Memahami Dengan Akal, Dan Akal Itu Pada Jantung?

Memahami Dengan Akal, Dan Akal Itu Pada Jantung?

www.ilmusunnah.com

Hati (Jantung) itu letaknya di dalam dada yang dengannya kita dapat memahami (berakal)… lihat firman Allah Ta’ala di Surah Al-Hajj, 22: 46:

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

“Adakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka memiliki jantung-jantung yang dengannya mereka dapat berakal (memahami), atau mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah Al-Quluub (jantung-jantung) yang di dalam dada.”

Kata Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah, “Kewajiban kita adalah mengimani bahawa akal manusia itu ada di dalam jantungnya sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Qur’an.” (Syarah Al-Arba’in An-Nawawiyah, perbahasan hadis no. 6) Dalam Al-Qur’an Allah tegaskan bahawa hati (baca: jantung) itu tempatnya di dalam dada yang dengannya kita berakal (dapat menilai dan memahami).

Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana dalam hadis Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhu:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

“Ingatlah bahawa di dalam tubuh itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah tubuh seluruhnya. Dan apabila buruk (fasad), maka buruklah tubuh keseluruhannya. Ketahuilah, dan ia adalah Al-Qalb (jantung).” (Shahih Al-Bukhari, no. 52. Muslim, no. 1599)

Dalam Shahih Muslim (hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu), ketika Nabi menyebutkan tentang taqwa:

التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

“Taqwa itu tempatnya di sini.” Sambil beliau mengisyaratkan (menunjuk) ke dadanya tiga kali. (Shahih Muslim, no. 2564)

Dan Nabi tidak berisyarat ke kepalanya. Wallahu a’lam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 أَفَلَا يَعْلَمُ إِذَا بُعْثِرَ مَا فِي الْقُبُورِ (9) وَحُصِّلَ مَا فِي الصُّدُورِ

“Maka adakah dia tidak tahu apabila dibangkitkan apa yang ada di kubur, dan dihimpunkan (dibangkitkan) apa yang ada di dalam dada?” (Surah Al-‘Aadiyaat, 100: 9-10)

Kata Asy-Syaikh Ibn ‘Utsaimin, “Maka bersihkanlah jantung kamu dari perbuatan syirik, bid’ah, hasad, kebencian terhadap kaum Muslimin, dan selainnya dari akhlak atau keyakinan yang tidak sesuai dengan syari’at, kerana jantung adalah awal segalanya.” (Syarah Al-Arba’in An-Nawawiyah, perbahasan hadis no. 6)

Apa itu Al-Qalb?

Dalam Kamus Al-Mu’jam Al-Wasiith dinyatakan sebagai:

 ( القلب ) عضو عضلي أجوف يستقبل الدم من الأوردة ويدفعه في الشرايين قاعدته إلى أعلى معلقة بنياط في الجهة اليسرى من التجويف الصدري

“(Al-Qalb) Organ dalaman berongga yang berotot yang menerima darah dari vena (salah satu nama salur darah masuk ke jantung) dan mengepamnya ke dalam arteri (salah satu nama salur darah keluar dari jantung), yang terletak tergantung di dalam rongga di bahagian kiri dada.” (2/753)

Dalam Lisaan Al-‘Araab oleh Ibn Manzhur (Wafat: 711H):

والقَلْبُ: مُضْغةٌ مِنَ الفُؤَاد مُعَلَّقةٌ بالنِّياطِ

“Dan Al-Qalb: (iaitu) segumpal daging dari Al-Fu’aad (jantung) yang tergantung pada sejenis otot.” (1/687)

Kemudian dalam sebuah ayat, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan fu’aad (jantung), semuanya itu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah Al-Isra’, 17: 36)

Maka, Al-Qalb (jama’nya quluub) adalah jantung, bukan organ hati “كبد” (kabid) sebagaimana yang banyak difahami masyarakat awam hari ini.

Dan kemudian, sahabat Nabi, ‘Ali radhiyallahu ‘anhu beliau berkata ketika di Shiffin:

إِنَّ الْعَقْلَ فِي الْقَلْبِ، وَإِنَّ الرَّحِمَ فِي الْكَبِدِ، وَإِنَّ الرَّأْفَةَ فِي الطِّحَالِ، وَإِنَّ النَّفْسَ فِي الرِّئَةِ

“Sesungguhnya ‘aqal itu di jantung, rahim (rahmat) di hati, belas kasihan terletak di limpa, dan nafas di paru-paru.” (Al-Adabul Mufrad, no. 547. Syu’abul Imam, no. 4340. lihat pula Fathul Bari, 1/129)

Wallahu a’lam.