Meraih Syurga, Itulah Kemenangan Sebenar
Faedah Surah Ali ‘Imran, 3: 185
www.ilmusunnah.com
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
“Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamatlah akan disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka benar-benar dia telah berjaya lagi beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 185)
Pelajaran yang dapat diambil
1, Allah mengkhabarkan bahawa setiap yang hidup, iaitu yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Sama ada yang tinggi darjatnya mahupun yang rendah kedudukannya. Sama ada yang kaya atau yang miskin. Mereka semua pasti akan mati. Hanya Allah Ta’ala yang akan terus hidup, tidak pernah mati. Sebaliknya setiap umat manusia dan jin pasti akan menghadapi kematian. Demikian juga dengan para Malaikat, termasuk para Malaikat yang memikul ‘Arsy.
2, Ayat ini turut mengkhabarkan bahawa di dunia ini bukanlah tempat pemberian balasan secara khusus (sempurna), sebaliknya di dunia adalah tempat untuk berusaha dan beramal. Tempat manusia menghadapi medan ujian. Sama ada ia redha, bersyukur, dan sabar atau sebaliknya. Oleh sebab itulah sering kita temui orang-orang yang berbuat kejahatan dan kezaliman tetapi mereka seakan-akan tidak pernah ditimpa kesusahan. Dan seringkali pula orang yang berbuat kebaikan dan orang-orang yang beramal dengan amal-amal kebaikan, mereka tidak mendapat kesenangan yang sewajarnya.
3, Oleh sebab itulah Allah menyatakan, “sesungguhnya pada hari kiamatlah akan disempurnakan pahalamu.” Maksudnya, balasan kebaikan itu hanya akan dilaksanakan secara sempurna, menyeluruh, dan total ketika hari Kiamat. Demikian juga dengan balasan untuk amal-amal keburukan dan dosa. Sebagaimana juga disebutkan dalam ayat di surah yang lain:
وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الأدْنَى دُونَ الْعَذَابِ الأكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Dan sesungguhnya Kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat). Mudah-mudahan mereka kembali ke jalan yang benar.” (Surah As-Sajdah, 32: 21)
4, Jadi, sesiapa di akhirat nanti yang dijauhkan dari Neraka dan diberi balasan dengan masuk ke dalam Syurga, maka itulah sebenar-benarnya kemenangan, kejayaan, dan keberuntungan yang besar lagi sempurna. Ia diselamatkan dari siksa Neraka dengan dimasukkan ke dalam Syurga yang berisikan segala bentuk keindahan dan kenikmatan yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas di benak hati seseorang.
Sebagaimana yang Allah nyatakan, “Siapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka benar-benar dia telah berjaya lagi beruntung.”
5, Manakala mereka yang dimasukkan ke dalam Neraka dan tidak dikeluarkan darinya, maka sungguh benar-benar ia telah gagal dengan kegagalan yang besar dan tidak beruntung sama sekali.
6, Allah Subhanahu wa Ta’ala mengingatkan bahawa “Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya.” Jadi, dunia ini hanyalah kenikmatan yang menipu, yang sementara, tidak kekal, akan ditinggalkan, dan pasti akan sirna (lenyap).
7, Walaupun dunia ini dihiasi dengan pelbagai bentuk keindahan dan kenikmatan yang memukau pancaindera, tetapi hakikatnya itu semua hanyalah ujian, sama ada manusia akan bermu’amalah dengannya untuk berbuat kebaikan, atau sebaliknya untuk dijadikan wasilah berbuat keburukan. Sama ada manusia akan bersyukur atau kufur. Sama ada manusia akan sentiasa beringat dengan terus bertaqwa dan berbuat taat, atau sebaliknya akan lalai dan meninggalkan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana terpedaya dengan gemerlapan dunia.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
واللهِ ما الدنيا في الآخرة إلا كما يَغْمِسُ أحدُكُم إصبعه في اليَمِّ، فلينظر بِمَ تَرْجِع إليه
“Demi Allah, apa yang ada di dunia berbanding akhirat tidak lain hanyalah seperti seseorang di antara kamu yang mencelupkan jarinya ke dalam lautan (air yang banyak). Maka cuba perhatikan, berapa banyakkah air yang melekat pada jari tersebut?” (Shahih Muslim, no. 2858)
8, Tetapi sayang, walaupun mereka tahu dunia ini bersifat fana, sangat sedikit, akan ditinggalkan, dan merupakan tempat persinggahan yang sekejap saja, kebanyakan manusia tetap mengutamakan dunia dan melupakan akhirat yang kekal. Sebagaimana dalam ayat di surah yang lain Allah berfirman:
بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا. وَالآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى
“Tetapi kamu lebih mengutamakan kehidupan dunia. Sedangkan kehidupan akhirat itu adalah lebih baik dan kekal.” (Surah al-A’la, 87: 16-17)
Dalam ayat yang lain:
بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لا يَعْلَمُونَ
“Sebaliknya nikmat tersebut adalah fitnah (ujian: sama ada ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, 39: 49)
Al-Imam Qotadah rahimahullah berkata:
هي متاع، هي متاع، متروكة، أوشكت -والله الذي لا إله إلا هو-أن تَضْمَحِلَّ عن أهلها، فخذوا من هذا المتاع طاعة الله إن استطعتم، ولا قوة إلا بالله
“(Dunia itu), ia adalah kenikmatan, iaitu kenikmatan yang pasti akan ditinggalkan. Demi Allah yang tiada yang berhak diibadahi dengan benar melainkan Dia, dunia itu hampir akan lenyap dari tangan pemiliknya. Jika kamu mampu (memilikinya), maka ambillah dari kesenangan tersebut untuk tujuan ketaatan (kepada Allah). Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan Allah.” (Tafsir Ibnu Katsir, 2/179)
Wallaahu a’lam.