Lafaz Aqad Nikah Menurut Sunnah dan Mazhab Asy-Syafie
Team Ilmusunnah.com
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
لا ينعقد النكاح عندنا إلا بلفظ النكاح أو التزويج، وهما اللفظان اللذان ورد بهما القرآن، وهو قوله تعالى (ولا تنكحوا ما نكح آباؤكم من النساء) وقوله تعالى (فلما قضى زيد منها وطرا زوجناكها)
Menurut kami, nikah tidak sah kecuali dengan menggunakan kata (atau lafaz) “nikah” atau “menikahkan/mengahwinkan”. Dua kata inilah yang warid dari Al-Qur’an, iaitu firman Allah Ta’ala:
“Dan janganlah engkau nikahi wanita-wanita yang telah dinikahi oleh ayahmu.” (Surah An-Nisaa’, 4: 22)
Dan firman Allah Ta’ala:
“Maka ketika Zayd telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami nikahkan engkau dengannya.” (Surah Al-Ahdzaab, 33: 37).” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 16/210)
Kemudian beliau menyebutkan:
قال الشافعي رضى الله عنه: والفرج محرم قبل العقد فلا يحل أبدا إلا بأن يقول الولى: قد زوجتكها أو أنكحتكها، ويقول الزوج: قد قبلت التزويج أو النكاح. أو قال أنكحتك ابنتى، فقال الزوج: قبلت النكاح والتزويج صح ذلك، لانه قد وجد الايجاب والقبول في النكاح والتزويج، فإن قال الولى زوجتك ابنتى أن أنكحتك، فقال الزوج: قبلت، ولم يقل النكاح ولا التزويج فقد قال الشافعي رضى الله عنه في موضع: يصح.
“Berkata Asy-Syafi’i (yakni Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H)) berkata:
Al-Farj (kemaluan) hukumnya adalah haram sebelum adanya aqad, dan kekal haram tanpa dilaksanakannya, melainkan apabila si wali berkata:
“Aku kahwinkan engkau dengannya.”
Atau
“Aku nikahkan engkau dengannya.”
Lalu si lelaki (suami) mengatakan:
“Aku terima kahwinya.”
Atau
“Aku terima nikahnya.”
Atau si wali mengatakan, “Aku nikahkan engkau dengan anak perempuanku.” Lalu si suami menjawab, “Aku terima nikahnya.” Maka hukumnya adalah sah, kerana telah jelas ada ijab dan qabulnya.
Apabila wali berkata, “Aku kahwinkan anak perempuanku denganmu.” Lalu si lelaki (suami) menjawab, “Aku terima.” Tanpa menyebut kata “nikah” mahupun “kahwin”, maka menurut Al-Imam Asy-Syafi’i dalam salah satu pendapatnya, hukumnya adalah sah.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 16/212)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) juga menyebutkan di tempat yang lain:
وأما الزوج، فالمذهب المختار أنه لا يخطب بشئ، بل إذا قال له الولي: زوجتك فلانة. يقول متصلا به: قبلت تزويجها، وإن شاء قال: قبلت نكاحها، فلو قال: الحمد لله والصلاة على رسول الله (صلى الله عليه وسلم) قبلت، صح النكاح
“Adapun bagi calon suami (yang hendak menikah), maka menurut pendapat yang terpilih (yang menjadi rujukan dan pegangan di sisi mazhab Asy-Syafi’i), bahawa beliau tidak memberikan khuthbah sesuatu apa pun, sebaliknya apabila si wali berkata kepadanya:
“Aku nikahkan engkau dengan fulanah.”
Lalu jika beliau bersetuju menerimanya, maka beliau menjawabnya dengan mengatakan:
“Aku terima nikahnya.” (maka sahlah nikahnya).
Jika seandainya dia mengucapkan:
الحمد لله والصلاة على رسول الله صلى الله عليه وسلم قبلتُ
“Segala puji bagi Allah, dan selawat atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, aku terima nikahnya.”
Maka telah sahlah nikahnya…” (Al-Adzkar oleh Al-Imam An-Nawawi, m/s. 283)
Kemudian beliau berkata lagi (sebagaimana dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab):
وإن قال الزوج زوجنى ابنتك. فقال الولى زوجتك صح ذلك، ولا يفتقر الزوج إلى أن يقول قبلت نكاحها، وقد وافقنا أبو حنيفة ههنا … ، لما روى أن الذى تزوج الواهبة قال للنبى صلى الله عليه وسلم زوجنيها يا رسول الله فقال النبي صلى الله عليه وسلم زوجتكها ولم يأمره بالقبول بعد هذا. وإن قال الزوج أتزوجني ابنتك، فقال الولى زوجتك لم يصح حتى يقول الزوج قبلت التزويج أو النكاح، لان قوله: أتزوجني استفهام ليس باستدعاء، ولو قال الولى أتستنكحها ؟ فقال الزوج قد استنكحت أو قد تزوجت لم يكن بد من قول الولى بعد هذا زوجتك أو أنكحتك لان ما تقدم إنما كان استفهاما ولم يكن تقريرا.
“Apabila si lelaki (suami) berkata:
“Kahwinkanlah (atau nikahkanlah) aku dengan anak perempuanmu.”
Lalu si wali mengatakan:
“Aku telah mengahwinkan (atau menikahkan) engkau.”
Maka yang demikian ini adalah sah tanpa perlu si suami mengatakan, “Aku terima nikahnya.” Dan Abu Hanifah sependapat dengan kami (yakni sependapat dengan mazhab Asy-Syafi’i) dalam perkara ini…. ini adalah berdasarkan riwayat (hadis) seorang lelaki (sahabat) yang menikahi seorang perempuan yang menyerahkan dirinya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Tetapi Rasulullah hanya mendiamkan diri), lalu lelaki (sahabat) tersebut (yang berada di sisi Nabi pun mengatakan), “Wahai Rasulullah, nikahkanlah aku dengannya.”
Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:
“Aku nikahkan engkau dengannya.” Tanpa memerintahkan si lelaki mengucapkan lafaz qabul (terima) setelahnya.
Apabila si lelaki (suami) bertanya (kepada wali si perempuan), “Adakah engkau akan menikahkan aku dengan anak perempuanmu?” Lalu si wali menjawab, “Aku kahwinkan (atau nikahkan) engkau.” (maka) hukumnya tidaklah sah sampailah si suami mengatakan, “Aku terima kahwinnya, atau nikahnya.”
Kerana ucapan “Adakah engkau akan menikahkan aku…?” adalah ucapan berbentuk pertanyaan, dan bukannya permintaan. Apabila si wali berkata, “Adakah engkau meminta aku nikahkan dengannya?” Lalu si lelaki (suami) menjawab, “Ya, kahwinkanlah aku, atau nikahkanlah aku.” Tetapi setelah itu tidak ada perkataan si wali, “Aku nikahkan engkau.” Atau, “Aku kahwinkan engkau.” (maka ini juga tidak dianggap sah), kerana yang sebelumnya merupakan pertanyaan, bukannya taqrir (pengakuan atau penetapan).” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 16/212)
(Dalam hal ini) demikian juga dalam mazhab yang lain semisal mazhab Hanbali contohnya,
Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) menyebutkan:
ولا ينعقد النكاح إلا بإيجاب من الولي أو نائبه فيقول أنكحتك أو زوجتك وقبول من الزوج أو نائبه فيقول قبلت أو تزوجت.
Nikah tidak dianggap sah kecuali dengan adanya ijab dari wali atau penggantinya (wakilnya), dengan ucapan (seperti):
“Aku nikahkan engkau (dengannya).”
Atau
“Aku kahwinkan engkau (dengannya).”
serta adanya qabul (tanda penerimaan) dari calon suami atau wakilnya, dengan ucapan (seperti):
“Aku terima.”
Atau
“Aku menikahinya.” (‘Umdatul Fiqh oleh Ibn Qudamah, m/s. 89 – Al-Maktabah Al-‘Ashriyyah)
Wallaahu a’lam.