Kecacatan Haiwan Yang Menyebabkan Korban Tidak Sah
Kecacatan Haiwan Yang Disepakati Tidak Boleh Dibuat Korban
Ada beberapa bentuk kecacatan yang menjadikan haiwan korban tidak sah untuk korban. Iaitu:
1, yang jelas butanya (sama ada sebelah mata mahupun kedua-dua belah matanya),
2, yang jelas sakitnya atau cacat,
3, yang jelas tempang kakinya (tidak boleh berjalan dengan normal),
4, yang tidak memiliki daging (kerana terlalu kurusnya), dan
5, yang putus telinganya.
Ini adalah sebagaimana hadis dari Al-Baraa’ bin ‘Aazib, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَرْبَعٌ لَا تَجُوزُ فِي الضَّحَايَا الْعَوْرَاءُ، الْبَيِّنُ عَوَرُهَا، وَالْمَرِيضَةُ الْبَيِّنُ مَرَضُهَا، وَالْعَرْجَاءُ الْبَيِّنُ عَرَجُهَا، وَالْكَسِيرُ الَّتِي لَا تُنْقِي
“Empat haiwan yang tidak boleh dijadikan korban adalah:
Al-‘Auraa’ (yang buta sebelah matanya) yakni yang jelas butanya,
yang sakit yakni yang jelas sakitnya,
Al-‘Arjaa’ (yang tempang) yakni yang jelas tempangnya,
yang kurus kering yang mana tidak mungkin digemukkan.” (Musnad Ahmad, no. 18667. Sunan Abi Dawud, no. 2802. At-Tirmidzi, no. 1497. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi, An-Nawawi, dan Al-Albani)
Kecacatan jenis ini menjadi sebab tertolaknya haiwan tersebut untuk dijadikan sebagai haiwan korban, dan tidaklah boleh berkorban dengannya berdasarkan kesepakatan ahli ilmu. (lihat: Shahih Fiqhis Sunnah, 2/373)
Haiwan yang dimakruhkan (yakni tidak disukai) dijadikan sebagai haiwan korban
‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu berkata:
أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَسْتَشْرِفَ العَيْنَ وَالأُذُنَ، وَأَنْ لَا نُضَحِّيَ بِمُقَابَلَةٍ، وَلَا مُدَابَرَةٍ، وَلَا شَرْقَاءَ، وَلَا خَرْقَاءَ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan kami agar memeriksa mata dan telinga (haiwan yang hendak dibuat korban). Beliau melarang kami berkorban dengan muqaabalah, mudaabarah, syarqaa’, dan kharqaa’.
Perawi hadis menambahkan penjelasan:
المُقَابَلَةُ: مَا قُطِعَ طَرَفُ أُذُنِهَا، وَالمُدَابَرَةُ: مَا قُطِعَ مِنْ جَانِبِ الأُذُنِ، وَالشَّرْقَاءُ: المَشْقُوقَةُ، وَالخَرْقَاءُ: المَثْقُوبَةُ.
“Al-Muqaabalah: haiwan yang hujung telinganya terpotong,
Al-Mudaabarah: Haiwan yang telinganya terpotong sebelah,
Asy-Syarqaa’: haiwan yang telinganya terbelah, dan
Al-Kharqaa’: Haiwan yang berlubang telinganya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1498. Bab: Haiwan yang dibenci dibuat korban. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
Para ulama berbeza pendapat tentang kecacatan jenis ini. Sebahagian membolehkannya, namun tidak menyukainya iaitu membenci atau memakruhkannya. Manakala sebahagian lain mengatakan ianya tidak sah (dan ini adalah mazhab Asy-Syafi’i). Wallahu a’lam.
Kemudian, termasuk haiwan yang tidak disukai untuk dijadikan sebagai korban adalah haiwan yang patah sebahagian besar dari tanduknya, haiwan yang tidak punya gigi atau disebut Al-Hatmaa’, yang terpotong ekornya atau disebut Al-Batraa’, haiwan yang terpotong hidungnya atau disebut Al-Jad-‘aa’, dan yang seumpamanya. (lihat: Shahih Fiqhis Sunnah, 2/373)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata di kitab Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab:
(وأما) مقطوعة الاذن فمذهبنا أنها لا تجزئ سواء قطع كلها أو بعضها وبه قال مالك وداود وقال احمد ان قطع اكثر من النصف لم تجزه والا فتجزئه وقال أبو حنيفة ان قطع اكثر من الثلث لم تجزه وقال أبو يوسف ومحمد ان بقى اكثر من نصف اذنها اجزأت (واما) مقطوعة بعض الالية فلا تجزئ عندنا وبه قال مالك واحمد
“Haiwan yang putus telinganya menurut mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i) hukumnya tidak sah, sama ada telinganya terpotong semuanya atau hanya sebahagian darinya. Pendapat ini turut dinyatakan oleh Malik dan Dawud (Azh-Zhohiri). Manakala menurut Imam Ahmad, apabila yang terpotong lebih dari separuh maka hukumnya tidak sah, manakala jika kurang dari separuh maka hukumnya masih sah. Menurut Abu Hanifah pula, apabila yang terpotong lebih dari sepertiga maka hukumnya tidak sah. Menurut Abu Yusuf dan Muhammad (bin Al-Hasan Asy-Syaibani) pula, jika telinganya masih berbaki lebih dari separuh maka hukumnya tetap sah.
Haiwan yang terpotong sebahagian dari ekornya, menurut mazhab kami, ianya tidak sah. Pendapat ini turut dipegang oleh Malik dan Ahmad.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 8/404)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) di Syarh Shahih Muslim ketika menjelaskan hadis:
ضَحَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkorban dengan dua ekor kibasy amlah (kibasy berwarna putih dengan sedikit tompok-tompok hitam) lagi sempurna tanduknya.” (Shahih Muslim, no. 1966. Dari hadis Anas)
Beliau (Imam An-Nawawi) berkata:
وقوله أقرنين أي لكل واحد منهما قرنان حسنان قال العلماء فيستحب الاقرن وفى هذا الحديث جواز تضحية الانسان بعدد من الحيوان واستحباب الاقرن وأجمع العلماء على جو التضحية بالاجم الذي لم يخلق له قرنان واختلفوا فى مكسورة القرن فجوزه الشافعى وأبو حنيفة والجمهور سواءكان يدمى أم لاوكرهه مالك اذا كان يدمى وجعله عيبا وأجمعوا على استحباب استحسانها واختيار أكملها وأجمعوا على أن العيوب الأربعة المذكورة في حديث البراء وهو المرض والعجف والعور والعرج البين لاتجزى التضحية بها وكذا ماكان فى معناها أو أقبح كالعمى وقطع الرجل وشبهه
Perkataan (dalam hadis) “أَقْرَنَيْنِ”, maksudnya setiap seekor dari dua haiwan korban Nabi tersebut adalah haiwan yang memiliki dua tanduk yang sempurna dan bagus.
Para ulama mengatakan, disunnahkan berkorban dengan haiwan korban yang memiliki tanduk yang sempurna dan bagus. Hadis ini juga turut menjelaskan bahawa dibolehkan bagi seseorang berkorban dengan beberapa ekor haiwan korban (yakni lebih dari seekor) dan disunnahkan dengan haiwan yang bertanduk bagus.
Para ulama telah sepakat bolehnya berkorban dengan haiwan korban yang tidak bertanduk. Namun mereka berbeza pendapat tentang hukum korban dengan haiwan korban yang tanduknya patah. Al-Imam Asy-Syafi’i, Abu Hanifah, dan jumhur ulama berpendapat boleh (yakni tidak mengapa), sama ada patahnya mengeluarkan darah atau pun tidak mengeluarkan darah. Sementara Imam Malik mengatakan ianya makruh (dibenci) jika tanduknya patah dalam keadaan mengeluarkan darah dan beliau memasukkannya ke dalam kategori haiwan yang cacat.
Para ulama telah sepakat menyatakan sunnahnya berkorban dengan haiwan yang bagus dan memilih yang sempurna. Dan mereka telah sepakat juga bahawa empat jenis kecacatan yang disebutkan dalam hadis riwayat Al-Bara’ bin ‘Azib, yakni haiwan yang sakit, kurus, buta salah satu matanya, dan juga yang jelas tempang kakinya sebagai haiwan yang tidak boleh dijadikan sebagai haiwan korban.
Demikian pula bagi cacat yang semakna dengannya, apatah lagi yang lebih buruk dari itu, seperti buta dua-dua belah matanya, terpotong kakinya, dan yang lainnya yang seumpama… Wallaahu a’lam. (Syarh Shahih Muslim, 13/120)
Berdasarkan ini, maka haiwan yang baik lagi utama untuk dibuat korban adalah haiwan yang sihat tubuh badannya, tidak cacat, sihat matanya (tidak buta), tidak tempang (mampu berjalan normal), dan memiliki daging yang banyak, serta jika dapat hendaklah yang tidak ada masalah pada telinganya mahupun tanduknya (jika ia bertanduk).
Wallaahu a’lam.