Kubur Bukan Tempat Ibadah, Bukan Tugu Peringatan
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Pada hari ini dapat kita saksikan, banyak kubur-kubur yang ditinggikan, yang dihias-hiasi, yang dibina binaan padanya, dan sehingga dibinakan tempat-tempat ibadah padanya, seperti tempat berdoa, tempat untuk bersolat, tempat mengambil berkah, dan seumpamanya. Sedangkan ini semua termasuk perbuatan melampaui batas terhadap kuburan.
Dan sebahagian dari mereka ini berhujah pula dengan dalil-dalil Al-Qur’an, yang di antaranya dengan berdalilkan Surah Al-Kahfi ayat 21 bagi membolehkan membina masjid (yakni tempat ibadah) di atas kubur.
Dalil tersebut adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَكَذَلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيَانًا رَبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَى أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَسْجِدًا
“Dan demikianlah Kami perlihatkan (kepada manusia) akan mereka (yakni Ashhabul Kahf), supaya manusia itu mengetahui, bahawa janji Allah adalah benar, dan bahawa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya. Ketika orang-orang itu berselisih tentang urusan mereka, orang-orang itu berkata:
“Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Rabb mereka lebih mengetahui tentang mereka.”
Orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata:
“Sesungguhnya pasti kami akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya”.” (Surah Al-Kahfi, 18: 21)
Mereka mengambil dalil bolehnya membina masjid atau binaan di atas kubur dari ayat tersebut:
إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيَانًا رَبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ
“Ketika orang-orang itu berselisih tentang urusan mereka, orang-orang itu berkata:
“Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Rabb mereka lebih mengetahui tentang mereka.”…”
Dan
قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَى أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَسْجِدًا
“… Orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata:
“Sesungguhnya pasti kami akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya”.” (Surah Al-Kahfi, 18: 21)
Pemahaman mereka terhadap ayat ini perlu dinilai semula sekaligus diberi pencerahan. Berikut kami bawakan perkataan seorang ulama tafsir terkemuka, Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkenaan ayat tersebut:
فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيَانًا رَبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ أي: سدوا عليهم باب كهفهم، وذروهم على حالهم
قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَى أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَسْجِدًا حكى ابن جرير في القائلين ذلك قولين: أحدهما: إنهم المسلمون منهم. والثاني: أهل الشرك منهم، فالله أعلم
والظاهر أن الذين قالوا ذلك هم أصحاب الكلمة والنفوذ. ولكن هل هم محمودون أم لا؟ فيه نظر؛ لأن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “لعن الله اليهود والنصارى، اتخذوا قبور أنبيائهم وصالحيهم مساجد” يحذر ما فعلوا
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Mereka berkata, “Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Rabb mereka lebih mengetahui tentang mereka.”
Maksudnya, tutuplah pintu gua mereka untuk menahan mereka, dan biarkan mereka begitu sahaja.
Dan ayat:
“Sesungguhnya pasti kami akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya.”
Ibnu Jarir membawakan dua pandangan dalam hal ini, iaitu mereka adalah kaum muslimin (umat Islam) di antara mereka. Kedua, mereka adalah orang-orang musyrik di antara mereka. Wallahu a’lam.
Dan secara zahirnya, yang mengatakan perkara ini adalah orang-orang yang menyampaikan seruan dan memiliki kuasa atau kedudukan (yakni dari kalangan pemerintah atau penguasa).
Tetapi adakah perbuatan mereka tersebut terpuji atau sebaliknya? Mengenai perkara ini, ia perlu diteliti semula, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لعن الله اليهود والنصارى، اتخذوا قبور أنبيائهم وصالحيهم مساجد
“Laknat Allah atas kaum Yahudi dan Nashara. Mereka menjadikan kubur para Nabi dan orang-orang soleh di antara mereka sebagai masjid-masjid (tempat untuk beribadah).”
Beliau (Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) memberi peringatan kepada kita dari apa yang telah mereka lakukan.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/147)
Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah (Wafat: 1376H) berkata:
فجعل قصتهم زيادة بصيرة ويقين للمؤمنين، وحجة على الجاحدين، وصار لهم أجر هذه القضية، وشهر الله أمرهم، ورفع قدرهم حتى عظمهم الذين اطلعوا عليهم. و { فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيَانًا } الله أعلم بحالهم ومآلهم، وقال من غلب على أمرهم، وهم الذين لهم الأمر: { لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَسْجِدًا } أي: نعبد الله تعالى فيه، ونتذكر به أحوالهم، وما جرى لهم، وهذه الحالة محظورة، نهى عنها النبي صلى الله عليه وسلم، وذم فاعليها، ولا يدل ذكرها هنا على عدم ذمها، فإن السياق في شأن تعظيم أهل الكهف والثناء عليهم، وأن هؤلاء وصلت بهم الحال إلى أن قالوا: ابنوا عليهم مسجدا،
“Allah menjadikan kisah mereka (Ashhabul Kahfi) sebagai tambahan bashirah (ilmu penjelas) dan tambahan keyakinan (keimanan) bagi kaum mukminin, serta menjadi hujjah atas golongan penentang. Lalu menjadilah bagi mereka pahala dalam perkara ini. Dan Allah pun memasyhurkan perihal mereka serta mengangkat kedudukan mereka sampailah mereka pun diagung-agungkan oleh orang-orang yang mengetahui.
Orang-orang berkata:
“Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka.”
Allah lebih mengetahui keadaan mereka dan pengakhiran mereka. Berkatalah dari kalangan orang yang berkuasa atas urusan mereka:
“Sesungguhnya pasti kami akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya..”
Maksudnya kami beribadah kepada Allah Ta’ala padanya, mengenang perihal mereka, dan peristiwa yang telah berlaku atas mereka. Ini adalah perbuatan yang terlarang, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang melarangnya, dan beliau mencela pelakunya (yakni siapa yang membuat binaan serta tempat ibadah di atas kubur). Bukanlah penyebutan hal tersebut pada ayat ini menunjukkan tiada celaan atas perbuatan tersebut, kerana konsteks perbahasan ini adalah berkaitan Ashhabul Kahfi dan pujian atas mereka, dan penjelasan pengagungan terhadap Ashhabul Kahfi sehingga sampai di mana orang-orang (pada ketika itu) mengatakan:
“Dirikanlah tempat peribadahan di atasnya.”…” (Tafsir As-Si’di, m/s. 473)
Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:
فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيَاناً يعني ابنوا عليهم بنياناً حتى يكون أثراً من الآثار وحماية لهم
“Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka…”
Maksudnya, bangunkan/binakan bagi mereka bangunan sehingga menjadi bentuk kesan (atau tanda) peninggalan serta untuk melindungi mereka.”
Kata beliau lagi:
رَبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ يعني توقفوا في أمرهم كيف يَبقَونَ ثلاث مائة سنة وتسع سنين لا يأكلونولا يشربون ولا يتغيرون أيضاً
“Rabb mereka lebih mengetahui tentang mereka…”
Maksudnya, diamkanlah kamu akan kisah mereka ini, kerana bagaimana mereka mampu tinggal selama 309 tahun, tanpa makan, minum, dan mengalami perubahan.”
Kata beliau lagi:
قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَى أَمْرِهِمْ وهم أمراؤهم
“Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata…”
Maksudnya adalah para penguasa (pemerintah).”
Kata beliau lagi:
لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَسْجِداً بدل من أن نبني بنياناً نحوطهم به ونسترهم به ولا يكون لهم أثر أي لنجعلن عليهم مسجداً نتخذه مصلى، والظاهر أنهم فعلوا لأن القائل هم الأمراء الذين لهم الغلبة
هذا الفعل، اتخاذ المساجد على القبور، من وسائل الشرك وقد جاءت شريعتنا بمحاربته حتى أن النبي صلى الله عليه وسلم قال وهو في سياق الموت: “لعنة الله على اليهود والنصارى اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد يُحذِّر ما صنعوا
“Sesungguhnya pasti kami akan mendirikan masjid (tempat ibadah) di atasnya…”
Maksudnya adalah sebagai ganti bangunan yang akan didirikan untuk melindungi serta menutupi mereka. Yang jelas, bahawa mereka benar-benar menjadikannya sebagai masjid atau tempat peribadahan, kerana mereka adalah penguasa.
Perbuatan seperti itu iaitu membina binaan di atas kuburan termasuk wasilah (sarana) menuju kesyirikkan. Syari’at Islam melarang perbuatan tersebut sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwasiat tatkala menjelang kewafatannya:
“Laknat Allah atas kaum Yahudi dan Nashara. Mereka menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid-masjid (tempat untuk beribadah).”
Yang mana ini menjadi peringatan (amaran) atas apa yang mereka lakukan. ” (Tafsir Al-Qur’an Al-Kareem Surah Al-Kahfi oleh Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin)
Dalil-dalil Yang Sahih Atas Larangan Membuat Binaan Di Atas Kubur
Sahabat Nabi; Jabir radhiyallahu ‘ahu berkata:
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُجَصَّصَ الْقُبُورُ وَأَنْ يُكْتَبَ عَلَيْهَا وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهَا وَأَنْ تُوطَأَ
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang menyimen kubur, menulis di atasnya, membina sebarang binaan di atasnya dan berjalan di atasnya (memijaknya).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1052. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
Abu Al-Hayyaj Al-Asadi berkata:
“Ali bin Abi Thalib pernah berkata kepadaku, mahukah engkau aku utus untuk melakukan sesuatu sebagaimana aku pernah diutus oleh Rasulullah untuk melakukannya: (iaitu)…
أَنْ لَا تَدَعَ تِمْثَالًا إِلَّا طَمَسْتَهُ وَلَا قَبْرًا مُشْرِفًا إِلَّا سَوَّيْتَهُ
“Janganlah engkau biarkan sebuah patung (atau tugu) pun kecuali engkau hancurkan, dan jangan biarkan walau satu kubur pun yang menjulang tinggi, melainkan engkau meratakannya.”.” (Musnad Ahmad, no. 741. Shahih Muslim, no. 969)
Hadis ini menjelaskan terlarangnya menyimen atau menembok kubur, mengecat atau menulis di atasnya, membina sebarang binaan di atasnya, dan larangan duduk-duduk di atasnya. Cukup bagi sesebuah kubur itu ditimbus semula atau ditinggikan sekadar dengan tanah galiannya yang asal.
Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) berkata:
وَأُحِبُّ أَنْ لَا يُزَادَ في الْقَبْرِ تُرَابٌ من غَيْرِهِ وَلَيْسَ بِأَنْ يَكُونَ فيه تُرَابٌ من غَيْرِهِ بَأْسٌ إذَا زِيدَ فيه تُرَابٌ من غَيْرِهِ ارْتَفَعَ جِدًّا وَإِنَّمَا أُحِبُّ أَنْ يُشَخِّصَ على وَجْهِ الْأَرْضِ شِبْرًا أو نَحْوَهُ
“Aku menyukai seandainya pada suatu kubur itu agar tidak ditinggikan atau ditambah dengan tanah dari tanah di tempat yang lain. Dan tidaklah boleh ditambah padanya dengan tanah dari tempat yang lain sehingga menjadikannya meninggi, namun tidak mengapa jika ditambah sedikit saja dari sekitanya. Aku menyukai jika memadai tinggi kuburan itu sekadar setinggi satu jengkal dari permukaan tanah atau sebatas seumpama itu.” (Al-Umm oleh Asy-Syafi’i, 1/277)
Beliau juga menegaskan:
وَأُحِبُّ أَنْ لَا يُبْنَى وَلَا يُجَصَّصَ فإن ذلك يُشْبِهُ الزِّينَةَ وَالْخُيَلَاءَ وَلَيْسَ الْمَوْتُ مَوْضِعَ وَاحِدٍ مِنْهُمَا ولم أَرَ قُبُورَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ مُجَصَّصَةً ( قال الرَّاوِي ) عن طَاوُسٍ إنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم نهى أَنْ تُبْنَى الْقُبُورُ أو تُجَصَّصَ وقد رَأَيْت من الْوُلَاةِ من يَهْدِمَ بِمَكَّةَ ما يُبْنَى فيها فلم أَرَ الْفُقَهَاءَ يَعِيبُونَ ذلك
“Aku menyukai apabila kuburan itu tidak dibuat binaan dan tidak pula tembok padanya, kerana yang demikian itu menyerupai perhiasan dan kesombongan, dan kematian bukanlah tempat bagi salah satu dari keduanya. Dan aku tidak pernah melihat ada kubur dari kalangan para sahabat Muhajirin mahupun Anshar yang padanya dibinakan tembok (atau binaan tertentu). Berkata seorang rawi (meriwayatkan) dari Thawus, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang membuat binaan atau tembok pada kubur. Sungguh, aku sendiri melihat dari kalangan penguasa di Makkah telah menghancurkan binaan-binaan yang terdapat di atas kubur, dan aku tidak melihat para fuqaha’ mencela perbuatan tersebut.” (Al-Umm, 1/277)
Matan fiqh yang cukup masyhur di kalangan ulama Syafi’iyah iaitu matan Abi Syuja’ (atau dikenal juga dengan nama matan Al-Ghoyah wa At-Taqrib) disebutkan di dalamnya:
ويسطح القبر ولا يبني عليه ولا يجصص
“Kubur itu mesti diratakan, kubur tidak boleh dibinakan binaan di atasnya dan kubur tidak boleh diberi simen.” (Mukhtashar Abi Syuja’, m/s. 83 dan At-Tadzhib, m/s. 94)
Dan inilah pegangan para ulama fiqh dalam mazhab Asy-Syafi’i, bahkan seluruh ulama mazhab yang lainnya.
Al-Imam Asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) berkata di kitabnya, Nailul Authar:
فيه أن السنة أن القبر لا يرفع رفعا كثيرا من غير فرق بين من كان فاضلا ومن كان غير فاضل. والظاهر أن رفع القبور زيادة على القدر المأذون فيه محرم وقد صرح بذلك أصحاب أحمد وجماعة من أصحاب الشافعي ومالك
ومن رفع القبور الداخل تحت الحديث دخولا أوليا القبب والمشاهد المعمورة على القبور وأيضا هو من اتخاذ القبور مساجد وقد لعن النبي صلى الله عليه وآله وسلم فاعل ذلك
“Pada hadis tersebut mengandungi penjelasan bahawa apa yang sunnah untuk dilaksanakan adalah tidak meninggikan kubur secara berlebihan, tanpa membezakan di antara orang terhormat (memiliki nama di tengah masyarakat) dengan orang orang yang tidak terhormat. Dan secara zahirnya, perbuatan menambah-tinggikan kubur melebihi ukuran yang dibenarkan adalah haram. Ini adalah sebagaimana yang ditegaskan oleh para Sahabat Imam Ahmad, sebahagian besar ulama dari mazhab Asy-Syafi’i dan Malik.
Di antara perbuatan meninggikan kubur yang termasuk dalam maksud hadis tersebut adalah pemasangan kubah dan menara yang dibina di atas kubur. Perkara ini termasuk tindakan menjadikan kubur sebagai masjid (tempat ibadah). Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaknat mereka yang melakukan sebegitu rupa.” (Nail Al-Authar oleh Asy-Syaukani, 4/131)
Al-Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
فيه أن السنة أن القبر لا يرفع على الأرض رفعا كثيرا ولا يسنم بل يرفع نحو شبر ويسطح وهذا مذهب الشافعى ومن وافقه
“Pada hadis tersebut menjelaskan bahawa yang disunnahkan adalah kubur itu tidak ditinggikan di atas permukaan bumi dan tidak dibentuk seperti bonggol unta, sebaliknya hanya ditinggikan seukuran sejengkal dan diratakan. Dan ini adalah mazhab Asy-Syafi’i dan orang-orang yang sepakat dengan beliau.” (An-Nawawi, Syarh Shahih Muslim, 7/36)
Dibolehkan membuat tanda sekadar pengenalan bahawa ia adalah kuburan dan tidak perlu ditulis dengan sebarang perkataan atau tulisan melainkan memang benar-benar diperlukan. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meletakkan batu di kubur ‘Umar bin Mazh’un radhiyallahu ‘anhu sebagai tanda dengan katanya:
أَتَعَلَّمُ بِهَا قَبْرَ أَخِي وَأَدْفِنُ إِلَيْهِ مَنْ مَاتَ مِنْ أَهْلِي
“Aku memberi tanda dengan batu ini untuk kubur saudaraku dan di sinilah akan dikebumikan sesiapa yang meninggal dunia dari kalangan ahli keluargaku.” (Sunan Abi Daud, no. 3206. Dinilai hasan oleh Al-Albani)
Al-Imam Muhammad bin Ismail Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) menjelaskan:
الحديث دليل على تحريم الثلاثة المذكورة لأنه الأصل في النهي. وقد وردت الأحاديث في النهي عن البناء على القبور والكتب عليها والتسريج وأن يزاد فيها وأن توطأ
“Hadis ini adalah sebagai dalil yang menunjukkan haramnya tiga perbuatan yang disebutkan pada hadis, kerana ia adalah asal pada larangan dimaksudkan.
Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan tentang larangan membina binaan di atas kubur, larangan menulis pada batu nisan dan mencantikkan (atau menghias) kubur, dan larangan menambah lebih dari sejengkal dengan meninggikan tanah di atasnya.”
Kata beliau lagi:
وهذه الأخبار المعبر فيها باللعن والتشبيه بقوله: “لا تجعلوا قبري وثناً يعبد من دون الله” تفيد التحريم للعمارة والتزيين والتجصيص ووضع الصندوق المزخرف ووضع الستائر على القبر وعلى سمائه والتمسح بجدار القبر وأن ذلك قد يفضي مع بعد العهد وفشو الجهل إلى ما كان عليه الأمم السابقة من عبادة الأوثان، فكان في المنع عن ذلك بالكلية قطع لهذه الذريعة المفضية إلى الفساد، وهو المناسب للحكمة المعتبرة في شرع الأحكام من جلب المصالح ودفع المفاسد، سواء كانت بأنفسها أو باعتبار ما تفضي إليه انتهى
“Khabar-khabar yang berkaitan dengan laknat dan tasyabbuh (penyerupaan dengan berhala orang-orang kafir) sebagaimana ucapan beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Janganlah kalian jadikan kuburku sebagai suatu yang diibadahi selain Allah.”
memberikan pemahaman makna haramnya membina sebarang bentuk binaan, menghiasi, menembok dan meletakkan tanda-tanda perhiasan, serta meletakkan kain-kain penutup di kubur dan di atasnya, serta mengusap-ngusap tembok kubur.
Perkara ini seiring dengan beredarnya masa dan tersebarnya kejahilan dalam kalangan umat-umat yang akan datang yang sekaligus merintis laluan kepada unsur-unsur penyembahan dan pemujaan, maka semua ini sangat dilarang. Dan mencegah sebelum berlakunya bencana yang lebih besar yang dapat menimpa umat manusia adalah bersesuaian dengan hikmah yang diperolehi dari apa yang telah disyari’atkan melalui hukum-hukum, iaitu untuk mengambil manfaat dan menolak bencana sama ada ia dari sesuatu objek itu sendiri atau dari kesan yang dapat dihasilkannya.” (Subulus Salam Syarh Bulughil Maram, 2/111)
Dari hadis yang lain, dari Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
إن تسوية القبور من السنة وقد رفعت اليهود والنصارى فلا تشبهوا بهما
“Sesungguhnya meratakan kubur itu termasuk as-sunnah (petunjuk dari Nabi), kerana orang-orang Yahudi dan Nashara (Kristian) biasa meninggikan kubur-kubur mereka. Maka janganlah kalian bertasyabbuh (menyerupai) mereka.” (Al-Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabrani, no. 823. Majma’ Az-Zawa’id oleh Al-Haitsami, no. 4297 dan kata beliau para perawinya adalah perawi kitab Shahih)
Kuburan Bukan Tempat Ibadah
Dari hadis Abu Martsad Al-Ghanawi, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا تُصَلُّوا إِلَى الْقُبُورِ، وَلَا تَجْلِسُوا عَلَيْهَا
“Janganlah kalian mendirikan solat dengan menghadap ke kuburan dan jangan pula kalian duduk-duduk di atasnya.” (Shahih Muslim, no. 972)
Al-Imam Muhammad bin Ismail Ash-Shan’ani rahimahullah berkata:
وفيه دليل على النهي عن الصلاة إلى القبر كما نهى عن الصلاة على القبر والأصل التحريم ولم يذكر المقدار الذي يكون به النهي عن الصلاة إلى القبر والظاهر أنه ما يعد مستقبلا له عرفا
“Hadis ini merupakan dalil berkenaan larangan solat menghadap ke arah kubur sebagaimana dilarangnya solat di atas kubur yang mana hukum asalnya adalah haram. Tetapi tidak dijelaskan apakah batasan menghadap ke arah kubur tersebut? Yang jelas (secara zahirnya), adalah apa yang biasa dapat difahami oleh kita sebagai menghadap, maka itulah batasannya.”
Kata beliau juga:
ودل على تحريم الجلوس على القبر وقد وردت به أحاديث
“Hadis ini juga adalah merupakan dalil atas larangan duduk-duduk di atas kubur, dan padanya terdapat banyak hadis-hadis yang warid.” (Subulus Salam Syarh Bulughl Maram oleh Ash-Shan’ani, 1/137)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian sebagai kuburan, kerana sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang di dalamnya dibacakan surah Al-Baqarah.” (Shahih Muslim, no. 780)
Dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ وَلَا تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا
“Solatlah kalian di rumah-rumah kalian dan janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian sebagaimana kuburan.” (Shahih Muslim, no. 777)
Dalam riwayat Al-Bukhari:
اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا
“Laksanakanlah solat-solat kalian di rumah-rumah kalian dan jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti kuburan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 432)
Kerana kuburan bukanlah tempat untuk mendirikan solat, bukan tempat ibadah, bukan pula tempat untuk berdoa mahupun membaca Al-Qur’an, apatah lagi untuk megambil berkat dan pemujaan.
Dan Al-Imam Al-Bukhari meletakkan hadis ini pada bab:
بَابُ كَرَاهِيَةِ الصَّلاَةِ فِي المَقَابِرِ
“Bab dibencinya solat di kuburan.”
Dari hadis Abu Sa’id, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
كُلُّ الْأَرْضِ مَسْجِدٌ وَطَهُورٌ إِلَّا الْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَّامَ
“Bumi ini seluruhnya adalah masjid (yakni dibolehkan untuk melaksanakan ibadah padanya) dan menyucikan, melainkan perkuburan dan tempat permandian (tandas, bilik air atau tempat buang hajat – pent.).” (Musnad Ahmad, no. 11784)
Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:
فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسْجِدًا قَالَتْ وَلَوْلَا ذَلِكَ لَأَبْرَزُوا قَبْرَهُ غَيْرَ أَنِّي أَخْشَى أَنْ يُتَّخَذَ مَسْجِدًا
“Ketika beliau (Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) dalam keadaan sakit sambil berbaring, beliau bersabda:
“Laknat Allah ke atas orang-orang Yahudi dan Nashara yang menjadikan perkuburan para Nabi mereka sebagai masjid (yakni tempat untuk beribadah).”
Aku (‘Aisyah) berkata:
وَلَوْلاَ ذَلِكَ لَأَبْرَزُوا قَبْرَهُ غَيْرَ أَنِّي أَخْشَى أَنْ يُتَّخَذَ مَسْجِدًا
“Kalau bukan kerana takut (laknat) tersebut, nescaya kubur beliau ditempatkan di tempat terbuka. Hanya saja beliau takut kuburannya itu akan dijadikan sebagai masjid.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1330. Muslim, no. 529)
Yang dimaksudkan sebagai masjid dalam hadis tersebut adalah sebagai tempat untuk beribadah seperti solat, berdoa, nadzar, menyembelih, thawaf, dan yang selainnya. Namun apa yang dibimbangi oleh Nabi tersebut telah pun belaku di mana sebahagian orang-orang sesat dari kalangan sufi dan Syi’ah, mereka menjadikan kubur-kubur sebagai tempat untuk ibadah, memohon berkah, memohon pertolongan, tempat bersujud, thawaf, berdoa, dan seumpamanya. Wallaahul musta’aan.
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
قَاتَلَ اللهُ الْيَهُودَ، اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ
“Semoga Allah memerangi orang-orang Yahudi, (disebabkan) mereka menjadikan kuburan para nabi mereka sebagai masjid-masjid (yakni tempat untuk beribadah).” (Shahih Al-Bukhari, no. 437. Muslim no. 530)
Dari ‘Aisyah dan Ibnu ‘Abbas, mereka berdua berkata:
لَمَّا نَزَلَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَفِقَ يَطْرَحُ خَمِيصَةً لَهُ عَلَى وَجْهِهِ، فَإِذَا اغْتَمَّ بِهَا كَشَفَهَا عَنْ وَجْهِهِ، فَقَالَ وَهُوَ كَذَلِكَ:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى اليَهُودِ وَالنَّصَارَى، اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ
“Ketika tahap kesihatan Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam semakin merosot pada saat-saat akhir hidupnya, beliau menutupkan kain khamishah-nya (seperti selimut) pada wajahnya, namun apabila beliau merasa sukar bernafas, beliau pun menyingkapnya dari wajah beliau lalu beliau bersabda sedang beliau tetap demikian:
“Laknat Allah atas orang-orang Yahudi dan Nashara di mana mereka telah menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid-masjid (yakni tempat-tempat untuk beribadah).”
‘Aisyah berkata:
يُحَذِّرُ مِثْلَ مَا صَنَعُوا
“Beliau memberi peringatan tersebut agar umatnya tidak melakukan hal yang semisal dengan apa yang telah dilakukan oleh Yahudi dan Nashara.” (Shahih Al-Bukhari, no. 435. Muslim, no. 531)
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata ketika menyentuh tentang hadis ini:
كأنه صلى الله عليه و سلم علم أنه مرتحل من ذلك المرض فخاف أن يعظم قبره كما فعل من مضى فلعن اليهود والنصارى إشارة إلى ذم من يفعل فعلهم
“Seakan-akan Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam telah mengetahui bahawa beliau akan wafat melalui sakit yang sedang beliau alami, sehingga beliau pun merasa bimbang kubur beliau akan diagung-agungkan sebagaimana yang telah dilakukan oleh orang-orang terdahulu (dari kalangan Yahudi dan Nashara). Oleh itu, beliau pun melaknat orang-orang Yahudi dan Nashara sebagai isyarat yang menunjukkan celaan bagi sesiapa yang berbuat seperti perbuatan mereka.” (Fathul Bari oleh Ibn Hajar, 1/532)
Dari hadis ‘Abdullah (bin Mas’oud), Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ مِنْ شِرَارِ النَّاسِ مَنْ تُدْرِكُهُ السَّاعَةُ وَهُمْ أَحْيَاءٌ ، وَمَنْ يَتَّخِذُ الْقُبُورَ مَسَاجِدَ
“Sesungguhnya termasuk seburuk-buruk manusia adalah mereka yang melihat hari Kiamat sedang mereka masih hidup, dan orang-orang yang menjadikan kuburan sebagai tempat ibadah.” (Musnad Ahmad, no. 3884. Shahih Ibn Hibban, no. 6847. Shahih Ibn Khuzaimah, no. 789)
‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata – Ummu Habibah dan Ummu Salamah pernah menceritakan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa mereka melihat gereja di Habasyah yang di dalamnya terdapat gambar-gambar. Maka beliau pun bersabda:
إِنَّ أُولَئِكَ إِذَا كَانَ فِيهِمْ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلكَ الصُّوَرَ فَأُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Mereka (ahli kitab), jika ada seorang yang soleh dari kalangan mereka meninggal, mereka membina masjid (tempat ibadah) di atas kuburnya dan mereka membuat (meletakkan) gambarnya pada kubur tersebut. Merekalah makhluk yang paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 427)
Dari hadis Jundab bin Abdillah Al-Bajali radhiyallahu ‘anhu, bahawa beliau pernah mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda lima hari sebelum hari wafatnya (yang antaranya):
أَلَا وَإِنَّ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَانُوا يَتَّخِذُونَ قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيهِمْ مَسَاجِدَ، أَلَا فَلَا تَتَّخِذُوا الْقُبُورَ مَسَاجِدَ، إِنِّي أَنْهَاكُمْ عَنْ ذَلِكَ
“Dan ketahuilah sesungguhnya orang-orang sebelum kalian telah menjadikan kubur para nabi mereka dan orang-orang soleh dari kalangan mereka sebagai masjid-masjid (tempat untuk beribadah). Jadi, janganlah kalian menjadikan kuburan sebagai masjid-masjid (yakni tempat untuk beribadah), sesungguhnya aku melarang kalian dari hal tersebut.” (Shahih Muslim, no. 532)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ
“Sesungguhnya jika salah seorang di antara kalian duduk di atas bara api sehingga terbakar pakaiannya lalu menembusi kulitnya, sesungguhnya itu adalah lebih baik baginya berbanding dia duduk di atas kubur.” (Shahih Muslim, no. 971)
Sebagai penutup, berikut kami lampirkan sebahagian contoh-contoh amalan kaum sesat (Syi’ah dan Sufi) yang menjadikan kuburan sebagai tempat ibadah, memohon doa, memohon berkat, dan pemujaan (penyembahan).
Gambar satu, Gambar dua, Gambar tiga, Gambar tiga, Gambar empat.
Wallaahu a’lam.