Enggan Mengakui Di Mana Tuhannya?
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Sungguh sangat pelik apabila sebilangan manusia yang mengaku beriman dengan al-Qur’an dan as-Sunnah tetapi memiliki perlakuan tidak bagai dikata. Melaung-laungkan slogan mengajak manusia agar kembali kepada al-Qur’an dan as-Sunnah, namun bila diajukan kepadanya sejumlah hadis sahih untuk kita beriman dengannya, dia menolak. Menolak dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal dan ber-argue berhempas-pulas dengan hawa nafsunya. Dalil yang dibawa dan dihadapkan kepadanya yang tidak dapat diterimanya akan dipusing lebih sepuluh kali macam.
Semuanya tidak lain hanyalah semata-mata kerana hadis-hadis tersebut tidak sealiran dan tidak mendukung fahaman yang diperjuangkannya selama ini. Nah! Jika begitulah sikapnya manusia, maka apakah dia wajar digelar sebagai pejuang agama?
Dikala seorang wanita, seorang hamba si penjaga kambing diajukan persoalan di mana Allah, lantas dia memberikan jawabannya dengan, “Allah fis Samaa’” yang membawa erti “Allah di langit (tinggi di atas)” dengan sambil mengisyaratkan jari telunjuknya ke atas.
Itulah dia sifat seorang manusia yang beriman yang lurus fitrahnya, biar pun dia seorang hamba, biar pun dia sekadar seorang pengembala kambing milik tuannya. Lantas dikeranakan hatinya yang memiliki keimanan yang tulus dan meyakini terhadap Tuhannya yang di langit, dia dibebaskan dan darjatnya ditinggikan. Iaitu apabila Rasulullah menyatakan bahawa dia seorang yang mukminah (wanita beriman) dan memerintahkan Mu’awiyah bin Al-Hakam As-Sulami (tuannya) supaya memerdekakannya.
Namun, di kala ini kita sedia mengetahui dan saya sendiri boleh memahami hakikat ketidakwujudan lagi perihal hamba untuk masa ini sebagaimana di zaman Nabi. Tapi, tidaklah mustahil jika hakikat itu muncul kembali.
Apa yang mahu saya sentuh adalah masyarakat kita yang kononnya begitu maju dengan teknologi dan sainsnya, sosio kehidupan, pembangunan dan tamadunnya… Namun masih sungguh malang kerana mereka tidak mengerti di mana Tuhannya, di mana Rabbnya, di mana Penciptanya. Jika mahu dibandingkan dengan wanita hamba tadi, ada umat Islam zaman ini yang mmerupakan manusia merdeka, bukan hamba yang duduk di bawah seorang tuan. Mereka berkerjaya sebagai sama ada seorang guru, engineer, pakar geografi, tok guru agama, pak ustaz, doktor, orang korporat, professor, atau pun manusia berpangkat PHD sekalipun, masih berani menolak banyaknya hadis-hadis sahih yang dikemukakan dengan penuh penjelasan. Sedangkan mereka bertegas mengakui diri sebagai seorang muslim yang tulus berpegang dengan kefahaman ahlus sunnah wal jama’ah.
Sungguh hinanya mereka jika dibandingkan dengan pangkat hamba wanita tadi yang memahami, mengetahui, dan meyakini Allah itu di langit di atas ‘arsy-Nya lalu dinaikkan darjatnya menjadi manusia merdeka oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri setelah diketahui lurusnya i’tiqadnya tersebut.
Berbeza dengan sebahagian manusia zaman ini yang mengakui sebagai manusia moden berjiwa intelek dan penuh dengan informasi di hujung jari, namun sayang apabila informasi di hujung jarinya tidak disalurkan ke lubuk hatinya di mana keimanan septutnya berputik. Maka, jiwanya tidak dapat membunga apatah lagi mahu mekar dengan imannya seorang hamba yang tulus yang ditinggikan darjatnya oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tadi.
Dalil-dalil berkenaan sahihnya Allah di langit di atas ‘arsy-Nya diputar-belitkan. Hadis-hadisnya ada yang disembunyikan dan cuba diselewengkan dengan takwilan-takwilan tertentu malah cuba didho’ifkan (dilemahkan) semahunya. Walhal hadis-hadis tersebut sebahagiannya adalah diriwayatkan dan disahihkan oleh para ulama hadis terkemuka dari kalangan ahlus sunnah wal jama’ah semenjak dulu hingga saat ini dan sampai kiamat!
Pernah mereka mempertikaikan kononnya terdapat sebilangan manusia bernama wahhabi cuba melemahkan hadis-hadis dari kitabnya Imam Al-Bukhari dan Muslim, namun sebenarnya sebaliknya apabila mereka sendiri menganggap hadis jariyah (hamba wanita) yang saya sentuh tadi sebagai dho’if walhal di antara yang meriwayatkan dan mensahihkannya adalah imam Muslim rahimahullah. Malahan, imam yang mereka akui berpegang dengan mazhabnya iaitu asy-Syafi’i pun mereka tinggalkan. Sedangkan imam asy-Syafi’i sendiri salah seorang dari tidak terkiranya manusia yang mengakui yakinnya akan Allah di atas langit di atas ‘arsy-Nya.
Begitulah hakikat jengkelnya manusia yang taksub dan ego tidak mahu menerima kebenaran. Semoga mereka bertaubat dan kembali kepada kebenaran sebelum hati-hati mereka memang benar-benar akan ditutup oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dari petunjuk dan jalan cahaya yang lurus.
Ayuh, tinggalkanlah hawa nafsu, beriman-lah kita kepada dalil yang sahih ini:
عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ الْحَكَمِ السُّلَمِيِّ، قَالَ: وَكَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ، فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ، آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ، لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَفَلَا أُعْتِقُهَا؟ قَالَ: «ائْتِنِي بِهَا» فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ لَهَا: «أَيْنَ اللهُ؟» قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ، قَالَ: «مَنْ أَنَا؟» قَالَتْ: أَنْتَ رَسُولُ اللهِ، قَالَ: «أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ»
Daripada Muawiyah bin Al-Hakam As-Sulami radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: “Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Jawwaniyyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya (peliharaannya). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam (keturunan adam) dari manusia kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka (memiliki rasa marah, tidak berpuas hati). Atas sebab itu (apabila kambingnya dimakan serigala) wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku pergi berjumpa Rasulullah, maka Rasulullah mempersalahkan aku.
Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?” Jawab Rasulullah: “Bawalah wanita itu ke sini”. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. “Di mana Allah?” Dijawabnya: “Di langit”. Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Dijawabnya: “Engkau Rasulullah.” Maka Rasulullah bersabda:
“Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah”.” (Shahih Muslim, no. 537. Al-Bukhari, Juz al-Qira’ah, 70. Asy-Syafi’i, Al-Umm, 5/280. Malik, Al-Muwaththa’, 2/77. Musnad Ahmad, no. 23762, 23765, 23767)
Malulah kalian dengan wanita hamba di atas yang begitu mulia darjatnya di sisi Allah dan mendapat pengakuan sendiri dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai orang yang benar! Orang yang beriman terhadap rububiyyah Allah, Allah tinggi di langit istiwa’ di atas ‘arsy-Nya, dan beriman mengakui Muhammad adalah Rasul Allah.
Cubalah kalian fikirkan, jika wanita hamba tersebut diangkat darjatnya oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan imannya yang meyakini Allah di langit dan membenarkan kerasulan Muhammad, maka bagaimanakah kalian yang tidak mengakui Allah di langit tetapi sebaliknya meyakini “Allah di mana-mana”, “Allah tidak di atas, tidak di bawah, tidak di kanan atau kiri, iaitu tidak di mana-mana tidak bertempat”, bahkan ada pula dari kalian yang mengakui “Allah di dalam jasad masing-masing menyatu di dalam jiwa”?!
Adakah ini termasuk menifestasi pengakuan terhadap kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?
Ingatlah Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ (16) أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ
“Adakah kalian merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan menterbalikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?! Atau adakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan mengirimkan atas kalian ribut batu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku.” (Surah Al-Mulk, 67: 16-17)
Wallahu a’lam.
