mereka menyanyi, menari sampai debu berterbangan. Lalu mereka pun dinamakan Al-Mughabbirah.” (Talbis Iblis, m/s. 205. Lihat: Tahdziib Al-Lughah, 3/78-79)
Ibnu Manzhur menyebutkan dalam Lisan Al-‘Arab:
قال الأَزهري وقد سَمَّوْا يُطَرِّبون فيه من الشِّعْر في ذكر الله تَغْبيراً كأَنهم تنَاشَدُوهُ بالأَلحان طَرَّبوا فَرَقَّصوا وأَرْهَجوا فسُمّوا مُغَبِّرة لهذا المعنى
“Berkata Al-Azhari: Dan mereka telah menamakan orang-orang yang mendendangkan (melagukan) sya’ir untuk mengingati Allah sebagai Taghbiir sebagaimana mereka itu mendendangkannya dengan nada-nada tertentu lalu mereka mendendangkan pendengarnya sambil menari-nari serta menimbulkan gerakan-gerakan, maka dinamakan mereka itu mughabbirah berdasarkan makna ini.” (Lisan Al-‘Arab oleh Ibn Manzhur, 5/3)
Inilah yang telah banyak berlaku dan tersebar di sekitar kita hari ini. Mereka mengada-adakan amalan sedekimian lalu menamakannya sebagai qashidah, nasyid, dan majlis-majlis selawat. Hadanallaahu waiyyahum.
Penyusun kitab Tafsir terkenal; Al-Imam Ibnu Kasir rahimahullah (Wafat: 774H) turut mengulas kenyataan Al-Imam Asy-Syafi’i tersebut dengan katanya:
“Dan ianya (at-taghbiir) adalah mengetuk dengan kayu atau yang lainnya di atas kulit yang kering berserta mendendangkan sya’ir-sya’ir ketuhanan yang melembutkan hati dan menggerakkan benda yang diam, walaupun begini keadaannya, beliau (Imam Asy-Syafi’i) telah menamakan pelakunya sebagai “para zindiq”, lalu bagaimana pula jika beliau melihat apa yang diada-adakan oleh mereka yang di zaman kita mendengar nyanyian dan menari-nari dengan diiringi duff (kompang) dan serunai…” (lihat: Al-Kalaam ‘ala Mas’alati As-Simaa’, m/s. 471 – Daar Al-‘Aashimah, cet. 1, 1409H)
Asy-Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan setelah menyebutkan perkataan Al-Imam Asy-Syafi’i tersebut:
وما ذكره الشافعي – رضي الله عنه – من أنه من إحداث الزنادقة – [ فهو ] كلام إمام خبير بأصول الإسلام فإن هذا السماع لم يرغب فيه ويدعو إليه في الأصل إلا من هو متهم بالزندقة كابن الراوندي والفارابي وابن سينا وأمثالهم كما ذكر أبو عبد الرحمن السلمي في مسألة السماع ” عن ابن الراوندي
“Apa yang disebutkan oleh Al-Imam Asy-Syafi’i radhiyallahu ‘anh tersebut adalah hasil ciptaan (bid’ah) para zindiq maka itulah perkataan imam yang mendalam ilmunya dalam prinsip-prinsip Islam. Kerana pada dasarnya, tidak ada yang mempromosi dan menganjurkan serta mengajak padanya (yakni kepada nyanyi-nyanyian atas nama agama) melainkan orang-orang zindiq, seperti Ibnu Rawandi, Al-Farabi, Ibnu Sina, dan yang semisal mereka, sebagaimana yang disebutkan oleh ‘Abdurrahman As-Sulami dalam Mas’alati As-Simaa’ tentang Ibnu Rawandi.” (Majmu’ al-Fatawa, 11/570)
Dalam kitabnya yakni kitab Al-Umm, Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204) menegaskan bahawa:
الرجل يغني فيتخذ الغناء صناعة يأتي عليه ويأتي له، ويكون منسوبا إليه مشهورا به معروفا والمرأة لاتجوز شهادة واحدة منهما، وذلك أنه من اللهو المكروه، الذي يشبه، وأن من صنع هذا كان منسوبا إلى السفة وسقاطه المروءة
“Seorang lelaki yang menyanyi dan mengambilnya sebagai pekerjaan, adakalanya dia diundang dan adakalanya ia didatangi sehingga dia masyhur (dikenali) dengan gelaran penyanyi, demikian juga seseorang wanita (yang seperti itu), maka tidak diterima sumpah persaksiannya. Kerana menyanyi termasuk hiburan yang dibenci (terlarang). Tetapi, adalah yang lebih tepat, sesiapa sahaja yang menyerupainya, maka ia disebut sebagai dungu (bodoh) dan mereka termasuk orang yang sudah tiada harga diri (jatuh maruahnya).” (Al-Umm oleh Asy-Syafi’i, 6/209)
Beliau juga menegaskan bahawa hukum potong tangan tidak boleh ditegakkan atas orang yang mencuri khamr, khinzir, dan alat-alat muzik. Kata beliau:
فَإِنْ سَرَقَ خَمْرًا أو خِنْزِيرًا لم يُقْطَعْ لِأَنَّ هذا حَرَامُ الثَّمَنِ وَلَا يُقْطَعُ في ثَمَنِ الطُّنْبُورِ وَلَا الْمِزْمَارِ
“Jika seseorang mencuri khamr atau khinzir (babi), maka dia tidak dikenakan hukuman dipotong tangannya kerana keduanya adalah haram harganya. Dan seseorang juga tidak dipotong tangannya kerana mencuri thanbur, dan tidak juga al-mizmaar (seruling).” (Al-Umm, 6/147)
Beliau juga menegaskan bahawa tidak boleh dikenakan ganti rugi bagi alat-alat muzik yang dirosakkan. Kata beliau:
وَلَوْ كَسَرَ له طُنْبُورًا أو مِزْمَارًا أو كَبَرًا فَإِنْ كان في هذا شَيْءٌ يَصْلُحُ لِغَيْرِ الْمَلَاهِي فَعَلَيْهِ ما نَقَصَ الْكَسْرُ وَإِنْ لم يَكُنْ يَصْلُحُ إلَّا لِلْمَلَاهِي فَلَا شَيْءَ عليه وَهَكَذَا لو كَسَرَهَا نَصْرَانِيٌّ لِمُسْلِمٍ أو نَصْرَانِيٌّ أو يَهُودِيٌّ أو مُسْتَأْمَنٌ أو كَسَرَهَا مُسْلِمٌ لِوَاحِدٍ من هَؤُلَاءِ أَبْطَلْت ذلك كُلَّهُ
“Seandainya seseorang menghancurkan thanbur, atau mizmaar, atau gendang, maka sekiranya alat-alat ini semuanya bukan untuk suatu kegunaan selain sebagai alat-alat muzik, maka tidak ada ganti atasnya. Demikian juga jika seorang muslim merosakkan (alat-alat tersebut) dari milik seorang muslim, ataupun yang merosakkan tersebut adalah orang Nashrani, atau Yahudi, atau kafir musta’man, atau seorang muslim lain yang telah merosakkan salah satu dari alat-alat tersebut, maka semuanya dianggap bathil (yakni tiada sebarang tindakan boleh diambil).” (Al-Umm, 4/212)
Wallaahu a’lam.