Pastikan Ambil Hadis Sahih Seperti Al-Imam Asy-Syafie

Pastikan Ambil Hadis Sahih Seperti Al-Imam Asy-Syafie

www.ilmusunnah.com

Apa jua khabar atau hadis yang diatasnamakan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak boleh sewenang-wenangnya diterima tanpa terlebih dahulu dipastikan status kesahihan atau kebenarannya. Ini bagi mengelakkan menyandarkan sesuatu kepada Nabi dengan cara prasangka, dusta, atau bohong yang mana telah kita ketahui setiap apa yang datang dari Nabi itu memberi nilai agama sama ada dari aspek aqidah, tauhid, hukum-hakam, akhlak, mu’amalah, dan sebagainya.

Dari itu, siapapun tidak boleh sesuka hati mengatakan sesuatu atas nama Nabi tanpa melalui cara yang benar.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, bersiap-sedialah dengan tempat duduknya di neraka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1291)

Oleh sebab itulah para ulama hadis telah menyusun sebuah kaedah khusus bagi memastikan kesahihan khabar yang disandarkan kepada Nabi. Iaitu dengan meneliti sanad dan barisan para perawi hadis. Setelah keabsahannya dikenalpasti, maka barulah ia layak dijadikan sebagai hujjah dan pegangan dalam agama bersesuaian dengan kaedah-kaedah lainnya.

Al-Imam ‘Abdullah bin Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) berkata:

الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّينِ، وَلَوْلَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

Al-Isnad itu adalah dari agama, seandainya bukan kerana isnad, nescaya sesiapa pun boleh berkata apa saja sekehendaknya.” (Mukaddimah Shahih Muslim, 1/15)

Seorang tabi’in, Sa’ad bin Ibrahim berkata:

لَا يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا الثِّقَاتُ

“Tidak ada yang berhak mengkhabarkan sebuah hadis dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melainkan orang-orang yang tsiqah (terpercaya).” (Mukaddimah Shahih Muslim, 1/15)

Kata Muhammad bin Sirin rahimahullah (Wafat: 110H):

لَمْ يَكُونُوا يَسْأَلُونَ عَنِ الْإِسْنَادِ، فَلَمَّا وَقَعَتِ الْفِتْنَةُ، قَالُوا: سَمُّوا لَنَا رِجَالَكُمْ، فَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ، وَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ الْبِدَعِ فَلَا يُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ

“Mereka (ahlus sunnah) sebelum itu tidak bertanya tentang sanad, tetapi ketika terjadi fitnah (kesamaran), mereka pun berkata, “Sebutkanlah kepada kami nama para perawimu.” Apabila dilihat yang menyampaikannya adalah ahlus sunnah maka hadisnya diterima, tetapi bila yang menyampaikannya adalah ahli bid’ah maka hadisnya ditolak.” (Mukaddimah Shahih Muslim, 1/15)

Kriteria Hadis Sahih

Seseorang Bertanya kepada Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H), “Sebutkan kepadaku syarat minima agar suatu perkhabaran hadis itu boleh diterima sebagai hujjah.” Maka beliau pun menjawab, “Perkhabaran yang disampaikan dari satu orang dari satu orang sehingga sampai kepada Nabi atau kepada perawi yang berada di bawah Nabi (para sahabat).”

Beliau menyambung, “Perkhabaran hadis dari satu orang kepada satu orang tidak dapat diterima sebagai hujjah sehingga memenuhi beberapa syarat yang di antaranya:

“Orang yang meriwayatkan mesti tsiqah (terpercaya) dalam agamanya. Dikenal sebagai orang yang benar lagi jujur dalam berbicara, memahami apa yang ia riwayatkan (atau khabarkan), memahami lafaz yang boleh mengubah makna-makna hadis, dan mampu menyampaikan hadis bertepatan dengan huruf-hurufnya persis sebagaimana yang ia dengar dan bukan menyampaikan sekadar dengan maknanya atau sekadar dari kefahamannya sahaja.

Orang yang meriwayatkannya perlu hafal apa yang ia riwayatkan jika dia meriwayatkannya dari hafalan, atau mencatatnya dengan tepat jika dia meriwayatkan berdasarkan catatannya (atau kitabnya). Apabila dia menghafal suatu hadis bersama-sama dengan para huffaz (penghafal hadis) yang lain, maka apa yang ia riwayatkan perlu selari dengan apa yang diriwayatkan oleh para huffaz lainnya tersebut.

Orang yang meriwayatkannya tidak boleh seorang yang mudallis dengan meriwayatkan suatu riwayat (hadis) dari seseorang yang ditemuinya tetapi tidak pernah mendengar riwayat dimaksudkan secara langsung darinya. Atau apabila ia meriwayatkan suatu hadis dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, ia tidak boleh menyelisihi apa yang diriwayatkan oleh para perawi tsiqah yang lainnya dari Nabi.

Inilah keriteria yang perlu dimiliki bermula dari perawi terendah (paling bawah) sehingga paling atas yang sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diriwayatkan secara maushul (bersambung). Iaitu setiap perawi mengakui orang yang menyampaikan kepadanya dan orang yang menyampaikan juga mengakuinya. Tidak seorang pun perawi yang boleh mengelak dari ketentuan ini.” (Ar-Risalah oleh Asy-Syafi’i, m/s. 369-372 – Daar Al-Kitab Al-‘Ilmiyah, Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir)

Kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh imam Asy-Syafi’i inilah yang diterima pakai oleh para ulama hadis dahulu dan kini dalam menetapkan boleh atau tidaknya sesebuah hadis diterima pakai. Di mana sanadnya mesti muttashil (bersambung dan tidak putus), para perawinya ‘adl (amanah lagi terpercaya, bukan pendusta), perawinya dhabit (tepat, kredibel, dan sempurna hafalan atau catatannya), selamat dari syuyudz (riwayatnya tidak bertentangan dengan riwayat para perawi yang lebih tsiqah darinya), dan selamat dari ‘illat atau kecacatan-kecacatan hadis lainnya. Inilah di antara asas utama bagi memastikan kedudukan sesebuah hadis sama ada sahih, hasan, dha’if (lemah), maudhu’ (palsu), atau selainnya.

Ini sekaligus menunjukkan ketelitian dan kedalaman ilmu yang dimiliki oleh Al-Imam Asy-Syafi’i dalam bidang hadis. Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah mengatakan:

“Siapa sahaja yang memahami ucapan imam Asy-Syafi’i rahimahullah pada bab ini, pasti dia akan mendapati bahawa imam Asy-Syafi’i telah menyusun (atau menetapkan) sebuah kaedah yang sahih tentang ilmu hadis. Dan bahawasanya beliaulah orang pertama sekali menjelaskan ilmu ini dengan begitu terang. Beliau adalah pembela hadis yang paling unggul serta orang yang lantang menekankan kewajiban mengamalkan sunnah.

Beliau turut mengeluarkan hujjah bantahan terhadap orang-orang yang menentang dan menolak hadis. Benarlah gelaran yang diberikan oleh pendudukan Makkah kepada imam asy-Syafi’i sebagai Naashirus Sunnah (pembela Sunnah), semoga Allah meredhainya.” (Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir di Kitab Ar-Risalah, m/s. 369)

Inilah di antara prinsip imam Asy-Syafi’i rahimahullah bahkan prinsip para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah dari dahulu hingga kini dalam mengambil dan menerima hadis sebagai hujjah agama. Mereka terlebih dahulu memastikan keabsahan dan kesahihan sesebuah hadis sebelum mengamalkan dan menyebarkannya. Mereka tidak mengambilnya dari sebarangan orang begitu sahaja.

Alhamdulillah pada hari ini, fasa periwayatan dan pembukuan hadis telah pun tamat lengkap dengan sanad-sanadnya sekaligus memudahkan para ulama dan masyarakat terkemudian menyemak serta memanfaatkannya. Cuma setiap hadis tersebut masih perlu dinilai sahih atau tidaknya. Dan ini masih sangat memerlukan perincian dan bantuan dari para ulama hadis sama ada dahulu atau kini. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memetik hadis begitu sahaja tanpa dipastikan terlebih dahulu keabsahan atau status kesahihannya berpandukan kaedah yang benar. Setiap hadis perlu diambil dari kitab dan sumbernya.Al-Umm_edisi_lengkap_karya_imam_asy-Syafie

Selamilah pengorbanan para ulama terdahulu yang sanggup keluar bermusafir ribuan batu demi sebuah hadis yang mulia. Hadis-hadis diriwayatkan lalu dibukukan dengan cara terhormat lagi dimuliakan. Dipilih dengan kaedah yang penuh teliti lagi hati-hati.

Maka sepatutnya kita pada hari ini memanfaatkan hasil pengorbanan mereka dengan tidak sewenang-wenangnya memetik hadis hanya dari surat-surat khabar, internet, cakap-cakap orang, dan pelbagai sumber lainnya tanpa terlebih dahulu memastikan keabsahannya.

Para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah terkenal amat berhati-hati dalam memilih dan mengambil hadis. Ini dalam rangka mengelak dari tersalah ambil hadis-hadis yang lemah, maudhu’, atau tidak sahih lalu mengatakannya ini adalah hadis sahih daripada Nabi?! Inilah juga di antara prinsip yang dipegang teguh oleh imam Asy-Syafi’i rahimahullah sebagaimana dikatakan imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

تمسكه بالاحاديث الصحيحة: واعراضه عن الاخبار الواهية الضعيفة: ولا نعلم أحدا من الفقهاء أعتنى في الاحتجاج بالتمييز بين الصحيح والضعيف كاعتنائه

“Beliau (Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah) amat berpegang teguh dengan hadis-hadis sahih dan menjauhi hadis-hadis yang lemah lagi dha’if. Kami tidak mengetahui ada seorang pun dari kalangan fuqaha’ yang begitu berhati-hati ketika berhujjah dengan membezakan di antara hadis sahih dan dha’if sebagaimana yang dilakukan oleh beliau (Asy-Syafi’i)…” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 1/11)

Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) turut meriwayatkan daripada Imam Asy-Syafi’i, beliau berkata:

وَجِمَاعُ هَذَا أَنَّهُ لَا يُقْبَلُ إِلَّا حَدِيثٌ ثَابِتٌ كَمَا لَا يُقْبَلُ مِنَ الشُّهُودِ إِلَّا مَنْ عُرِفَ عَدْلُهُ، فَإِذَا كَانَ الْحَدِيثُ مَجْهُولًا أَوْ مَرْغُوبًا عَمَّنْ حَمَلَهُ كَانَ كَمَا لَمْ يَأْتِ؛ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِثَابِتٍ

“Kesimpulan dari semua ini, bahawa tidaklah (sebuah hadis itu) diterima kecuali hadis yang tsabit (sah), sebagaimana tidaklah para saksi diterima (pesaksiannya) kecuali orang yang dikenal ‘adil-nya. Sehingga apabila hadis itu tidak diketahui atau dicela perawinya, maka hakikatnya seperti hadis itu dianggap tiada, kerana ketidak-tsabitannya (yakni kerana ketidak-pastiannya – pent.).” (Ma’rifatus Sunan wal Atsar oleh Al-Baihaqi, no. 312)

Tapi sayangnya, prinsip ini banyak diabaikan oleh pengamal mazhab Asy-Syafi’i sendiri di Nusantara ini. Sebahagian mereka tidak lagi membezakan di antara hadis yang sahih atau tidak. Banyak berlaku di mana hadis-hadis yang tidak sahih dipegang dan disebarkan sebagaimana hadis sahih. Sehingga apabila didatangkan hadis-hadis yang sahih yang bertentangan dengan apa yang mereka imani atau amalkan, mereka tidak lagi mahu menerimanya.

Ini amat bertentangan dengan perkataan dan prinsip imam asy-Syafi’i sendiri di mana beliau mengatakan:

كُلّ َمَا قُلْتُ وَكَانَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِلَافُ قُولِي مِمَّا يَصِحُّ، فَحَدِيثُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْلَى، وَلَا تُقَلِّدُونِي

“Setiap perkataanku yang berbeza dengan riwayat yang sahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka hadis Nabi lebih aula (perlu didahulukan) dan kamu semua jangan bertaklid kepadaku.” (Ma’rifah As-Sunan wal Atsar, 2/454)

Juga kata beliau:

إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي

“Apabila sahih suatu hadis, maka itulah mazhabku.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 1/92)

Pernahkah kita mendengar hadis-hadis yang boleh dianggap populer seperti tentang mendapat ganjaran pahala 70 kali ganda jika memakai serban ketika solat, perselisihan di kalangan umat Muhammad adalah rahmat, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China, Yasin jantung hati al-Qur’an, sesiapa yang mengenal diri maka dia mengenal Allah, bermadu bagi isteri akan mendapat payung emas di Syurga, galakkan membaca surah Yasin untuk orang mati, kisah sahabat Nabi Tsa’labah yang bakhil, nyanyian thola’al badru ‘alaina ketika menyambut Nabi tiba di Madinah, kisah ‘Abdurrahman bin ‘Auf masuk Syurga sambil merangkak, serta pelbagai lagi khabar-khabar hadis populer yang disandarkan atas nama agama dan nama Rasulullah yang mana hakikatnya ia bukanlah hadis-hadis yang sahih dan boleh dibuat hujah mahupun pegangan dalam agama.

Dukacitanya ia berlegar di sekeliling kita, disampaikan oleh mereka yang bergelar ustaz dan ustazah, serta diimani kebanyakan orang. Oleh itu, pastikanlah setiap hadis yang kita terima dan amalkan adalah hadis-hadis yang sahih terlebih dahulu. Takut-takutlah kita dengan ancaman berdusta atas nama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, bersiap-sedialah dengan tempat duduknya di neraka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1291)

Wallahu a’lam.