Nyanyian dan Muzik Ketika Hari Raya dan Majlis Walimah?
Tulisan ini adalah kesinambungan dari beberapa artikel yang telah lalu berkaitan hukum muzik. Tulisan terdahulu boleh dicapai di, Bahagian 1, Bahagian 2, Bahagian 3.
Secara umum bermain dan mendengar muzik adalah terlarang, namun dikecualikan bagi dua keadaan, iaitu ketika hari raya dan ketika majlis walimah (majlis perkahwinan). Iaitu apabila ia dimainkan oleh kanak-kanak perempuan dari kalangan hamba yang belum baligh atau belum mukallaf, dan alat muzik yang dibenarkan untuk itu adalah hanya dengan duff (kompang). Sebahagian ulama turut membolehkan ketika berlangsungnya khitan.
Hal ini disebutkan dalam beberapa hadis. Di antara hadis-hadisnya adalah sebagaimana berikut.
Nyanyian ketika hari ‘Ied (hari raya):
Dari ‘Urwah, dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:
دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثَ، فَاضْطَجَعَ عَلَى الفِرَاشِ، وَحَوَّلَ وَجْهَهُ، وَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ، فَانْتَهَرَنِي وَقَالَ: مِزْمَارَةُ الشَّيْطَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقْبَلَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ عَلَيْهِ السَّلاَمُ فَقَالَ: «دَعْهُمَا»، فَلَمَّا غَفَلَ غَمَزْتُهُمَا فَخَرَجَتَا
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memasuki rumahku dan di sisiku ada dua jaariyah (kanak-kanak perempuan dari kalangan hamba) yang sedang menyanyikan nyanyian Bu’aats. Lalu beliau berbaring dengan membelakangi kami di atas tempat pembaringan. Lalu masuk pula Abu Bakr dan memarahi (atau mengherdik)ku seraya berkata, “Ada seruling syaitan di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?” Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menghampirinya dan bersabda:
“Biarkan saja mereka berdua.”
Ketika Abu Bakr terleka, aku pun mencuit kedua-dua jaariyah tersebut dan mereka pun beredar keluar (pergi).” (Shahih Al-Bukhari, no. 949)
Dari ‘Urwah, dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:
دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ مِنْ جَوَارِي الأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ، قَالَتْ: وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَلِكَ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا
“Abu Bakr masuk ke rumahku dan di sisiku ada dua jaariyah dari kalangan hamba kaum Anshaar yang sedang menyanyikan sya’ir yang sering disebut-sebut (yakni sya’ir kebanggaan) kaum Anshaar tatkala hari Bu’aats. Dan mereka berdua bukanlah dari kalangan penyanyi. Maka Abu Bakr berkata:
“Seruling syaitan di rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?”
Dan pada ketika itu adalah hari ‘Ied (hari raya), maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:
“Wahai Abu Bakr, sesungguhnya bagi setiap kaum itu punya hari ‘Ied dan hari ini adalah hari ‘Ied kita.” (Shahih Al-Bukhari, no. 952. Muslim, no. 892)
Juga dalam redaksi yang lain, dari ‘Urwah, dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، دَخَلَ عَلَيْهَا وَعِنْدَهَا جَارِيَتَانِ فِي أَيَّامِ مِنَى تُدَفِّفَانِ، وَتَضْرِبَانِ، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَغَشٍّ بِثَوْبِهِ، فَانْتَهَرَهُمَا أَبُو بَكْرٍ، فَكَشَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ وَجْهِهِ، فَقَالَ: دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، فَإِنَّهَا أَيَّامُ عِيدٍ، وَتِلْكَ الأَيَّامُ أَيَّامُ مِنًى
“Bahawa Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu masuk menemuinya (‘Aisyah) pada hari Mina dan di sisinya ada dua jaariyah (kanak-kanak perempuan dari kalangan hamba) yang sedang memukul duff (kompang). Dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ketika itu sedang dalam keadaan menutup wajah dengan bajunya. (Ketika melihat keadaan tersebut) maka Abu Bakr pun memarahi (atau mengherdik) kedua-dua jaariyah tadi. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menyingkap baju yang menutup wajahnya lalu berkata:
“Biarkan mereka wahai Abu Bakr, kerana pada hari ini adalah hari ‘Ied.” Pada ketika itu adalah hari-hari Mina.” (Shahih Al-Bukhari,no. 987)
Dalam redaksi yang lain lagi, dari ‘Urwah, dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ، دَخَلَ عَلَيْهَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا يَوْمَ فِطْرٍ أَوْ أَضْحًى، وَعِنْدَهَا قَيْنَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاذَفَتْ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثٍ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ؟ مَرَّتَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَإِنَّ عِيدَنَا هَذَا اليَوْمُ
“Bahawa Abu Bakr masuk menemuinya pada hari Fithr atau Adh-ha, dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berada di sisinya. Dan di sisi ‘Aisyah ada qainataan [iaitu dua kanak-kanak perempuan dari kalangan hamba – pent.] yang sedang menyanyi dengan apa yang sering disebut-sebut (sebagai kebanggaan) kaum Anshaar di hari Bu’aats. Maka Abu Bakr pun berkata:
“Seruling syaitan?” (sebanyak dua kali). Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata:
“Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakr, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya, dan sesungguhnya hari ini adalah hari raya kita.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3931)
Sebagaimana telah dibahaskan pada tulisan yang lalu bahawa hukum asal bagi nyanyian adalah terlarang apatah lagi dengan menggunakan alat muzik. Namun dengan hadis yang dinyatakan ini menunjukkan adanya satu pengkhususan akan keharusan nyanyian dan mendengarnya pada hari ‘Ied. Dan ini dibolehkan hanya jika yang menyanyikannya adalah dari kalangan jaariyah dan dengan alat muzik jenis duff, atau dikenal sebagai kompang. Iaitu alat muzik yang memiliki dua sisi, yang salah satu sisinya dibiar terbuka (atau berlubang) dan satu sisi lagi tertutup untuk dipalu.
Manakala maksud jaariyah pada hadis tersebut adalah merujuk kepada kanak-kanak perempuan dari kalangan hamba yang belum baligh atau belum mukallaf. (lihat: Ighatsatul Lahfan, m/s. 257. Fathul Bari, 2/440)
Adapun makna qaynah, disebutkan dalam Tahdziib Al-Lughah:
إنّما قيل للمغنّية قَيْنَة إذا كان الغِناء لها صناعةً، وذلك مِن عَمَل الإماء دُون الحرائر
“Sesungguhnya kalimat qainah disebutkan untuk penyanyi perempuan apabila nyanyian menjadi kebiasaan baginya, dan ini adalah amalan hamba-hamba perempuan, bukan amalan wanita-wanita yang merdeka.” (Tahdziib Al-Lughah oleh Al-Azhari, 3/277 – Maktabah Syamilah)
Al-Imam Abu Al-‘Abbas Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 656H) menyebutkan:
و القيْنة: الأمة؛ مغنية كانت أو غير مغنية. وقد غلط من ظنها المغنية فقط
“Qainah: adalah al-amah (hamba perempuan); sama ada penyanyi atau bukan penyanyi. Dan benar-benar telah salah orang yang menganggapnya semata-mata “penyanyi perempuan”.” (Al-Mufhim li ma Asykala min Talkhish Kitab Shahih Muslim, 19/41 – Maktabah Syamilah)
Sebenarnya telah salah-lah orang yang memaknakan kalimat “qainataan” pada hadis tersebut dengan semata-mata makna “dua penyanyi wanita” secara literal. Bertaqwalah kepada Allah dan takutlah berkata atas nama Nabi secara dusta. Implikasi dan bentuk salah faham yang akan terhasil amatlah besar! Lebih menghairankan lagi apabila ia dilakukan oleh tokoh berpangkat Dr. Phd. [lihat: http://drmaza.com/home/?p=1187]
Sedangkan lafaz atau kalimat tersebut asalnya merujuk kepada makna “hamba perempuan”. Selain itu kalimat tersebut sewajarnya dikompromikan dengan lafaz-lafaz pada riwayat-riwayat dan redaksi yang seumpama yang lebih merinci serta agar tidak dilihat saling bercanggah dan bertentangan. Maka barulah akan dapat difahami secara menyeluruh makna yang dikehendaki dan selayaknya.
Apatah lagi pada riwayat yang lain telah merincikan kalimat tersebut dengan kata “jaariyah” dan dengan jelas disebutkan oleh ‘Aisyah:
وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ
“Dan mereka berdua bukanlah dari kalangan penyanyi…”
Seterusnya, kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
قَوْلُهُ: ( مِزْمَارَةُ الشَّيْطَانِ ) بِكَسْرِ الْمِيمِ يَعْنِي الْغِنَاءَ أَوْ الدُّفَّ، لِأَنَّ الْمِزْمَارَةَ أَوِ الْمِزْمَارَ مُشْتَقٌّ مِنَ الزَّمِيرِ وَهُوَ الصَّوْتُ الَّذِي لَهُ الصَّفِيرُ، وَيُطْلَقُ عَلَى الصَّوْتِ الْحَسَنِ وَعَلَى الْغِنَاءِ، وَسُمِّيَتْ بِهِ الْآلَةُ الْمَعْرُوفَةُ الَّتِي يُزَمَّرُ بِهَا، وَإِضَافَتُهَا إِلَى الشَّيْطَانِ مِنْ جِهَةِ أَنَّهَا تُلْهِي، فَقَدْ تَشْغَلُ الْقَلْبَ عَنِ الذِّكْرِ
“Perkataannya “mizmaaratu Asy-Syaithaan” dengan mim kasrah, maka ia merujuk al-ghinaa’ (nyanyian) atau duff (kompang). Bagi kata al-mizmaarah atau al-mizmaar ia terbina dari kata az-zamiir, dan ia adalah suara dari alat yang ditiup. Di-ithlaqkan juga untuk suara nyanyian yang merdu. Dinamakan juga dengannya alat-alat muzik yang ditiup. Dan ia di-idhafahkan kepada syaithaan kerana ia termasuk alat muzik yang dapat melalaikan dan menyibukkan qalb (hati) dari berdzikir.” (Fathul Bari, 2/442)
Hari Bu’aats adalah hari yang dikenal dalam sejarah sebagai hari pertembungan atau peperangan di antara puak Aus dan Khazraj.
Huraian para ulama:
Imam Abu Thayyib Ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 450H) menyatakan:
هذا الحديث حجتنا، لأن أبا بكر سمى ذلك مزمور الشيطان، ولم ينكر النبي صلى الله عليه وسلم على أبي بكر قوله، وإنما منعه من التغليظ في الإنكار لحسن رفقته، لا سيما في يوم العيد، وقد كانت عائشة رضي الله عنها صغيرة في ذلك الوقت، ولم ينقل عنها بعد بلوغها وتحصيلها إلا ذم الغناء، وقد كان ابن أخيها القاسم بن محمد يذم الغناء ويمنع من سماعه، وقد أخذ العلم عنها
“Hadis tersebut (iaitu hadis ‘Aisyah di atas) merupakan hujjah bagi kami. Ini adalah kerana Abu Bakr telah menamakannya sebagai seruling syaitan, dan perkataan ini tidak diingkari oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan beliau hanya melarang Abu Bakr agar tidak bersikap keras dalam mengingkarinya atas sifat lemah-lembut Nabi terhadap mereka, terutama pada hari ‘Ied. Apatah lagi ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha masih kecil (kanak-kanak) pada ketika itu. Dan tidaklah dinukil sebarang kisah tentang ‘Aisyah setelah beliau baligh dan menginjak dewasa melainkan celaannya terhadap nyanyian. Anak saudara beliau yang bernama Al-Qaasim bin Muhammad mencela nyanyian dan melarang dari mendengarnya. Dan Al-Qasim telah mengambil ilmu daripada ‘Aisyah.” (lihat: Talbis Iblis oleh Ibnul Jauzi, m/s. 212)
Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) berkomentar:
والظاهر من هاتين الجاريتين صغر السن لأن عائشة كانت صغيرة وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يسرب إليها الجواري فيلعبن معها – ثم ذكر بسنده عن أحمد بن حنبل أنه سئل أي شيء هذا الغناء قال غناء الركب: أتيناكم أتيناكم
“Secara zahirnya, dapat dilihat bahawa dua jaariyah tersebut masih kecil dan ‘Aisyah juga masih kecil. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam membolehkan kanak-kanak perempuan dari kalangan hamba menemani dan bermain bersamanya. Kemudian beliau menyebutkan sanadnya dari Ahmad bin Hanbal bahawa beliau ditanya tentang jenis nyanyian ini dan beliau berkata, “Nyanyian iringan: Kami datang, kami datang!” (Talbis Iblis, m/s. 201)
Kemudian beliau berkata lagi dalam kitab yang sama di lembaran yang seterusnya:
أما حديث عائشة رضي الله عنها فقد سبق الكلام عليهما وبينا أنهم كانوا ينشدون الشعر وسمي بذلك غناء لنوع يثبت في الإنشاد وترجيع ومثل ذلك لا يخرج الطباع عن الاعتدال وكيف يحتج بذلك في الزمان السليم عند قلوب صافية على هذه الأصوات المطربة الواقعة في زمان كدر عند نفوس قد تملكها الهوى ما هذا إلا مغالطة للفهم أوليس قد صح في الحديث عن عائشة رضي الله عنها أنها قالت لو رأى رسول الله صلى الله عليه وسلم ما أحدث النساء لمنعهن المساجد. وإنما ينبغي للمفتي أن يزن الأحوال كما ينبغي للطبيب أن يزن الزمان والسن والبلد ثم يصف على مقدار ذلك وأين الغناء بما تقاولت به الأنصار يوم بعاث من غناء أمرد مستحسن بآلات مستطابة وصناعة تجذب إليها النفس وغزليات يذكر فيها الغزال والغزالة والخال. والخد والقد والاعتدال. فهل يثبت هناك طبع؟ هيهات بل ينزعج شوقا إلى المستلذ ولا يدعي أنه لا يجد ذلك إلا كاذب أو خارج عن حد الآدمية
“Adapun hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha telah disebutkan penjelasan tentangnya, iaitu yang dinyanyikan oleh dua jaariyah itu adalah sya’ir lalu disebut sebagai nyanyian, kerana terdapat unsur-unsur nasyid (alunan suara) dan irama di dalamnya. Hanya cuma nyanyian seperti itu tidak mengeluarkan dari tabiat keseimbangannya (wazan syair). Lalu bagaimana mungkin untuk disamakan di antara sya’ir pada masa yang aman oleh hati yang suci dengan suasana muzik yang begitu keras pada masa sekarang dan dimainkan oleh jiwa yang dipenuhi hawa nafsu. Jelas ini merupakan sebuah salah faham. Bukankah telah sahih dalam sebuah hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau berkata:
“Kalaulah Rasulullah tahu apa yang dilakukan oleh kaum wanita, tentu beliau akan melarang mereka pergi ke masjid.”
Hendaklah seseorang mufti memperhatikan keadaan tersebut sama seperti seorang tabib yang meneliti keadaan zaman, usia, dan negeri kemudian barulah menyebutkan kadar ubatnya. Tentu tidak sama di antara nyanyian yang dilantunkan oleh kaum Anshar pada hari Bu’aats dengan nyanyian para amrad (budak lelaki kecil yang belum tumbuh janggut) yang molek dengan alat-alat muzik yang menggerakkan jiwa serta puisi-puisi cinta dan percintaan, penyebutan sifat pipi, rupa paras dan lekuk tubuh. Adakah perkara seperti itu dapat meluruskan fitrah? Sungguh sangat jauh perbezaannya. Bahkan jiwa semakin terangsang untuk meraih kenikmatan. Tidak ada orang yang mendakwa selain itu melainkan orang yang dusta atau telah keluar dari batas fitrah kemanusiaan.” (Talbis Iblis, m/s. 211-212)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata dalam Kitab Syarh Shahih Muslim (6/182),
القاضي إنما كان غناؤهما بما هو من أشعار الحرب والمفاخرة بالشجاعة والظهور والغلبة وهذا لا يهيج الجواري على شر ولا انشادهما لذلك من الغناء المختلف فيه وإنما هو رفع الصوت بالانشاد ولهذا قالت وليستا بمغنيتين أي ليستا ممن يتغنىبعادة المغنيات من التشويق والهوى والتعريض بالفواحش والتشبيب بأهل الجمال وما يحرك النفوس ويبعث الهوى والغزل كما قيل الغنا فيه الزنى وليستا أيضا ممن اشتهر وعرف باحسان الغناء الذي فيه تمطيط وتكسير وعمل يحرك الساكن ويبعث الكامن ولا ممن اتخذ ذلك صنعة وكسبا والعرب تسمى الانشاد غناء
Al-Qadhi berkata, “Nyanyian yang dilantunkan oleh kedua kanak-kanak perempuan tersebut adalah sya’ir-sya’ir peperangan, yang membangkitkan semangat keberanian, menzahirkan kejayaan dan kemenangan. Dan bentuk sya’ir seperti ini tidaklah mengarahkan al-jawaari (kanak-kanak perempuan dari kalangan hamba – pent.) tersebut kepada kerosakan, dan tidak termasuk nyanyian yang diperselisihkan hukumnya. Namun ia hanya sekadar mengangkat suara dengan cara melantunkannya. Oleh sebab itulah ‘Aisyah menyatakan bahawa keduanya bukanlah penyanyi. Iaitu maksudnya keduanya tidak bernyanyi sebagaimana kebiasaan para penyanyi, tidak bertujuan menaikkan syahwat, hawa nafsu dan tidak mengungkapkan perkara-perkara keji dan tidak pula menyebut-nyebut kecantikan yang menggerakkan nafsu dan menarik perasaan. Sebagaimana dikatakan nyanyian adalah jalan kepada zina. Dan keduanya bukan dari kalangan yang masyhur dan dikenali pandai menyanyi, iaitu pandai mengolah suara dan membangkitkan ghairah orang yang diam dan menggerakkan sesuatu yang tersembunyi (di dalam hati). Dan bukan pula dari kalangan orang yang menjadikannya sebagai pekerjaan, sebagaimana halnya orang-orang ‘Arab menyebutkan nasyid (sya’ir) sebagai nyanyian.” (Syarh Shahih Muslim, 6/182-183)
Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:
فَفِي هَذَا الْحَدِيثِ بَيَانُ : أَنَّ هَذَا لَمْ يَكُنْ مِنْ عَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابِهِ الِاجْتِمَاعُ عَلَيْهِ وَلِهَذَا سَمَّاهُ الصِّدِّيقُ مِزْمَارَ الشَّيْطَانِ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَرَّ الْجَوَارِيَ عَلَيْهِ مُعَلِّلًا ذَلِكَ بِأَنَّهُ يَوْمُ عِيدٍ وَالصِّغَارُ يُرَخَّصُ لَهُمْ فِي اللَّعِبِ فِي الْأَعْيَادِ كَمَا جَاءَ فِي الْحَدِيثِ { لِيَعْلَمَ الْمُشْرِكُونَ أَنَّ فِي دِينِنَا فُسْحَةً } ” وَكَانَ لِعَائِشَةَ لُعَبٌ تَلْعَبُ بِهِنَّ وَيَجِئْنَ صَوَاحِبَاتُهَا مِنْ صِغَارِ النِّسْوَةِ يَلْعَبْنَ مَعَهَا
“Dalam hadis ini mengandungi penjelasan bahawasannya perkara tersebut (mendengar nyanyian dan memukul duff) bukanlah kebiasaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya, iaitu berkumpul padanya (untuk mendengarnya). Sebab itulah Abu Bakar Ash-Shiddiq menyebutkannya sebagai seruling syaitan. Dan dalam waktu yang sama, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyetujui apa yang dilakukan oleh al-jawaari (yakni kanak-kanak kecil dari kalangan hamba) tersebut dengan alasan bahawa hari tersebut adalah hari ‘Ied (hari raya). Kanak-kanak kecil diberikan keringanan untuk bernyanyi dan bermain-main sebagaimana telah datang dalam hadis, “Supaya orang-orang musyrik mengetahui bahawa dalam agama kita terdapat keluasan.” Sebagaimana juga ‘Aisyah memiliki permainan yang beliau gunakan untuk bermain (anak patung– pent.), dan kemudian diajak kanak-kanak kecil perempuan untuk bermain bersamanya.” (Majmu’ Al-Fatawa, 11/566)
Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) menjelaskan:
فلم ينكر صلى الله عليه و سلم على أبي بكر تسميته الغناء ( مزمار الشيطان ) وأقرهما لأنهما جاريتان غير مكلفتين تغنيان بغناء الأعراب الذي قيل في يوم حرب بعاث من الشجاعة والحرب وكان اليوم يوم عيد.
فتوسع حزب الشيطان في ذلك إلى صوت امرأة جميلة أجنبية أو صبي أمرد صوته فتنة وصورته فتنة يغني بما يدعو إلى الزنى والفجور وشرب الخمور مع آلات اللهو التي حرمها رسول الله في عدة أحاديث كما سيأتي مع التصفيق والرقص وتلك الهيئة المنكرة التي لا يستحلها أحد من أهل الأديان فضلا عن أهل العلم والإيمان ويحتجون بغناء جوير يتين غير مكلفتين بنشيد الأعراب ونحوه في الشجاعة ونحوها في يوم عيد بغير شبابة ولا دف ولا رقص ولا تصفيق ويدعون المحكم الصريح لهذا المتشابه وهذا شأن كل مبطل. نعم نحن لا نحرم ولا نكره مثل ما كان في بيت رسول الله على ذلك الوجه وإنما نحرم نحن وسائر أهل العلم والإيمان السماع المخالف لذلك وبالله التوفيق.
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak menafikan perkataan Abu Bakar yang menamakan nyanyian sebagai seruling syaitan, dan dalam masa yang sama beliau membenarkan kedua-dua jaariyah tersebut disebabkan keduanya masih belum mukallaf, iaitu masih belum dibebankan dengan beban syari’at. Mereka menyanyikan lagu-lagu ‘Arab Badwi yang dinyanyikan ketika perang Bu’aats (yakni peperangan antara Aus dengan Khajraj di masa jahiliyah – pent.), iaitu dari nyanyian yang membangkitkan keberanian dan semangat berperang. Dan bahawa hari tersebut adalah hari ‘Ied (hari raya).
Namun para hizb Asy-Syaitan (pengikut syaitan) malah memperluas makna dari hadis tersebut pada membolehkan suara wanita-wanita cantik ajnabiyah (yang bukan mahram) atau lelaki amrad yang suara dan rupanya menimbulkan fitnah. Mereka menyanyi pula dengan nyanyian yang mempengaruhi ke arah zina, pergaulan bebas, dan meminum khamr, diiringi pula dengan alat-alat muzik yang telah diharamkan oleh Rasul Allah dalam banyak hadis sebagaimana akan kami bawakan, mereka menyanyi bersama tepukan tangan dan tarian, dan yang demikian adalah termasuk bentuk kemungkaran yang tidak dihalalkan oleh walau seorang pun orang yang beragama yang memiliki keutamaan dari kalangan ahli ilmu dan ahli iman.
Mereka mengambil dalil nyanyian dua jaariyah yang belum mukallaf tersebut yang bernasyid dengan nasyid ‘Arab Badwi yang membangkitkan keberanian dan yang dilakukan pada hari ‘Ied tanpa alat muzik (berupa kerincing), tanpa duff, tanpa tarian, dan tanpa tepukan tangan, mereka meninggalkan dalil yang muhkam lagi sharih (jelas) kepada yang mutasyaabih (samar-samar), dan keadaan (orang yang berbuat demikian) ini seluruhnya bathil.
Benar, kami tidak mengharamkan dan tidak membenci semisal apa yang pernah berlaku di rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana dalam hadis, akan tetapi kami bersama seluruh ahli ilmu dan ahli iman mengharamkan perbuatan mendengar nyanyian yang menyelisihi (atau melampaui) dari apa yang terdapat dalam hadis. Wa billaahi At-Taufiiq (dan hanya Allah yang dapat memberikan taufiq).” (Ighatsatul Lahfan, m/s. 257)
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) berkata dalam kitab beliau, Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari:
ففيه تعليل الأمر بتركهما وإيضاح خلاف ما ظنه الصديق من أنهما فعلتا ذلك بغير علمه صلى الله عليه و سلم لكونه دخل فوجده مغطى بثوبه فظنه نائما فتوجه له الإنكار على ابنته من هذه الأوجه مستصحبا لما تقرر عنده من منع الغناء واللهو فبادر إلى إنكار ذلك قياما عن النبي صلى الله عليه و سلم بذلك مستندا إلى ما ظهر له فأوضح له النبي صلى الله عليه و سلم الحال وعرفه الحكم مقرونا ببيان الحكمة بأنه يوم عيد أي يوم سرور شرعى فلا ينكر فيه مثل هذا كما لا ينكر في الاعراس وبهذا يرتفع الإشكال عمن قال كيف ساغ للصديق إنكار شيء أقره النبي صلى الله عليه و سلم
“Dalam hadis tersebut terdapat alasan dan penjelasan yang bertolak belakang dengan apa yang dijangkakan oleh Ash-Shiddiq (Abu Bakar), bahawasannya mereka berdua (iaitu jaariyah tersebut) melakukannya tanpa pengetahuan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ini disebabkan, ketika Abu Bakr masuk, beliau melihat beliau (Nabi) dalam keadaan berselimut pakaiannya yang disangka sedang tidur. Maka Abu Bakr pun mengambil inisiatif melarangnya berdasarkan apa yang beliau fahami dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa nyanyian dan muzik adalah dilarang. Maka kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bangun menjelaskan perkara tersebut kepadanya, dan memberitahu tentang hukum yang berhubung dengan hikmah yang terkandung dalam hari ‘Ied, iaitu maksudnya kegembiraan yang disyari’atkan. Maka, tidaklah perkara tersebut diingkari sebagaimana ianya juga tidak dilarang (ditegah) ketika al-‘urus (majlis pernikahan). Dengan ini maka terjawablah isykal (kemusykilan) orang yang menanyakan, “Bagaimana mungkin Abu Bakar mengingkari apa yang dibenarkan oleh Rasulullah?”.” (Fathul Bari, 2/442)
Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar lagi:
واستدل جماعة من الصوفية بحديث الباب على إباحة الغناء وسماعه بآلة وبغير آلة ويكفى في رد ذلك تصريح عائشة في الحديث الذي في الباب بعده بقولها وليستا بمغنيتين فنفت عنهما من طريق المعنى ما أثبته لهما باللفظ لأن الغناء يطلق على رفع الصوت وعلى الترنم الذي تسميه العرب النصب بفتح النون وسكون المهملة وعلى الحداء ولا يسمى فاعله مغنيا وإنما يسمى بذلك من ينشد بتمطيط وتكسير وتهييج وتشويق بما فيه تعريض بالفواحش أو تصريح
“Sebahagian jama’ah kaum sufi berdalil dengan hadis ini tentang bolehnya menyanyi dan mendengar nyanyian sama ada dengan diiringi alat muzik ataupun tidak. Tetapi pendapat ini tertolak dengan hadis ‘Aisyah yang disebutkan di bab setelahnya iaitu perkataan ‘Aisyah, “Mereka berdua bukanlah penyanyi.” Di sini secara makna ‘Aisyah menolak pernyataan Abu Bakar yang mengatakan bahawa itu adalah nyanyian, kerana nyanyian disebutkan untuk suara yang dikeraskan dan memiliki alunan yang disebut orang ‘Arab dengan nama nashb [dengan nuun fat-hah dan shad disukun] serta didendangkan dengan al-hudaa’ (sejenis sya’ir ‘Arab). Dan tidaklah pelakunya dinamakan sebagai penyanyi, dan adapun dinamakan menyanyi itu apabila dia mengolah suara dengan susunan irama tertentu dan dapat membangkitkan dan menyentuh perasaan serta menaikkan nafsu tersembunyi atau yang tashrih (terang-terangan).” (Fathul Bari, 2/442)
قال القرطبي قولها ليستا بمغنيتين أي ليستا ممن يعرف الغناء كما يعرفه المغنيات المعروفات بذلك وهذا منها تحرز عن الغناء المعتاد عند المشتهرين به وهو الذي يحرك الساكن
Al-Qurthubi berkata, “Ucapan ‘Aisyah, “Mereka berdua bukanlah penyanyi.” di mana kedua hamba wanita tersebut bukanlah orang yang dikenali sebagai penyanyi sebagaimana para artis. Ini merupakan larangan untuk menyanyikan lagu yang menjadi kebiasaan orang-orang tertentu (seperti dari kalangan penyanyi – pent.). Iaitu yang dapat memancing ghairah orang yang sedang diam dan yang dapat membangunkan orang yang dalam keadaan tenang…” (Fathul Bari, 2/442)
Kata Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 656H) lagi:
قال وأما ما ابتدعه الصوفية في ذلك فمن قبيل ما لا يختلف في تحريمه لكن النفوس الشهوانية غلبت على كثير ممن ينسب إلى الخير حتى لقد ظهرت من كثير منهم فعلات المجانين والصبيان حتى رقصوا بحركات متطابقة وتقطيعات متلاحقة وانتهى التواقح بقوم منهم إلى أن جعلوها من باب القرب وصالح الأعمال وأن ذلك يثمر سني الأحوال وهذا على التحقيق من آثار الزندقة وقول أهل المخرفة والله المستعان.
“Adapun kebid’ahan yang dilakukan orang-orang sufi, ia termasuk perkara yang tidak di-khilafkan lagi akan keharamannya (yakni maksudnya para ulama bersepakat atas keharamannya). Hanya saja dalam persoalan ini hawa nafsu lebih menguasai kebanyakan orang yang menyandarkan dirinya kepada kebaikan. Malah dari kebanyakan mereka muncul tingkah laku seperti orang-orang gila dan kanak-kanak kecil sehingga mereka menari (menggoyang-goyangkan badan) dengan gerakan yang dapat kita lihat dan dengan irama sya’ir yang bersahut-sahutan.”
Bahkan tidak dinafikan tanpa rasa malu di kalangan mereka, sebahagiannya ada yang menjadikan perkara tersebut sebagai sarana untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memasukkanya sebagai amal-amal soleh lalu mereka menganggapnya sebagai suatu yang mulia. Padahal sebenarnya ini adalah pengaruh orang-orang zindiq dan dari pendapat orang-orang yang telah menyimpang (dari jalan yang benar). Wallaahul musta’aan (hanya kepada Allah kita memohon pertolongan).” (Al-Qurthubi, Al-Mufhim, 8/11-12. Ibnu Hajar, Fathul Bari, 2/442)
Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H) menjelaskan:
من تعاليم النبي صلى الله عليه و سلم وأحاديثه كثيرة في تحريم الغناء وآلات الطرب ( ثم ذكرت بعض مصادرها المتقدمة ثم قلت: ) لو لا علم أبي بكر بذلك وكونه على بينة من الأمر ما كان له أن يتقدم بين يدي النبي صلى الله عليه و سلم وفي بيته بمثل هذا الإنكار الشديد غير أنه كان خافيا عليه أن هذا الذي أنكره يجوز في يوم عيد فبينه له النبي صلى الله عليه و سلم بقوله: دعهما يا أبا بكر فإن لكل قوم عيدا وهذا عيدنا ” فبقي إنكار أبي بكر العام مسلما به لإقراره صلى الله عليه و سلم إياه ولكنه استثنى منه الغناء في العيد فهو مباح بالمواصفات الواردة في هذا الحديث
“Dari pelajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan hadis-hadis beliau yang banyak menetapkan haramnya nyanyian dan alat-alat muzik (kemudian aku menyebutkan beberapa rujukan terdahulu, lalu aku katakan). Sekiranya bukan kerana Abu Bakr telah mengetahui hukum tersebut, dan sekiranya bukan disebabkan beliau telah memahami persoalan ini, tidak mungkin beliau berani mendahului Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam melakukan tegahan yang tegas tersebut. Hanya disebabkan Abu Bakr belum mengetahui bahawa perbuatan (nyanyian dengan kompang) yang dilarang itu sebenarnya dibolehkan pada hari ‘Ied (hari raya). Maka, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menerangkan kepadanya dengan perkataan beliau:
“Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar. (Kerana) setiap kaum memiliki hari ‘ied, dan sekarang adalah hari ‘Ied (hari raya) kita.”
Sehingga tegahan Abu Bakar yang bersifat umum (yakni dengan menyatakan nyanyian sebagai seruling syaitan – pent.) tersebut tetap diterima, disebabkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyetujuinya, namun beliau memberi pengecualian untuk hari ‘Ied, kerana pada ketika itu dibolehkan dengan syarat-syarat tertentu yang disebutkan dalam hadis.” (Tahrim Alat Ath-Tharb, m/s. 109)
Beliau (Syaikh Al-Albani) turut menyebutkan bahawa terdapat hadis-hadis yang tegas mengharamkan gambar-gambar berupa makhluk bernyawa termasuk patung-patung. Tetapi larangan (keharaman) tersebut dikecualikan bagi kanak-kanak perempuan kecil untuk bermain dengannya. Demikian dengan perkataan Ibnu Taimiyah di atas.
Perkara ini juga turut disebutkan oleh tokoh yang membolehkan muzik dengan dalil hadis ‘Aisyah bersama hamba kanak-kanak tersebut iaitu Ibnu Hazm dengan katanya:
وجائز للصبايا خاصة اللعب بالصور ولا يحل لغيرهن
“Bagi kanak-kanak kecil (perempuan) secara khusus, dibolehkan bermain-main dengan anak patung, namun tidak dibenarkan untuk selain mereka.” (Al-Muhalla, 10/75)
Terdapat contoh-contoh yang lain dalam syar’iat kita seumpama ini. Sesuatu yang lazimnya diharamkan, namun diperbolehkan untuk suatu waktu tertentu dengan ketentuan tertentu.
Antaranya bagi seorang lelaki dibolehkan untuk nadzhor pada wanita sebelum menikahinya. Sedangkan umumnya hal tersebut adalah terlarang dan disebutkan dalam hadis dengan lafaz:
فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ
“Zina mata itu dengan menadzor (melihat)…”
Para ulama terbahagi kepada dua pendapat dalam hal ini, iaitu dibolehkan melihat pada wajah dan dua tapak tangan, dan sebahagian yang lain membolehkan nadzor seorang wanita pada apa yang biasa tampak darinya ketika dia bersama mahramnya.
Adapun dalam mazhab Dzhohiri yang dipegang oleh Ibnu Hazm agak berlebihan, di mana membolehkan menadzor seluruh tubuh wanita yang hendak dinikahi ketika waktu meminang.
Maka demikian halnya dengan hukum nyanyian atau muzik ini. Secara umumnya ia adalah haram, tetapi dikhususkan pembolehannya ketika hari raya apabila ia dinyanyikan dan dimainkan oleh jaariyah. Dan alat muzik yang dibenarkan adalah sekadar duff (kompang) serta tidak pula mengandungi kata-kata yang buruk, maksiat, atau dusta.
Pengkhususan seperti ini juga turut berlaku bagi majlis-majlis walimah sebagaimana akan disebutkan hadis-hadisnya.
Namun ada syubhat yang datang dalam hal ini, mereka mempersoalkan:
“… apakah jika nyanyian suara syaitan maka pada hari raya ia tidak menjadi suara syaitan lagi dan selepas itu kembali menjadi suara syaitan semula?! Atau apakah pada hari raya maka suara syaitan dibenarkan?” [lihat: http://drmaza.com/home/?p=1187]
Sebenarnya perkara ini telah dijawab sebagaimana di atas berserta dengan dua contoh. Dan di mana perkara yang umumnya terlarang boleh menjadi mubah pada keadaan tertentu dengan keberadaan nash yang mengkhususkannya. Dan boleh masuk dalam bab rukhshah. Sebagaimana halnya solat fardhu yang empat raka’at boleh menjadi dua raka’at sahaja tatkala safar.
Ini bukanlah suatu yang asing dan aneh, melainkan bagi mereka yang memiliki pemikiran yang aneh.
Bahkan boleh dijawab dengan pertanyaan dan contoh lain, mengapakah anak-anak diperintahkan masuk ke rumah dan pintu-pintu ditutup apabila menjelang senja atau malam kerana dikatakan Syaitan sedang berkeliaran?
Apakah di waktu yang lain tidak ada Syaitan?
Nah, jawabannya cukup mudah bagi orang yang beriman. Iaitu ittiba’. Kami dengar dan kami taat. Tak usah serabut akal fikir yang bukan-bukan.
Nyanyian ketika majlis walimah:
Daripada ‘Aamir bin Sa’d, beliau berkata:
دَخَلْتُ عَلَى قُرَظَةَ بْنِ كَعْبٍ، وَأَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ، فِي عُرْسٍ، وَإِذَا جَوَارٍ يُغَنِّينَ، فَقُلْتُ: أَنْتُمَا صَاحِبَا رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمِنْ أَهْلِ بَدْرٍ، يُفْعَلُ هَذَا عِنْدَكُمْ؟ فَقَالَ: اجْلِسْ إِنْ شِئْتَ فَاسْمَعْ مَعَنَا، وَإِنْ شِئْتَ اذْهَبْ، قَدْ رُخِّصَ لَنَا فِي اللَّهْوِ عِنْدَ الْعُرْسِ
“Aku masuk menemui Qurazhah bin Ka’b dan Abi Mas’oud Al-Anshari radhiyallahu ‘anhuma dalam satu majlis pernikahan yang di situ terdapat kanak-kanak perempuan (dari kalangan hamba) yang sedang menyanyi. Maka aku berkata, “Kalian berdua adalah sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan termasuk ahli Badr. Dan perkara ini dilakukan di sisi kalian berdua?”
Maka salah seorang daripada mereka menjawab, “Duduklah sekiranya engkau mahu dan dengarlah bersama kami. Atau pergilah sekiranya engkau mahu. Sebenarnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberikan rukhshah (keringanan) kepada kami mendengar hiburan di ketika majlis pernikahan.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 3383. Al-Mustadrak Al-Hakim, no. 2752. Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 16662. As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 14693. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, “Disahihkan oleh Al-Hakim dan Ath-Thabrani.” lihat: Fathul Bari, 9/226)
Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) meletakkan hadis tersebut pada bab:
بَابُ مَا يُسْتَحَبُّ مِنْ إِظْهَارِ النِّكَاحِ وَإِبَاحَةِ الضَّرْبِ بِالدُّفِّ عَلَيْهِ وَمَا لَا يُسْتَنْكَرُ مِنَ الْقَوْلِ
“Bab apa yang disukai bagi menzahirkan (atau menampakkan) pernikahan dan pembolehan memukul duff (kompang) atasnya dan apa yang tidak diingkari dari perkataan.” (As-Sunan Al-Kubra, 7/470)
Dari hadis ini menunjukkan keumuman hukum nyanyian atau muzik itu asalnya adalah terlarang, namun dikhususkan kemubahannya (pembolehannya) sebagai rukhshah ketika berlangsungnya walimah dengan beberapa ketentuan.
Kalimat “رُخِّصَ لَنَا” (keringan bagi kami) menunjukkan bahawa nyanyian dan memainkan duff merupakan pengecualian (yang dikhususkan) berdasarkan dalil dari asal keumuman larangannya.
Situasi serupa dapat dilihat dari kes yang lain sebagaimana yang terdapat dalam hadis di mana Anas bin Malik menjelaskan:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَخَّصَ لِعَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ، وَالزُّبَيْرِ بْنِ الْعَوَّامِ فِي الْقُمُصِ الْحَرِيرِ فِي السَّفَرِ مِنْ حِكَّةٍ كَانَتْ بِهِمَا أَوْ وَجَعٍ كَانَ بِهِمَا
“Bahawa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam telah memberi rukhshah (keringanan) kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf dan Az-Zubair bin ‘Awwam untuk mengenakan baju terbuat dari sutera dalam safar kerana mereka berdua diserang penyakit gatal atau penyakit yang lain.” (Shahih Muslim, no. 2076)
Maka, hadis ini merupakan pengkhususan dari asal keumuman larangan pemakaian sutera bagi lelaki sebagaimana sabda beliau Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam:
لَا تَلْبَسُوا الْحَرِيرَ، فَإِنَّهُ مَنْ لَبِسَهُ فِي الدُّنْيَا لَمْ يَلْبَسْهُ فِي الْآخِرَةِ
“Janganlah kalian memakai sutera, kerana sesiapa yang mengenakannya di dunia maka dia tidak akan dapat memakainya di akhirat.” (Shahih Muslim, no. 2069)
Rukhshah di sini datang setelah adalah pengharaman.
Sebagaimana kata Ibnu Hazm rahimahullah (Wafat: 456H):
الرخصة لأنها متيقنة بعد النهي إذ لا تكون لفظة الرخصة إلا عن شيء تقدم التحذير منه
“Rukhshah itu dipastikan setelah datang larangan sebelumnya di mana tidak ada lafaz rukhshah melainkan berasal dari sesuatu yang didahului tahdzir (peringatan) atas perkara tersebut.” (Al-Ihkaam fi Ushul Al-Ahkam, 3/347 – Daar Al-Hadiits)
Demkian juga dengan solat tatkala safar sebagai contoh yang lain. Yang mana solat fardhu yang empat raka’at itu asalnya tidak boleh dikerjakan dengan dua raka’at dalam keadaan mukim, namun diberikan oleh Allah Ta’ala sebagai rukhshah bagi para hamba-Nya yang safar agar dikerjakan sebanyak dua raka’at sahaja.
Seterusnya, kata Syaikh Al-Albani rahimahullah:
ويجوز له أن يسمح للنساء في العرس بإعلان النكاح بالضرب على الدف فقط وبالغناء المباح الذي ليس فيه وصف الجمال وذكر الفجور
“Dan adalah diperbolehkan bagi kaum wanita dalam majlis pernikahan untuk mengiklankan pernikahan dengan memukul duff (kompang) sahaja, dan dengan nyanyian yang mubah yang padanya tidak mengandungi hal-hal yang menggambarkan kecantikan wanita (atau yang menaikkan syahwat) dan tidak pula menyebut kata-kata yang keji.” (Adab Az-Zifaaf, m/s. 107)
Maksud perkataan Syaikh Al-Albani, “…. dengan memukul duff (kompang) sahaja” adalah menunjukkan maksud tidak boleh diperluaskan dengan alat-alat muzik yang lain.
Kata Ibnu Qudamah rahimahullah:
وَذَكَرَ أَصْحَابُنَا، وَأَصْحَابُ الشَّافِعِيِّ، أَنَّهُ مَكْرُوهٌ فِي غَيْرِ النِّكَاحِ؛ لِأَنَّهُ يُرْوَى عَنْ عُمَرَ، أَنَّهُ كَانَ إذَا سَمِعَ صَوْتَ الدُّفِّ، بَعَثَ فَنَظَرَ، فَإِنْ كَانَ فِي وَلِيمَةٍ سَكَتَ، وَإِنْ كَانَ فِي غَيْرِهَا، عَمَدَ بِالدُّرَّةِ.
“Menurut pendapat dalam mazhab kami dan para pengikut Imam Asy-Syafi’i, memukul duff pada selain pernikahan adalah suatu yang dibenci. Sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar bahawa apabila beliau mendengar suara duff, beliau pun mengutus orang untuk melihatnya, jika suara tersebut datangnya dari walimah (majlis pernikahan), maka beliau pun diam, tetapi jika datang dari selain (acara) itu, maka beliau pun melempar dengan biji-biji batu.” (Al-Mughni, 23/183. Lihat: Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 19738)
Dan ini juga adalah sebagaimana penegasan daripada Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani:
ولا يلزم من إباحة الضرب بالدف في العرس ونحوه إباحة غيره من الالات كالعود ونحوه
“Dan tidaklah kelaziman pembolehan memukul duff (kompang) ketika majlis pernikahan dan yang seumpama menunjukkan turut dibolehkan memainkan selain duff dari jenis alat-alat muzik lainnya seperti ‘uud (alat muzik bertali seperti gitar – pent.) dan yang seumpamanya.” (Fathul Bari, 3/371)
Dan di antara dalil-dalilnya tentang bolehnya hal ini adalah:
Dari hadis Kholid bin Dzakwaan, Ar-Rubayyi’ bintu Mu’awwidz bin ‘Afraa’ berkata:
جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَدَخَلَ حِينَ بُنِيَ عَلَيَّ، فَجَلَسَ عَلَى فِرَاشِي كَمَجْلِسِكَ مِنِّي، فَجَعَلَتْ جُوَيْرِيَاتٌ لَنَا، يَضْرِبْنَ بِالدُّفِّ وَيَنْدُبْنَ مَنْ قُتِلَ مِنْ آبَائِي يَوْمَ بَدْرٍ، إِذْ قَالَتْ إِحْدَاهُنَّ: وَفِينَا نَبِيٌّ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ، فَقَالَ: دَعِي هَذِهِ، وَقُولِي بِالَّذِي كُنْتِ تَقُولِينَ
“Nabi datang ketika hari aku dinikahkan, dan beliau duduk di atas firasy (tempat berbaring) sebagaimana kedudukan engkau duduk dariku. Maka ketika itu kanak-kanak perempuan dari kalangan hamba pun memukul duff. Mereka menyebut-nyebut sesiapa yang terbunuh pada hari peperangan Badr dari kalangan bapa-bapa kami. Tiba-tiba salah seorang dari mereka menyebutkan:
“Dan di kalangan kita ada Nabi yang mengetahui apa yang akan terjadi pada esok hari.”
Maka Nabi pun bersabda:
“Tinggalkan perkataan tersebut dan katakanlah dengan yang lain yang engkau ucapkan tadi.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5147)
Dari hadis ‘Urwah, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:
أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا عَائِشَةُ، مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ
“Bahawa seorang wanita bernikah dengan seorang lelaki dari kalangan Anshaar, lalu Nabi pun bersabda:
“Wahai ‘Aisyah, tidakkah bersama kalian suatu hiburan (atau permainan)” Kerana kaum Anshaar itu menyukai hiburan (atau permainan).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5162)
Syaikh Al-Albani menambah:
وفي رواية بلفظ: فقال: فهل بعثتم معها جارية تضرب بالدف وتغني؟
“Dan pada riwayat lain dengan lafaz, Nabi bersabda:
“Tidakkah kalian mengutus bersamanya jaariyah (kanak-kanak perempuan dari kalangan hamba) untuk memukul duff dan menyanyi?…” (lihat: Adab Az-Zifaaf, m/s. 109. Fathul Bari, 9/226. Kata Al-Haitsami, diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Ausath dan padanya ada rawi bernama Rawad bin Al-Jaraah, ditsiqahkan oleh Ahmad, Ibn Ma’in, dan Ibn Hibban, namun padanya ada kelemahan)
Kemudian dalam sebuah hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:
فَصْلٌ بَيْنَ الْحَلَالِ وَالْحَرَامِ الصَّوْتُ وَضَرْبُ الدُّفِّ فِي النِّكَاحِ
“Pemisah antara (hubungan) yang halal dengan yang haram adalah suara, dan pukullah duff (kompang) pada pernikahan.” (Al-Baihaqi, As-Sunan Al-Kubra, no. 14694)
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menyebutkan:
اعلان النكاح بالدف وبالغناء المباح
“Mengiklankan (atau mengumumkan) pernikahan dengan duff dan nyanyian adalah mubah (diperbelohkan).” (Fathul Bari, 9/203)
Kata Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H):
قلت: وضر الدُّف فِي العُرس والختان رخصَة، رُوي عَنِ ابْن سِيرِينَ، أَن عُمَر بْن الْخَطَّاب كَانَ إِذا سمع صَوتا، أَو دُفّا، قَالَ: مَا هَذَا؟ فَإِن قَالُوا: عرس، أَو ختان، صَمَتَ.
“Aku katakan: memukul duff dalam majlis pernikahan dan khitan adalah suatu rukhshah (keringanan). Diriwayatkan dari Ibn Sirin bahawa ‘Umar bin Al-Khaththab apabila beliau mendengar suara (bising-bising), atau suara pukulan duff, beliau pun bertanya, “Apa ini?” Sekiranya mereka menjawab, “(Sempena) majlis pernikahan”, atau “khitan”, maka beliau pun diam.” (Al-Baghawi, Syahus Sunnah, 9/49. Lihat: Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 19738)
Perkara yang sama turut disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
قوله صلى الله عليه و سلم هذا عيدنا أن ضرب دف العرب مباح في يوم السرور الظاهر وهو العيد والعرس والختان
“Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Ini adalah hari raya kita” menunjukkan bahawa memukul duff, hukumnya adalah mubah (diperbolehkan) pada hari yang disyari’atkan untuk menzahirkan kegembiraan iaitu ketika hari raya, ketika majlis pernikahan, dan ketika berlangsungnya khitan.” (Syarh Shahih Muslim, 6/184)
Kata Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):
وَقَالَ أَحْمَدُ رَحِمَهُ اللَّهُ: لَا بَأْسَ بِالدُّفِّ فِي الْعُرْسِ وَالْخِتَانِ، وَأَكْرَهُ الطَّبْلَ، وَهُوَ الْمُنْكَرُ، وَهُوَ الْكُوبَةُ، الَّتِي نَهَى عَنْهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Berkata Imam Ahmad rahimahullah: Tidak mengapa dengan duff pada majlis pernikahan dan khitan.” Dan adalah beliau membenci ath-thabl, ia adalah kemungkaran. Demikian al-kuubah yang mana dilarang atasnya oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Al-Mughni, 15/36-37)
Sebagai kesimpulan, Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkomentar:
رَخَّصَ لِلنِّسَاءِ أَنْ يَضْرِبْنَ بِالدُّفِّ فِي الْأَعْرَاسِ وَالْأَفْرَاحِ . وَأَمَّا الرِّجَالُ عَلَى عَهْدِهِ فَلَمْ يَكُنْ أَحَدٌ مِنْهُمْ يَضْرِبُ بِدُفِّ وَلَا يُصَفِّقُ بِكَفِّ بَلْ قَدْ ثَبَتَ عَنْهُ فِي الصَّحِيحِ أَنَّهُ قَالَ : { التَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ وَالتَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ } { . وَلَعَنَ الْمُتَشَبِّهَاتِ مِنْ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ . والمتشبهين مِنْ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ } وَلَمَّا كَانَ الْغِنَاءُ وَالضَّرْبُ بِالدُّفِّ وَالْكَفِّ مِنْ عَمَلِ النِّسَاءِ كَانَ السَّلَفُ يُسَمُّونَ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْ الرِّجَالِ مُخَنَّثًا وَيُسَمُّونَ الرِّجَالَ الْمُغَنِّينَ مَخَانِيث وَهَذَا مَشْهُورٌ فِي كَلامِهِمْ
“Rukhshah (keringanan) adalah bagi perempuan untuk memukul duff di dalam majlis pernikahan dan acara kegembiraan mereka. Adapun lelaki, tidak ada seorang pun di masa Nabi (dari kalangan sahabat-sahabat beliau) yang memukul (memainkan) duff dan tidak pula bertepuk-tepuk tangan. Bahkan telah tsabit dalam kitab Shahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Tepuk tangan itu bagi wanita, manakala tasbih itu bagi lelaki.”
“Laknat atas kaum perempuan yang menyerupai lelaki, dan kaum lelaki yang menyerupai wanita.”
(Setelah difahami) Bahawasanya bernyanyi, memukul duff, dan bertepuk tangan adalah perbuatan yang dikhususkan untuk perempuan (iaitu jaariyah secara khusus sebagaimana dalam hadis – pent.), maka para salaf (ulama generasi awal) telah menamakan para lelaki yang melakukan perbuatan tersebut sebagai pondan, dan mereka menamakan penyanyi lelaki dengan pondan, dan ini adalah perkataan yang masyhur daripada mereka.” (Majmu’ Al-Fatawa, 11/565-566)
Nyanyian ketika berlangsungnya khitan:
Ummu ‘Alqamah menceritakan:
أَنَّ بَنَاتَ أَخِي عَائِشَةَ اختَتَنَّ فَقِيلَ لِعَائِشَةَ أَلاَ نَدْعُو لَهُنَّ مَنْ يُلَهِّيهِنَّ؟ قَالَتْ: بَلَى، فَأَرْسَلْتُ إِلَى عَدِي فَأَتَاهُنَّ فَمَرَّتْ عَائِشَةُ فِي البَيْتِ فَرَأَتْهُ يَتَغَنَّى وَيُحَرِّكُ رَأْسَهُ طَرَبًا وَكَانَ ذَا شَعْرٍ كَثِيرٍ فَقَالَتْ أُفٍّ، شَيْطَانٌ أَخْرِجُوهُ، أَخْرِجُوهُ
“Bahawasanya anak-anak perempuan saudara lelaki ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha dikhitankan. Lalu ada dari kalangan mereka mengajukan cadangan kepada ‘Aisyah, “Tidakkah kami mengundang sesiapa yang dapat menghiburkan mereka?”
‘Aisyah berkata, “Benar.” Lalu aku pun mengutus orang untuk menemui ‘Adiy. Tatkala ‘Adiy mendatangi mereka, datanglah ‘Aisyah menghampiri mereka di rumah tersebut dan beliau melihatnya sedang menyanyi sambil menggerakkan kepalanya dengan riang. Dan bahawa ‘Adiy adalah seorang yang punya banyak sya’ir. Maka ‘Aisyah pun berkata:
“Uff, syaitan! Keluarkan dia! Keluarkan dia!” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 1247. Al-Baihaqi, Sunan Al-Kubra, no. 21010. Dinilai hasan oleh Al-Albani)
Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah meletakkan hadis ini pada bab:
اللهو في الختان
“Hiburan ketika berlangsungnya khitan.”
Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah pula membuat bab dengan judul:
الرَّجُلِ لاَ يَنْسِبُ نَفْسَهُ إِلَى الْغِنَاءِ وَلاَ يُؤْتَى لِذَلِكَ وَلاَ يَأْتِى عَلَيْهِ وَإِنَّمَا يُعْرَفُ بِأَنَّهُ يَطْرِبُ فِى الْحَالِ فَيَتَرَّنَمُ فِيهَا
“Seseorang tidak dinisbatkan dengan nyanyian pada dirinya, tidak didatangi untuk nyanyian, dan tidak mendatangkan orang kepadanya untuk nyanyian. Namun sekadar dia bergembira pada keadaan tertentu dengan melantunkan sya’ir padanya.”
Sebagaimana kata Syaikh Al-Albani rahimahullah, hadis ini menunjukkan dibolehkan berhibur dengan sedikit nyanyian tanpa alat muzik (yakni merujuk contoh sya’ir-sya’ir ‘Arab). Tetapi tidak boleh diiringi dengan tarian, joget, menghentak-hentak kaki, atau yang sama dengannya sehingga boleh merosakkan kehormatan diri. (lihat: Tahrim Alat Ath-Tharb, m/s. 129)
Menjawab Syubhat:
Perlu kita ambil perhatian, terdapat sebahagian pihak yang membolehkan nyanyian dan muzik dengan berdalilkan hadis Buraidah radhiyallahu ‘anhu berikut:
أَنَّ أَمَةً سَوْدَاءَ أَتَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ رَجَعَ مِنْ بَعْضِ مَغَازِيهِ فَقَالَتْ: إِنِّي كُنْتُ نَذَرْتُ إِنْ رَدَّكَ اللهُ صَالِحًا أَنْ أَضْرِبَ عِنْدَكَ بِالدُّفِّ. قَالَ: إِنْ كُنْتِ فَعَلْتِ فَافْعَلِي، وَإِنْ كُنْتِ لَمْ تَفْعَلِي فَلَا تَفْعَلِي. فَضَرَبَتْ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ وَهِيَ تَضْرِبُ، وَدَخَلَ غَيْرُهُ وَهِيَ تَضْرِبُ، ثُمَّ دَخَلَ عُمَرُ قَالَ: فَجَعَلَتْ دُفَّهَا خَلْفَهَا وَهِيَ مُقَنَّعَةٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَفْرَقُ مِنْكَ يَا عُمَرُ، أَنَا جَالِسٌ، وَدَخَلَ هَؤُلَاءِ، فَلَمَّا أَنْ دَخَلْتَ فَعَلَتْ مَا فَعَلَتْ
“Bahawasannya ada seorang amah (hamba wanita) hitam yang datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika beliau pulang dari sebuah peperangan. Maka hamba tersebut berkata kepada beliau:
“Sesungguhnya aku pernah bernadzar untuk memukul duff (kompang) di sisimu sekiranya Allah mengembalikanmu dalam keadaan selamat.” Beliau berkata:
“Jika engkau telah bernadzar, maka lakukanlah. Dan sekiranya engkau belum bernadzar, maka jangan lakukannya.” Maka dia pun mula memukulnya.
Lalu Abu Bakr masuk, dan beliau masih tetap memukulnya. Kemudian masuk pula sahabat yang lain, dan beliau masih memukulnya. Lalu ‘Umar masuk, maka dia pun segera menyembunyikan kompangnya tersebut di sebalik punggungnya sambil menutupi dirinya. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:
“Sesungguhnya syaitan benar-benar takut kepada engkau wahai ‘Umar. Aku duduk di sini dan mereka ini masuk. Ketika engkau pula masuk, maka dia pun melakukan apa yang dia lakukan tadi.” (Musnad Ahmad, no. 22989)
Sebenarnya dalam hadis Buraidah ini terdapat suatu indikasi atau isyarat yang menunjukkan tentang hukum asal haramnya muzik. Isyarat yang dimaksudkan adalah:
إِنْ كُنْتِ فَعَلْتِ فَافْعَلِي، وَإِنْ كُنْتِ لَمْ تَفْعَلِي فَلَا تَفْعَلِي
“Sekiranya engkau telah bernadzar, lakukanlah. Dan sekiranya engkau belum bernadzar, maka jangan lakukan.”
Perkataan tersebut menunjukkan bahawa pada asalnya perbuatan tersebut adalah tidak dibenarkan. Perkataan ini menunjukkan bahawa sebenarnya beliau tidak mahu mendengarnya. Tetapi kemudian beliau membenarkannya kerana hamba wanita tersebut telah menadzarkannya kerana merasa sangat gembira dengan kepulangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari peperangan dengan keadaan selamat. Beliau pun membenarkan nadzar hamba perempuan tersebut yang pada asalnya tidak dibenarkan sebagai satu bentuk kekhususan bagi dirinya yang tidak boleh dilakukan bagi selain darinya.
Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:
وقد يُشكل هذا الحديث على بعض الناس، لأن الضرب بالدف معصية في غير النكاح والعيد، والمعصية لا يجوز نذرها ولا الوفاء بها. والذي يبدو لي في ذلك أن نذرها لما كان فرحا منها بقدومه عليه السلام صالحا منتصرا، اغتفر لها السبب الذي نذرته لإظهار فرحها، خصوصية له صلى الله عليه وسلم دون الناس جميعا، فلا يؤخذ منه جواز الدف في الأفراح كلها، لأنه ليس هناك من يُفرح به كالفرح به صلى الله عليه وسلم، ولمنافاة ذلك لعموم الأدلة المحرمة للمعازف والدفوف وغيرها، إلا ما استثني كما ذكرنا آنفا
“Hadis ini telah menimbulkan kekeliruan bagi sebahagian pihak kerana memukul duff (kompang) selain dari waktu pernikahan dan hari raya adalah kemaksiatan. Dan kemaksiatan itu tidak dibenarkan dijadikan nadzar dan ditunaikan. Maka yang jelas bagiku, nadzar yang dilakukan oleh hamba perempuan tersebut adalah disebabkan kegembiraan kerana kepulangan beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam keadaan selamat, sihat, dan menang. Nabi pun memaafkan penyebab nadzarnya itu untuk kegembiraan tersebut. Perkara ini adalah sebagai salah satu bentuk kekhususan bagi beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bukan untuk seluruh manusia. Sehingga tidak boleh dijadikan dalil bolehnya memukul duff di setiap kegembiraan. Sebab, tidak ada yang lebih menggembirakan berbanding kegembiraan yang disebabkan datangnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Al-Albani, As-Silsilah Ash-Shahihah, 4/142. Tahrim Alat Ath-Tharb, m/s. 124)
Selain itu, pada hadis ini tampak kekhususan bagi hamba wanita tersebut dan pada waktu tersebut sahaja. Kerana kata beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
وَإِنْ كُنْتِ لَمْ تَفْعَلِي فَلَا تَفْعَلِي
“Dan sekiranya engkau belum bernadzar, maka jangan lakukan.”
Maka setelah diketahui tidak bolehnya hal ini, maka janganlah dilakukan seperti itu lagi. Cukup sekadar apa yang telah dilakukan bagi amah tersebut dan pada waktu itu sahaja. Maka tidak ada lagi pembolehan setelah amah tersebut. Wallahu a’lam.
Dengan ini jelaslah bahawa hadis-hadis yang digunakan oleh pihak tertentu untuk menghalalkan nyanyian dan muzik secara umum, sebenarnya hadis-hadis tersebut bersifat khusus yang membenarkan nyanyian untuk waktu majlis pernikahan atau ketika hari raya, dan yang menyanyikannya adalah kanak-kanak perempuan dari kalangan hamba sebagaimana perkataan yang disebutkan dalam hadis-hadis adalah “jaariyah”. Dan alat muzik yang dibenarkan adalah duff, tidak dengan yang selainnya.
Kemudiannya, perkara ini dikuatkan lagi dengan apa yang disebutkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri melalui hadis tersebut dengan katanya:
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَفْرَقُ مِنْكَ يَا عُمَرُ
“Sesungguhnya syaitan benar-benar takut kepadamu wahai ‘Umar.”
Perkataan ini disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebaik sahaja apabila hamba perempuan tersebut melihat ‘Umar, lalu segera menghentikan pukulan duffnya dan menyembunyikannya dari pandangan ‘Umar. Ini menunjukkan kepada kita bahawa nyanyian dan pukulan duff tersebut adalah sesuatu yang buruk dan dibenci selain dari waktu-waktu yang dikhususkan sebagaimana yang telah penulis sebutkan di atas. Ini tampak dari kalimat “syaitan” yang digunakan oleh Rasulullah dalam menyebutkan dan menggambarkan keadaan tersebut.
Jadi, bagaimana dengan nyanyian dan permainan alat-alat muzik lainnya yang dimainkan lebih dari itu? Sudah tentu jauh lebih buruk lagi!
Al-Hafiz Ibnu Hajar menegaskan:
والأصل التنزه عن اللعب واللهو فيقتصر على ما ورد فيه النص وقتا وكيفية تقليلا لمخالفة الأصل والله أعلم
“Secara prinsipnya, permainan dan hiburan perlu dijauhi (atau diminimakan) bersesuaian apa yang ditunjukkan oleh nash, waktunya, dan kaifiyahnya (yakni tata caranya). Taqliil ini penting agar tidak menyelisihi hukum asal. Wallahu a’lam.” (Fathul Bari, 2/443)
Wallahu a’lam… Bersambung di tulisan seterusnya dengan judul Antara Nyanyian dan Melagukan Al-Qur’an.