Orang Yang Muflis Di Akhirat

Orang Yang Muflis Di Akhirat

www.ilmusunnah.com

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:beras-tumpah

مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ، إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

“Siapa yang berbuat zalim kepada saudaranya (sama ada) berkaitan kehormatannya atau berkaitan sesuatu, maka hendaklah dia minta dihalalkan darinya pada hari ini (ketika masih di dunia), sebelum dia tidak lagi memiliki dinar mahupun dirham. (Bahawasanya nanti) jika dia memiliki amal-amal yang soleh, maka akan diambil dari amal-amalnya tersebut bersesuaian dengan kadar kezalimannya, dan jika dia tidak memiliki kebaikan, maka akan diambillah dari keburukan-keburukan orang yang dia zaliminya tersebut lalu dibebankan ke atasnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2449, 6534)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

«أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ؟» قَالُوا: الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ، فَقَالَ: «إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ، وَصِيَامٍ، وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا، وَقَذَفَ هَذَا، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا، وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ»

“Tahukah kalian siapa dia orang yang muflis?”

Mereka (para sahabat Nabi) pun menjawab, “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak pula harta.”

Maka Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya orang yang muflis dari kalangan umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa (pahala) solat, puasa dan zakat. Namun dalam masa sama dia juga datang dengan membawa (dosa) menyakiti orang itu, menuduh orang ini (tanpa bukti), memakan harta orang itu, menumpahkan darah, dan memukul orang (tanpa hak). Maka diberikanlah kebaikan-kebaikanya itu kepada orang-orang yang dia zalimi, dan jika kebaikan-kebaikannya telah habis diberikan sebelum mencukupi, maka diambillah dari dosa-dosa orang yang dia zalimi itu lalu dibebankan atasnya, kemudian dia pun dilemparkan ke dalam Neraka.” (Shahih Muslim, no. 2581)

Penjelasan hadis,

Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdul ‘Aziz Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 1376H) berkata:

في هذا الحديث: أن المفلس حقيقة من أخذ غرماؤه أعماله الصالحة.

“Pada hadis ini menjelaskan bahawa: Sesungguhnya orang yang muflis dengan muflis yang sebenar-benarnya adalah orang yang amal-amal solehnya diambil lalu diberikan kepada orang-orang yang pernah dia zalimi (ketika di dunia).” (Tathrizu Riyadhish Shalihin, m/s. 170)

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

قالوا: يا رسول الله، المفلس فينا من لا درهم عنده ولا متاع، يعني ليس عنده نقود ولا عنده متاع، أي: أعيان من المال، أي: إن المفلس يعني الفقير، وهذا هو المعروف من المفلس بين الناس، فإذا قالوا: من المفلس ؟ يعني الذي ليس عنده فلوس، ولا عنده متاع، بل هو فقير.

“Para sahabat Nabi mengatakan, “Wahai Rasulullah, orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak pula harta…” Yakni orang yang tidak memiliki wang tunai, dan tidak pula harta benda. Yakni, kehabisan harta. Maknanya, orang yang muflis itu adalah orang-orang yang faqir, dan inilah makna muflis yang difahami di kalangan manusia. Apabila ditanyakan, siapakah orang yang muflis? (Maka jawabnya) yakni orang-orang yang tidak punya fulus (harta dan wang), dan tidak pula harta benda, bahkan dia adalah orang yang faqir.”

فقال النبي صلى الله عليه وسلم: المفلس من يأتي يوم القيامة بصلاة وصيام وزكاة وفي رواية: من يأتي بحسنات مثل الجبال أي يأتي بحسنات عظيمة، فهو عنده ثروة من الحسنات لكنه يأتي وقد شتم هذا، وضرب هذا، وأخذ مال هذا، وسفك دم هذا، أي: اعتدى على الناس بأنواع الاعتداء، والناس يريدون أخذ حقهم، ما لا يأخذونه في الدنيا يأخذونه في الآخرة، فيقتص لهم منه، فيأخذ هذا من حسناته وهذا من حسناته، وهذا من حسناته بالعدل والقصاص بالحق، فإن فنيت حسناته أخذ من سيئاتهم فطرحت عليه ثم طرح في النار، والعياذ بالله .

“Maka Nabi pun menjawab, “Sesungguhnya orang yang muflis dari kalangan umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa (pahala) solat, puasa dan zakat…” atau dalam riwayat yang lain, “Orang yang datang dengan kebaikan seperti gunung…” Yakni dengan kebaikan yang besar, dia memiliki sejumlah simpanan kebaikan yang banyak. Namun dia sering mencela (atau menyakiti), memukul orang tertentu, mengambil harta orang tertentu, atau menumpahkan darah orang tertentu. Yakni dia sering melakukan kemelampauan (kezaliman) terhadap manusia dengan pelbagai bentuknya, dan orang-orang yang dia zalimi tersebut ingin mengambil haknya dari dirinya. Hak yang tidak dapat mereka ambil (tuntut) ketika di dunia, akan mereka ambil ketika di akhirat. Maka dilakukanlah qishash bagi mereka dari dirinya. Seseorang akan mengambil kebaikannya, demikian pula orang yang lain berikutnya bersesuaian dengan keadilan (atau kadar kezalimannya) menurut qishash yang benar. Jika kebaikannya telah habis, maka akan diambillah dari keburukan-keburukan orang-orang yang telah dia zalimi tersebut, lalu dilemparkan kepadanya, kemudian dia pun dicampakkan ke dalam Neraka. Wal ‘iyyaazu billaah (dan kita memohon perlindungan kepada Allah)…”

تنقضي حسناته، ثواب الصلاة ينتهي، وثواب الزكاة ينتهي، وثواب الصيام ينتهي، كل ما عنده من حسناته ينتهي، فيؤخذ من سيئاتهم ويطرح عليه، ثم يطرح في النار، والعياذ بالله .

“(Yakni) habislah segala kebaikannya (pahalanya), habis pahala solatnya, habis pahala zakatnya, habis pahala puasanya, dan habis segala kebaikan yang ada padanya. Lalu diambil pula dari keburukan-keburukan orang dia zalimi dan dilemparkan ke atasnya, kemudian dia pun dilemparkan ke dalam Neraka. Wal ‘iyyaazu billaah (dan kita memohon perlindungan kepada Allah)…”

وصدق النبي صلى الله عليه وسلم فإن هذا هو المفلس حقاً، أما مفلس الدنيا فإن الدنيا تأتي وتذهب، ربما يكون الإنسان فقيراً فيمسى غنياً، أو بالعكس، لكن الإفلاس كل الإفلاس أن يفلس الإنسان من حسناته التي تعب عليها، وكانت أمامه يوم القيامة يشاهدها، ثم تؤخذ منه لفلان وفلان

“Benarlah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka inilah muflis yang sebenar-benarnya. Adapun muflis di dunia, maka sesungguhnya dunia itu datang dan pergi, boleh jadi sekarang dia merupakan insan yang faqir, tetapi kemudian dia menjadi kaya, ataupun sebaliknya. Akan tetapi orang orang yang benar-benar muflis adalah orang yang muflis dari kebaikannya yang telah susah-payah dia usahakan dan dapatkan dalam keadaan hari Kiamat telah dia saksikan di hadapannya, lalu kemudian kebaikan-kebaikannya tersebut diambil seraya diberikan kepada fulan dan fulan (yang telah dia zalimi ketika di dunia dulunya).”

وفي هذا: التحذير من العدوان على الخلق، وأنه يجب على الإنسان أن يؤدي ما للناس في حياته قبل مماته، حتى يكون القصاص في الدنيا مما يستطيع، أما في الآخرة فليس هناك درهم ولا دينار حتى يفدي نفسه، ليس فيه إلا الحسنات، يقول الرسول صلى الله عليه وسلم: فيأخذ هذا من حسناته، وهذا من حسناته، فإذا فنيت حسناته أخذ من سيئاتهم ثم طرح عليه، وطرح في النار .

“Pada hadis ini juga terkandung peringatan tentang kemelampauan, dosa dan kezaliman terhadap sesama makhluk. Sesungguhnya seseorang wajib menunaikan kewajiban (hak) orang lain selagi dia masih hidup, sebelum dia mati, sampailah qishash itu ditegakkan ketika di dunia dengan sesuatu yang dapat (atau mampu) dia tunaikan. Adapun di akhirat, maka di sana tidak ada dinar dan tidak pula dirham, sampailah dia tidak mampu menebus jiwanya sendiri, tidak ada padanya (untuk menebus kezalimannya) melainkan dengan kebaikan-kebaikannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

“Maka diambillah yang ini dari kebaikannya, dan yang ini dari kebaikannya…”

Jika kebaikannya telah habis, diambil pula kebaikan dari orang yang dia zalimi lalu dilemparkan kepadanya, dan dia pun dilemparkan ke dalam Neraka.”

ولكن هذا الحديث لا يعني أنه يخلد في النار، بل يعذب بقدر ما حصل عليه من سيئات الغير التي طرحت عليه، ثم بعد ذلك مآله إلى الجنة ؛ لأن المؤمن لا يخلد في النار، ولكن النار حرها شديد، لا يصبر الإنسان على النار ولو للحظة واحدة، هذا على نار الدنيا فضلاً عن نار الآخرة، أجارني الله وإياكم منها .

“Tetapi hadis ini bukanlah untuk menunjukkan dia kekal di dalam Neraka, tetapi dia diazab bersesuaian dengan kadar apa yang dibebankan atasnya dari keburukan-keburukan orang lain yang telah dilemparkan ke atasnya. Kemudian, setelah itu dia akan dimasukkan ke dalam Syurga, kerana seorang mukmin itu tidak kekal di dalam Neraka. Akan tetapi, (ingatlah) bahawa panasnya Neraka sangatlah dahsyat, tidak akan ada seseorang yang mampu bersabar di dalamnya walaupun hanya untuk waktu yang sebentar Cuma. Sekarang ini di atas api di dunia (yang dapat kita lihat dan rasakan), yang api akhirat itu jauh lebih dahsyat. Semoga Allah melindungiku dan juga kalian darinya.” (Syarh Riyadh Ash-Shalihin oleh Ibn ‘Utsaimin, 1/251)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

معناه أن هذا حقيقة المفلس وأما من ليس له مال ومن قل ماله فالناس يسمونه مفلسا وليس هو حقيقة المفلس لأن هذا أمر يزول وينقطع بموته وربما ينقطع بيسار يحصل له بعد ذلك في حياته وانما حقيقة المفلس هذا المذكور في الحديث فهو الهالك الهلاك التام والمعدوم الاعدام المقطع فتؤخذ حسناته لغرمائه فاذا فرغت حسناته أخذ من سيئاتهم فوضع عليه ثم ألقي في النار فتمت خسارته وهلاكه وافلاسه قال المازري وزعم بعض المبتدعة أن هذا الحديث معارض لقوله تعالى ولا تزر وازرة وزر أخرى وهذا الاعتراض غلط منه وجهالة بينة لانه إنما عوقب بفعله ووزره وظلمه فتوجهت عليه حقوق لغرمائه فدفعت اليهم من حسناته فلما فرغت وبقيت بقية قوبلت على حسب ما اقتضته حكمة الله تعالى في خلقه وعدله في عباده فأخذ قدرها من سيئآت خصومه فوضع عليه فعوقب به في النار فحقيقة العقوبة إنما هي بسبب ظلمه ولم يعاقب بغير جناية وظلم منه وهذا كله مذهب اهل السنة والله اعلم

“Maknanya, inilah hakikat muflis yang sebenar-benarnya. Adapun orang yang tidak memiliki harta atau orang yang sedikit hartanya, maka di kalangan manusia dinamakan sebagai muflis. Namun itu bukanlah hakikat muflis yang dimaksudkan, kerana muflis di dunia akan terputus dengan kematiannya.

Dan boleh jadi juga, seseorang boleh bangkit dari pasca kemuflisan dunia lalu menjadi kaya-raya. Jadi, hakikat muflis yang sebenar-benarnya adalah sebagaimana yang disebutkan pada hadis ini. Itulah dia kecelakaan yang benar-benar menghancurkan, di mana kebaikan-kebaikannya yang dibawanya diambil lalu diberikan kepada orang-orang yang menghutanginya (yakni yang dia zalimi ketika di dunia). Jika kebaikannya habis, maka keburukan (dosa-dosa) para penghutangnya pun dibebankan ke atasnya, lalu dia pun dicampakkan ke dalam Neraka. Maka sempurnalah kerugiannya, kecelakaanya, dan kemuflisannya.

Al-Maziri berkata:

“Sebahagian ahli bid’ah mendakwa bahawa hadis ini bertentangan dengan firman Allah Ta’ala:

“Orang-orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain…” (Surah Al-Fathir, 35: 18)

Pertentangan ini adalah kesalahan yang berasal dari kejahilan mereka terhadap dalil-dalil, kerana suatu akibat (balasan) itu bersesuaian dengan amal-amal mereka, dosa, dan kezaliman mereka, yang mana menjadikan orang-orang yang terzalimi mendapatkan hak-hak mereka, iaitu berupa pemberian kebaikan-kebaikan dari orang yang menzaliminya.

Jika kebaikan orang yang menzalimi telah habis (sedang belum tercukupkan), maka hisab yang setimpal ditetapkan bersesuaian dengan hikmah (kebijaksanaan) dan keadilan Allah Ta’ala atas makhluk dan hamba-Nya, maka diambillah keburukan-keburukan (berupa dosa-dosa) orang yang dizalimi bersesuaian kadarnya lalu ditimpakan dan dibebankan atas orang yang menzalimi mereka. Maka, dengan sebab itu mereka pun dimasukkan ke dalam Neraka. Jadi secara hakikatnya, hal tersebut adalah dengan sebab kezaliman mereka sendiri (ketika di dunia), bukan disebabkan kesalahan dan kezaliman orang lain. Dan inilah mazhab Ahlus Sunnah, wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 6/66-67)

Wallaahu a’lam.