Kenapa Tabur Bunga di Kubur, Sunnahkah?

Kenapa Tabur Bunga di Kubur, Sunnahkah?

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Berikut kami paparkan di antara dalil yang dijadikan alasan oleh sebahagian pihak yang menganjurkan amalan menabur bunga-bunga di kuburan.

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:kubur_

مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ المَدِينَةِ، أَوْ مَكَّةَ، فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ» ثُمَّ قَالَ: «بَلَى، كَانَ أَحَدُهُمَا لاَ يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ، وَكَانَ الآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ». ثُمَّ دَعَا بِجَرِيدَةٍ، فَكَسَرَهَا كِسْرَتَيْنِ، فَوَضَعَ عَلَى كُلِّ قَبْرٍ مِنْهُمَا كِسْرَةً، فَقِيلَ لَهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لِمَ فَعَلْتَ هَذَا؟ قَالَ: «لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ تَيْبَسَا» أَوْ: «إِلَى أَنْ يَيْبَسَا»

“Nabi Shallallahu ‘alahi wa Sallam melalui berhampiran salah satu tembok dari tembok-tembok di Madinah atau Makkah lalu beliau terdengar suara dua orang yang diazab di dalam kubur mereka. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata:

“Mereka berdua sedang diazab. Tidaklah mereka berdua itu diazab kerana perkara yang besar.” Kemudian beliau berkata lagi: “Benarlah, salah seorang daripada mereka tidak menjaga (kebersihan) dari air kencingnya manakala seorang lagi sering melakukan namimah (mengadu-domba).”

Kemudian beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meminta supaya dibawakan pelepah kurma kemudian beliau membelahnya menjadi dua bahagian lalu meletakkannya atas setiap kubur tersebut. Beliau ditanya:

“Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan demikian?” Beliau pun menjawab:

Semoga itu dapat meringankan (azab) dari mereka berdua selagi mana ia tidak kering atau sehingga ia kering.” (Shahih Al-Bukhari, no. 216)

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

كُنَّا نَمْشِي مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرَرْنَا عَلَى قَبْرَيْنِ، فَقَامَ، فَقُمْنَا مَعَهُ، فَجَعَلَ لَوْنُهُ يَتَغَيَّرُ حَتَّى رَعَدَ كُمُّ قَمِيصِهِ، فَقُلْنَا: مَا لَكَ يَا نَبِيَّ اللَّهِ؟، قَالَ: «مَا تَسْمَعُونَ مَا أَسْمَعُ؟ » قُلْنَا: وَمَا ذَاكَ يَا نَبِيَّ اللَّهِ؟، قَالَ: «هَذَانِ رَجُلَانِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا عَذَابًا شَدِيدًا فِي ذَنْبٍ هَيِّنٍ»، قُلْنَا: مِمَّ ذَلِكَ يَا نَبِيَّ اللَّهِ؟، قَالَ: «كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَنْزِهُ مِنَ الْبَوْلِ، وَكَانَ الْآخَرُ يُؤْذِي النَّاسَ بِلِسَانِهِ، وَيَمْشِي بَيْنَهُمْ بِالنَّمِيمَةِ» فَدَعَا بِجَرِيدَتَيْنِ مِنْ جَرَائِدِ النَّخْلِ، فَجَعَلَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً، قُلْنَا: وَهَلْ يَنْفَعُهُمَا ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟، قَالَ: «نَعَمْ، يُخَفِّفُ عَنْهُمَا مَا دَامَا رَطْبَتَيْنِ

“Kami berjalan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui dua kubur, lalu beliau berhenti. Maka kami pun berhenti bersamanya. Tiba-tiba raut wajah Rasulullah berubah warnanya sehingga kelihatan bergetar. Kami pun bertanya, “Kenapa dengan engkau wahai Nabi Allah?”

Rasulullah pun bersabda, “Tidakkah engkau mendengar apa yang aku dengar?” Kami bertanya, “Ada apa dia wahai Nabi Allah?”

Rasulullah pun bersabda, “Kedua penghuni kubur ini sedang diadzab dengan adzab yang keras di dalam kuburnya kerana dosa yang dianggap remeh.”

Kami bertanya, “Apa kesalahan mereka wahai Nabi Allah?”

Rasulullah bersabda, “Salah seorang dari mereka tidak menjaga kebersihan dari sisa air kencingnya, manakala yang seorang lagi menyakiti manusia dengan lisannya dan suka berbuat namimah (adu domba) sesama manusia.”

Lalu Rasulullah meminta dibawakan pelepah kurma yang segah, kemudian beliau meletakkannya pada setiap dari dua kubur tersebut satu bahagian. Kami bertanya, “Adakah bermanfaat yang demikian ini wahai Rasulullah?”

Beliau bersabda, “Ya, ia meringankan adzab mereka berdua selagi mana pelepah tersebut masih segah (yakni selagi ia belum kering).” (Shahih Ibnu Hibban, no. 824)

Manakala dari keratan hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنِّي مَرَرْتُ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ، فَأَحْبَبْتُ، بِشَفَاعَتِي، أَنْ يُرَفَّهَ عَنْهُمَا، مَا دَامَ الْغُصْنَانِ رَطْبَيْنِ

“Sesungguhnya aku pernah melintasi dua buah kuburan yang sedang diadzab lalu aku ingin dengan syafa’atku agar azab tersebut diringankan dari keduanya selagi mana pelepah (pelepah kurma) tersebut masih basah.” (Shahih Muslim, no. 3012)

Sebagaimana yang disebutkan, sebahagian dari kalangan umat Islam hari ini ada yang menjadikan hadis-hadis ini sebagai dalil untuk mensyari’atkan menanam dan menabur bunga-bungaan di atas kubur dengan anggapan ia dapat meringankan adzab kubur. Sehingga amalan ini pun menjadi subur dan tersebar luas khasnya tatkala urusan pengebumian berlangsung atau tatkala amalan ziarah kubur dilakukan. Wallaahu a’lam, hakikatnya ia menyelisihi zahir hadis itu sendiri.

Bertitik-tolak dari hal tersebut, ada pula yang menjadikan amalan menabur bunga-bungaan di kuburan sebaik pengebumian mayit atas alasan adat dan protokol. Wallaahu a’lam, hal ini sebenarnya menjurus kepada perbuatan tasyabbuh (penyerupaan) dengan amalan kaum kafir sebagaimana dijelaskan oleh sebahagian ulama.

Selain itu, sebahagian ulama ada yang menjadikan hadis ini sebagai dalil anjuran membaca Al-Qur’an di kuburan. Wallaahu a’lam, ini telah dirincikan pada artikel yang lain dan jelas menyelisihi zahir hadis itu sendiri.

Perincian jawaban,

Adapun yang lebih tepatnya dari hadis ini menunjukkan bahawa perletakkan pelepah kurma tersebut adalah merujuk kekhususan bagi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kerana di dalamnya menyebutkan, “Dengan syafa’atku…”. sebagaimana dikhususkan dengan hadis dari riwayat Jaabir radhiyallahu ‘anhu di Shahih Muslim.

Sebagaimana kata Al-Imam Ath-Thurthusi rahimahullah:

لأن ذلك خاص ببركة يده

“Yang demikian ini adalah kerana ia merupakan kekhususan bagi Rasulullah dan dengan sebab keberkahan tangan beliau.” (Fathul Bari oleh Ibn Hajar, 1/320)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan:

وأما وضعه صلى الله عليه و سلم الجريدتين على القبر فقال العلماء محمول على أنه صلى الله عليه و سلم سأل الشفاعة لهما فأجيبت شفاعته صلى الله عليه و سلم بالتخفيف عنهما إلى أن ييبسا

“Ada pun perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meletakkan dua pelepah kurma di atas kubur, para ulama berkata:

“Difahami bahawa itu adalah bentuk permohonan syafa’at untuk kedua-dua penghuni kubur tersebut, lalu syafa’at tersebut dikabulkan untuk mereka berdua berupa peringanan adzab kubur atas mereka selagi mana ianya belum mengering.” (Syarh Shahih Muslim, 3/201)

Selain itu, turut dinyatakan perkhabaran bahawa penghuni kuburan tersebut sedang diazab. Tidak ada yang mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam kubur sama ada mendapat siksa atau mendapat nikmat, melainkan Nabi Shallallahu ‘alaihiwa Sallam yang mana beliau mengetahuinya dari wahyu.

Demikian pula dengan para sahabat, tidak ada dari kalangan mereka yang mengamalkan hal tersebut dengan alasan mendapat khabar tentang keadaan penghuni kubur.

Lalu adakah dari kalangan kita pada hari ini setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang menerima wahyu atau khabar ghaib? Sehingga dia pun mengetahui apa yang berlaku di dalam kubur seraya mengamalkan sebagaimana yang dilakukan Nabi?! Atau dia hanya sekadar bersangka-sangka terhadap hal yang dia tidak memiliki ilmu tentangnya?!

Kemudian apa yang ditancapkan tersebut adalah berupa pelepah kurma, bukan pohon kurma, bukan bebungaan, dan bukanlah pula bagi tujuan menanam pepehonan di atasnya.

Kemudian perbuatan Nabi tersebut tidaklah berlaku secara berterusan di mana apabila pelepah tersebut kering, maka beliau kembali untuk menggantikannya dengan yang lain sehinggalah seterusnya. Dan tidak pula beliau menanamkannya agar terus tumbuh dengan pepohonan di atas kubur tersebut. Sebaliknya, yang zahir dari hadis ini adalah menunjukkan adanya kekhususan berupa syafa’at dari beliau, dan syafa’at beliau buat penghuni kubur tersebut berlangsung sebatas pelepah tersebut masih segah (yakni selagi belum mengering).

Selain itu, perbuatan Nabi tersebut tidaklah berlaku (tidak diamalkan oleh Nabi atau para sahabat) ke atas setiap kubur secara umum melainkan pada kubur tersebut sebagaimana dalam hadis yang mana beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengetahui bahawa penghuni kubur tersebut sedang diazab. Dan ini juga menunjukkan bahawa hal ini adalah kekhususan untuk beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Bahkan apa yang dibuat oleh Nabi tersebut tidak pula diamalkan oleh sahabat-sabahat yang lain yang memiliki keutamaan, sama ada ketika waktu pengebumian, atau ketika menziarahi kuburan. Tidak dilakukan oleh khulafa’ur rasyidin, dan tidak pula diperintahkan oleh mereka. Tidak juga oleh Ibnu ‘Abbas, tidak Jaabir, dan tidak pula oleh Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhum, sedangkan mereka yang meriwayatkan hadis ini. Dari sini sekali lagi menunjukkan bahawa amalan ini adalah kekhususan buat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Al-Imam Abu Sulaiman Al-Khaththabi rahimahullah berkata:

هو محمول على أنه دعا لهما بالتخفيف مدة بقاء النداوة لا أن في الجريدة معنى يخصه ولا أن في الرطب معنى ليس في اليابس قال وقد قيل أن المعنى فيه أنه يسبح ما دام رطبا فيحصل التخفيف ببركة التسبيح وعلى هذا فيطرد في كل ما فيه رطوبة من الأشجار وغيرها وكذلك فيما فيه بركة كالذكر وتلاوة القرآن من باب الأولى

“Yang meringankan adzab tersebut adalah doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bukan kerana disebabkan pelepah kurma tersebut memiliki kelebihan tertentu yang dapat meringankan adzab kubur. Hadis ini juga tidak menunjukkan kelebihan pelepah kurma yang masih basah (segah) berbanding yang telah kering. Ada yang mengatakan bahawa selagi mana pelepah tersebut masih basah, ia akan terus bertasbih kepada Allah sehingga ianya dapat meringankan adzab kubur bagi seseorang.

Jika perkara ini dijadikan alasan, bermakna semua pepohonan atau bahagian-bahagian tumbuhan yang lainnya yang masih basah (atau segah) dapat digunakan untuk meringankan adzab (bermakna bukan hanya pohon kurma). Dan jika demikian keadaannya juga, bermakna dzikir dan bacaan Al-Qur’an adalah lebih utama untuk meringankan adzab tersebut, (namun hal ini tidak berlaku di zaman Nabi dan sahabat – pent.)?” (Fathul Bari oleh Ibn Hajar, 1/320)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

وقد استنكر الخطابي ومن تبعه وضع الناس الجريد ونحوه في القبر عملا بهذا الحديث

“Berkaitan hal ini, Al-Khaththabi dan orang-orang yang mengikuti beliau telah mengkritik (atau mengingkari) orang-orang yang menancapkan pelepah kurma di kubur dengan alasan mengamalkan hadis ini.” (Fathul Bari oleh Ibn Hajar, 1/320)

Al-Imam An-Nawawi berkata:

وقد أنكر الخطابي ما يفعله الناس على القبور من الأخواص ونحوها متعلقين بهذا الحديث وقال لا أصل له ولا وجه له والله أعلم

“Bahawa Al-Khaththabi mengingkari apa-apa yang telah dilakukan oleh sebahagian pihak yang meletakkan pelepah kurma atau yang seumpama dengannya di kuburan lalu menjadikan hadis ini sebagai dalil. Dan beliau (Al-Khaththabi) mengatakan bahawa perkara tersebut tidak ada asalnya dan tidak pula ada alasan yang menguatkannya. Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 3/202)

Adapun pendapat yang menyatakan pelepah kurma yang segah dapat meringankan adzab kubur disebabkan tasbihnya (sementara belum mengering), sebenarnya ia dapat dibantah dengan ayat Al-Qur’an di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ

“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak memahami tasbih mereka.” (Surah Al-Israa’, 17: 44)

Yakni, yang bertasbih kepada Allah bukan hanya pelepah kurma atau dedaunan yang masih segar, sebaliknya langit, bumi, tanah, makanan, haiwan, bebatuan, dan yang lainnya turut bertasbih kepada Allah. Dari itu, dapat difahami bahawa dedaunan atau pelepah kurma yang belum mengering bukanlah sebab yang meringankan adzab kubur, dan tasbih juga bukan sebab yang meringankan adzab kubur. Adapun perkataan Nabi yang menyebutkan:

“selagi mana pelepah kurma masih segar (belum mengering)…”

sebenarnya adalah sebatas penyebutan tempoh berlangsungnya syafa’at Nabi agar adzab kubur diringankan bagi penghuni kubur tersebut.

Kalau seandainya dedaunan atau pelepah kurma yang masih segah (atau belum mengering) merupakan sebab diringankan adzab kubur, sudah tentu meletakkan pepohonan yang hidup lebih utama lagi, namun ini tidak dilakukan oleh Nabi, tidak pula oleh para sahabat. Kalau seandainya tasbihnya pelepah kurma menjadi sebab diringankan adzab kubur, sudah tentu dzikir, atau tasbih, atau bacaan Al-Qur’an dari Nabi dan para sahabat yang lain lebih utama lagi bagi membantu meringankan adzab kubur, namun ini tidak berlaku! Tidak disyari’atkan dan tidak pula dicontohkan oleh Nabi. Dari itu, meninggalkan perkara yang ditinggalkan oleh Nabi seperti ini, maka ianya termasuk sunnah.

Dalam kaedah Usul Fiqh dinyatakan:

ترك النبي صلى الله عليه وسلم لفعل ما مع وجود المقتضي له وانتفاء المانع يدل على أن ترك ذلك الفعل سنة وفعله بدعة

“Perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meninggalkan sesuatu perbuatan dalam keadaan wujudnya keperluan terhadap perkara tersebut dan tiadanya halangan, menunjukkan meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah dan melakukannya adalah bid’ah.” (Min Ushul Al-Fiqh ‘Inda Ahli Al-Hadits, 1/82)

Sebaliknya, apa yang disunnahkan oleh Nabi kepada para sahabat dan yang lainnya hanyalah sebatas dengan doa sebagaimana tsabit dalam banyak hadis-hadis, demikianlah pula ketika menziarahi kubur kaum muslimin, disunnahkan agar mendoakan keampunan, keselamatan, dan rahmat bagi penghuni kubur. Tidak dianjurkan oleh Nabi agar kita menanam pepohonan mahupun menabur bunga-bungaan di atas kubur dalam rangka meringankan adzab kubur. Wallaahu a’lam.

Berikutnya, adapun apa yang dilakukan oleh sahabat Nabi bernama Buraidah Al-Aslami radhiyallahu ‘anhu sebagaimana disebutkan oleh Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah dalam Shahih beliau (yakni):

وَأَوْصَى بُرَيْدَةُ الأَسْلَمِيُّ: «أَنْ يُجْعَلَ فِي قَبْرِهِ جَرِيدَانِ» وَرَأَى ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، فُسْطَاطًا عَلَى قَبْرِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، فَقَالَ: «انْزِعْهُ يَا غُلاَمُ، فَإِنَّمَا يُظِلُّهُ عَمَلُهُ»

Buraidah Al-Aslami berwasiat agar diletakkan dua pelepah kurma pada kuburannya.

Sementara Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma ketika melihat khemah di atas kubur ‘Abdurrahman (bin Abu Bakr), beliau pun berkata:

“Tanggalkanlah (khemah tersebut) wahai ghulaam (pekerja atau pelayan), kerana yang menaunginya hanyalah amalannya.” (Shahih Al-Bukhari, 2/95)

Wallaahu a’lam, bahawa hal tersebut adalah merupakan ijtihad peribadi beliau yang menyelisihi amalan para sahabat yang lainnya. Hal tersebut tidaklah diamalkan atau diikuti oleh sahabat-sahabat yang lain, dan tidak pula oleh tabi’in, dan bukan termasuk amalan yang dikenal oleh masyarakat Islam pada ketika itu. Seandainya amalan tersebut termasuk syari’at atau sunnah, sudah tentu sahabat-sahabat yang lain pada ketika itu akan berlumba-lumba dalam mengamalkannya atau menganjurkannya.

Dan tampak secara zahir, Al-Imam Al-Bukhari menyebutkan wasiat Buraidah tersebut dalam rangka bantahan dengan mengemukakan atsar Ibnu ‘Umar setelah menyebutkan wasiat tersebut.

Sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Rusyaid:

ويظهر من تصرف البخاري أن ذلك خاص بهما فلذلك عقبه بقول بن عمر إنما يظله عمله

“Apa yang dikemukakan oleh Al-Bukhari tersebut menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah khusus bagi dua penghuni kubur tersebut, oleh sebab itulah Al-Bukhari menyikapi perbuatan Buraidah tersebut dengan membawakan perkataan Ibnu ‘Umar, “Sesungguhnya seseorang (di alam kubur) hanya akan dinaungi oleh amalannya (ketika di dunia).”.” (Fathul Bari, 1/223)

Sekaligus, atsar ini bukanlah hujah dengan alasan bahawa ia hanyalah pendapat peribadi dari Buraidah Al-Aslami radhiyallahu ‘anhu, apatah lagi beliau sendiri tidak mengemukakan bahawa perbuatannya tersebut bertujuan membantu dalam meringankan atau melepaskan diri dari adzab kubur. Wallaahu a’lam.

Maka dari rincian ini dapat diambil kesimpulan bahawa hadis-hadis tersebut tidak dapat dijadikan hujah untuk mentsabitkan amalan menabur bunga di kuburan mahupun menanam pepohonan atas alasan untuk meringankan adzab kubur, kerana amalan menabur bunga dan menanam pepohonan di atas kubur adalah menyelisihi zahir hadis tersebut, apatah lagi bahawa perbuatan (menancapkan pelepah kurma) tersebut sebenarnya menunjukkan kekhususan bagi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam atas dua kubur tersebut dengan sebab syafa’at yang diberikan kepada beliau oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Adapun dalam hal ini, Asy-Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah mengatakan amalan meletakkan daun-daun hijau atau perbuatan menabur bunga-bunga di atas kubur yang banyak berlaku pada hari ini adalah termasuk perbuatan meniru amalan kaum kristian dan termasuk adat dari orang-orang barat. Ia termasuk bentuk berlebih-lebihan terhadap kuburan serta tidak memiliki sandaran dalilnya. Sehingga amalan ini pun menjadi adat kebiasaan umat Islam dan dijadikan sebagai tanda penghormatan terhadap si mati. Lalu kemudian amalan ini dijadikan pula sebagai ritual dalam acara pengebumian para tentera. Mereka meletakkan kalungan bunga di atas kuburan tentera yang mati, malah ada juga yang meletakkan bunga-bunga plastik!

Lalu kemudian beliau menegaskan bahawa ini semua adalah perbuatan bid’ah lagi mungkar yang tidak memiliki sebarang sandaran dalam agama serta tidak pula memiliki dalil dari Al-Qur’an mahupun As-Sunnah. (Sila lihat teks penuh Asy-Syaikh Ahmad Syakir sebagaimana dinukilkan oleh Syaikh Al-Albani dalam kitab beliau Ahkam al-Jana’iz wa Bida’uha, m/s. 254 terbitan Maktabah Al-Ma’aarif)

Kemudian Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah mengatakan:

ولا يشرع وضع الاس ونحوها من الرياحين والورود على القبور، لانه لم يكن من فعل السلف، ولو كان خيرا لسبقونا إليه

“Tidak disyari’atkan menanam pokok-pokok dan bunga-bungaan atau yang seumpamanya di atas kuburan. Kerana perkara tersebut tidak pernah dilakukan oleh para salaf (para ulama generasi awal). Kalaulah seandainya perbuatan tersebut termasuk kebaikan, nescaya mereka telah berlumba-lumba mengamalkannya.” (Ahkam Al-Jana’iz wa Bida’uha oleh Al-Albani, m/s. 254 – Maktabah Al-Ma’aarif)

Wallaahu a’lam.