Mengenal Yakjuj dan Makjuj Berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah

Mengenal Yakjuj dan Makjuj Berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah

Yusuf bin ‘Abdillah bin Yusuf Al-Wabil
Dipetik dari Kitab Asyratus Saa’ah
www.ilmusunnah.com

  1. Asal-usul Mereka

Sebelum menjelaskan tentang Ya’-juj dan Ma’-juj penulis melihat sangat penting jika kita mengenal tentang asal-usul mereka terlebih dahulu, dan apakah yang dimaksudkan dengan kata Ya’-juj dan Ma’-juj.Menjelang Kiamat

Lafazh Ya’-juj dan Ma’-juj adalah dua ismun A’jam (kata nama bukan ‘Arab), ada juga yang mengatakan ia berasal dari bahasa ‘Arab. Jika demikian, dua kata ini diambil dari kata  (اجت النار اجيجا) maknanya adalah api yang menyala, atau diambil dari kata (الاجاج), maknanya adalah air yang mendidih yang amat sangat hingga bergolak (meluap-luap).

Juga dikatakan berasal dari kata (الاج) maknanya adalah cepatnya pada memusuhi. Ada juga yang mengatakan Ma’juj berasal dari kata (ماج) maknanya adalah goyah. Keduanya dengan wazan (يفعول) pada kata Ya’juuj dan dengan wazan (مفعول) pada kata kata Ma’-juuj, atau dengan wazan (فاعول)  untuk keduanya.

Demikian itu jika keduanya memang berasal dari bahasa Arab. Adapun jika keduanya berasal dari bahasa A’jam (bukan ‘Arab), maka keduanya tidak memilik kata dasar, kerana bahasa A’jam tidak diambil dari bahasa Arab.

Jumhur ulama membaca dengan ungkapan (ياجوج)   dan (ماجوج) tanpa menggunakan hamzah, maka kedua alifnya menjadi sebagai tambahan. Asal kedua kata tersebut adalah (يجج) dan (مجج), adapun qira-ah (cara baca Al-Qur’an) ‘Ashim menggunakan hamzah yang disukunkan.

Semua yang telah disebutkan berkenaan dengan asal kata keduanya adalah selari dengan keadaan mereka, dan pengambilan kata dari lafaz (ماج) yang bermakna goncang, diperkuat oleh firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِي بَعْضٍ (99)

“Kami biarkan mereka di hari itu bercampur-aduk antara satu dengan yang lain,…” (Surah Al-Kahfi, 18: 99)

Keadaan itu terjadi ketika mereka keluar dari dinding.[1]

Ya’-juj dan Ma’juj adalah manusia dari keturunan Adam dan Hawwa ‘alaihumas Salam, sebahagian ulama berkata, “Sesungguhnya mereka hanya berasal dari Adam dan bukan dari Hawwa.[2] Ianya terjadi ketika Adam bermimpi, lalu air maninya bercampur dengan tanah, darinyalah Allah menciptakan Ya’-juj dan Ma’-juj.”

Pendapat ini sama sekali tidak berlandaskan dalil, dan tidak disebutkan dalam sumber yang boleh diterima perkataannya.[3]

Ibnu Hajar rahimahullah berkata, “Kami sama sekali tidak mengetahui ungkapan seperti ini dari seorang ulama Salaf pun, kecuali dari Ka’b Al-Ahbaar, dan ungkapan ini dibantah oleh hadis marfu’ (yang menyatakan) bahawa mereka berasal dari keturunan Nuh, sementara Nuh dari keturunan Hawwa.[4]

Ya’-juj dan Ma’juj berasal dari keturunan Yafits, nenek moyang bangsa Turk, sementara Yafits dari keturunan Nuh ‘alaihis Salam.

Dalil yang menunjukkan bahawa mereka dari keturunan Adam ‘alaihis Salam adalah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau bersabda:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: ” يَا آدَمُ، فَيَقُولُ: لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، وَالخَيْرُ فِي يَدَيْكَ، فَيَقُولُ: أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ، قَالَ: وَمَا بَعْثُ النَّارِ؟، قَالَ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ، فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ، وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا، وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى، وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ” قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيُّنَا ذَلِكَ الوَاحِدُ؟ قَالَ:” أَبْشِرُوا، فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا.

“Allah Ta’ala berfirman, “Wahai Adam!” Adam menjawab, “Aku menjawab panggilan-Mu, segala kebaikan ada di kedua tangan-Mu.” Lalu Allah berfirman, “Keluarkanlah rombongan penghuni Neraka!” Dia bertanya, “Berapakah jumlah rombongan penghuni Nereka?” Allah menjawab, “Untuk setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan.” Saat itu rambut anak kecil mendadak beruban, setiap orang yang hamil keguguran kandungannya, dan engkau lihat manusia mabuk sedangkan mereka tidak mabuk, melainkan disebabkan adzab Allah yang sangat pedih.” Para Sahabat bertanya, “Siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu?” Nabi menjawab, “Bergembiralah, sesungguhnya dari kalian satu orang, manakala dari Ya’-juj dan Ma’-juj adalah seribu orang.”[5]

Dan diriwayatkan dari ‘Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

أن يأجوج و مأجوج من ولد ادم، وأنهم لو أرسلوا إلى الناس، لأفسدوا عليهم معايشهم، ولن يموت منهم أحد، إلا ترك من ذريته ألفا فصاعدا

“Sesungguhnya Ya’-juj dan Ma’-juj dari keturunan Adam, dan sesungguhnya jika mereka diutus kepada manusia, nescaya akan merosak kehidupan mereka, dan tidaklah salah seorang dari mereka mati, kecuali meninggalkan seribu keturunan dari mereka atau lebih.”[6]

  1. Sifat-Sifat Mereka

Adapun sifat-sifat mereka yang telah dijelaskan di pelbagai hadis, yakni mereka menyerupai orang-orang yang sejenis dengan mereka dari kalangan bangsa Turk, orang ‘Ajam yang tidak fasih bicaranya, dan bangsa mongol, matanya sepet, berhidung pesek, berambut perang, berdahi lebar, wajah-wajah mereka seperti perisai yang dilapisi kulit, bentuk tubuh dan warna kulit mereka mirip bangsa Turk.[7]

Al-Imam Ahmad rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu Harmalah, dari makciknya, beliau berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkhutbah sedangkan jari tangan beliau dibalut dengan pembalut kerana tersengat kala jengking, lalu beliau bersabda:

إِنَّكُمْ تَقُولُونَ لَا عَدُوَّ وَإِنَّكُمْ لَا تَزَالُونَ تُقَاتِلُونَ عَدُوًّا حَتَّى يَأْتِيَ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ عِرَاضُ الْوُجُوهِ صِغَارُ الْعُيُونِ شُهْبُ الشِّعَافِ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ كَأَنَّ وُجُوهَهُمْ الْمَجَانُّ الْمُطْرَقَةُ

“Sesungguhnya kalian berkata tidak ada musuh sementara kalian sentiasa memerangi musuh hingga datang Ya’-juj dan Ma’-juj; bermuka lebar, bermata sepet, berambut perang, mereka datang dari setiap arah, wajah-wajah mereka seperti perisai yang dilapisi kulit.”[8]

Ibnu Hajar rahimahullah menyebutkan sebahagian atsar tentang ciri-ciri mereka, akan tetapi riwayatnya lemah.

Di antara yang dijelaskan dalam atsar-atsar tersebut bahawa mereka ada tiga golongan:

>> Satu golongan seperti al-‘urz, iaitu nama sebuah pohon yang sangat besar.

>> Satu golongan dengan postur tubuh empat hasta kali empat hasta.

>> Satu golongan dengan telinga mereka dapat dipertemukan dengan telinga yang lain.

Dan ada pula atsar yang menyebutkan bahawa tinggi mereka satu jengkal dan dua jengkal, dan paling tinggi dari mereka adalah tiga jengkal.[9]

Manakala yang dijelaskan oleh pelbagai dalil sahih adalah bahawa mereka merupakan orang-orang yang kuat, tidak ada seorang pun yang mampu membunuh mereka, dan mustahil jika tinggi mereka itu hanya satu atau dua jengkal.

Dijelaskan dalan hadis An-Nawwas bin Sam-‘an radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Allah Ta’ala mewahyukan kepada Nabi ‘Isa ‘alaihi Salam dengan keluarnya Ya’-juj dan Ma’-juj, dan tidak ada seorang pun yang mampu membunuh mereka. Dan Allah memerintahkan ‘Isa ‘alaihi Salam agar menjauhkan kaum mukminin dari jalan mereka, lalu Allah berkata kepada mereka, “Kumpulkanlah hamba-hamba-Ku ke gunung Thur.”

Keadaan ini akan dijelaskan pada perbahasan tentang keluarnya mereka dengan izin Allah Ta’ala.

  1. Dalil-Dalil Akan Keluarnya Ya’-juj dan Ma’-juj

Keluarnya Ya’-juj dan Ma’-juj pada akhir zaman adalah salah satu tanda dari tanda-tanda besar Kiamat. Kemunculan mereka telah dijelaskan oleh Al-Kitab dan As-Sunnah.

>> Dalil-dalil dari Al-Qur’an Al-Karim

1, Allah Ta’ala berfirman:

حَتَّى إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ (96) وَاقْتَرَبَ الْوَعْدُ الْحَقُّ فَإِذَا هِيَ شَاخِصَةٌ أَبْصَارُ الَّذِينَ كَفَرُوا يَا وَيْلَنَا قَدْ كُنَّا فِي غَفْلَةٍ مِنْ هَذَا بَلْ كُنَّا ظَالِمِينَ (97)

“Hingga apabila dibuka (tembok) Ya’juj dan Ma’juj, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. Dan telah dekatlah kedatangan janji yang benar (hari Berbangkit), maka tiba-tiba terbelalaklah mata orang-orang kafir. (Mereka berkata,) ‘Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami dalam kelalaian tentang ini, bahkan kami adalah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Anbiyaa’, 21: 96-97)

2, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman pada kisah tentang Dzul-Qarnain:

ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا (92) حَتَّى إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِنْ دُونِهِمَا قَوْمًا لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا (93) قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (96) فَمَا اسْطَاعُوا أَنْ يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا (97) قَالَ هَذَا رَحْمَةٌ مِنْ رَبِّي فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا (98) وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِي بَعْضٍ وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَجَمَعْنَاهُمْ جَمْعًا (99)

“Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain). Hingga ketika dia sampai di antara dua gunung, didapati di belakang (kedua gunung itu) suatu kaum yang hampir tidak memahami pembicaraan. Mereka berkata, “Wahai Dzul-Qarnain, sesungguhnya Ya’-juj dan Ma’-juj itu kelompok yang berbuat kerosakan di muka bumi, maka bolehkah kami membayarmu dengan suatu bayaran supaya engkau membuatkan dinding penghalang antara kami dengan mereka?” Dzul Qarnain berkata, “Apa yang telah dianugerahkan Rabb-ku kepadaku lebih baik (dari apa yang engkau bayar), maka bantulah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku dapat membuatkan dinding penghalang antara kalian dan mereka, berilah aku potongan-potongan besi.” Hingga ketika (potongan) besi itu telah (terpasang) sama rata dengan kedua (puncak) gunung tersebut, dia (Dzul Qarnain) berkata, “Tiuplah (api itu).” Ketika besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, “Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atasnya (yak ke atas besi panas itu).” Maka mereka (Ya’-juj dan Ma’-juj) tidak dapat mendakinya dan tidak dapat (pula) melubanginya. Dia (Dzul-Qarnain) berkata, “(Dinding) ini adalah rahmat dari Rabb-ku, maka apabila janji Rabb-ku itu sudah datang, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Rabb-ku itu adalah benar.” Kami biarkan mereka (Ya’-juj dan Ma’-juj) di hari itu bercampur antara satu dengan yang lain, kemudian ditiuplah sangkakala, lalu Kami kumpulkan mereka semuanya.” (Surah Al-Kahfi, 18: 92-99)

Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa Allah memudahkan Dzul-Qarnain,[10] seorang raja yang soleh, untuk membina sebuah dinding besar agar menjadi penghalang bagi Ya’-juj dan Ma’-juj yang telah melakukan kerosakan di muka bumi dan di tengah-tengah kehidaupan manusia. Apabila telah datang waktu yang ditentukan, dan Kiamat telah dekat, maka dinding tersebut akan terbuka dan Ya’-juj dan Ma’-juj akan keluar dengan sangat cepat, dalam jumlah yang sangat banyak, tidak ada seorang pun yang mampu menghadapinya, maka bertebaranlah mereka ke dalam kalangan manusia dan kerosakan pun tersebar di muka bumi.

Ini adalah salah satu tanda dekatnya tiupan Sangkakala, hancurnya dunia, dan datangnya Kiamat,[11] sebagaimana akan dijelaskan dalam beberapa hadis sahih.

>> Dalil-dalil dari As-Sunnah yang sahih

Hadis-hadis yang menunjukkan akan keluarnya Ya’-juj dan Ma’-juj sangatlah banyak, mencapai darjat mutawatir secara makna, sebahagiannya telah disebutkan dan pada bahagian ini akan kami ungkapkan sebahagian dari hadis-hadis tersebut, di antaranya:

1, Diriwayatkan dalam Ash-Shahihain dari Ummu Habibah binti Abi Sufyan, dari Zainab binti Jahsy radhiyallahu ‘anhuma, bahawasanya pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang kepadanya dengan keadaan terkejut, beliau berkata:

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ اليَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ، وَمأْجُوجَ مِثْلُ هَذَا، وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ، وَبِالَّتِي تَلِيهَا» فَقَالَتْ زَيْنَبُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ: «نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الخَبَث

Laa ilaaha illallaah, celakalah orang Arab kerana keburukan telah menghampiri, hari ini dinding penghadang Ya’-juj dan Ma’-juj telah terbuka seperti ini.” (Beliau melingkarikan kedua jarinya; ibu jari dan telunjuknya). Zainab binti Jahsy berkata, “Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami akan binasa sementara dalam kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Beliau menjawab, “Ya, apabila keburukan telah bermaharajalela.”[12]

2, Diriwayatkan dalam hadis An-Nawwas bin Sam’aan radhiyallahu ‘anhu, di dalamnya diungkapkan:

إِذْ أَوْحَى اللهُ إِلَى عِيسَى: إِنِّي قَدْ أَخْرَجْتُ عِبَادًا لِي، لَا يَدَانِ لِأَحَدٍ بِقِتَالِهِمْ، فَحَرِّزْ عِبَادِي إِلَى الطُّورِ  وَيَبْعَثُ اللهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ، فَيَمُرُّ أَوَائِلُهُمْ عَلَى بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ فَيَشْرَبُونَ مَا فِيهَا، وَيَمُرُّ آخِرُهُمْ فَيَقُولُونَ: لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ، وَيُحْصَرُ نَبِيُّ اللهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ، حَتَّى يَكُونَ رَأْسُ الثَّوْرِ لِأَحَدِهِمْ خَيْرًا مِنْ مِائَةِ دِينَارٍ لِأَحَدِكُمُ الْيَوْمَ، فَيَرْغَبُ نَبِيُّ اللهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ، فَيُرْسِلُ اللهُ عَلَيْهِمُ النَّغَفَ فِي رِقَابِهِمْ، فَيُصْبِحُونَ فَرْسَى كَمَوْتِ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ، ثُمَّ يَهْبِطُ نَبِيُّ اللهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى الْأَرْضِ، فَلَا يَجِدُونَ فِي الْأَرْضِ مَوْضِعَ شِبْرٍ إِلَّا مَلَأَهُ زَهَمُهُمْ وَنَتْنُهُمْ، فَيَرْغَبُ نَبِيُّ اللهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى اللهِ، فَيُرْسِلُ اللهُ طَيْرًا كَأَعْنَاقِ الْبُخْتِ فَتَحْمِلُهُمْ فَتَطْرَحُهُمْ حَيْثُ شَاءَ اللهُ

“Ketika Allah mewahyukan kepada ‘Isa, “Sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hamba-Ku, tidak ada seorang pun dapat mengalahkannya, maka kumpulkanlah hamba-hamba-Ku ke gunung Thur, kemudian Allah mengutuskan Ya’-juj dan Ma’-juj, mereka datang dari setiap tempat yang tinggi. Maka kelompok pertama dari mereka melewati danau Thabariyyah, mereka meminum airnya, lalu orang yang terkemudian dari mereka berkata, “Di danau ini dulu pernah ada airnya.” Nabiyullah ‘Isa dan para Sahabatnya dikepung, sehingga pada hari itu kepala seekor lembu lebih berharga berbanding seratus dinar milik salah seorang dari kalian. Kemudian Nabiyullah ‘Isa dan para Sahabatnya berdo’a kepada Allah, lalu Allah mengutus ulat-ulat pada leher-leher mereka (yakni kepada Ya’-juj dan Ma’-juj), akhirnya mereka semua mati bagaikan satu jiwa yang mati. Kemudian Nabiyullah ‘Isa dan para Sahabatnya turun (dari gunung) ke bumi, dan ternyata mereka tidak mendapati satu jengkal pun di bumi kecuali penuh dengan bau busuk bangkai mereka. Selanjutnya Nabiyullah ‘Isa dengan para Sahabatnya berdo’a kepada Allah, maka Allah mengutuskan sekelompok burung yang lehernya bagaikan leher unta, lalu burung tersebut mengambil dan melemparkan bangkai-bangkai itu ke mana saja bersesuaian dengan kehendak Allah.”[13]

Diriwayatkan oleh Muslim. Dalam riwayat lain ada tambahan –setelah ungkapan- (لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ), “Kemudian mereka berjalan sehingga sampai ke gunung Al-Khamr, iaitu gunung Baitul Maqdis, lalu mereka berkata, “Kita telah membunuh orang-orang yang ada di bumi, marilah kita bunuh makhluk yang ada di langit.” Lalu mereka melemparkan anak panah mereka ke langit, lalu Allah mengembalikan panah-panah mereka yang telah dilumuri darah.”[14]

3, Datang dalam hadis Hudzaifah bin Asiid radhiyallahu ‘anhu, disebutkan padanya tentang, “Ya’-juj dan Ma’-juj.”[15]

4, Diriwayatkan dari ‘Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

لَمَّا كَانَ لَيْلَةُ أُسْرِيَ بِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، لَقِيَ إِبْرَاهِيمَ، وَمُوسَى، وَعِيسَى عَلَيْهِمُ السَّلاَمُ، فَتَذَاكَرُوا السَّاعَةَ

“Ketika malam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diisra’kan, beliau berjumpa dengan Ibrahim, Musa, dan ‘Isa ‘alaihimus Sallam, lalu mereka membicarakan tentang Kiamat…”

hingga Nabi bersabda (menjelaskan):

“Maka mereka mengembalikan pembicaraan kepada ‘Isa (lalu beliau (‘Isa) menyebutkan terbunuhnya Dajjal, kemudian berkata), “Kemudian manusia kembali ke negeri mereka masing-masing. Lalu dihadang oleh Ya’-juj dan Ma’-juj yang mendatangi dengan cepat dari setiap tempat yang tinggi, mereka tidak akan melalui tempat yang ada air kecuali akan meminumnya, tidak juga melalui sesuatu kecuali menghancurkannya, kemudian mereka (para Sahabat ‘Isa) meminta pertolongan kepadaku (kepada ‘Isa), lalu aku berdo’a kepada Allah, maka Allah membinasakan mereka. Selanjutnya bumi menjadi berbau kerana bangkai-bangkai mereka, kemudian mereka (para Sahabat ‘Isa) memohon kepadaku, lalu aku berdo’a kepada Allah, akhirnya Allah mengirimkan hujan dari langit yang membawa dan melemparkan jasad-jasad mereka ke lautan.”[16]

5, Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (lalu beliau menyebutkan hadis, yang padanya terdapat ungkapan):

وَيَخْرُجُونَ عَلَى النَّاسِ، فَيَسْتَقُونَ الْمِيَاهَ وَيَفِرُّ النَّاسُ مِنْهُمْ، فَيَرْمُونَ سِهَامَهُمْ فِي السَّمَاءِ فَتَرْجِعُ مُخَضَّبَةً بِالدِّمَاءِ، فَيَقُولُونَ: قَهَرْنَا أَهْلَ الأَرْضِ، وَغَلَبْنَا مَنْ فِي السَّمَاءِ قُوَّةً وَعُلُوًّا، قَالَ: فَيَبْعَثُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهِمْ نَغَفًا فِي أَقْفَائِهِمْ، قَالَ: فَيُهْلِكُهُمْ قَالَ: وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، إِنَّ دَوَابَّ الأَرْضِ لَتَسْمُنُ وَتَبْطُرُ، وَتَشْكُرُ شُكْرًا، وَتَسْكَرُ سُكْرًا مِنْ لُحُومِهِمْ

“Dan mereka keluar menuju manusia, maka mereka mengambil air dan manusia lari menjauhi mereka. Mereka melemparkan panah-panah mereka ke langit, lalu (panah-panah tersebut) lembali dengan penuh darah, mereka berkata, “Kita telah mengalahkan penghuni bumi dan mengungguli kekuatan dan ketinggian orang-orang yang ada di langit.” beliau bersabda:

“Lalu Allah ‘Azza wa Jalla mengutuskan ulat-ulat di leher mereka.” Beliau bersabda, “Allah menghancurkan mereka. Demi Rabb yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya binatang-binatang bumi menjadi gemuk, penuh lemak dan susu, dan mabuk kerana memakan daging-daging mereka.”[17]

  1. Lokasi dan Sifat Dinding Ya’-juj dan Ma’-juj

Dzul-Qarnain membina dinding Ya’-juj dan Ma’-juj untuk menghalangi antara mereka dan tetangga mereka yang telah meminta pertolongan kepada Dzul-Qarnain dari kejahatan Ya’-juj dan Ma’-juj.

Kisah ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Allah dalam Al-Qur’an Al-Karim:

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95)

Mereka berkata, “Wahai Dzul-Qarnain, sesungguhnya Ya’-juj dan Ma’-juj itu kelompok yang berbuat kerosakan di muka bumi, maka bolehkah kami membayarmu dengan suatu bayaran supaya engkau membuatkan dinding penghalang antara kami dengan mereka?” Dzul Qarnain berkata, “Apa yang telah dianugerahkan Rabb-ku kepadaku lebih baik (dari apa yang engkau bayar), maka bantulah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku dapat membuatkan dinding penghalang antara kalian dan mereka…” (Surah Al-Kahfi, 18: 94-95)

Ayat ini mengisahkan pembinaan dinding tersebut, manakala kedudukan tempatnya berada di bahagian timur,[18] sebagaimana diisyaratkan dalam firman Allah Ta’ala:

(90)… حَتَّى إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ

“Hingga apabila dia telah sampai ke tempat terbit matahari (sebelah timur)…” (Surah Al-Kahfi, 18: 90)

Lokasi dinding penghadang tersebut tidak diketahui tempat kedudukannya secara pasti. Sebahagian raja dan para ahli sejarah berusaha untuk mengetahui dan memastikan kedudukan lokasinya, di antaranya adalah Khalifah Al-Watsiq.[19] Beliau pernah mengutuskan beberapa gabernornya bersama pasukan ketenteraan untuk pergi bertujuan melihat dinding tersebut, menelitinya dan menjelaskan kepadanya ketika kembali. Maka mereka menelusuri dari suatu negeri ke negeri yang lain, dari satu kerajaan ke kerajaan yang lainnya hingga mereka sampai kepadanya, dan melihat dinding tersebut yang terbuat dari besi dan juga timah. Mereka menyebutkan bahawa mereka melihat sebuah pintu yang sangat besar dengan kuncinya yang sangat besar, demikian pula mereka melihat susu-susu dan madu pada sebuah benteng di sana, dan dijaga oleh para penjaga dari kerajaan-kerajaan yang berbatasan dengannya, dan dinding tersebut sangatlah tinggi, tidak dapat didaki dan demikianlah dengan gunung-gunung yang ada di sekitarnya juga tidak dapat didaki. Setelah itu mereka kembali ke negeri mereka, setelah mengembara lebih dari 2 tahun, dan menyaksikan banyak keajaiban.[20]

Kisah ini disebutkan oleh Ibnu Katsir dalam Tafsiirnya, akan tetapi beliau tidak menyebutkan sanadnya, maka Allah-lah yang mengetahui kebenaran kisah tersebut.

Dan ditunjukkan dari beberapa ayat terdahulu bahawa dinding tersebut dibina di antara dua gunung, berdasarkan firman Allah Ta’ala:

حَتَّى إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ

“Hingga apabila dia telah sampai di antara dua gunung …” (Surah Al-Kahfi, 18: 93)

(السدان) maknanya adalah dua gunung yang berhadapan, kemudian Allah berfirman:

حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ

“… Hingga apabila potongan besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu…” (Surah Al-Kahfi, 18: 96)

Maknanya adalah apabila telah sama rata dengan kedua puncak gunung.[21] Dinding tersebut dibina dan dibentuk dengan menggunakan potongan-potongan besi. Kemudian cairan timah dituangkan di atasnya sehingga menjadi sebuah penutup yang sangat kuat.

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) meriwayatkan bahawa seseorang berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Aku telah melihat sebuah dinding bagaikan kain yang bergaris.” Rasul berkata, “Engkau telah melihatnya.”[22]

Sayyid Quthub berkata, “Ditemukan sebuah dinding penghadang di dekat kota Tirmidz[23] yang terkenal dengan pintu besi di awal abad ke 15 Masihi. Seorang ilmuan Jerman yang bernama Sild Berger pernah melaluinya dan mengabadikannya dalam bukunya, demikian pula seorang ahli sejarah dari Sepanyol bernama Kla Pejo ketika dalam perjalannya pada tahun 1403M, dan beliau berkata, “Penutup kota pintu besi ada di jalan antara Samarkand dan India …”

Ada kebarangkalian bahawa dinding penghadang tersebut adalah dinding penghadang yang pernah dibangunkan oleh Dzul-Qarnain.”[24]

Kami katakan: Barangkali dinding penghadang ini hanya sekadar pagar-pagar yang megelilingi kota Tirmidz, sebagaimana yang dikatakan oleh Yaqut Al-Hamawi dalam kitabnya Mu’jam Al-Buldaan dan bukannya dinding penghadang yang dibina oleh Dzul-Qarnain.

Demikialah, bukanlah suatu yang penting bagi kami untuk menentukan (atau memastikan) lokasi dinding penghadang tersebut dalam perbahasan ini. Bahkan kita perlu tawaqquf (berhenti) bersesuaian dengan apa-apa yang telah Allah khabarkan kepada kita semua.

Demikian pula dengan apa yang diterangkan dalam pelbagai hadis-hadis yang sahih, iaitu bahawa dinding Ya’-juj dan Ma’-juj tersebut masih ada sampailah datangnya waktu yang telah ditentukan untuk dirobohkan, kemudian diikuti dengan keluarnya Ya’-juj dan Ma’-juj, perkara tersebut akan terjadi ketika Kiamat telah benar-benar hampir menjelang, sebagaimana yang dikabarkan oleh Allah Ta’ala:

قَالَ هَذَا رَحْمَةٌ مِنْ رَبِّي فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا (98) وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِي بَعْضٍ وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَجَمَعْنَاهُمْ جَمْعًا (99)

“Dzul Qarnain berkata, “(Dinding) ini adalah rahmat dari Rabb-ku, maka apabila janji Rabb-ku telah datang, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Rabb-ku itu adalah benar.” Kami biarkan mereka (Ya’juj dan Ma’juj) di hari itu bercampur (bergaul) antara satu dengan yang lain, kemudian ditiup sangkakala, lalu Kami kumpulkan mereka semuanya.” (Surah Al-Kahfi, 18: 98-99)

Dalil yang menunjukkan bahawa dinding penghadang tersebut belum dihancurkan adalah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkaitan dinding penghadang tersebut, beliau bersabda:

يَحْفِرُونَهُ كُلَّ يَوْمٍ حَتَّى إِذَا كَادُوا يَخْرِقُونَهُ قَالَ الَّذِي عَلَيْهِمْ ارْجِعُوا فَسَتَخْرِقُونَهُ غَدًا فَيُعِيدُهُ اللَّهُ كَأَشَدِّ مَا كَانَ حَتَّى إِذَا بَلَغَ مُدَّتَهُمْ وَأَرَادَ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَهُمْ عَلَى النَّاسِ قَالَ الَّذِي عَلَيْهِمْ ارْجِعُوا فَسَتَخْرِقُونَهُ غَدًا إِنْ شَاءَ اللَّهُ وَاسْتَثْنَى قَالَ فَيَرْجِعُونَ فَيَجِدُونَهُ كَهَيْئَتِهِ حِينَ تَرَكُوهُ فَيَخْرِقُونَهُ فَيَخْرُجُونَ عَلَى النَّاسِ فَيَسْتَقُونَ الْمِيَاهَ وَيَفِرُّ النَّاسُ مِنْهُمْ

“Mereka melubangi (dinding penghadang) setiap hari, sehingga ketika mereka hampir saja melubanginya, maka pemimpi di antara mereka berkata, ‘Kembalilah, esok hari kalian akan melubanginya.’ “ Rasul bersabda, “Lalu Allah mengembalikannya teguh seperti semula, sehingga ketika mereka telah mencapai waktunya, dan Allah berkehendak untuk mengutus mereka kepada manusia, maka orang yang memimpin mereka berkata, “Kembalilah esok hari, insya Allah (dengan izin dan kehendak Allah) kalian akan melubanginya.”

Dia mengucapkan istisna (insya Allah). Nabi bersabda, “Lalu mereka kembali sementara penutup tersebut tetap dalam keadaan ketika mereka tinggalkan, akhirnya mereka dapat melubanginya dan keluar ke tengah-tengah menusia, kemudian mereka meminum air dan manusia lari dari mereka.”[25]

Adapun hadis yang terdapat dalam Ash-Shahiihain –seperti yang telah dijelaskan- bahawa dinding penghadang tersebut telah terbuka sedikit, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam merasa terkejut disebabkan hal tersebut.

Al-Ustadz Sayyid Quthub rahimahullah melihat dari sisi tarjiih, bukan dari sisi yang meyakinkan bahawa janji Allah untuk membuka penutup itu telah terjadi, dan Ya’-juj dan Ma’-juj telah keluar, mereka adalah bangsa Tatar yang muncul pada abad ke-7 Hijriyyah. Mereka telah menghancurkan kerajaan-kerajaan Islam dan hidup di muka bumi untuk melakukan kerosakan.[26]

Al-Qurthubi rahimahullah mengomentari bangsa Tatar ini dengan ungkapannya:

“Dan telah keluar sebahagian dari mereka (yakni bangsa Turk) pada zaman ini, kaum-kaum yang tidak dapat dihitung melainkan oleh Allah, dan tidak ada yang dapat mengusir mereka dari kaum muslimin kecuali Allah, sehingga mereka seperti Ya’-juj dan Ma’-juj atau sebagai tanda permulaan bagi kedatangan mereka.”[27]

Akan tetapi yang termasuk ke dalam tanda-tanda besar Kiamat –iaitu keluarnya Ya’-juj dan Ma’-juj di akhir zaman- belum terjadi sampai sekarang, kerana hadits-hadits sahih menunjukkan bahawa kemunculan mereka terjadi setelah turunnya ‘Isa ‘alaihi Sallam. Beliaulah yang berdo’a kepada Allah untuk kehancuran mereka, sehingga Allah pun menghancurkan mereka, kemudian melemparkan mereka ke dalam lautan seraya memberi keamanan kepada negeri-negeri dan juga kepada para hamba-Nya dari kejahatan mereka.

Wallaahu a’lam.

Sumber: Asyrathus Saa’ah oleh Asy-Syaikh Yusuf bin ‘Abdillah Al-Wabil, m/s. 315-329 – Daar Ibn al-Jauzi, Riyadh, cet. 4 (1435H).


 

[1] Lihat kitab Lisaanul ‘Arab (2/206-207), Tartiibul Qaamus Al-Muhitah (1/115-116), Fat-hul Baari (13/106), dan Syarh An-Nawawi di Shahih Muslim (18/3).

[2] Lihat Fataawa Al-Imam An-Nawawi yang dinamakan kitab Al-Masaa-ilul Mantsuurah (m/s. 116-117, disusun oleh muridnya ‘Ala-uddin Al-Athor), disebutkan juga oleh Ibnu Hajar dalam Al-Fath (13/107) dan beliau menisbatkannya kepada An-Nawawi, beliau berkata, “Dan disebutkan dalam kitab Fataawaa Muhyiddin (yakni Al-Imam An-Nawawi).”

[3] Lihat An-Nihaayah/Al-Fitan wal Malaahim (1/152-153) tahqiq Dr. Thaha Zaini

[4] Fat-hul Baari (13/107).

[5] Shahiih Al-Bukhari, kitab Al-Anbiyaa’, bab Qish-shatu Ya’-juuj wa Ma’-juuj (6/382, Al-Fath).

[6] Minhajul Ma’buud fi Tartiib Musnad Ath-Thayalisi, kitab Al-Fitan wa ‘Alamatus Saa’ah, bab Dzikri Ya’-juuj wa Ma’-juuj (2/219-Tartib Syaikh Ahmad ‘Abdurrahman Al-Banna), cet. 2, th. 1400H, Al-Maktabah Al-Islamiyyah – Beirut.

Al-Hakim meriwayatkan sebahagian darinya dalam Al-Mustadrak (4/490), beliau berkata, “Ini hadis sahih dengan syarat Asy-Syaikhani, akan tetapi keduanya tidak meriwayatkannya,” dan disepakati oleh Adz-Dzahabi. Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Kabiir dan Al-Ausath dan para perawinya tsiqah.” Majma’ Az-Zawaa-id (8/6). Ibnu Hajar berkata, “Diriwayatkan oleh ‘Abd bin Hamid dengan sanad yang hahih dari ‘Abdullah bin Salam dengan semisalnya.” Fat-hul Baari (13/107).

Dan Ibnu Katsir menyebutkan riwayat Ath-Thabrani untuk hadis ini, kemudian beliau berkata, “Ini adalah hadis gharid, dan boleh jadi dari perkataan ‘Abdullah bin ‘Amr dari dua Sahabatnya. (An-Nihaayah/Al-Fitan wal Malaahim (1/154) – tahqiq Dr. Thaha Zaini.

[7] Lihat an-Nihaayah/al-Fitan wal Malaahim (I/153) tahqiq Dr. Thaha Zaini.

[8] Musnad Imam Ahmad (5/21, dengan catatan pinggir kitab Muntakhah Al-Kanz). Al-Hatsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad, dan Ath-Thabrani, perawi keduanya adalah perawi Ash-Shahih,” Majma’ Az-Zawaa-id (8/6).

[9] Lihat Fat-hul Baari (13/107).

Ibnu Katsir telah mengingkari sifat-sifat ini, beliau berkata, “Sesungguhnya orang yang mengatakan bahawa ini adalah sifat-sifat mereka, maka dia telah berkata tanpa ilmu mereka,” dan beliau berkata,”Tanpa dilandasi dengan dalil,” (An-Nihaayah/Al-Fitan wa Malaahim, 1/153).

Dan Al-Haitsami menuturkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hudzaifah dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang ciri-ciri Ya’-juj dan Ma’-juj dengan sebahagian sifat ini, ianya dari riwayat Ath-Thabrani dalam Al-Ausath. Pada sanadnya ada Yahya bin Sa’id Al-Aththar, dan beliau ini dha’if. Ibnu Hajar berkomentar tentangnya “Sangat dha’if.” Lihat Majma’ Az-Zawaaid (8/6), dan Fat-hul Baari (13/106).

[10] Dzul-Qarnain, para ulama berbeza pendapat tentang nama sebenar beliau. Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawa namanya adalah ‘Abdullah bin Adh-Dhahhak bin Ma’d. Ada juga yang mengatakan Mush’ab bin ‘Abdillah bin Qinan dari Al-Uzd, kemudian dari Qahthan ada juga yang mengatakan tidak demikian.

Dinamakan Dzul Qarnain kerana beliau telah mencapai daerah timur dan barat, iaitu daerah muncul dan terbenamnya tanduk syaitan, ada juga yang mengatakan tidak demikian. Beliau adalah seorang hamba yang beriman lagi soleh, beliau bukanlah Dzul-Qarnain Al-Iskandari Al-Maqduni Al-Mishri yang kafir, beliau (Dzul-Qarnain Al-Iskandari) datang lebih kemudian berbanding Dzul-Qarnain yang diungkapkan oleh Al-Qur’an, jarak waktu di antara keduanya lebih dari 2000 tahun. Lihat An-Nihayah/Al-Fitan wal-Malaahim (2/102-106), dan Tafsir Ibnu Katsir (5/185-186).

[11] Lihat Tafsir Ath-Thabari (16/15-28, 28/87-92). Tafsir Ibnu Katsir (5/191-196). dan Tafsir Al-Qurthubi (11/341-342).

[12] Shahih Al-Bukhari, kitab Al-Anbiyaa’, bab Qish-shatu Ya’-juj wa Ma’-juj (6/381, Al-Fath), dan kitab Al-Fitan (13/106, Al-Fath), dan Shahih Muslim, kitab Al-Fitan wa Asyraathus Saa’ah (18/2-4, Syarh An-Nawawi).

[13] Shahih Muslim, bab Dzikrud Dajjal (18/68-69, Syarh An-Nawawi).

[14] Shahih Muslim, bab Dzikrud Dajjal (18/70-71, Syarh An-Nawawi).

[15] Shahiih Muslim, kitab al-Fitan wa Asyraatus Saa’ah (18/68-69, Syarh An-Nawawi).

[16] Mustadrak Al-Hakim (4/488-489), Al-Hakim berkata, “Sanadnya sahih, akan tetapi keduanya tidak meriwayatkannya.” Dan disepakati oleh Adz-Dzahabi di dalam kitab Talkhishnya. Dan diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad (4/189-190, no. 3556), tahqiq Ahmad Syakir, beliau berkata, “Sanadnya sahih.”

Manakala Al-Albani menilainya, “Dha’if.” Lihat Dha’if Al-Jaami’ Ash-Shaghiir (5/20-21, no. 4712).

Kami katakan: beberapa hadis memperkuat hadis ini sehingga menjadikannya sahih. Wallahu ‘alam.

[17] Sunan At-Tirmidzi, pada bab-bab Tafsiir, Suuratul Kahfi (8/597-599), At-Tirmidzi berkata tentangnya, “Hadis sahih dengan syarat Asy-Syaikhaini, akan tetapi keduanya tidak meriwayatkannya.” Dan disepakati oleh Adz-Dzahabi. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam Al-Fath (13/109), “Perawinya adalah perawi Ash-Shahih, hanya cuma Qatadah adalah mudallis.”

Akan tetapi dijelaskan dalam riwayat Ibnu Majah bahawa Qatadah secara jelas menerangkan bahawa beliau mendengarnya daripada gurunya, Abu Rafi’. Dan ia dinilai sahih pula oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Shahiih Al-Jaami’ Ash-Shaghiir (2/265-266, no. 2272).

[18] Lihat Tafsiir Ibnu Katsir (5/191).

[19] Beliau adalah seorang khalifah di era ‘Abbasiyyah, namanya Harun bin Muhammad Al-Mu’tashim bin Harun Ar-Rasyid, dibai’at menjadi khalifah pada umur 26 tahun dan wafat pada tahun 232H di jalan Makkah ketika berusia 36 tahun. Lihat Al-Bidaayah wan Nihaayah (10/308).

[20] Tafsiir Ibnu Katsir (5/193).

[21] Lihat Tafsiir Ibnu Katsir (5/191-192).

[22] Diriwayatkan oleh Al-Bukhari secara mu’allaq di dalam Shahihnya, pada bab Qishshatu Ya’juj wa Ma’juj (6/381, Al-Fath).

[23] (Tirmidz) Yaqut berkata, “Sebuah kota yang terkenal dan merupakan salah satu kota besar, terletak di pinggir sungai Jaihun dari sebelah timur, dikelilingi oleh pagar dan pasar-pasarnya yang sibuk dengan perdagangan, iaitulah kota yang dinisbatkan kepada Al-Imam Abu ‘Isa At-Tirmidzi, penulis kitab Al-Jaami’ Ash-Shahiih dan Al-‘Illal. (Mu’jam Al-Buldaan (2/26-27)).

[24] Tafsiir Azh-Zhilal (4/2293), dan lihat Asyraathus Saa’ah wa Asraaruha (m/s. 25), karya Muhammad Salamah Jabr, cet. Syarikat Asy-Syia’, Kuwait, cet. 1, th. 140H.

[25] Hadis riwayat At-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Al-Hakim. Hadis Sahih.

[26] Lihat Fii Zhilaaliil Qur’aan (4/2293-2294).

[27] Tafsiir Al-Qurthubi (11/58).