Islam Menolak Keganasan

Islam Menolak Keganasan

Al-Ustaz Abu Farouq Al-Atsari

Aksi Keganasan (teroris) dan fahaman terorisme (pengganas) yang masih aktif dan hangat diperkatakan. Ia merupakan fenomena yang menakutkan semua pihak, sama ada pemerintah, orang-orang awam, atau lainnya. Suatu lagi fenomena yang amat dikesali kejadian keganasan yang dilakukan oleh puak pengganas ini sering dikaitkan dan disinonimkan kepada umat Islam. Persoalannya di sini, benarkah agama Islam yang didirikan di atas prinsip yang benar bertanggungjawab (termasuk mendalangi) perbuatan dan perancangan keganasan serta pemberontakan ke atas mana-mana pihak sama ada tempatan atau antarabangsa?

Siapa yang tidak pernah mendengar beberapa peristiwa besar seperti keruntuhan World Trade Center di Amarika Syarikat, pelbagai letupan bom berani mati di sekitar bandar-bandar di Indonesia, letupan bom di salah satu stesen keretapi di London, letupan bom di rumah ibadat kaum Yahudi di Maghribi, serangan ke atas Armada Perang USS Cole di perairan Yaman, rusuhan jalanan, dan pelbagai lagi aksi letupan serta keganasan yang sering kali dikaitkan dengan tangan-tangan umat Islam. Walau bagaimana pun, bukanlah setiap perbuatan keganasan yang dikaitkan kepada umat Islam itu benar-benar dilakukan umat Islam. Ada juga sebahagiannya yang hanya merupakan sebuah konspirasi dan penyelewengan fakta.

Apa pun, sebenarnya perbuatan atau tindakan menghapuskan, membasmi, menghalang dan sekaligus mewujudkan pengganas sifar bukanlah hanya sekadar bergantung kepada sistem pertahanan, latihan pertahanan yang realistik atau menyediakan alat-alat canggih sahaja, tetapi yang lebih penting dan perlu disedari adalah dengan menghapuskan punca serta faktor yang boleh mencetuskan keganasan itu sendiri. Daripada itu juga, ideologi dan doktrin pengganas juga perlu dikaji, sekaligus dihapuskan. Tiadanya kajian yang menyeluruh dan tidak adanya pembaikan yang tepat terhadap pengurusan dakwah, metod pengajaran, sistem pendidikan, kesan penerimaan pendidikan, kefahaman dan penerapan nilai-nilai agama adalah di antara punca sebahagian umat Islam bertindak di luar prinsip-prinsip Islam yang sebenar. Walau pun sebenarnya ada faktor-faktor yang lain, namun, di dalam artikel ini, ia akan ditumpukan dan menyentuh kepada skop tersebut sahaja.

Oleh sebab itu, semenjak bermulanya aksi keganasan menjadi isu besar dan utama dunia, para ulama yang teguh berpegang di atas manhaj (prinsip) para Salaf as-Soleh melalui dakwah dan pendidikan berteraskan manhaj Salaf as-Soleh telah bertungkus-lumus berusaha untuk menghapuskan semua jenis keganasan global (teroris dan terorisme). Para ulama Salaf melalui fatwa-fatwa mereka telah mengharamkan kepelbagaian perbuatan keganasan. Mereka telah menyeru sekalian umat Islam supaya sentiasa menjaga dan memelihara suasana aman damai, mengekalkan keharmonian, berusaha memartabatkan pembangunan ummah, kemajuan negara di pelbagai bidang berasaskan ilmu pengetahuan, peradaban, serta mengarahkan untuk melahirkan rakyat dan negara yang cemerlang.

Para ulama Salaf meyakini bahawa dengan memberikan kefahaman agama yang benar, penafsiran syariat yang jelas dan menyebarkan prinsip-prinsip para Salaf as-Soleh dengan sempurna, ia akan dapat meyakinkan semula umat berkenaan haramnya aksi keganasan kerana apa pun jenis keganasan adalah amat bertentangan dengan konsep dan prinsip agama Islam yang menjadi rahmatan lil ‘alamin (kedamaian, keselamatan dan ketenteraman bagi seluruh alam).

Hanya setelah umat Islam benar-benar memahami manhaj Salaf as-Soleh, mereka akan mempertingkatkan dakwah dan menjadikan dakwah Salafi dan Salafiyah sebagai jalan, inisiatif, dan cara yang lebih profesional untuk membasmi keganasan. Kerana hanya mereka yang berpegang teguh di atas manhaj Salaf sahajalah yang akan benar-benar mampu menghalang individu tertentu dari pengaruh ekstremisme (keterlampauan) atau pengganas sekaligus menegah umat Islam dari melakukan jenayah keganasan yang keji dan mungkar.

Para masyeikh (ulama bermanhaj salaf) telah berusaha mengubah hati dan minda mesyarakat Islam dengan penerapan tentang haramnya fahaman ekstremis dan semua jenis keganasan termasuklah pengeboman berani mati. Antara mereka yang telah mengharamkan apa sahaja yang dianggap keganasan ialah:

1. Syaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin rahimahullah, beliau mengeluarkan fatwanya: Adapun tindakan sebahagian orang yang mengorbankan dirinya iaitu dengan jalan membawa bom kemudian pergi ke kaum kuffar lalu meletupkan dirinya merupakan perbuatan bunuh diri. Sesiapa pun yang melakukan perbuatan bunuh diri, maka dia kekal di dalam Neraka Jahanam buat selama-lamanya sebagaimana yang telah dijelaskan oleh hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Tindakan pengebom berani mati adalah perbuatan bunuh diri, kerana melakukannya tidak memberi kemaslahatan kepada agama Islam. Oleh kerana itu jika seseorang itu membunuh sepuluh, seratus atau dua ratus orang, perkara tersebut tidaklah memberi sebarang manfaat bagi Islam dan tidak ada orang yang ingin masuk Islam. Oleh sebab itu kami berpendirian bahawasanya aksi pengeboman berani mati adalah termasuk perbuatan bunuh diri yang bertentangan dengan kebenaran yang menyebabkan pelakunya masuk ke Neraka Jahanam. (Rujuk: فتوى الأئمة فى النوازل المدلهمة : Fatwa syaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin)

Ketika beliau ditanya menurut hukum syara berkenaan tindakan orang yang membawa bahan letupan, kemudian meletupkan dirinya di tengah-tengah kumpulan orang-orang kafir dengan maksud untuk menghapuskan mereka, apakah boleh dihalalkan berdasarkan kisah seorang pemuda yang memerintahkan raja untuk membunuhnya?

Beliau (Syeikh al-Uthaimin) menjawab: Orang yang meletakkan bahan letupan di tubuhnya, kemudian meletupkan dirinya di tengah-tengah orang-orang kafir merupakan suatu bentuk membunuh diri dan ia akan disiksa di Neraka Jahannam buat selama-lamanya iaitu berlandaskan hadis Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Sesiapa membunuh diri dengan sesuatu, ia akan disiksa kerananya di Neraka Jahanam”. (Rujuk: فتوى الأئمة فى النوازل المدلهمة : Fatwa syaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin) Sungguh keji, mungkar dan terkutuk orang-orang yang melakukan perbuatan tersebut kerana ia tidak mematuhi larangan Rasulullah dan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu”. (Surah an-Nisaa’, 4: 29)

Akan tetapi, mereka yang jahil terhadap syariat Islam tetap mahu melakukannya. Padahal mereka tidak memperolehi sesuatu kecuali laknat dari Allah, Rasul-Nya dan sekalian manusia. Para musuh Islam tidak pernah kalah dan tidak dapat dijatuhkan dengan keganasan, sebaliknya mereka bertambah keras tindakannya terhadap orang-orang Islam terutamanya terhadap mereka yang melakukan perbuatan tersebut. (Rujuk: فتوى الأئمة فى النوازل المدلهمة (Fatawa al-Aimmah fin Nawazilil Mudlahimmah), Fatwa Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin)

2. Majlis Hai’ah Kibaril Ulama, pada persidangan ke-32, bertempat di Thaif pada 12-18 Muharram l409H. Majlis memutuskan tentang pengharaman keganasan seperti membunuh orang ramai yang tidak berdosa, membuat kerosakan sehingga kehilangan harta-benda yang banyak, kemusnahan kepentingan awan dan sebagainya. Contoh yang diutarakan ialah: Meletupkan bangunan-bangunan, membakar kepentingan awam, memusnahkan jambatan-jambatan, merosakkan kegiatan ekonomi, pengeboman dan penculikan pesawat sama ada perbuatan itu dilakukan di negara-negara yang dekat (negara-negara Islam) atau negara-negara yang jauh (negara orang-orang kafir). Maka setelah mengemukakan dalil-dalil dan alasan-alasan syar’i, Majlis Hai’ah Kibarul Ulama secara ijma’ (sepakat) menetapkan:

Pertama: Seseorang yang terbukti melakukan keganasan (kerosakan) di permukaan bumi sehingga menimbulkan huru-hara dengan cara mengorbankan jiwa secara umum atau khusus seperti meletupkan bangunan yang melibatkan rumah-rumah orang awam, masjid, sekolah-sekolah, hospital, kilang-kilang, jambatan, gudang senjata dan empangan, projek-projek umum milik kerajaan (baitulmal) seperti saluran minyak, meletupkan pesawat atau menculiknya dan seumpama dengannya, bahawa semuanya itu adalah hukuman yang ditimpakan kepadanya adalah hukuman mati sesuai dengan dalil-dalil syara’. Bahawasanya hendaklah dihukum bunuh ke atas seseorang yang melakukan perbuatan tersebut, ini adalah kerana individu yang melakukan tindakan tersebut lebih berbahaya dan lebih digeruni dari orang yang menggunakan cara sederhana ketika menzalimi seseorang seperti membunuh dan merampas hartanya. Demikianlah hukuman yang telah Allah tetapkan.

Kedua: Bahawasanya sebelum menjatuhkan hukum sebagaimana yang dijelaskan di atas, maka sewajarnya bagi mahkamah syar’iyah dan majlis khusus serta mahkamah tinggi mendapatkan klarifikasi tentang hukum membunuh orang yang tidak berdosa dan menjalankan hukuman sebagaimana yang berlaku di negara ini berkaitan dengan bukti-bukti dari segala bukti yang dibuktikan.

Ketiga: Majlis Ulama berpendapat agar hukuman yang dijalankan hendaklah disebar-luaskan kepada masyarakat umum melalui media massa. (Rujuk: فتوى الأئمة فى النوازل المدلهمة (Fatawa al-Aimmah fin Nawazilil Mudlahimmah))

3. Majlis Haiah Kibarul Ulama juga telah mengeluarkan fatwa tentang haramnya pengkafiran dan keganasan. Iaitu dalam persidangan yang ke-49, di Thaif pada 2 Rabiul Tsani 1419H. Majlis telah mengharamkan antaranya tunjuk perasaan, mogok dan pengeboman berani mati kerana semuanya itu adalah keganasan. Semua yang membawa kepada keganasan diharamkan melalui dalil-dalil syarii. (Rujuk: فتوى الأئمة فى النوازل المدلهمة (Fatawa al-Aimmah fin Nawazilil Mudlahimmah))

4. Apabila ditanyakan kepada Syeikh Ibn Bazz rahimahullah: Ya Syeikh! Apa nasihat tuan kepada orang yang melakukan pembunuhan (keganasan) atau semisalnya?

Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Bazz rahimahullah menjawab: “Aku berpesan kepada mereka semua agar segera bertaubat kepada Allah dan ikutilah manhaj yang ditempuh oleh para Salaf as-Soleh, berdakwah kepada Allah dengan penuh hikmah dan memberikan kepada ummah pelajaran yang sempurna dan berbincang dengan cara yang paling baik kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal yang soleh”. (Surah Fussilat, 41: 33)

Islam mengharamkan umatnya dari menjerumuskan diri ke dalam perbuatan yang menyebabkan tertutup peluang gerak dakwah. Jangan menimbulkan angkara yang mencemarkan Islam dan penganutnya”. (Rujuk: فتوى الأئمة فى النوازل المدلهمة (Fatawa al-Aimmah fin Nawazilil Mudlahimmah))

Fatwa Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Bazz terhadap cara berdakwah yang melibatkan pembunuhan sebagaimana yang dilakukan oleh para pengganas yang mengataskan nama dakwah, maka Syeikh Abdul Aziz bin Bazz berkata:

Ada pun dakwah dengan cara pembunuhan orang yang tidak berdosa bukanlah termasuk dari ajaran sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan bukan juga dari para sahabat baginda. (Seterusnya beliau berkata): “Maka wajib bagi setiap pendakwah agar berdakwah di jalan Allah dengan cara yang terbaik, iaitu berdakwah dengan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi. Jika tidak berjaya kerana rintangan, maka berdakwah pula kepada pemimpin dengan cara menasihati pemimpin supaya dapat direalisasikan dakwah yang terhalang. Pemimpin adalah tempat bagi juru dakwah berkongsi permasalahan. Pendakwah wajib mendampingi pemimpin menyampaikan tentang hal-hal yang wajib diketahui oleh pemerintah sehingga tercipta hubungan baik di antara ulama dan pemimpin. (Rujuk: (فَتَاوى الأئمة فى النوازل الْمدْلَهِمَّةِ ) Bab 4, Fatwa Ibn Bazz)

Seluruh ulama Salaf as-Soleh tidak pernah menghalalkan apa jua bentuk keganasan dan serangan ganas terutamanya yang mengakibatkan nyawa, ribuan kematian dan kemusnahan. Para kibarul ulama Salaf (di Arab Saudi) telah mengharamkan keganasan melalui fatwanya yang ditetapkan oleh Majlis Hai’ah Kibarul Ulama yang bersidang di Thaif pada 2/4/1419H.

Doktrin salafi tidak pernah mengiktiraf pengganas dan keganasan walau pun dibungkus dengan nama agama atau jihad, sama ada keganasan dengan meledakkan bom, menggunakan bahan kimia, kuman, nuklear atau apa sahaja alat mahu pun bahan pemusnah. Ada yang bersuara bahawa sejak kebelakangan ini kegiatan pengganas di seluruh dunia sering dikaitkan dengan Wahhabi atau Salafi. Persoalannya, apakah dapat dibuktikan pencetus keganasan datangnya dari dua aliran tersebut?

Ada pun tuduhan yang menyatakan bahawa Wahhabi dan Salafi penyebab lahirnya golongan ekstremis dan pengganas kerana dua aliran ini sering menafsirkan ayat-ayat al-Qur’an kepada penafsiran yang tidak toleran dalam hubungannya dengan orang yang bukan Islam, seperti menafsirkan al-Quran secara harfiyah, sebagai contoh ialah penafsiran ayat: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai sekutu! Mereka adalah sekutu sesama mereka, dan sesiapa di antara kamu bersekutu dengan mereka maka menjadilah sebahagian daripada mereka. Sesungguhnya Tuhan tidak memberi petunjuk kepada mereka yang zalim”. (Surah al-Ma’idah, 5: 51) Dan lagi: “Barangsiapa yang mengikut agama selain Islam tidak akan diterima dan di akhirat dia termasuk orang yang merugi”. (Surah Ali Imran, 3: 85) Ini adalah tuduhan yang datang dari mereka yang tidak memahami manhaj Salaf dan disiplin ilmu Islam secara umum.

Sebenarnya keganasan boleh lahir dari semua masyarakat sama ada berpunca dari situasi perkauman, isu politik, agama, tanah, bangsa, budaya atau sebagainya. Semuanya itu berpunca terutamanya setelah meninggalkan agama Allah yang rahmah, contohnya: Pada tahun 1099M orang-orang Kristian menjadi pengganas terbesar di dalam sejarah dunia apabila membunuh hampir keseluruhan umat Islam dan Yahudi di Baitul Maqdis setelah mereka menguasainya dan terus menanamkan benih kebencian, permusuhan dan peperangan melawan umat Islam.

Setelah pengisytiharan Balfour 1948M yang secara rasmi mengisytiharkan tertubuhnya negara Israil, maka Israil mula mengganas dan rakyat membalas keganasan Yahudi tersebut sehinggalah ke hari ini yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban. Aksi perbezaan fahaman politik tanah air dari parti UMNO, PAS dan Keadilan yang dipimpin dan dianggotai oleh orang-orang Islam umumnya, senegara dan seagama telah (pernah) mengakibatkan berlakunya peristiwa seperti keganasan Mamali, demonstrasi jalanan dan rusuhan besar-besaran, kafir mengkafir dan bantah membantah secara terbuka, saling mencerca dan mengaibkan.

Pendekatan intelektual dan pengayaan nilai-nilai murni di atas disiplin ilmu serta akidah yang benar, ibadah dan akhlak melalui dakwah yang berlandaskan manhaj Salaf as-Soleh adalah mekanisme yang relevan untuk memerangi aksi teroris dan ekstremisme yang boleh membawa perubahan positif kepada masyarakat global. Kerana matlamat utama dakwah Salafiyah selain menjunjung akidah ia juga memberi keutamaan bersepadu dan pendekatan untuk membawa umat ke arah rahmatan lil ‘alaimin untuk semua manusia di mana pun mereka berada dan apa pun jua keadaan mereka, termasuklah juga dakwah Islamiyah di Singapura atau pun di Malaysia yang bermasyarakat majmuk (plural). Dan realitinya, seruan dakwah Salafiyah lebih matang kerana sentiasa mewajibkan setiap orang yang beriman agar berpegang teguh dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Dan disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka”. (Surah Ali Imran, 3: 159)

“Dan tidaklah kami mengutusmu (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta”. (Surah al-Anbiya’, 21: 107)

“Sesungguhnya kelemah-lembutan jika ada pada sesuatu maka ia akan menghiasinya dan jika tidak ada kelembutan pada sesuatu maka ia cacat”. (Hadis Riwayat Muslim, Bab Fadhlul Rifq, no. 2596)

“Barangsiapa yang tidak memiliki kelemah-lembutan maka diharamkan seluruh kebaikan bagi dirinya”. (Hadis Riwayat Muslim, Bab Fadhlul Rifq, no. 2592)

Keganasan, pemberontakan, revolusi, demonstrasi dan apa sahaja yang boleh membawa kepada kebinasaan telah diharamkan oleh para ulama Salaf as-Soleh walaupun ia diatasnamakan sebagai jihad kerana tiadalah jihad melainkan diarahkan oleh pemerintah atau ketua Negara, bukan ketua jamaah sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian firqah umat Islam yang menyimpang seperti Jamaah Islamiah (J.I), Ikhwanul Muslimin atau gerakan yang seumpamanya.

Tidak Boleh Mengkhianati Perjanjian

Masyarakat Islam yang hidup di negeri-negeri kafir atau yang dipimpin oleh orang-orang kuffar seperti di Singapura, maka wajib bagi setiap rakyat yang beragama Islam patuh kepada pemimpin mereka walaupun para pemimpin mereka kebanyakannya orang-orang yang bukan Islam. Begitulah sikap para Salaf terhadap pemerintah walaupun bukan pemerintah Islam kerana sesiapa pun yang menetap dan menjadikan dirinya berwarganegara bagi sesebuah negara, maka itu bermakna dia telah membuat perjanjian damai, patuh, taat dan sumpah setia sehingga wajib baginya bersikap amanah sebagai warganegara.

Antara tanda-tanda membuat sumpah setia sebagai perjanjian dengan pemerintah dan berikrar untuk taat dan patuh ialah meminta sijil kelahiran (surat beranak), memohon kad pengenalan dan mendapatkan passport atau surat perjalanan yang disahkan dari pemerintah untuk keluar negara. Semuanya itu tidak dikeluarkan dan diberi oleh pemerintah kecuali untuk warganegaranya di bawah terma-terma tertentu. Malah apabila terjadi sesuatu pada dirinya di luar negara, ia merujuk kepada wakil pemerintahnya (kedutaan) negerinya untuk menyelesaikan masalahnya.

Maka sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang ada perjanjian damai dengan pemerintah, sama ada secara langsung atau tidak langsung, ia wajib mematuhi segala undang-undang negara, memelihara perjanjiannya dan tidak melanggar sumpah setia dengan negara tersebut.

Seseorang Muslim yang melanggar perjanjian damai, tidak setia pada perjanjian, tidak amanah sehingga tidak mematuhi undang-undang dan melanggar sumpah setianya, maka negara yang melindunginya berhak mengambil tindakan menurut undang-undang yang diperuntukkan oleh pemerintah. Begitu juga menurut hukum syara’, individu tersebut dianggap sebagai pemberontak dan telah ingkar terhadap agamanya.

Perbuatan seorang muslim yang mengkhianati perjanjian atau membatalkan sumpah setianya dengan cara melakukan pemberontakan atau merancang untuk menjatuhkan pemerintah, maka semuanya itu samalah seperti mengkhianati perjanjian dan melanggar sumpah setianya dengan Allah dan RasulNya. Perbuatan individu muslim tersebut dianggap menentang Allah dan Rasul-Nya, kerana tindakannya samalah seperti melanggar perjanjian dengan Allah ‘Azza wa-Jalla. Dan Allah telah berfirman di dalam al-Qur’an:

“Dan patuhilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah (mu) itu, setelah meneguhkannya (menyetujuinya), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan”. (Surah an-Nahl, 16: 91)

Maksud perjanjian damai ialah tidak boleh menggugat, tidak boleh membuat huru-hara dan tidak dihalalkan memberontak dengan apa cara sekalipun termasuklah dengan cara keganasan kerana terdapat amaran dari Allah di dalam al-Qur’an:

“Maka jika mereka (orang-orang kafir) membiarkan kamu dan tidak memerangi kamu serta mengemukakan perdamaian kepadamu, maka Allah tidak memberi jalan bagimu untuk menawan dan membunuh mereka”. (Surah an-Nisaa, 4: 90)

Di dalam al-Qur’an termaktub kanun perjanjian dengan orang-orang kafir, di mana umat Islam diwajibkan mematuhi setiap perjanjian dengan orang-orang kafir tersebut. Mematuhi perjanjian termasuk amalan orang-orang yang bertaqwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Kecuali orang-orang musyirikin yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) dan mereka tidak mengurangi sesuatu pun dari perjanjianmu dan tidak (pula) mereka membantu seseorang yang memusuhi kamu, maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sehingga batas waktunya. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa”. (Surah At-Taubah, 9: 4)

Ayat di atas ini mewajibkan umat Islam memelihara perjanjian dan mentaati pemerintah, malah ayat seterusnya memerintahkan:

“Maka selama mereka berlaku lurus terhadapmu hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa”. (Surah at-Taubah, 9: 7)

Ayat di atas ini sekali lagi mengukur ketaqwaan seseorang yang beriman di antaranya dengan memelihara perjanjian. Dan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Orang-orang yang melanggar perjanjian Allah setelah perjanjian itu teguh (dipersetujui), dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi”. (Surah al-Baqarah, 2: 27)

Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak akan memberi syafa’at atau tidak akan membela orang-orang yang melanggar perjanjian dengan kaum kuffar. Baginda bersabda:

“Ketahuilah, sesiapa yang menzalimi seseorang yang telah mengikat perjanjian damai, atau mengurangkan haknya, atau membebankannya dengan sesuatu daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi hujahnya (pembelanya) di hari kiamat kelak”. (Hadis Riwayat Abu Daud, al-Baihaqi dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud, no. 3052)

“Sesiapa membunuh orang yang telah memeterai perjanjian damai yang tidak melangar perjanjian, Allah haramkan baginya syurga”. (Hadis Riwayat Abu Daud, 2760. juga an-Nasai’i, 8/24)

Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an, hadis-hadis sahih, atsar (perkataan) para sahabat dan fatwa-fatwa para ulama Salaf as-Soleh yang telah mengharamkan dan menganggap betapa kejinya orang-orang yang melanggar perjanjian, pelaku keganasan, pembantunya, yang bekerjasama dengannya lebih terutamanya perancang yang merancang perbuatan yang terkutuk ini. Maka setiap rakyat yang mengetahui setiap rancangan yang membawa kepada terkorbannya banyak nyawa dan menimpakan kerosakkan, hendaklah dilaporkan (diadukan) dengan segera kepada pihak yang berkuasa atau yang bertanggungjawab ke atas keselamatan rakyat (pihak berkuasa). Sesiapa yang sengaja menyembunyikan atau membiarkannya, samalah juga seperti berkerja-sama dengan penganas. Allah ‘Azza wa-Jalla befirman:

“Bertolong-tolonganlah kamu di atas kebaikan dan taqwa dan janganlah bertolong-tolongan di atas perbuatan dosa dan permusuhan”. (Surah al-Ma’idah, 5: 2)

Keganasan Itu Bukan Dari Islam

Para ulama Salaf as-Soleh sepakat telah mengharamkan segala jenis keganasan. Dan mereka yang benar-benar bermanhaj Salaf santiasa memelihara perintah Allah dan Rasul-Nya, berpegang teguh dengan al-Qur’an dan as-Sunnah serta mematuhi firman Allah ‘Azza wa-Jalla yang mengharamkan umat Islam dari membuat sebarang kerosakan sebagaimana firman-Nya:

“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah (Allah) memperbaikinya”. (Surah al-A’raf, 7:56)

Ada pun kesalahan dan dosa mereka yang melakukan keganasan seperti pengeboman di tempat-tempat tertentu, melakukan kerosakan, pengeboman berani mati atau melakukan pembunuhan orang lain yang tidak berdosa atau tidak ada kena mengena dengan perjuangan, sama ada melibatkan dirinya hingga terbunuh atau yang seumpamanya, maka ia samalah seperti membunuh manusia keseluruhannya selain dianggap sebagai membunuh diri.

Allah ‘Azza wa-Jalla berfirman:

“Sesiapa membunuh seorang manusia, yang bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya”. (Surah al-Ma’idah, 5: 32)

Ada pun orang-orang Islam telah diwajibkan oleh syara’ mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Allah ‘Azza wa-Jalla telah mewajibkan umat Islam agar mentaati pemerintah selagi tidak memerintahkan melakukan maksiat dan kemudian Allah mengharamkan umat Islam dari perbuatan menderhaka, memberontak atau memerangi pemerintah kerana akan terjadi huru-hara, keganasan, pembunuhan dan kerosakan. Para ulama Salaf as-Soleh menghukum mereka yang merancang, yang melakukan dan yang terlibat di dalam pemberontakan terhadap pemerintah sebagai Khawarij (pemberontak). Pemerintah berhak melaksanakan hukum yang telah ditetapkan terhadap Khawarij. Di akhirat kelak mereka yang menentang Allah dan Rasul-Nya akan menerima pembalasan sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam al-Qur’an:

“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, adalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal-balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar”. (Surah al-Ma’idah, 5: 33)

Allah ‘Azza wa-Jalla telah mengharamkan keganasan yang diistilahkan di dalam al-Qur’an sebagai kebinasaan atau kerosakan. Kerana pelaku keganasan boleh membinasakan atau merosakkan pelbagai ciptaan Allah, sama ada di daratan, di lautan, di udara atau di mana sahaja keganasan tersebut dilakukan terutama yang melibatkan nyawa atau mengakibatkan kerosakan harta-benda milik kerajaan, milik awam atau peribadi. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:

“Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya padahal ia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari kamu) ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya dan merosak tanam-tanaman dan binatang ternak dan Allah tidak menyukai kebinasaan”. (Surah al-Baqarah, 2: 204-205)

Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala melindungi kita semua dari kepelbagaian bentuk keganasan dan kerosakan yang dilakukan oleh pelaku maksiat yang berupa aksi keganasan atau teroris. Mudah-mudahan Allah menyelamatkan kita dari terjebak sama ke dalam golongan pengganas dan perosak, iaitu dengan sentiasa memelihara diri kita dengan meningkatkan keimanan yang di atas manhaj ilmu yang benar.

Disunting oleh:
Team ilmusunnah.com