Kata Nabi, Ipar Adalah Kematian?!

Kata Nabi, Ipar Adalah Kematian?!

Al-Ustaz Sofyan Chalid bin Ruray hafidzahullah

Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam bersabda,Ipar-adalah-Kematian-2

إيَّاكُمْ والدخول على النساءِ فقالَ رجلٌ منَ الأنصار يا رسولَ الله أفرأيتَ الْحَمُو قالَ الْحَمُو الموت

“Janganlah kalian memasuki tempat orang-orang perempuan.”

Maka berkatalah seorang lelaki dari kalangan kaum Anshar, “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan ipar?”

Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam bersabda, “Ipar adalah kematian.” [HR. Al-Bukhari dan Muslim dari ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu’anhu]

Makna “Ipar adalah Kematian

Al-Imam Ath-Thobari rahimahullah berkata,

المعنى أن خلوة الرجل بامرأة أخيه أو بن أخيه تنزل منزلة الموت والعرب تصف الشيء المكروه بالموت

“Maknanya adalah, seorang lelaki yang berdua-duaan dengan isteri saudaranya atau isteri anak saudaranya itu sama seperti kematian (yang akibatnya tidak disukai), dan kebiasaan orang ‘Arab mensifatkan sesuatu yang tidak disukai dengan kematian.” [Fathul Baari, 9/332]

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata,

وإنما المراد أن الخلوة بقريب الزوج أكثر من الخلوة بغيره والشر يتوقع منه أكثر من غيره والفتنة به أمكن لتمكنه من الوصول إلى المرأة والخلوة بها من غير نكير عليه بخلاف الأجنبي

“Maknanya, bahawa berdua-duaan dengan kerabat suami itu adalah lebih berbahaya dibandingkan dengan selainnya, demikian pula keburukan dan fitnah (godaan yang menjerumuskan kepada zina) dengan ipar adalah lebih besar, kerana (umumnya) sangat memungkinkan untuk berhubungan dan berdua-duaan dengannya tanpa mendapat teguran, berbeza dengan wanita lain (yang umumnya mendapat teguran orang).” [Fathul Baari, 9/332]

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata,

قيل المراد أن الخلوة بالحمو قد تؤدي إلى هلاك الدين أن وقعت المعصية أو إلى الموت أن وقعت المعصية ووجب الرجم أو إلى هلاك المرأة بفراق زوجها إذا حملته الغيرة على تطليقها أشار إلى ذلك كله القرطبي

“Dikatakan bahawa berdua-duaan bersama ipar (adalah maut) maksudnya dapat membawa kepada kebinasaan agama seseorang apabila terjadi kemaksiatan, atau membawa kepada kematian apabila terjadi kemaksiatan (zina) dan wajib untuk direjam (dilempari batu sampai mati dengan perintah penguasa), atau membawa kepada kehancuran wanita tersebut kerana bercerai dengan suaminya apabila suaminya cemburu lalu menceraikan isterinya tersebut. Semua makna ini diisyaratkan oleh Al-Qurthubi.” [Fathul Baari, 9/332]

Al-Imam Al-Qusyairi rahimahullah berkata,

كأنه يقال: من قصد ذلك فليكن الموت في دخوله عوضا من دخول الحمو الذي قصد دخوله، ويجوز أن يكون شبه الحمو بالموت، باعتبار كراهته لدخوله، وشبه ذلك بكراهة دخول الموت

“Seakan dikatakan: Sesiapa yang sengaja melakukan hal tersebut maka lebih baik mati dari berdua-duaan dengan ipar. Boleh juga maknanya adalah diserupakannya ipar dengan kematian, dari sisi tidak disukainya berdua-duaan dengannya, maka sebagaimana kematian itu tidak disukai maka demikian pula berdua-duaan dengan ipar tidak dibolehkan.” [Ihkaamul Ahkaam, hal. 398]

Beberapa Pelajaran/Faedah:

1) Al-Hamwu (ipar) yang dimaksudkan di sini adalah kerabat suami yang bukan mahram bagi isteri, tidak terbatas pada saudara (adik atau abang suami yang lelaki) tapi seluruh kerabatnya yang bukan mahram seperti pakciknya, sepupunya dan yang lainnya. Adapun yang mahram bagi isteri dari kerabat suami adalah seperti ayah mertua dan seterusnya ke atas, anak suami (anak tiri) dan seterusnya ke bawah. (lihat: Fathul Baari, 9/331)

2) Dalam hadits yang mulia ini disebutkan larangan memasuki ruangan atau tempat perempuan, dan apabila disertai khalwat (berdua-duaan) tentu lebih terlarang lagi. (lihat: Fathul Baari, 9/331)

3) Peringatan keras untuk menjauhi perbuatan maksiat terutamanya dosa-dosa besar seperti zina kerana akibatnya yang sangat berbahaya sehingga diserupakan dengan bahaya kematian.

4) Peringatan keras dari memasuki ruangan atau tempat para wanita, lebih-lebih lagi berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

5) Dosa zina orang yang sudah pernah menikah lebih besar berbanding yang belum pernah menikah, makanya hukuman untuk pelakunya di dunia dibezakan.

6) Keprihatinan Islam yang sangat besar untuk menjaga keselamatan masyarakat dari kerosakan-kerosakan moral.

7) Haramnya melakukan hal-hal yang boleh membawa kepada zina ataupun maksiat yang lainnya.

8) Demi untuk menjaga dan menutup pintu zina, dahulu Amirul Mukminin ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu melarang seorang yang masih bujang tinggal bersama orang-orang yang sudah menikah, demikian sebaliknya orang yang sudah menikah tidak boleh tinggal bersama orang-orang bujang, dan inilah yang diamalkan kaum Muhajirin ketika datang ke Madinah di masa Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam. (lihat: Taisirul ‘Allam, 2/72)

9) Mahram bagi seorang wanita adalah yang diharamkan untuk dinikahi selama-lamanya, inilah mahram yang boleh menemani dalam safar, sama ada safar yang sifatnya mubah ataupun safar yang sifatnya ibadah seperti untuk haji dan umrah, yang boleh berjabat tangan dan melihat perhiasan seorang wanita. Adapun ipar, mereka hanya diharamkan untuk dinikahi sementara waktu saja, jadi ipar bukan mahram yang dibolehkan menemani safar seorang wanita, tidak boleh pula berjabat tangan dengannya dan melihat perhiasannya, apalagi yang tidak punya hubungan mahram sama sekali.

10) Keindahan dan kemuliaan syari’at yang berasal dari Rabbul ‘aalaamiin yang Maha Mengetahui lagi Maha Hikmah, syari’at yang membawa kepada kemaslahatan dan kebaikan, serta melarang, mencegah dan menutup pintu-pintu keburukan dan kemudaratan.

وبالله التوفيق وصلى الله على نبينا محمد وآله وصحبه وسلم

Ipar-adalah-Maut-mahram