Menjawab Syubhat Artikel: “Islam Terapkan Amalan Demokrasi Pilih Pemimpin”

Menjawab Syubhat Artikel: “Islam Terapkan Amalan Demokrasi Pilih Pemimpin”

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Artikel yang dimaksudkan adalah sebulan tulisan milik Yusamir Yusof atas Tajuk: “Islam Terapkan Amalan Demokrasi Pilih Pemimpin”. Rujuk: Akhbar Berita Harian, Bahagian Agama, m/s. 36, Tarikh: Sabtu/11 Julai 2009. atau boleh dicapai di sini:
Artikel (Klik).

Setelah melalui beberapa sesi perbincangan dan penelitian, maka artikel ini jelas menunjukkan beberapa jalan yang merancukan dan memiliki syubhat yang berbahaya.

Dari ini, saya mengharapkan supaya penulis artikel “Islam terapkan amalan demokrasi pilih pemimpin” dapat menilai semula penulisannya dan mempertimbangkan hujah-hujah yang dikemukakannya

Bagi meringkaskan tulisan, kita akan terus melihat beberapa perkara yang dimaksudkan daripada tulisan tersebut.

Bahagian 1 – Sejauh manakah benarnya tajuk yang diletakkan untuk artikel tersebut dengan pernyataan:

“Islam Terapkan Amalan Demokrasi Pilih Pemimpin”

Penulis turut mengulangi pernyataan yang sama di perenggan pertama tulisannya sebagai berikut, “Demokrasi adalah salah sebuah sistem yang datangnya dari keunggulan Islam. Namun sayang, ada dikalangan umat Islam sendiri keliru dan menolak sistem ini. Malahan menyatakan bahawa Demokrasi dari sistem Kufur dan batil. Kegagalan memahami inti-pati Demokrasi akan menyebabkan salah-faham yang besar dalam membawa sistem keadilan dalam pentas politik masa kini.”

Bantahan/Jawaban:

Demokrasi bukanlah sebuah sistem politik yang lahir daripada Islam. Ini dijelaskan sendiri oleh para pengamal dan pengkaji demokrasi. Malah turut diperakui oleh penulis sendiri melalui perkataannya: “Perkataan Demokrasi ini lahir daripada perkataan Yunani”.

Kata demokrasi adalah merujuk kepada perkataan Greek δημοκρατία (dimokratia) yang membawa maksud “pentadbiran oleh rakyat” (Rujuk: Demokratia, Henry George Liddell, Robert Scott, “A Greek-English Lexicon”, at Perseus, http://www.perseus.tufts.edu/cgi-bin/ptext?doc=Perseus%3Atext%3A1999.04.0057%3Aentry%3D%2324422) yang mana terbina daripada perkataan δήμος (dēmos), yang merujuk kepada “masyarakat/rakyat” dan κράτος (kratos), “perundangan, atau penguasaan”. Ia mula dibentuk (diasaskan) kira-kira pada pertengahan abad ke 5 sebelum Masihi di dalam sistem pentadbiran Greek. Secara ringkasnya, demokrasi adalah suatu sistem di mana rakyat berkuasa terhadap pentadbiran yang dibentuk. (Rujuk: BBC History of democracy, http://www.bbc.co.uk/history/ancient/greeks/greekdemocracy_01.shtml)Demokrasi mula diasaskan dari falsafah Greece kuno. (Rujuk: John Dunn, Democracy: the unfinished journey 508 BC – 1993 AD, Oxford University Press, 1994. & Kurt A. Raaflaub, Josiah Ober, Robert W. Wallace, Origin of Democracy in Ancient Greece, University of California Press, 2007)

Orang yang pertama kali mengungkapkan teori demokrasi adalah Plato. Menurut Plato, sumber kekuasaan adalah keinginan yang satu, bukan majmuk. (Rujuk: Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Imam, Menggugat Demokrasi & Pemilu, Darul Hadits (Depok), Cet. 3, 2004M, m/s. 33)

Demokrasi menurut tulisan Robert A. Dahl ialah “Sistem politik yang memberi kepada rakyat jelata untuk membuat keputusan secara terbuka”. (Rujuk: Muhammad Qutb, Mazahib Fikriyah Mu’assirah, jil. 1, m/s. 178, Dar as-Syuruq, 1984) Masyarakat yang mula-mula mengasaskan sistem demokrasi adalah masyarakat Greek (Yunan) di Kota Athens. (Rujuk: Muhammad Qutb, Mazahib Fikriyah Mu’assirah, m/s. 191, Dar as-Syuruq, 1984)Demokrasi mula diasaskan dari falsafah Greece kuno. (Rujuk: John Dunn, Democracy: the unfinished journey 508 BC – 1993 AD, Oxford University Press, 1994. & Kurt A. Raaflaub, Josiah Ober, Robert W. Wallace, Origin of Democracy in Ancient Greece, University of California Press, 2007)

Revolusi Francis tercetus dengan slogannya yang terkenal, “Kebebasan, Persaudaraan, & Persamaan (Liberte, Egalite, Fraternite). Francis memasukkan demokrasi ke dalam undang-undang dasarnya di bawah kolum “Hak-hak asasi manusia” pada pasal ketiga, “Rakyat adalah sumber dan gudang kekuasaan. Setiap lembaga atau individu yang memegang kuasa, sebenarnya dia mengambil kekuasaan tersebut daripada rakyat.” Pasal ini dimasukkan kembali di dalam undang-undang dasar tahun 1791M. Di sini disebutkan bahawa tahta kepimpinan adalah milik rakyat. Sistem ini tidak mengakui model pembahagian kuasa, pengunduran diri, atau pun meraih kuasa dengan cara pemberontakan.Kemudiannya, ideologi demokrasi ini turut dicantumkan (diterapkan) di dalam undang-undang dasar sebahagian negara Arab dan negara-negara Islam. Sebagai contoh, di Mesir ditetapkan di dalam undang-undang pertama tahun 1923 serta 1956. Dan pada tahun 1971 di dalam undang-undang tersebut terdapat teks yang menyebutkan antara lain bahawa: “Kepimpinan adalah milik rakyat dan rakyat adalah sumber kekuasaan menurut cara yang dijelaskan di dalam undang-undang.”b Pasal ini terdapat dalam undang-undang di hampir kesemua negara Arab dan negara Islam. Pasal seperti ini juga termaktub di dalam undang-undang Yaman (negara penulis). Sebagai contoh di dalam pasal empat disebutkan, “Rakyat adalah pemilik dan sumber kekuasaan. Kekuasaan itu boleh diperolehi secara langsung dengan cara pungutan suara atau melalui pemilihan umum. Demiian juga halnya dengan mencabut (menggugurkan) kuasa itu dapat dilakukan secara tidak langsung melalui lembaga legislatif (dewan rakyat), parlimen, dan eksekutif serta melalui majlis-majlis perwakilan yang dipilih.” (Rujuk: Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Imam, Menggugat Demokrasi & Pemilu, Darul Hadits (Depok), Cet. 3, 2004M, m/s. 33-34) Akhirnya, terjadilah di mana persoalan pengaturan kehidupan manusia ini diletakkan di atas kerangka pemikiran dan ideologi masing-masing berdasarkan kekuatan majoriti. Dengan itu, prinsip-prinsip yang bersumberkan wahyu ditinggalkan sedikit-demi sedikit. Jika kita melihat kepada masyarakat demokratik barat, mereka begitu kuat dan gigih dalam usaha mempertahankan prinsip-prinsip seperti kebebasan, liberalisme dan sekularisme. Akhirnya mereka akan dibentuk agar menerima suatu corak kerangka idea (pemikiran) bahawa Tuhan hanyalah sekadar sebagai pencipta tetapi bukan sebagai yang memberikan perintah (yang menetapkan syari’at) serta perundangan atau sistem hidup.

Begitulah serba sedikit sejarah dan asal-usul perkembangan demokrasi. Langsung Islam tidak terlibat di dalam mengasaskannya. Malahan Islam sendiri tidak pernah menyeru ke arahnya. Jadi, siapakah yang keliru di sini sebagaimana yang didakwa oleh penulis?

عَنْ الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksudnya: Daripada Mughirah radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta dengan sengaja menggunakan namaku , maka bersiaplah dengan tempat duduknya dalam neraka. (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim. Rujuk: Shahih al-Bukhari, (بَاب مَا يُكْرَهُ مِنْ النِّيَاحَةِ عَلَى الْمَيِّتِ), 5/37, no. 1209. Shahih Muslim, (بَاب تَغْلِيظِ الْكَذِبِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ), 1/13, no. 5)

Berdasarkan hadis ini, perlu kita fahami bahawa perbuatan sengaja berdusta tidak terbatas kepada orang yang mencipta hadis palsu semata-mata, tetapi juga termasuk mereka yang menyandarkan sesuatu ajaran, amalan, mahu pun ideologi ke atas baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam atau Islam itu sendiri.

Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا
Maksudnya: Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta untuk bertanggungjawab ke atasnya. (Surah al-Isra’, 17: 36)

Bahagian 2 – Penulis berkata:

Meskipun, pada zaman Nabi Muhammad SAW perkataan Demokrasi belum wujud. Namun, baginda telah menunjukkan nilai-nilai demokrasi dalam diri baginda. Lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara yang tidak mempunyai sandaran wahyu. Baginda bersikap demokrasi dengan mengambil pandangan-pandangan para sahabatnya, dan akan membuat keputusan berdasarkan suara majoriti.

Penulis turut menyatakan:

Nilai Demokrasi yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah diteruskan oleh para sahabatnya. Tanpa meninggalkan sebarang wasiat siapa penganti baginda, kewafatan baginda memberi petunjuk bahawa sistem Demokrasi harus dijalankan sepertimana ketika baginda masih hidup. Pada pemilihan Khalifah yang diadakan di dewan Bani Saadah, Madinah, Abu Bakar terpilih menjadi Khalifah pertama umat Islam berdasarkan sokongan majoriti di kalanngan para sahabat.

Bantahan/Jawaban:

Benarkah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menunjukkan nilai-nilai demorkasi? Sekali lagi kita lihat kembali makna demokrasi itu sendiri:

Secara ringkasnya, demokrasi adalah suatu sistem di mana rakyat berkuasa terhadap pentadbiran yang dibentuk. (Rujuk: BBC History of democracy,

http://www.bbc.co.uk/history/ancient/greeks/greekdemocracy_01.shtml)

Dan slogan Demokrasi yang sangat terkenal adalah:

“Pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat”

Melalui sistem politik demokrasi, setiap hasil dan hak pentadbiran (kuasa) diasaskan berdasarkan suara majoriti masyarakat atau rakyat. Adakah konsep ini pernah diasas, diamalkan atau pun diperjuangkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?

Tetapi, apa yang diperjuangkan Nabi adalah Tauhid dan menyeru umat manusia agar bertauhid, mengibadahi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
Maksud: Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut Itu”. (Surah an-Nahl, 16: 36)
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ
Maksud: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku. (Surah adz-Dzariyat, 51: 56)

Apabila kita memahami konsep seruan ini, maka sekali-kali tidaklah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itu menyeru supaya kita menegakkan sesuatu berdasarkan pungutan suara majoriti manusia/rakyat. Kerana, Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri berfirman:

قُلْ لا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الألْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksud: Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan. (Surah al-Ma’idah, 5: 100)
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ
Maksud: Dan jika kamu mengikuti (menuruti) kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah). (Surah al-An’am, 6: 116)

Tetapi, apa yang dibawa oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sebuah agama yang suci bersih lagi murni, iaitu Islam:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ
Maksud: “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam…” (Surah Ali Imran, 3: 19)

Dan agama ini telah pun sempurna sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah al-Ma’idah pada ayat yang ketiga, sekaligus menyangkal dakwaan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerlukan kepada pungutan suara majoriti untuk persoalan agama tertentu.

Berkenaan dengan apa yang dimaksudkan oleh penulis sebagaimana di dalam tulisannya:

“…Lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara yang tidak mempunyai sandaran wahyu. Baginda bersikap demokrasi dengan mengambil pandangan-pandangan para sahabatnya, dan akan membuat keputusan berdasarkan suara majoriti.”

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh penulis adalah amalan bermusyarah yang diamalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama kalangan sahabat-sahabatnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ
Maksud: Maka sesuatu yang diberikan kepadamu, itu adalah kenikmatan hidup di dunia; dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal. Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan- perbuatan keji, dan apabila mereka marah mereka memberi maaf. Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat di antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (Surah asy-Syuura, 42: 38)

Dengan ini, apa yang lebih tepat adalah musyawarah. Bukanlah amalan demokrasi.

Melalui amalan musyawarah, hanya orang-orang yang beriman (yang mematuhi seruan Tuhannya) dan menjaga amalan solatnya akan diutamakan pendapatnya. Dan pendapat yang diambil bukanlah pendapat yang terbina daripada suara majoriti, tetapi adalah pendapat yang terbaik yang menepati syari’at.

Dari sini, jelas sekali bahawa amalan musyawarah berbeza sekali dengan amalan demokrasi itu sendiri. Di mana, melalui sistem politik demokrasi, pendapat atau keputusan yang diambil adalah berdasarkan suara majoriti dan pendapat adalah terhasil dari sejumlah manusia yang tidak diketahui sama sekali tahap keimanannya. Lebih-lebih lagi, politik ala demokrasi adalah lebih tertumpu kepada soal pertandingan dan pertaruhan. Maka, sama sekali tidak tepat lagi menyimpang jika mahu menyandarkan sistem demokrasi kepada sesuatu yang pernah diamalkan oleh Rasulullah.

Melalui ayat di atas tersebut, Allah turut menjelaskan ciri-ciri mereka yang menyertai musyawarah dan selayaknya diambil pendapatnya, iaitu sebagaimana berikut:

1 – Beriman.

2 – Bertawakkal.

3 – Menjauhi Dosa-dosa besar.

4 – Apabila marah, mereka memberi maaf.

5 – Patuh terhadap seruan Tuhannya.

6 – Mendirikan solat.

7 – Menafkahkan sebahagian rezeki yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Juga Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
Maksud: Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang memiliki pengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (Surah an-Nahl, 16: 43)

Demikianlah bahawa Allah mensyari’atkan amalan bermusyawarah. Dan mengambil pendapat dari kalangan orang yang memiliki pengetahuan serta beberapa ciri yang lain. Dan sekali-kali tidak sepatutnya menyerahkan sesuatu urusan atau perkara itu kepada manusia umum secara semberono yang tidak diketahui latar belakangnya sama sekali. Persoalan ini merujuk di dalam setiap bidang, sama ada di dalam urusan siayasah (politik), mahupun urusan lainnya secara umum.

Sebagai contoh, berikut disertakan nukilan daripada al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah berkenaan ayat tersebut di dalam Tafsirnya:

ولهذا كان عليه [الصلاة] السلام، يشاورهم في الحروب ونحوها، ليطيب بذلك قلوبهم. وهكذا لما حضرت عمر بن الخطاب [رضي الله عنه] الوفاة حين طعن، جعل الأمر بعده شورى في ستة نفر، وهم: عثمان، وعلي، وطلحة، والزبير، وسعد، وعبد الرحمن بن عوف، رضي الله عنهم أجمعين، فاجتمع رأي الصحابة كلهم على تقديم عثمان عليهم، رضي الله عنهم
Maksud: Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam selalu bermusyawarah dengan para sahabat di dalam permasalahan peperangan dan perkara yang seumpamanya, supaya hati mereka menjadi tenang. Demikian juga ketika kematian akan menjemput ‘Umar bin al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu setelah beliau ditikam. Ketika beliau menyerahkan perkara (kekhalifahan) sesudahnya kepada hasil musyawarah dari enam orang sahabat (bukan diserahkan kepada suara majoriti – penulis -), iaitu ‘Utsman, ‘Ali, Thalhah, az-Zubair, Sa’d dan ‘Abdurrahman bin ‘Auf radhiyallahu ‘anhum. Maka para sahabat seluruhnya bersepakat untuk mengangkat ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu. (Rujuk: Tafsir Ibnu Katsir)

Begitu jugalah ketika perlantikan Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu menjadi khalifah. Di mana pemutusannya adalah berdasarkan hasil permusyawaratan dari kalangan sahabat-sahabat utama. Setelah hasil musyawarah diperolehi, barulah masyarakat dipanggil untuk tujuan pengumuman dan bai’ah. (Boleh dilihat dari tulisan: Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbary, Sistem Politik Islam, m/s. 141-142, Telaga Biru, Cet. 1, Mei 2008)

Begitulah Islam menunjukkan keunggulannya, di mana ia tidak menyerahkan urusan tertentu begitu sahaja kepada orang sembarangan.

Bahagian 3 – Berkenaan perkataan penulis:

“Namun, baginda telah menunjukkan nilai-nilai demokrasi dalam diri baginda. Lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara yang tidak mempunyai sandaran wahyu”.

Jawaban/Bantahan:

Perlu kita fahami bahawa setiap apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sentiasa di atas bimbingan dan perhatian wahyu. Dan kehidupan beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya sentiasa mendapat perhatian dan pemantauan dari wahyu.

Sekiranya ada perkara yang memerlukan kepada pembetulan, pasti Allah akan menegur dan menyampaikan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dalam perkara ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (٣)إِنْ هُوَ إِلا وَحْيٌ يُوحَى (٤)عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى
Maksud: dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat. (Surah an-Najm, 53: 3-5)

Berkata Imam al-Qurthubi di dalam tafsirnya berkenaan ayat ini menunjukkan adanya penjelasan bahawa as-Sunnah adalah wahyu yang diturunkan dari Allah Ta’ala.

Dan firman-Nya:

وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ اْلأَقَاوِيلِ لأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ . ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ
Maksud: Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, niscaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya. (Surah al-Haqqah: 45-46)

Secara jelasnya dapat kita lihat dan fahami:

Adakah mungkin setelah ancaman yang keras ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata dan melakukan sesuatu dengan dasar hawa nafsu atau keinginannya semata-mata? Padahal beliau adalah seorang yang sangat jujur sekali, sekiranya begitu tidaklah mungkin beliau berkata dan berbuat atau menyetujui sesuatu yang bersangkutan dengan agama melainkan dengan pemberitahuan dan izin dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dan tidak ada jalan untuk mendapatkan perkara tersebut dari seorang makhluk kepada penciptanya melainkan dengan jalan wahyu yang sudah tentunya menurut definisi syar’i.

Bahkan, setiap apa jua tindak tanduk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itu sendiri sentiasa menjadi perhatian dan direkodkan oleh para sahabat. Yang kemudiannya menjadi sumber hukum dan panduan serta tauladan.

Dalam perkara ini, terdapat firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksud: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut (mengingat) Allah. (Surah al-Ahzab, 33: 21)

Bahagian 4 – Penggunaan hadis yang silap di mana penulis menukilkan:

Dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Muslim, bahawa Nabi Muhammad saw berkata, “Sebaik-baik para pemimpin kalian adalah pemimpin yang disayangi dan didoakan oleh kalian,dan pemimpin itu juga menyayangi dan mendoakan kalian.Manakala seburuk-buruk pemimpin adalah,pemimpin yang kalian kutuk dan benci dan mereka pula mengutuk dan membenci kalian.”

Bantahan/Jawaban:

Menggunakan hadis yang dimaksudkan sebagai hujjah untuk menyokong amalan demokrasi adalah sama sekali tidak tepat dan jauh menyimpang dari maksud sebenar hadis tersebut. Adapun hadis tersebut secara penuh adalah sebagaimana berikut:

عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ فَقَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

Maksud: Daripada ‘Auf bin Malik radhiyallahu ‘anhu, daripada Raulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau berkata:

Pemimpin-pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu semua mencintai mereka dan mereka pun mencintaimu semua, juga yang kamu semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua.

Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara kamu ialah orang-orang yang kamu membenci mereka dan mereka pun membenci pada kamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu semua.”

‘Auf berkata: “Kami para sahabat lalu berkata: “Ya Rasulullah, apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu? Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Jangan menentang mereka dengan pedang, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua. Jika kamu melihat pada pemimpin kamu sesuatu yang kamu benci, maka bencilah perbuatan tersebut akan tetapi, janganlah kamu menarik ketaatan (daripada pemimpin tersebut). (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/403, (بَاب خِيَارِ الْأَئِمَّةِ وَشِرَارِهِمْ), no. 3447)

Bahkan hadis ini sendiri menjelaskan tentang soal ketaatan dan larangan menentang pemimpin. Yang lebih jelas, ianya sama sekali tidak mendukung sistem demokrasi, bahkan menafikannya.

Sekaligus bertentangan dan menolak pernyataan penulis yang berikut:

Manakala bagi calon-calon yang tidak berdidikasi, pentingkan diri sendiri dan tidak pandai mengurus kepimpinan, akan ditolak oleh rakyat. Inilah ciri-ciri yang ada dalam Sistem Demokrasi yang sentiasa menyalurkan pelbagai saluran seperti, pemilihan umum, meminta pandangan rakyat, mengutamakan suara majoriti, mempelbagaikan parti politik agar berlaku kesimbangan.

Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah berkata setelah membawakan beberapa dalil dari hadis-hadis termasuk hadis di atas, katanya:

Nash-nash ini dengan jelas melarang untuk keluar dari ketaatan kepada pemimpin, walau pun dalam tindakannya bercampur di antara yang halal dan haram. Walau pun dia berhak atas laknatnya kaum muslimin sekali pun, dibenci kaumnya dan dia pun membenci mereka. Dilarang untuk keluar darinya selama dia masih menjadi sebahagian dari kaum muslimin (umat Islam). Bahkan setiap Muslim wajib taat, patuh, dan bersabar di atas kebencian kepadanya. Membenci pemimpin yang berlaku seperti itu dengan hati dan mengingkarinya dengan lisan. Semua itu sudah cukup, tidak perlu ditambah lagi. Sebab, jika kita melakukan perkara itu akan selamatlah kita dari kerosakan di dunia dan selamat dari azab di akhirat kelak. Namun, siapa yang redha dan mengikutinya bererti dia telah bersekutu dengannya di dalam dosa dan kemaksiatan.

Jika kita letakkan pedoman (panduan) ini, yang merupakan kemaslahatan bagi umat Islam ini di tapak tangan. Lalu kita letakkan juga panduan hukum demokrasi yang berdiri di atas dasar pilihanraya dan kehadiran para pendukungnya (serta pesaingnya) dari pelbagai parti politik yang berbeza-beza di tapak tangan yang satu lagi, maka kita dapati dua hukum itu saling bertentangan. Kita dapati sebuah perbezaan yang besar di antara keduanya. (Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri, Islam & Parti Politik, m/s. 88, Pustaka at-Tazkia, Cet. 1 Dzulqa’edah 1429/November 2008M (Jakarta))

Hadis ini turut disentuh oleh imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah ketika mensyarahkan perkataan imam Abu Ja’afar ath-Thahawi dengan katanya:

“Ada pun kewajiban untuk mentaati mereka (bukan dalam persoalan maksiat) walau pun mereka melakukan kezaliman adalah sesuatu yang disyari’atkan, kerana keluar dari ketaatan kepada mereka (pemerintah/penguasa) akan melahirkan kerosakan yang belipat kali ganda dibandingkan dengan kezaliman mereka sendiri. Malah, bersabar terhadap kezaliman mereka dapat meleburkan dosa-dosa dan dapat melipat gandakan pahala. Kerana Allah tidak akan menaikkan penguasa ke atas diri kita melainkan disebabkan oleh kerosakan amal perbuatan kita juga. Ganjaran itu bergantung kepada amal perbuatan. Maka, hendaklah kita bersungguh-sungguh memohon keampunan, bertaubat, dan memperbaiki amal-amal perbuatan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan).” (Surah asy-Syura, 42: 30)
“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 129)
(Dengan ini) apabila rakyat ingin selamat dari kezaliman para pemimpin mereka, hendaklah mereka meninggalkan kezaliman itu juga.” (Rujuk: Tahzib Syarh ath-Thahawiyah, jil. 2, m/s. 199-200, Pustaka at-Tibyan, Cet. 4 Jun 2002M (Solo))

Bahagian 5 – Penulis berkata:

Inilah ciri-ciri yang ada dalam Sistem Demokrasi yang sentiasa menyalurkan pelbagai saluran seperti, pemilihan umum, meminta pandangan rakyat, mengutamakan suara majoriti, mempelbagaikan parti politik agar berlaku kesimbangan.

Bantahan/Jawaban:

Dijawab secara ringkas berpandukan point,

1 – Berkenaan “Pemilihan umum”

Di dalam hukum politik Islam, pemimpin dipilih dan diangkat oleh sekumpulan orang yangg baik agamanya, cemerlang pemikirannya dan berilmu dalam urusan agama dan selainnya (Ahl al-Hal wa al-‘Aqdi). Manhaj kepimpinan pula ditentukan oleh Syari’at Islam. Kedua-dua perkara ini tidak boleh diserahkan kepada rakyat… (Rujuk: Hafiz Firdaus Abdullah, Mari Berkenalan Dengan ASWJ, m/s. 261, Jahabersa, Cet. 1, 2007 (Johor Bahru))

Pemimpin dipilih berdasarkan pembai’ahan Ahl al-Hal wa al-‘Aqd. Terdapat tiga ciri yang disyaratkan bagi golongan ini:

1 – Keadilan.

2 – Memiliki ilmu yang luas.

3 – Pandangan yang luas serta kebijaksanaan yang membolehkan mereka memilih orang yang paling layak bagi memegang jawatan khalifah (pemimpin) dan menguruskan kepentingan masyarakat. (Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbary, Sistem Politik Islam, m/s. 141, Telaga Biru, Cet. 1, Mei 2008)

Selain itu, para ulama turut membahaskan berkenaan pemerintah atau pemimpin yang naik memerintah dengan cara kekerasan.

Di mana mereka membuat kesimpulan bahawa:

Sesiapa yang menggunakan kekerasan, kemudian dia dapat menguasai pemerintahan dan kemudian pemerintahan itu kekal di tangannya, maka dia merupakan seorang imam yang wajib diberi bai’ah dan ketaatan serta haram dipecat dan diingkari perintahnya walau pun tidak terkumpul segala syarat seorang khalifah pada dirinya. (Rujuk: Syaikh Abdus Salam B. Barjas, Manhaj Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Dalam Bersikap Terhadap Penguasa dan Pemerintah, m/s. 34, Najla Press, Cet. 1, Mei 2003. Rujuk juga: Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbary, Sistem Politik Islam, m/s. 219, Telaga Biru, Cet. 1, Mei 2008)

Al-Imam Ahmad berkata:

Sesiapa yang dapat menguasai umat Islam dengan kekuatannya sehingga menjadi khalifah dan seterusnya diberi gelaran Amirul Mukminin, tidak harus bagi seseorang yang mengaku beriman dengan Allah dan hari Kiamat bermalam dalam keadaan tidak mengakuinya sebagai seorang imam, sama ada dia seorang yang baik atau pun jahat. (Abu Ya’ala, al-Ahkam al-Sulthaniyah. Lihat: Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbary, Sistem Politik Islam, m/s. 219, Telaga Biru, Cet. 1, Mei 2008)

2 – Mengutamakan Meminta pandangan rakyat, Mengutamakan Suara Majoriti

Dalam persoalan ini, Pandangan rakyat boleh boleh diambil kira. Tetapi ia bukanlah sebuah penentu yang mutlak berdasarkan syari’at Islam, berbeza dengan apa yang diamalkan di dalam sistem demokrasi yang meletakkan suara majoriti rakyat sebagai penentu bahkan bersifat mutlak. Islam adalah agama yang berpandukan kepada wahyu dan membenarkan musyawarah dengan mengambil pandangan dari mereka yang layak.

Ini adalah sebagaimana yang telah dijelaskankan di atas.

Dijelaskan dengan firman Allah (maksudnya):

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah”, mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. “(Adakah mereka akan mengikuti juga), walau pun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?”.” (Surah al-Baqarah, 2: 170)

Dan jika kamu mengikuti (menuruti) kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. (Surah al-An’am, 6: 116)

3 – Mempelbagaikan parti politik supaya berlaku keseimbangan.

Kepelbagaian parti politik yang wujud pada hari ini sebenarnya bukan mengarah kepada keseimbangan. Malahan mengarah kepada sebuah perpecahan dan pertelingkahan. Lebih parah lagi, mengajak kepada ketaksuban dan sikap fanatik atas dasar parti dan menjauhi kebenaran.

Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksud: Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat. (Surah Ali Imran, 3: 105)

Sungguh banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menjelaskan bahawa betapa Allah mencela perpecahan. Sekaligus memerintahkan supaya bersatu.

Di antaranya,

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (١١٨)إِلا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ
Maksud: Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. (Surah Hud, 11: 118-119)

Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah berkata:

Perpecahan adalah salah satu kesan besar yang ditimbulkan oleh parti-parti politik. Bahkan perpecahan merupakan asas dasar daripada kepartian. Sebagaimana yang diketahui, perpecahan dari pelbagai bentuk apa pun dan perselisihan atas dasar apa pun tidak patut dan tidak layak dalam Islam serta tidak mendatangkan manfaat apa pun melainkan malapetaka bagi kaum muslimin. Dosa dan bahayanya lebih besar daripada mafaatnya serta kerosakannya lebih besar dari maslahatnya. (Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri, Islam & Parti Politik, m/s. 43, Pustaka at-Tazkia, Cet. 1 Dzulqa’edah 1429/November 2008M (Jakarta))

Melalui sistem demorkasi yang wujud hari ini juga, telah membuktikan kepada kita betapa hancurnya sebuah ikatan yang disusun melalui syari’at Islam yang disebut sebagai al-Wala’ wal Bara’. Dalam perkara ini, ia telah menjelaskan kepada kita bagaimana untuk bermu’amalah dan berhubungan dengan sesama umat Islam, dengan orang kafir, orang fasiq, ahli bid’ah, dengan pemerintah, ahli maksiat, dan seterusnya. Islam itu sangat teliti dan sempurna. (Rujuk:

Perbahasan al-Wala’ wal Bara’)

Salah satu dari bukti keluhuran Islam adalah mengatur tatanan kehidupan sosial dengan peraturan yang sangat sempurna dan menyeluruh, mengikat umatnya yang beriman sesama mereka dengan ikatan yang kuat yang dipenuhi dengan rasa kasih dan sayang serta persaudaraan. Mewajibkan untuk saling peduli sesama kaum Muslimin dengan tolong-menolong, saling melindungi dan menekankan untuk melakukan perkara-perkara yang dapat menyatukan kehidupan sosial mereka. Memberikan kepada mereka peraturan hukum yang telah beku dan pasti, yang tidak memerlukan lagi hukum lain yang dimasukkan ke dalam peraturan hukum Islam itu sendiri.

Allah subhanahu wa Ta’ala telah menunjukka kepada kaum muslimin tentang ikatan yang kuat melalui firman-Nya:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksud: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah, 9: 71)

Dengan ini, Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah menjelaskan:

Jika Islam telah mengikat semua lapisan masyarakatnya dengan ikatan wala’ dan persaudaraan, maka yang pertama harus dilakukan adalah mencegah segala sesuatu yang dapat mengotori kejernihannya dan membersihkan segala bentuk perosak persaudaraan yang telah terjalin.

Sementara itu, berkenaan peraturan yang menjadi dasar parti politik, maka sudah menjadi kelaziman bahawa sistem peraturan tersebut membolehkan bagi setiap parti memperbanyakkan sokongan (meraih undi) untuk mendukungnya dan bersaing di dalam pilihanraya. (Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri, Islam & Parti Politik, m/s. 69, Pustaka at-Tazkia, Cet. 1 Dzulqa’edah 1429/November 2008M (Jakarta))

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا لَسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
Maksud: Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belah agama-Nya dan mereka menjadi berpuak-puak, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat. (Surah al-An’am, 6: 159)

Dan telah jelas dari dalil-dalil al-Qur’an dan hadis yang lain bahawa umat Islam diperintahkan untuk sentiasa taat kepada pemimpinnya. Sekaligus secara asasnya, adalah dilarang untuk berpecah-belah dan melakukan pelbagai usaha untuk menjatuhkan pemimpin yang sedia ada.

Dan Islam telah memiliki cara yang lebih baik lagi tersendiri bagi tujuan memperbaiki keadaan apabila berhadapan dengan para pemimpin yang zalim atau seumpamanya. Maka, hal itu perlulah diteliti dengan baik. Bukan terus lantang mahu menukar dan menggulingkan pemimpin yangs edia ada.

Ketika Syaikh al-Albani rahimahullah mengulas perkataan imam Abu Ja’afar ath-Thahawi dan syarah oleh imam Abil ‘Izz, beliau menjelaskan:

“Dengan itu, jelaslah bagaimana cara menghilangkan kezaliman yang dilakukan oleh para penguasa yang satu kulit dan satu bahasa dengan kita. Caranya, kaum muslimin (umat Islam) mestilah bertaubat kepada Allah, memurnikan aqidah, dan mendidik diri serta keluarga mereka dengan pendidikan Islam secara benar. Perkara tersebut adalah sebagai usaha dengan berpandukan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka.” (Surah ar-Ra’d, 7: 11)
Bertepatan dengan perkara persebut, ada seorang da’i (pendakwah) di zaman kita ini berkata, “Tegakkanlah daulah Islam di dalam hati-hati kamu, maka daulah Islam itu pun kemudiannya akan tertegak di atas muka bumi”.
Jadi, di dalam menyelesaikan masalah tersebut bukanlah dengan kaedah-kaedah seperti yang diguna-pakai sebahagian orang, iaitu dengan memberontak dan memerangi penguasa. Kerana, perkara tersebut di samping termasuk ke dalam bentuk bid’ah, ia juga bertentangan dengan nash-nash syar’i yang mana memerintahkan kita untuk mengadakan perubahan pada masyarakat dengan cara yang baik. Dalam persoalan ini, kita juga perlu memehami sebuah prinsip:
“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj, 22: 40) (Rujuk: Syarah dan Taqliq Syaikh al-Albani ke atas Aqidah ath-Thahawiyah)

Satu kaedah di dalam Islam dalam berhadapan dengan pemimpin yang melakukan maksiat atau berbuat zalim adalah dengan memberi nasihat dan bertemu dengannya.

Telah berkata Ibnul Asir: “Nasihat ialah suatu ungkapan daripada sepotong ayat iaitu berkehendakkan kebaikan kepada yang dinasihatkan baginya, dan tidak mungkin diungkapkan dari makna ini bersama makna yang lain. Asal makna nasihat dalam bahasa ialah suci.” (Dinukil dari Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbary, Sistem Politik Islam, m/s. 212-213, Telaga Biru, Cet. 1, Mei 2008)

Imam Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah berkata:

“Ada pun nasihat untuk para pemimpin kaum Muslimin maka ia adalah cintakan kebaikan untuk mereka, petunjuk untuk mereka dan keadilan mereka, menyukai sokongan rakyat ke atas mereka, membenci perpecahan umat kepada mereka, mematuhi ajaran agama, suka memuliakan mereka kerana mentaati Allah, membantu mereka dalam kebenaran, taat kepada mereka dalam perkara yang haq, marah kepada orang yang membelot dari mereka, dan cinta kepada usaha mereka di dalam urusan berbuat taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Membantu mereka dengan kebenaran, menyedarkan mereka dengan lemah lembut, mengelakkan daripada menentang mereka dan mendoakan kejayaan (kebaikan) untuk mereka.” (Rujuk: Ibnu Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 172 dan 173, Darul Falah, Cet. 2 Rejab 1427H/Julai 2006M)

Imam Muhyiddin an-Nahhas rahimahullah berkata:

Bila yang mahu dicegah adalah kemugkaran yang dilakukan oleh penguasa, maka tidak ada seorang pun yang berhak melarangnya dengan cara paksa dengan tangan, atau mengangkat pedang, atau menjadi sekutunya, kerana perkara tersebut akan menyebabkan munculnya fitnah, menimbulkan kejahatan, menjatuhkan kewibaan penguasa di dalam hati rakyatnya, kemungkinan perkara tersebut akan menimbulkan pembangkangan dan menganggu keamanan negara, serta seumpamanya.

Ada pun cara menyampaikan nasihat kepada penguasa yang melakukan kemungkaran dengan cara mencaci dan mengungkapkan kata-kata yang kasar seperti dengan perkataan: “Wahai orang zalim, wahai orang jahat, wahai orang fasiq, wahai orang yang tidak takut Allah”, dan perkataan kasar lainnya, maka hendaklah dia melihat terlebih dahulu, bila ia tahu bahawa perkataannya tersebut akan memberi kesan buruk kepada orang, maka dia tidak boleh melakukannya di hadapan yang lain, bila mana dia hanya mengkhawatirkan dirinya, maka dia dibolehkan untuk melakukannya, bahkan disunnahkan, kerana perbuatan itu akan mendorongnya untuk menjadi seorang syahid. (Imam Muhyiddin an-Nahhas, Tanbihul Ghafilin, m/s. 112, Pustaka as-Sunnah, Cet. 1 Ogos 2007M)

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan persoalan ini. Di antaranya adalah:

فَقَالَ عِيَاضُ بْنُ غَنْمٍ يَا هِشَامُ بْنَ حَكِيمٍ قَدْ سَمِعْنَا مَا سَمِعْتَ وَرَأَيْنَا مَا رَأَيْتَ أَوَلَمْ تَسْمَعْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ
Maksud: Maka berkata ‘Iyadh B. Ghanm, wahai Hisyam bin Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau tidak (belum) mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Sesiapa yang mahu menasihati sultan (pemimpin) di dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, no. 14792. Disahihkan oleh al-Albani, di dalam Zhilalil Jannah, (باب كيف نصيحة الرعية للولاة), no. 1096. Begitu juga di dalam Mu’amalatul Hukkam fi Dhauil Kitab was Sunnah, Syaikh Abdus Salam B. Barjas turut menjelaskan kesahihan hadis ini dengan membawakan beberapa jalan periwayatan dan penguat serta turut menukilkan pensahihan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ az-Zawa’id, 5/229)

Bahagian 6 – Penulis menyatakan:

Islam menyerang dan menolak kepimpinan yang autokratik dan zalim. Pemimpin yang tidak dapat menerima pandangan dan kritikan adalah pemimpin yang tidak layak diangkat sebagai calon pada pemilihan raya akan datang. Berdasarkan sebuah hadis direkodkan oleh Tabrani dan juga dalam Sahih al-Jami’ as-Soghir, bahawa Nabi Muhammad mengambarkan pemimpin yang tidak boleh dikritik dan ditegur sebagai kera yang melompat.

Selain itu, Islam juga menolak dan menyanggah rakyat yang memilih dan mendokong pemimpin yang zalim dan dikenali dengan kejahatannya dan penentangannya terhadap Allah dan Rasul. Allah telah menceritakan bagaimana Dia telah menghancurkan kaum Ad yang menuruti perintah penguasanya yang menentang Allah dan Rasul. Firman Allah, “Dan itulah (kisah) kaum ‘Ad yang mengingkari tanda-tanda kekuasaan Tuhan mereka, dan menderhakai rasul-rasul Allah dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi menentang (kebenaran).” (Surah Hud 11: 59)

Jawaban/Bantahan:

Peringatan yang dijelaskan oleh nash-nash yang sahih terhadap para pemimpin yang berlaku zalim atau maksiat tidaklah menunjukkan bahawa para rakyat berhak untuk bermudah-mudah melakukan kritikan kepada para pemimpin yang sedia ada. Sekaligus, tidak pula dengan mudah untuk menjatuhkan atau menukar ganti pemimpin yang sedia ada dengan pemimpin yang lainnya.

Sebagaimana yang telah dijelaskan, kaedah yang telah digariskan oleh as-Sunnah di dalam menghadapi para pemimpin yang bertindak di atas dasar kejahatan dan maksiat adalah dengan nasihat, doa serta kesabaran.

Syaikh Abdus Salam B. Barjas rahimahullah menjelaskan:

Kesabaran di dalam menghadapi penguasa adalah salah satu prinsip dari prinsip-prinsip Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Hampir tidak ada seorang pengarang dari Ahlus Sunnah yang tidak menetapkan prinsip ini, bahkan menganjurkannya.

Ini adalah termasuk salah satu keistimewaan syari’at Islam. Sesungguhnya perintah untuk bersabar di dalam menghadapi kezaliman dan keterlampauan penguasa dapat mendatangkan maslahah dan menolak mudharat yang mana perkara tersebut menjadi asas kepada wujudnya kesejahteraan rakyat dan negara. (Rujuk: Syaikh Abdus Salam B. Barjas, Manhaj Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Dalam Bersikap Terhadap Penguasa dan Pemerintah, m/s. 149, Najla Press, Cet. 1, Mei 2003)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلا تَسْتَعْجِلْ لَهُمْ
Maksud: Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka. (Surah al-ahqaf, 46: 35)

Di dalam kitab asy-Syari’ah oleh al-Ajuri menyebutkan sebuah riwayat dari Amr B. Yazid bahawasanya dia berkata, “Pada masa pemerintahan Yazid al-Muhallab, aku mendengar al-Hasan berkata bahawa telah datang sekelompok manusia kepadanya, lalu dia menyuruh mereka supaya tetap berada di dalam rumah mereka dan menutup pintu-pintunya. Lalu berkata lagi, “Demi Allah, seandainya manusia bersabar ketika diuji dengan keadaan penguasanya, pastilah Allah Subhanahu wa Ta’ala akan segera mengangkat unjian tersebut! Demikian itulah keadaan mereka yang berlindung dan pasrah di bawah kilatan pedang. Demi Allah, tidak pernah ada hari yang lebih baik daripada keadaan yang demikian”.

Kemudian beliau membawakan firman Allah:

وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ
Maksud: Dan telah sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka. Dan kami hancurkan apa yang telah dibina oleh mereka. (Surah al-A’raaf, 7: 137)”

Hasan berkata lagi, “Ketahuilah sesungguhnya kezaliman penguasa adalah sebahagian dari siksaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, sedangkan siksaan Allah tersebut tidak boleh dihadapi dengan pedang, tetapi diatasi dan ditolak dengan doa, taubat, dan kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, serta menahan diri dari perbuatan dosa!” (Rujuk: Syaikh Abdus Salam B. Barjas, Manhaj Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Dalam Bersikap Terhadap Penguasa dan Pemerintah, m/s. 150-151, Najla Press, Cet. 1, Mei 2003)

Imam al-Barbahari rahimahullah turut menjelaskan:

“Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa dia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun bila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa dia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku mempunyai doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Ia ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, tidak lebih hanya bermanfaat untuk diriku, namun bila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.”
Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukannya keburukan, walau pun dia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri sementara bila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya.” (Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, Tahqiq Syaikh Khalid bin Qasim al-Roddadiy, Edisi Terjemahan Terbitan Dar El-Hijrah, Cet. Pertama, 1423H/2002M, m/s. 83-84)
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ فَإِنَّهُ لَيْسَ أَحَدٌ مِنْ النَّاسِ خَرَجَ مِنْ السُّلْطَانِ شِبْرًا فَمَاتَ عَلَيْهِ إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksud: Daripada Ibnu ‘Abbas, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau bersabda:

Sesiapa yang tidak menyukai sesuatu yang ada pada diri penguasanya, maka hendaklah bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang memisahkan diri dari dari ketaatan kepada penguasa, maka matinya seperti mati jahiliyah. (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, (بَاب فِي طَاعَةِ الْأُمَرَاءِ وَإِنْ مَنَعُوا الْحُقُوقَ), no. 3439)

Bahagian 7 – Penulis menyatakan:

Selain itu, Islam juga menolak dan menyanggah rakyat yang memilih dan mendokong pemimpin yang zalim dan dikenali dengan kejahatannya dan penentangannya terhadap Allah dan Rasul.

Bantahan/Jawaban/Pencerahan:

Sebenarnya ini adalah suatu yang benar, namun dari sini bukanlah suatu yang membenarkan kita untuk mengambil sistem demorkasi lalu menggunakannya untuk mengganti atau menjatuhkan pemimpin yang sedia ada. Kerana dalam perkara ini, terdapat beberapa hadis, di antaranya adalah:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ إِنَّهُ يُسْتَعْمَلُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ فَقَدْ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا

Maksud: Daripada Ummu Salamah (Isteri Nabi), dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sesungguhnya beliau bersabda:

Kelak nanti akan wujud para pemimpin yang memiliki kebijaksanaan yang baik dan tidak. Sesiapa yang membenci yang tidak baik, maka lepaslah dia dari dosa. Dan sesiapa yang mengingkarinya, selamatlah dia. Namun, sesiapa yang rela bahkan mengikuti yang tidak baik, berdosalah dia.

Para sahabat bertanya, “Bolehkah kami bunuh mereka?” Nabi menjawab: Tidak! Selama mereka masih melaksanakan solat. (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, (بَاب وُجُوبِ الْإِنْكَارِ عَلَى الْأُمَرَاءِ), 9/401, no. 3446)

Begitu juga dengan hadis berikutnya,

عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ فَقَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

Maksud: Daripada ‘Auf bin Malik radhiyallahu ‘anhu, daripada Raulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau berkata:

Pemimpin-pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu semua mencintai mereka dan mereka pun mencintaimu semua, juga yang kamu semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua.

Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara kamu ialah orang-orang yang kamu membenci mereka dan mereka pun membenci pada kamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu semua.”

‘Auf berkata: “Kami para sahabat lalu berkata: “Ya Rasulullah, apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu? Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Jangan menentang mereka dengan pedang, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua. Jika kamu melihat pada pemimpin kamu sesuatu yang kamu benci, maka bencilah perbuatan tersebut akan tetapi, janganlah kamu menarik ketaatan (daripada pemimpin tersebut). (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/403, (بَاب خِيَارِ الْأَئِمَّةِ وَشِرَارِهِمْ), no. 3447)

Bahagian 8 – Penulis menyatakan:

Bagi mengukuhkan amaran Allah seperti di atas, Nabi Muhammad turut memperincikan dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad, bahawa baginda tidak mengakui sebagai umatnya sesiapa yang mendokong dan membenarkan kezaliman yang dilakukan para pemimpin. Amaran keras ini adalah sebuah perintah untuk umatnya agar tidak tergelincir dari mainan dan tipu daya pemimpin yang zalim.

Jawaban/Bantahan:

Jawaban di bahagian 7 telah pun menjawab persoalan ini berdasarkan hadis yang diutarakan.

Bahagian 9 – Penulis menyatakan:

Beliau menambah lagi, “Orang muslim yang mengajak kepada sistem Demokrasi, dengan pertimbangan bahawa Demokrasi itu adalah sebuah penetapan hukum yang menyatukan dengan prinsip-prinsip politik Islam dalam memilih seorang pemimpin dan menetapkan syura, melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar, melawan kezaliman, menolak kederhakaan terutama jika kederhakaan itu menjurus kepada kufur yang jelas berdasarkan bukti keterangan dari Allah. Diantara bukti yang mengukuhkan hal ini adalah, dalam teks undang-undang ada yang menyatakan: “Agama Negara adalah Islam dan syariat Islam menjadi rujukan undang-undang.” Ini menguatkan bahawa kedaulatan Allah dalam menetapkan hukum dan kedaulatan syariat-Nya. Oleh itu, ajakan untuk kepada sistem Demokrasi tidak boleh dianggap sebagai kufur, kerana selagi tidak ada penetangan dengan syariat maka ia dibolehkan.”

Bantahan/Jawaban:

Jawabannya adalah mudah, di mana rata-rata sistem demorkasi yang wujud pada hari ini adalah amat-amat bercanggah dengan syari’at Islam itu sendiri sama ada secara dasarnya mahu pun pada sisi-sisinya yang tertentu. Dengan itu, sekiranya tunjang-tunjang demorkasi yang mengarah kepada pelanggaran syari’at, hendaklah ia dihilangkan. Maka dengan itu, sistem demokrasi akan menjadi sebuah sistem yang Islami. Namun sayangnya, seandainya tunjang-tunjang demokrasi itu dihilangkan, maka hilanglah wajah sebenar demokrasi itu sendiri, sekaligus tidaklah lagi ia disebut sebagai demokrasi. Di antara asas terpenting demokrasi adalah mencapai keputusan dan melantik pemimpin berdasarkan suara majoriti dan membenarkan sistem pelbagai parti yang dibina di atas kepelbagaian perbezaan ideologi.

Dan ciri-ciri ini telah pun dijelaskan sebagaimana di atas juga melalui artikel di dalam blog ini yang membahaskan secara khusus berkenaan sistem demorkasi.

Bahagian 10 – Penulis menyatakan:

Peristiwa Perjanjian Aqobah pertama dan kedua juga menunjukkan bahawa kuasa rakyat menjadi tonggak dalam pemilihan pemerintah. Berdasarkan peristiwa perjanjian ini, para ulama Islam sejak dahulu lagi menegaskan bahawa kekuasaan pada asalnya berada di tangan rakyat. Oleh sebab itu, kekuasaan tidak boleh dipaksa tanpa ada kerelaan dari hati rakyat sendiri. Tanda rela dan setia rakyat terhadap kekuasaan atau pemerintah yang memerintah mereka ialah dalam bentuk Bai’ah atau taat setia.

Jawaban/Bantahan:

Tidak dapat dipastikan dari sisi mana penulis telah mengambil dalil dan meletakkan kaedah bahawa kuasa rakyat menjadi tonggak dalam pemilihan pemimpin. Sekiranya benar sekali pun pada asalnya asas pemilihan pemimpin adalah di tangan-tangan rakyat, namun adakah ia berterusan dan diamalkan di dalam Islam? Dan tidak pula disebutkan oleh penulis berkenaan ulama (merujuk: “para ulama”) mana yang menjelaskan kaedah sebagaimana yang digunakan oleh penulis. Setelah jelas pengambilan dalil tersebut, adakah ia boleh dijadikan sebagai hujjah yang membenarkan bahawa demokrasi itu terdapat di dalam Islam? Ia masih memerlukan penelitian seterusnya.

Wallahu a’alam.