Meminta-minta Jawatan Kepimpinan Bukan Budaya Islam

Meminta-minta Jawatan Kepimpinan Bukan Budaya Islam

www.ilmusunnah.com

Sekiranya kita melihat apa yang banyak berlaku di sekitar kita hari ini, perebutan jawatan kepimpinan sesama umat Islam bukanlah suatu yang asing. Ketika ini berlaku, maka banyaklah perkara yang tidak sepatutnya berlaku telah pun berlaku. Hubungan persahabatan dan persaudaraan sesama kaum muslimin banyak yang menjadi renggang dan tegang.

Inilah antara senario semasa yang sangat menyedihkan. Kerana jawatan kepimpinan, kita sesama umat Islam malah satu bangsa dan keluarga bertelagah tidak henti-henti. Pelbagai adegan yang begitu buruk dan mencemarkan imej umat Islam sentiasa mengiringi perbalahan rebut jawatan. Perbuatan melondeh aib sudah menjadi perkara biasa. Perkara yang tidak ada pun sengaja dibuat-buat. Budaya saling menjatuhkan, amalan bermuka-muka dan saling mendustai sudah jadi perkara biasa.

Perkara-perkara yang sangat menjatuhkan kehormatan dan wibawa ini mereka lakukan seakan-akan tiada lagi rasa malu di dalam diri. Kata-kata cacian, kesat dan keji dihambur sesama sendiri. Apa yang tidak ada dan tidak pasti, sengaja ditimbulkan, diada-adakan dan diperbesar-besarkan. Sehingga hal-hal dalam kain dan selimut pun habis diselongkar dan dicanang. Harta dan wang jadi taruhan. Ukhuwah dan hubungan sesama Islam, orang awam menjadi mangsanya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menurunkan larangan dengan firman-Nya:

وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

“Janganlah mencari-cari keburukan orang dan jangan pula saling memburuk-burukkan di antara satu sama lain. Adakah sesiapa di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 12)cinta jawatan adalah akar kezaliman

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah memberi amaran:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

“Mencaci orang muslim adalah perbuatan fasiq dan membunuhnya (tanpa haq) adalah perbuatan kufur.” (Muttafaqun ‘alaih)

Demikianlah, kerakusan terhadap harta dan kuasa seakan telah menjadikan mereka hilang sifat waras.

Sedangkan yang syar’i, meminta-minta jawatan kepimpinan itu sendiri sahaja sudah ditegah. Inikan pula mahu berebut-rebutan sehingga bergasak sesama sendiri. Sungguh buruk rupa keadaannya. Mungkin itulah antara hikmah ia dilarang dalam Islam.

Dalam beberapa hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menasihatkan dan mengingatkan supaya tidak memberikan sebarang jawatan kepimpinan kepada sesiapa sahaja yang memintanya. Barangkali, inilah di antara hikmahnya.

Dalam sebuah hadis yang sahih, Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu bersama-sama dua orang sepupunya datang berjumpa Rasulullah. Kemudian, salah seorang dari sepupu Abu Musa pun berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, jadikanlah kami pemimpin kepada salah satu daerah (wilayah) yang Allah Ta’ala telah berikan kepadamu.” Seorang lagi dari sepupu Abu Musa pun menyatakan hasrat yang sama. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّا وَاللَّهِ لاَ نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ وَلاَ أَحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ

“Demi Allah, kami tidak akan memberikan kerusi kepimpinan ini kepada sesiapa pun yang meminta dan berusaha ingin mendapatkannya.” (Shahih Muslim, no. 1733)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) meletakkan hadis ini dalam kitabnya, Riyadhus Shalihin dan Syarh Shahih Muslim pada tajuk/bab, “Larangan Meminta Kerusi Kepimpinan dan Berusaha Mendapatkannya.”

Dalam hadis yang lain, beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda:

إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الْإِمَارَةِ وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Kamu selalu berusaha (atau berhasrat) untuk menjadi pemimpin, padahal ia akan menjadikan kamu menyesal pada hari Kiamat kelak.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7148)

Di hadis yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turut berkata kepada Abu Dzarr radhiyallahu ‘anhu,

وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ، إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيْهَا

“… Sesungguhnya ia (jawatan kepimpinan) itu adalah amanah, dan ianya nanti pada hari Kiamat akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambilnya dengan haq (cara yang benar), dan menunaikan padanya hak-haknya.” (Shahih Muslim, no. 1825)

Kalau kita lihat dari sejarah para nabi sendiri, nabi manakah yang bertindak mencari-cari atau meminta-minta jawatan kepimpinan bagi tujuan dakwah dan alasan tertentu? Sudah tentu tiada. Sekiranya ada pun, mereka akan memintanya kepada Allah dan bukan kepada manusia sehingga saling mengemis sesama sendiri. Sekiranya untuk tujuan dakwah pun tiada contohnya dari para Nabi supaya meminta-minta jawatan, bagaimana pula untuk selainnya yang tidaklah lebih penting dari urusan menegakkan agama Allah?

Jika kita melihat dari apa yang berlaku hari ini, kebanyakan individu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang berusaha untuk mendapatkan kerusi-kerusi kepimpinan, kebanyakan dan kebiasaan dari mereka akan berusaha gigih meraihnya dengan apa cara sekalipun walau sehingga melanggar batas-batas agama, saling menindas, memutus tali persaudaraan, ssehingga mengundang perpecahan yang melemahkan umat. Bahkan boleh jadi saling berbunuhan dan menumpahkan darah.

Benarlah apa yang disebutkan oleh Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) dalam mensyarahkan hadis-hadis berkaitan:

وإنما نهى عن طلب الإمارة لأن الولاية تفيد قوة بعد ضعف وقدرة بعد عجز تتخذها النفس المجبولة على الشر وسيلة إلى الانتقام من العدو والنظر للصديق وتتبع الأغراض الفاسدة ولا يوثق بحسن عاقبتها ولا بالإجماع مجاورتها فالأولى أن لا تطلب ما أمكن

“Larangan meminta jawatan kepimpinan adalah kerana kekuasaan dapat menjadikan mereka yang lemah menjadi lebih kuat (berkuasa) lagi berwibawa sehingga memberi peluang kepada hawa nafsunya yang (selama ini) cenderung kepada keburukan untuk melepaskan dendam terhadap para lawannya. Sebaliknya akan bertindak untuk kepentingan teman-temannya sahaja serta mengikuti keinginan-keinginan buruknya tanpa mempedulikan akibat dan keselamatan orang di sekitarnya. Dengan sebab itulah, tindakan untuk tidak meminta-minta jawatan tersebut merupakan sikap yang terbaik (lebih aman dari fitnah).” (Subul As-Salam oleh Ash-Shan’ani, 4/117)

Benar dan tepat apa yang diungkapkan oleh Imam Ash-Shan’ani tersebut. Inilah yang banyak berlaku dalam dunia politik atau medan perebutan kuasa pada hari ini. Dan hal ini memang turut disebut-sebut oleh para ulama generasi awal lagi.

Antaranya, Al-Imam Abu Nu’aim rahimahullah (Wafat: 430H) berkata:

والله ما هلك من هلك إلا بحب الرياسة

“Demi Allah, tidaklah binasa orang yang binasa melainkan disebabkan kecintaannya terhadap kekuasaan.” (Jaami’ Bayaan Al-‘Ilmi wa Fahdlihi, 1/286 – Daar Ibn Hazm)

Al-Imam Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 187H) berkata:

مَا مِنْ أَحَدٍ أَحَبَّ الرِّئَاسَةَ إِلَّا حَسَدَ، وَبَغَى، وَتَتَبَّعَ عُيُوبَ النَّاسِ، وَكَرِهَ أَنْ يُذْكَرَ أَحَدٌ بِخَيْرٍ

“Tiada seorang pun yang mencintai kepimpinan (berhajatkan kuasa) melainkan dia akan hasad, melampaui batas, mencari-cari ‘aib manusia, dan benci bila disebutkan kebaikan orang lain.” (Jaami’ Bayaan Al-‘Ilmi wa Fahdlihi, 1/286 – Daar Ibn Hazm)

Kata Abu Al-‘Ataahiyah rahimahullah (Wafat: 211H) dalam sya’ir beliau:

حُبُّ الرِّئَاسَةِ أَطْغَى مَنْ عَلَى الْأَرْضِ …

حَتَّى بَغَى بَعْضُهُمْ فِيهَا عَلَى بَعْضِ

“Orang yang mencintai kedudukan (kekuasaan) itu adalah orang yang paling melampaui batas di muka bumi sehingga mereka saling jatuh-menjatuhkan di antara satu dengan yang lain.” (Jaami’ Bayaan Al-‘Ilm wa Fahdlihi, 1/286 – Daar Ibn Hazm)

Kata Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah (Wafat: 161H):

من أحب الرياسة فليعد رأسه للنطاح

“Sesiapa yang mencintai kedudukan (kekuasaan) maka siapkanlah kepalanya untuk saling berentap.” (Jaami’ Bayaan Al-‘Ilmi wa Fahdlihi, 1/286 – Daar Ibn Hazm)gila harta dan jawatan dunia

Kemudian, dalam hadis yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengingatkan ketika berkata kepada ‘Abdurrahman bin Samurah:

لاَ تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا

“Janganlah kamu meminta jawatan kepimpinan (dalam politik). Apabila jawatan tersebut diberikan kepada kamu disebabkan kamu memintanya, maka jawatan tersebut akan menjadi bebanan bagi kamu. Tetapi sekiranya jawatan tersebut diberikan bukan kerana permintaan kamu, maka kamu akan dibantu (oleh Allah) dalam menguruskannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6622)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyatakan:

والحكمة في أنه لا يولى من سأل الولاية أنه يوكل إليها ولا تكون معه إعانة كما صرح به في حديث عبد الرحمن بن سمرة السابق وإذا لم تكن معه إعانة لم يكن كفئا ولا يولى غير الكفء ولأن فيه تهمة للطالب والحريص

“Di antara hikmah supaya tidak dilantik para pemimpin itu dari mereka yang memintanya adalah kerana dia akan menanggung beban dan tidak ada yang membantunya sebagaimana dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan ‘Abdurrahman bin Samurah tadi. Apabila tiada orang yang membantu bersamanya, bermakna jawatan tersebut akan menjadi beban. Juga tidak boleh melantik orang yang tidak layak kerana akan menimbulkan tohmahan (kebencian) bagi yang memintanya dan orang-orang yang berusaha mendapatkannya.” (Syarh Shahih Muslim, 12/207)

Perkara ini adalah sebagaimana yang dapat kita lihat berlaku di sekitar kita hari ini di mana ketika masing-masing berebut jawatan kepimpinan (sebagaimana dalam pilihan raya), pelbagai janji dan rancangan kebaikan ditabur sehingga mereka sendiri tidak sedar bahawa janji-janji manis tersebut bakal menjadi beban kepada mereka di masa hadapan. Setelah janji ditabur, banyak pula tidak mampu ditunaikan. Pelbagai alasan pun mula direka. Akhirnya jadilah mereka sebagai orang-orang yang cakap tidak serupa bikin, mula berbohong merekayasa cerita, bersumpah palsu dan akhirnya menjadi pendusta.

Benar-benar sikap seperti ini adalah di antara sikap yang sangat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ (2) كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan perkara-perkara yang tidak kamu laksanakan.” (Surah Ash-Shaff, 61: 2-3)

Sebahagian ulama salaf (generasi awal) menyatakan bahawa ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan memenuhi janji itu adalah wajib secara mutlak. Selain itu, Rasulullah juga telah mengkhabarkan melalui sabdanya:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْ نِفَاقٍ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

“Terdapat empat perkara yang sesiapa pada dirinya ada keempat-empat perkara tersebut, maka dia adalah seorang munafiq sejati. Dan sesiapa yang di dalam dirinya ada satu perkara dari empat perkara tersebut, maka orang tersebut memiliki pula sebahagian dari ciri-ciri kemunafikan sehingga dia benar-benar meninggalkannya. Iaitu jika diberi amanah ia khianat, jika berbicara ia berdusta, jika berjanji ia tidak menunaikannya, dan jika dia bertengkar ia melakukan kecurangan.” (Muttafaqun ‘alaih)

Walau demikian jelas dalil-dalil larangan meminta-minta jawatan, sebahagian mereka yang berdegil berusaha menyebarkan syubhat dengan membawakan dalil kisah Nabi Yusuf ‘alaihis Salam. Di mana Yusuf ‘alaihis Salam sendiri pernah meminta supaya dijadikan bendaharawan yang menjaga harta dan khazanah negara daripada Raja Mesir ketika itu. Ini sebagaimana keratan ayat 55 Surah Yusuf:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ

(Yusuf berkata kepada sang raja): Jadikanlah aku bendaharawan Negara (Mesir).”

Secara ringkas, syubhat (kekeliruan) tersebut dapat dijawab dengan melihat keseluruhan ayat yang berkaitan. Sebenarnya Nabi Yusuf ‘alaihis Salam asalnya tidak meminta sebarang jawatan pun daripada Raja Mesir. Sebaliknya beliau dipanggil oleh sang raja untuk ditawarkan suatu kedudukan (pangkat)  yang tinggi di sisi raja. Dengan sebab itulah kemudian Nabi Yusuf pun berkata, “Jadikanlah aku bendaharawan Negara (Mesir).”

Ini sebenarnya adalah penjelasan supaya beliau diletakkan pada tempat yang beliau memiliki kebolehan mengendalikannya dengan baik jika benar-benar beliau mahu ditawarkan jawatan. Di samping beliau tetap kekal bebas menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah tanpa terikat dengan mana-mana perundangan yang bertentangan syari’at atau menyekat.

Hal tersebut dalam masa sama membezakan di antara Yusuf ‘alaihisalaam dengan orang-orang yang meminta-minta jawatan dan duduk di dalam kerusi demokrasi hari ini. Pelbagai kemungkaran dan perkara-perkara yang menjurus kepada kekufuran dilakukan sewenang-wenangnya.

Allah Ta’ala menjelaskan tentang Yusuf:

وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهِ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِي فَلَمَّا كَلَّمَهُ قَالَ إِنَّكَ الْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌ (54) قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

“Raja berkata, “Bawalah Yusuf kepadaku, supaya aku memilih dia sebagai orang yang dekat denganku (sebagai pembesar).” Maka ketika raja telah bercakap-cakap dengannya, dia pun berkata, “Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami.” Yusuf pun berkata, “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir), sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga (hafiiz) lagi berilmu.” (Surah Yusuf, 12: 54-55)

Pada ayat seterusnya, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan pula bahawa Dia-lah sebenarnya yang memberikan kedudukan tersebut kepada Yusuf ‘alaihis Salam sebagai bentuk balasan bagi orang yang muhsin, dan beliau bebas dalam mengamalkan dan melaksanakan agamanya. Sekaligus menunjukkan bukanlah Yusuf sendiri yang meminta-minta jawatan. Allah berfirman:

وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الْأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاءُ نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَنْ نَشَاءُ وَلَا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

“Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir. Dia (Yusuf) bebas untuk pergi ke mana sahaja yang dia kehendaki di bumi Mesir tersebut. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang muhsinin.” (Surah Yusuf, 12: 56)

Dan Nabi Yusuf sebagaimana prinsipnya, beliau telah menegaskan (sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Qur’an):

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

“Hukum perundangan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak mengabdikan diri melainkan hanya kepada-Nya semata. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf, 12: 40)

Demikianlah balasan bagi seorang hamba yang sentiasa mentaati perintah dan larangan Allah, orang yang sentiasa menjaga batas-batas agamanya. Iaitu dari kalangan orang-orang yang muhsin. Di mana Allah jua yang membalas kebaikan yang diusahakannya.

Sekiranya ada di antara kita yang berhajat dengan kedudukan dan kuasa, maka renungkanlah hadis-hadis yang disebutkan tadi dan fikirkanlah pula akan bebannya. Hargailah sebuah persaudaraan dan keharmonian yang ada, perkukuhkanlah ia, bukan direnggangkan. Jauhkanlah diri kita dari pelbagai fitnah dan syubuhat, serta jauhkanlah diri kita dari pelbagai larangan Allah dan Rasul-Nya. Selain tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat, kita juga perlu menjaga tanggungjawab terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu dengan menegakkan hukum-hukum Allah di samping perlu sentiasa memelihara diri bersama masyarakat dari terjerumus ke kancah larangan dan maksiat terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Renungan

Apabila kita perhatikan baik-baik, pasti dapat kita fahami bahawa inilah salah satu sisi yang menunjukkan bobroknya amalan demokrasi berpilihanraya di negara kita pada hari ini.

Kita sedia maklum bahawa demokrasi berpilihanraya dan amalan berparti-parti di negara kita menggalakkan manusia untuk berpuak-puak serta saling berebut jawatan sehingga seolah-olah persis pengemis yang meminta-minta. Sedangkan Islam pula adalah agama yang melarang keras budaya meminta-minta jawatan apatah lagi kalau sampai berebut-rebutan dan mengemis.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

تِلْكَ الدَّارُ الآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الأرْضِ وَلا فَسَادًا وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

“Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak menginginkan ketinggian (kedudukan) di muka bumi dan untuk mereka yang tidak melakukan kefasadan (kerosakkan). Dan kesudahan yang baik itu adalah untuk para muttaqin (orang-orang yang bertaqwa).” (Surah Al-Qashash, 28: 83)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) mengatakan:

فَمَنْ كَانَ ذَا عَقْلٍ لَمْ يَتَعَرَّضْ لِلطَّلَبِ أَصْلًا

“Sesiapa yang berakal, maka sama sekali tidak akan mendedahkan dirinya untuk meminta jawatan sedikitpun.” (Fathul Bari, 13/124)

Tulisan ini sekaligus menunjukkan bahawa fitrah Islam yang benar amat berlawanan dengan amalan dan budaya pilihan-raya yang banyak diperjuangkan oleh kebanyakan umat manusia hari ini atas alasan demokrasi dan kebebasan.

Sebagai menutup tulisan ini, penulis akhiri dengan mutiara nasihat daripada Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah.

Beliau berkata:

قال الأحنف قال لنا عمر بن الخطاب تفقهوا قبل أن تسودوا قال سفيان لأن الرجل إذا أفقه لم يطلب السؤدد

Al-Ahnaf pernah berkata, “‘Umar bin Al-Khaththab mengatakan kepada kami:

“Fahamilah agama sebelum memegang kekuasaan.”

Sufyan menjelaskan perkataan ‘Umar tersebut, “Kerana jika seseorang telah memahami agama, dia pasti tidak akan berhasrat terhadap kekuasaan.” (Shifah Ash-Shafwah oleh Ibnul Jauzi, 2/236)

Wallahu a’lam.

Politik_Islam_Takliq_Siyasah_Syar-iyyah_Ibnu_Taimiyah