Memohon Rumah Dari sisi Allah
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Tidak sedikit dari kalangan kita merintih dan mengeluh mahu punya rumah. Turun naik ke pejabat tanah. Mundar-mandir dan ulang-alik ke pusat-pusat pameran hartanah dan perumahan. Rumah-rumah nan mahal sampai rasa dizalimi.
Dikatanya kerajaan zalim, kerajaan menindas.
Sampai katanya, bekerja pagi dan petang, siang dan malam, tujuh hari seminggu pun belum tentu mampu mendapatkannya.
Ada yang nekad, berhutang sampai mati pun tak apa, walau menempuh pinjaman tidak syar’i untuk mendapatkannya. Laa hawla walaa quwwata illaa billaah.
Mari sama-sama kita renungi sejenak ayat Allah ini.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
“Dan Allah membuat isteri Fir’aun sebagai permisalan bagi orang-orang yang beriman, ketika itu dia berkata (berdoa):
“Wahai Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu di Syurga, dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.” (Surah At-Tahrim, 66: 11)
Mari kita renungkan…
1, Isteri Fir’aun sudah tentu segala kemewahan dan keindahan harta berada di sisinya. Namun tatkala keimanan menancap ke lubuk hatinya, semua itu tidak lagi ada ertinya, apatah lagi yang dibina bukan atas dasar kebenaran.
Biar disiksa mahupun dizalimi, dia tidak lagi peduli.
2, Beliau pun berdoa memohon rumah dari sisi Allah, ingin menjadi tetangga, berjiran dengan Ar-Rahman (Allah yang maha Penyayang). Meninggalkan segala kemewahan yang dikecapi selama ini. Menuju tempat tinggal yang abadi lagi penuh keindahan.
3, Tidak sedikit manusia yang sering mengeluh mengumpul harta untuk rumah di dunia dengan segala macam jerih dan payahnya. Ratusan ribu, atau bahkan jutaan ringgit diusahakan. Saban bulan dan tahunan membayar dan membayar. Berapa lama dia akan mendiaminya, setahun, dua tahun, 10 tahun, atau mungkin 100 tahun?
Setelah itu mahu ke mana? Apakah usahanya untuk setelah itu telah dipersiapkan seiring atau lebih lagi?
4, Mungkin kita berkali-kali berdoa memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk sebuah rumah, untuk bernaung dan belindung, namun pernahkah kita meminta rumah seperti yang dipohon oleh isteri Fir’aun (di dalam doanya)? Beliau berdoa:
“Wahai Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu di Syurga…”
Subhanallaah…