Keutamaan Membantu Berbuat Ketaatan Kepada Allah

Keutamaan Membantu Berbuat Ketaatan Kepada Allah

www.ilmusunnah.com

bantu-bantu

Dari hadis Abu ‘Abdirrahman Zaid bin Al-Juhani radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ جَهَّزَ غَازِيًا فِي سَبِيلِ اللهِ، فَقَدْ غَزَا، وَمَنْ خَلَفَهُ فِي أَهْلِهِ بِخَيْرٍ، فَقَدْ غَزَا

“Siapa yang menyediakan bekal untuk orang yang berperang di jalan Allah, maka dia turut berperang. Dan siapa yang menafkahi ahli keluarga orang yang keluar berperang, maka dia turut berperang.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2843. Muslim, no. 1895)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

أى حصل له أجر بسبب الغزو وهذا الأجر يحصل بكل جهاد وسواء قليلة وكثيره ولكل خالف له فى أهله بخير من قضاء حاجة لهم وانفاق عليهم أو مساعدتهم فى أمرهم ويختلف قدر الثواب بقلة ذلك وكثرته وفى هذا الحديث الحث على الاحسان إلى من فعل مصلحة للمسلمين أو قام بأمر من مهماتهم

“Maksudnya, orang tersebut mendapat pahala dengan sebab perang, dan pahala ini boleh diraih pada setiap makna jihad sama ada sedikit ataupun banyak.

Demikian pula bagi orang yang menjaga (kebajikan) ahli keluarga para pejuang (yakni keluarga orang yang ditinggal keluar berjihad) dengan cara yang baik dengan memenuhi keperluan mereka, memberikan nafkah, atau membantu dalam hal ehwal urusan keluarga tersebut.

Dan kadar pahala itu berbeza-beza, sedikit atau banyaknya bersesuaian dengan kadar kebaikan yang disumbangkan.

Pada hadis ini terkandung anjuran untuk berbuat ihsan kepada sesiapa yang melakukan kemaslahatan ke atas kaum muslimin, atau ke atas sesiapa yang menegakkan dan menjaga urusan-urusan penting kaum muslimin.” (Syarh Shahih Muslim, 13/40)

Kata Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H):

وهذا من التعاون على البر والتقوى إذا جهز الإنسان غازيا يعني براحلته ومتاعه وسلاحه ثلاثة أشياء الراحلة والمتاع والسلاح إذا جهزه بذلك فقد غزا كتب له أجر الغازي لأنه أعانه على الخير.

“Ini adalah dari bentuk tolong-menolong di atas kebaikan dan taqwa. Apabila seseorang bersiap dan menyediakan diri untuk berperang, dengan mempersiapkan kenderaannya, kelengkapannya, dan persenjataannya, yakni tiga bentuk berupa kenderaan, kelengkapan/harta, dan senjata. Apabila dia bersiap sedemikian, maka dia turut berperang. Dicatat baginya pahala berperang, kerana dia telah menyediakan (keperluan) dan membantu di atas kebaikan.

وكذلك من خلفه في أهله بخير فقد غزا يعني لو أن الغازي أراد أن يغزو ولكنه أشكل عليه أهله من يكون عند حاجاتهم فانتدب رجلا من المسلمين وقال أنا أخلفك في أهلك بخير فإن هذا الذي خلفه يكون له أجر الغازي

Demikian juga orang yang menggantikan bagi keluarga orang yang keluar berperang dengan sesuatu yang baik, maka dia juga turut berperang. Yakni jika seseorang ingin keluar berperang, tetapi dia terhalang dengan sebab dia harus memenuhi keperluan ahli keluarganya, lalu dia mendapatkan wakil dan pembantu dari kalangan kaum muslimin, dan dia mengatakan:

“Aku akan menggantikan-mu untuk keluarga-mu dengan kebaikan…”

Maka orang yang menawarkan diri untuk menanggung keluarganya ini, baginya pahala seperti pahala orang yang turut keluar berperang.

لأنه أعانه إذا فإعانة الغازي تكون على وجهين الأول أن يعينه في رحله ومتاعه وسلاحه والثاني أن يعينه في كونه خلف عنه في أهله لأن هذا من أكبر العون فإن كثيرا من الناس يشكل عليه من يكون عند أهله يقوم بحاجاتهم فإذا قام الرجل بحاجة أهله وخلفه فيهم بخير فقد غز

Kerana itulah, apabila membantu orang yang keluar berperang itu boleh jadi dengan dua keadaan.

Pertama, membantunya dalam mempersiapkan kenderaannya, kelengkapan/hartanya (atau perbekalannya), dan persenjataannya.

Manakala yang kedua, dia membantu ahli keluarga yang ditinggalkan oleh orang yang keluar berperang. Kerana ini termasuk dari sebesar-besar pertolongan, di mana banyak dari kalangan manusia mereka terhalang disebabkan siapa yang akan menggantikannya untuk memenuhi keperluan ahli keluarganya. Maka apabila ada dari orang yang bersedia memenuhi keperluan mereka dengan kebaikan, maka sebenarnya dia pun telah turut berperang….

ويؤخذ من هذا أن كل من أعان شخصا في طاعة الله فله مثل أجره فإذا أعنت طالب علم في شراء الكتب له أو تأمين السكن أو النفقة أو ما أشبه ذلك فإن لك أجرا أي مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيئا وهكذا أيضا لو أعنت مصليا على تسهيل مهمته في صلاته في مكانه وثيابه أو في وضوئه في أي شيء فإنه يكتب لك في ذلك أجر فالقاعدة العامة أن من أعان شخصا في طاعة من طاعة الله كان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيئا

… Dan (di antara pelajaran/faedah) yang dapat diambil dari hadis ini, bahawa setiap orang yang membantu orang lain dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah maka dia juga akan mendapatkan pahala yang sama dengan orang yang dibantunya.

Maka jika engkau membantu seorang penuntut ilmu untuk membeli kitab-kitab baginya, atau menyediakan tempat penginapannya, atau mengeluarkan nafkah untuknya, atau yang semisal dengannya, maka engkau akan mendapatkan pahala seperti penuntut ilmu tersebut tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun.

Demikian juga jika engkau membantu seorang yang melaksanakan solat agar dia mudah untuk melaksanakan solat, sama ada tempat solatnya, pakaiannya, air wudhu’nya dan apa-apa yang dapat memudahkannya untuk melaksanakan solat, maka engkau akan mendapatkan pahala seperti pahalanya.

Maka ini adalah kaedah umum; Siapa yang membantu orang lain untuk melaksanakan suatu ketaatan kepada Allah, maka dia akan mendapatkan pahala sebagaimana pahala orang yang melaksanakan ketaatan tersebut tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun.” (Syarh Riyadhish Shalihin, 1/209)

Wallaahu a’lam.