Memahami Definisi Ilmu
Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah
Dinukil dari Kitab Al-‘Ilm
www.ilmusunnah.com
Secara bahasa, Al-‘ilm adalah lawan dari Al-jahl (kebodohan) iaitu mengetahui sesuatu dengan hakikat kedudukan yang sebenarnya berdasarkan maklumat pengetahuan yang pasti.
Secara istilah, dijelaskan oleh sebahagian ulama bahawa ilmu adalah ma’rifah (pengetahuan) yang merupakan lawan kepada al-jahl (ketidaktahuan). Menurut ulama yang lainnya, ilmu itu lebih jelas dari apa yang diketahui.
Adapun ilmu yang kita maksudkan di sini adalah ilmu syar’i, -yakni- ilmu yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya berupa keterangan dan petunjuk. Maka ilmu yang di dalamnya terkandung pujian dan sanjungan adalah ilmu wahyu, yakni ilmu yang diturunkan oleh Allah. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّين
“Siapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Dia akan menjadikannya faqih di dalam agama.” (Shahih Al-Bukhari, no. 71. Muslim, no. 1037)
Di hadis yang lainnya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
“Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, yang mereka wariskan hanyalah ilmu, maka siapa yang telah mengambilnya, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.” (Sunan Abi Dawud, no. 3641. At-Tirmidzi, no. 2682)
Satu hal yang telah kita ketahui bahawa yang diwariskan oleh para Nabi hanyalah ilmu tentang syari’at Allah ‘Azza wa Jalla, bukan yang lainnya. Maka para Nabi tidaklah mewariskan ilmu teknologi kepada manusia atau yang berkaitan dengannya, bahkan ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang ke Madinah, beliau mendapati orang-orang sedang ‘mengawinkan’ pokok kurma. Beliau mengatakan kepada mereka bahawa perkara tersebut tidak diperlukan, lalu mereka pun mengikuti ucapan beliau dan tidak mengawinkannya, akan tetapi pokok kurma itu menjadi seakan bermasalah, lalu kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata kepada mereka:
أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُم
“Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian.” (Shahih Muslim, no. 2362)
Seandainya perkara ini termasuk ilmu yang ter-puji, maka pasti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang yang paling mengetahui tentangnya, kerana orang yang paling terpuji dengan ilmu dan amalnya adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Jika demikian, maka ilmu syar’i adalah ilmu yang di dalamnya terkandung pujian dan sanjungan bagi para pemiliknya. Akan tetapi walaupun demikian saya tidak mengingkari bahawa ilmu yang lainnya pun mengandungi faedah, tetapi faedah itu memiliki dua batasan. Jika bermanfaat (dan digunakan) untuk membantu dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah dan membela agama-Nya serta bermanfaat bagi manusia, maka ilmu itu merupakan ilmu yang baik dan mengandungi maslahah. Adakalanya, mempelajarinya menjadi wajib dalam keadaan tertentu sebagaimana terkandung dalam firman Allah:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ…(60)
“Dan persiapkanlah (kelengkapan) untuk menghadapi mereka dengan apa jua kekuatan yang kamu mampu dan dari kuda-kuda yang ditambat…” (Surah Al-Anfaal, 8: 60)
Banyak ulama yang menjelaskan bahawa hukum mempelajari teknologi adalah termasuk fardhu kifayah, hal itu disebabkan kerana manusia pasti memiliki peralatan memasak, minum, dan selainnya yang bermanfaat bagi mereka. Apabila tidak ada orang yang membangunkan industri di bidang ini maka mempelajarinya menjadi fardhu kifayah. Ini adalah perkara yang diperbahaskan oleh para ulama.
Sekalipun demikian maka saya ingin mengatakan bahawa ilmu yang di dalamnya terkandung pujian dan sanjungan adalah ilmu syar’i yang merupakan pemahaman tentang Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Adapun ilmu selain itu yang dapat menjadi sarana kepada kebaikan atau pun sarana keburukan, maka hukumnya bersesuaian dengan cara pemanfaatannya.
– Sekian Nukilan.