Mendoakan Keberkahan Untuk Bayi di Saat Kelahirannya
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Di antara Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah mendoakan anak yang baru lahir dengan keberkahan. Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ،
“Bahwasanya beberapa bayi dibawa menghadap kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau mendo’akan keberkahan bagi mereka dan men-tahnik mereka.” (Shahih Muslim, no. 2147)
Dari hadis yang lain, dari Abu Musa radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيمَ، فَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ، وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ، وَدَفَعَهُ إِلَيَّ
“Ketika anakku lahir, aku membawanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau memberikan nama kepadanya dengan nama Ibrahim, lalu men-tahniknya dengan kurma dan mendoakannya dengan keberkahan. Kemudian beliau kembalikannya kepadaku.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5467. Muslim, no. 2145)
Dari hadis Anas bin Malik, di saat ibunya mendapatkan anak hasil pernikahan dengan Abu Thalhah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepada Anas:
“Pergilah kepada ibumu, dan ucapkan (yakni doakan dengan doa):
بَارَكَ اللَّهُ لَكِ فِيهِ، وَجَعَلَهُ بَرًّا تَقِيًّا
“Semoga Allah memberkahi-mu dengannya (yakni dengan anak ini [anak lelaki]), dan menjadikannya orang yang baik lagi bertaqwa.” (Musnad Al-Bazzar, no. 7310)
Kata Al-Haitsami, “Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan para perawinya adalah perawi kitab Shahih kecuali Ahmad bin Manshur Ar-Ramadi, dan beliau adalah tsiqah.” (Majma’ Az-Zawa’id, 9/421)
Atau jika diucapkan kepada si ayah (lelaki), maka lafaznya:
بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِيهِ، وَجَعَلَهُ بَرًّا تَقِيًّا
Atau jika diucapkan kepada si ayah, tetapi anaknya adalah perempuan, maka lafaznya:
بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِيهَا وَجَعَلَهَا بَرَّةًً تَقِيَّةً
Dhomir (kata ganti diri) boleh diubah mengikut kesesuaian jantina, yakni sama ada diucapkan kepada ibu (perempuan) atau ayah (lelaki), dan sama ada kepada anak lelaki mahupun perempuan.
Atau boleh juga mendoakannya dengan keberkahan menggunakan lafaz-lafaz yang lain yang baik.
Antaranya sebagaimana yang terdapat dalam sebahagian atsar. Diriwayatkan dari tokoh kalangan Tabi’in iaitu Ayyub As-Sikhtiyani rahimahullah (Wafat: 131H), apabila beliau dikhabarkan dengan kelahiran, maka beliau pun mengucapkan (mendoakan):
جَعَلَهُ اللهُ مُبَارَكًا عَلَيكَ وَعَلَى أُمَّةِ مُحَمَّدٍ
“Semoga Allah menjadikan (dengan anak ini) keberkahan bagimu dan ke atas umat Muhammad.” (Al-‘Iyaal oleh Ibn Abi Ad-Dunya, no. 202)
Dan lafaz yang sama juga turut diriwayatkan dari Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah. (lihat: Ad-Du’a oleh Ath-Thabrani, no. 945)
Adapun doa dengan lafaz berikut:
بَارَكَ اللهُ لَكَ فِي الْمَوْهُوْبِ لَكَ، وَشَكَرْتَ الْوَاهِبَ، وَبَلَغَ أَشُدَّهُ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ.
“Semoga Allah memberkahi-mu pada anak yang dikurniakan kepadamu, dan semoga engkau bersyukur kepada Al-Wahib (Dzat yang Maha Memberi), semoga anak ini mencapai dewasa, dan semoga direzekikan dengan kebaikannya.”
Doa ini antaranya disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah dalam kitab beliau (Al-Adzkar) dengan menyandarkannya kepada Al-Husain radhiyallahu ‘anhu.
Sebahagian dari kalangan awam dan penuntut ilmu pula ada yang menyandarkan lafaz doa ini daripada Nabi dan para sahabat. Hakikatnya, hal tersebut tidaklah tepat dan harus diteliti dengan baik.
Asy-Syaikh ‘Amir bin ‘Ali Yasin mengemukakan catatannya pada takhrij dan tahqiq Al-Adzkar:
“Riwayat ini mauquf munkar. Ianya diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir di kitab At-Tarikh beliau (6/108 – Futuhaat) dari thuruq Kultsuum Ibn Al-Jausyan, bahawa Al-Hasan (yakni Al-Hasan Al-Bashri) pernah mengajarkan seseorang untuk mengucapkan tahni-ah (ucapan selamat) sempena dengan kelahiran bayi… lalu beliau menyebutkan doa sebagaimana riwayat tersebut.
Dan hadis ini adalah dha’if dengan sebab kemauqufannya (yakni tidak sahih dari Nabi, tidak dari sahabat, dan tidak pula dari Al-Hasan Al-Bashri). Ini kerana Ibn Al-Jausyan adalah dha’if, munkar al-hadits (hadisnya munkar – menyelisihi hadis-hadis dari para perawi tsiqah).
Yang dzahir (yakni yang tampak jelas), wallaahu a’lam, bahawa telah terjadi tahrif (pengubahan) pada penisbatan nama Al-Hasan kepada nama Al-Husain oleh penulis (di kitab Al-Adzkar) dan orang-orang setelahnya. Kemudian nama Al-Husain dinisbatkan dengan kalimat tardhiah sebagai isyarat yang keliru bahawa beliau adalah Al-Husain keturunan Rasulullah, jika selain dari itu, maka tidak ditemui biografinya. Dan pada matannya (teks doa tersebut), terkandung apa yang diingkari atas segala hal, kerana Al-Wahib bukanlah termasuk dari jajaran nama-nama Allah ‘Azza wa Jalla.” (lihat: Tahqiq Kitab Al-Adzkar oleh ‘Amir bin ‘Ali Yasin, m/s. 517 – Daar Ibn Khuzaimah, cet. 1 (1422H) – Riyadh)
Memanjatkan Doa Perlindungan Untuk Bayi
Disunnahkan juga memohonkan perlindungan untuk si anak.
Isteri ‘Imran ketika melahirkan Maryam berkata (sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an):
…رَبِّ إِنِّي وَضَعْتُهَا أُنْثَى وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالْأُنْثَى وَإِنِّي سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ (36)
“… Wahai Rabb-ku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan,” dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu serta anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan, “Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku memohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau dari syaitan yang terkutuk.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 36)
Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Tidak ada bayi yang dilahirkan melainkan Syaitan menyentuhnya sebaik dia dilahirkan, lalu bayi tersebut menangis akibat tersentak oleh sentuhan Syaitan terhadapnya kecuali Maryam dan anaknya (‘Isa ‘alaihis Salam).”
Kemudian Abu Hurairah menambah, “Jika engkau mahu, engkau bacalah (doa berikut):
وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
“Dan sesungguhnya aku memohon perlindungan (kepada Allah) untuknya serta untuk zuriat keturunannya dari gangguan Syaitan terkutuk.” (Shahih Al-Bukhari, no. 4548)
Atau jika diucapkan (mendoakan) untuk anak lelaki, maka lafaznya:
إِنِّي أُعِيذُهُ بِكَ وَذُرِّيَّتَهُ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Boleh juga berdoa sebagaimana doa dalam hadis berikut,
Dari ‘Abdullah bin ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
“Dahulu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah membacakan ta’awwudz untuk Al-Hasan dan Al-Husain. Beliau mengatakan:
“Sesungguhnya dahulu ayah kalian berdua (yakni Nabi Ibrahim) memohon perlidungan (kepada Allah) dengan doa tersebut untuk Isma’il dan Ishaq:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari setiap (gangguan) Syaitan, gangguan binatang berbisa, dan dari setiap mata yang jahat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3371)
Manakala dalam riwayat Abu Dawud, lafaznya adalah:
أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ
“Aku memohonkan perlindungan untuk kalian berdua dengan kalimat-kalimat (ayat-ayat) Allah yang sempurna dari setiap Syaitan, dari binatang berbisa, dan dari setiap pandangan mata yang jahat.” (Sunan Abi Dawud, no. 4737. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Atau jika mendoakan untuk seorang anak (perempuan), maka lafaznya:
أُعِيذُكِ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ
Atau jika mendoakan untuk seorang anak lelaki:
أُعِيذُكَ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ
Wallaahu a’lam.