Mentaati Pemerintah Sebahagian Dari Taqwa

Mentaati Pemerintah Sebahagian Dari Taqwa

www.ilmusunnah.com

Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:sikap_terhadap_pemerintah

مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعْ الأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ يَعْصِ الأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي

“Siapa yang taat kepadaku, sesungguhnya dia telah taat kepada Allah, dan siapa yang derhaka kepadaku, sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Siapa yang taat kepada amiir (pemerintah), sesungguhnya dia telah taat kepadaku, dan siapa yang derhaka kepada amiir, sesungguhnya dia telah derhaka kepadaku.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2957, 7137. Muslim, no. 1835)

Dari hadis ‘Irbaadh bin Saariyah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda:

أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ كَانَ عَبْدًا حَبَشِيًّا

“Aku wasiatkan kepada kalian agar bertaqwa kepada Allah, dan patuh serta taat walaupun yang memimpin kalian adalah seorang hamba Habsyi.” (Musnad Ahmad, no. 17144, 17144. Ad-Darimi, no. 95. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Di Shahih Al-Imam Muslim, dari sahabat Nabi Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu berkata:

إِنَّ خَلِيلِي أَوْصَانِي أَنْ أَسْمَعَ وَأُطِيعَ وَإِنْ كَانَ عَبْدًا مُجَدَّعَ الْأَطْرَافِ

“Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) mewasiatkan kepadaku agar patuh dan taat walaupun yang memimpin adalah seorang hamba yang cacat sebahagian anggota.” (Shahih Muslim, no. 648, 1837)

Kaedah asalnya, seseorang hamba atau orang yang cacat tidak boleh dilantik menjadi pemimpin. Tetapi apabila ianya telah berlaku dengan sebab-sebab yang tertentu, maka ia tetap wajib ditaati dan diperakui kepimpinannya.

Dalam suatu hadis yang lain dari hadis Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ النَّاسَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ وَهُوَ عَلَى الْجَدْعَاءِ وَاضِعٌ رِجْلَهُ فِي غَرْزِ الرَّحْلِ يَتَطَاوَلُ يَقُولُ: أَلاَ تَسْمَعُونَ؟ ” فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ آخِرِ الْقَوْمِ: مَا تَقُولُ؟ قَالَ: اعْبُدُوا رَبَّكُمْ، وَصَلُّوا خَمْسَكُمْ، وَصُومُوا شَهْرَكُمْ، وَأَدُّوا زَكَاةَ أَمْوَالِكُمْ، وَأَطِيعُوا ذَا أَمْرِكُمْ تَدْخُلُوا جَنَّةَ رَبِّكُمْ

Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyampaikan khutbah pada haji Al-Wada’ dalam keadaan baginda di atas untanya yang kepenatan dengan meletakkan kakinya pada tempat pijakan kaki sedang beliau menahan pergerakannya. Sabda beliau:

“Tidakkah engkau mendengar?” Kemudian, seorang lelaki dari balik orang ramai berkata, “Apa yang engkau perkatakan?”

Rasulullah bersabda, “Hendaklah kalian sentiasa mengabdikan diri kalian hanya kepada Rabb kalian, tunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya, tunaikanlah zakat dengan harta kalian, dan taatilah siapa yang memegang urusan kalian (yakni pemerintah), pasti kalian akan memasuki Syurga Rabb kalian.” (Musnad Ahmad, no. 22161. Sunan At-Tirmidzi, no. 616. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Ahli Sunnah wal-Jama’ah bersepakat berkenaan kewajiban mentaati pemimpin dan para penguasa. Mereka juga mewajibkan supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak pemerintah selagi mana ianya tidak bertentangan dengan ketentuan dalil-dalil syara’. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis dari ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوفِ

“Tiada ketaatan dalam hal maksiat, sesungguhnya ketaatan hanyalah dalam hal yang ma’ruf.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7257)

Perkara ma’ruf di sini adalah merujuk kepada urusan yang bukan maksiat dan bukan kemungkaran. Sama ada ianya perkara yang diwajibkan agama, yang disunnahkan, ataupun yang diharuskan kerana maslahah tertentu. Jika masyarakat diperintahkan supaya melaksanakan perkara-perkara yang mubah yang padanya untuk maslahah tertentu, maka hukum mentaatinya menjadi wajib.

Sebagai contoh, hukum mematuhi undang-undang jalan-raya yang digubal atas dasar maslahah bersama oleh pihak berkuasa adalah wajib selama mana ianya bukan termasuk maksiat walaupun ianya tidak pernah diwajibkan oleh syara’ secara khusus.

Asy-Syaikh Muhammad bin ‘Abdurrahman Al-Mubarakfuri rahimahullah (Wafat: 1353H) berkata:

الإمام إذا أمر بمندوب أو مباح وجب

“Apabila seseorang imam (pemerintah) memerintahkan sesuatu yang mandub (sunnah) atau mubah (harus), maka hukumnya menjadi wajib.” (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)

Justifikasi perkara ini adalah bagi memastikan keamanan, kesejahteraan, ketenangan, sekaligus mengawal suasana dari menjadi huru-hara atau tidak teratur. Sekiranya masyarakat masing-masing tidak mahu diatur dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah sebaliknya lebih suka bertindak sesuka hati, nescaya negara akan menjadi kacau-bilau dan kelam-kabut.

Wallaahu a’lam.