Indahnya Sabar…
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Shahih Muslim, no. 2999)
Orang-orang beriman yang sempurna dan tulus keimanannya akan sentiasa baik urusannya kerana dia sentiasa bersyukur dan bersabar. Dia sentiasa berada pada kedudukan redha dan merasa cukup. Baginya, kesenangan yang diterima adalah anugerah, manakala musibah yang menimpa pula adalah ujian yang mampu menaikkan kedudukannya serta membuahkan pahala tanpa batasan dari sisi Allah.
Manakala orang yang tidak beriman, hatinya sentiasa gelisah dan jiwanya selalu meronta walau begitu banyak kelebihan yang diraih. Apatah lagi kalau musibah pula yang datang, lebih lagi jiwanya tersiksa. Hatinya penuh hasad, kemarahan, memberontak, tidak redha, sehingga menjadikannya penuh dosa. Orang-orang yang tidak beriman dia selalu membenci dan tidak sabar dalam menjalani ketentuan taqdir Allah Ta’ala ke atas dirinya.
Maka di sinilah pentingnya memahami nilai sabar dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba. Seorang hamba pasti memerlukan kesabaran dalam setiap keadaan yang ditempuhinya. Kerana setiap apa yang dialaminya di dunia ini pasti tidak lepas dari dua keadaan, iaitu yang pertama apabila dia mendapat nikmat anugerah dari Allah, maka dia wajib bersabar dalam menerima, menikmati, dan menyelenggarakannya. Keduanya, ketika dia menerima musibah, sudah tentu dia perlu lebih lagi bersabar dalam menanganinya agar tidak bersikap melampaui batas.
Erti Sabar Dalam Islam
Dalam Syarah Shahih Muslim, ketika mengulas sebuah hadis Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
وأما قوله صلى الله عليه و سلم والصبر ضياء فمعناه الصبر المحبوب في الشرع وهو الصبر على طاعة الله تعالى والصبر عن معصيته والصبر أيضا على النائبات وأنواع المكاره في الدنيا والمراد أن الصبر محمود ولا يزال صاحبه مستضيئا مهتديا مستمرا على الصواب قال ابراهيم الخواص الصبر هو الثبات على الكتاب والسنة وقال بن عطاء الصبر الوقوف مع البلاء بحسن الأدب وقال الاستاذ أبو على الدقاق رحمه الله تعالى حقيقة الصبر أن لا يعترض على المقدور فأما اظهار البلاء لا على وجه الشكوى فلا ينافي الصبر
“Dan adapun sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Sabar adalah cahaya”, maka makna sabar itu adalah sabar dalam mentaati Allah Ta’ala, sabar dalam meninggalkan maksiat, juga sabar dalam menerima musibah serta ketika menghadapi pelbagai perkara yang dibenci dan disukai di dunia. Sesungguhnya sabar itu adalah terpuji, dia akan disinari oleh petunjuk, dan sentiasa di atas kebenaran. Ibrahim Al-Khawwash berkata, “Sabar adalah dengan tetap teguh di atas Al-Kitab dan As-Sunnah.” Berkata Ibn ‘Athaa’, “Sabar adalah menangani balaa’ (musibah) dengan cara yang paling baik.” Dan berkata pula Ustaz Abu ‘Ali Ad-Daqaaq rahimahullahu Ta’ala, “Hakikat sabar adalah tidak menentang apa yang telah ditakdirkan oleh Allah, manakala mengadu kepada Allah terhadap apa yang menimpanya, maka itu tidaklah menafikan sikap sabar.” (Syarah Shahih Muslim, 3/101-1-02)
Dari sini, sabar dapat dimaksudkan sebagai pengurusan diri untuk tetap melaksanakan ketaatan terhadap Allah berdasarkan apa yang disyari’atkan dan menahan diri dari apa-apa yang diharamkan-Nya serta bersikap redha terhadap setiap ketentuan taqdir-Nya tanpa berkeluh-kesah atau melampaui batas. Oleh itu, sabar di sini terbahagi kepada tiga keadaan iaitu sabar dalam menjalani ketaatan, sabar dalam menahan diri terhadap kemaksiatan, dan sabar dengan setiap ketentuan taqdir dari Allah Ta’ala.
Maka dari itu, hukum sabar adalah wajib dan tiada istilah “sabar itu memiliki hadnya” atau “sabar itu ada batasnya.” Maka yang benar, sabar itu adalah wajib dalam apa jua keadaan bertepatan dengan maksud yang dijelaskan.
Jika mungkin ada yang bertanya, sampai bila mahu bersabar? Maka jawabnya, sabar itu wajib sampai ajal datang menjemput bersesuaian dengan apa yang disyari’atkan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan perkukuhkanlah kesabaran kamu.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 200)
Kata al-Hasan al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H):
أمروا أن يصبروا على دينهم الذي ارتضاه الله لهم، وهو الإسلام، فلا يدعوه لسرّاء ولا لضرّاءَ ولا لشِدَّة ولا لرِخَاء، حتى يموتوا مسلمين
“Mereka diperintahkan agar sentiasa bersabar dalam menjalankan agamanya yang diredhai oleh Allah ‘Azza wa Jalla, iaitu Islam. Sehingga mereka tidak meninggalkannya sama ada pada waktu lapang ataupun sukar, pada ketika senang atapun susah, sehinggalah mereka mati dalam keadaan Muslim.” (Tafsir Ibnu Katsir, 2/195)
Dari sini difahami bahawa Allah Ta’ala sebenarnya memerintahkan kepada orang-orang yang beriman agar tetap teguh berbuat taat, meninggalkan apa jua bentuk kemaksiatan, redha terhadap taqdir-Nya, serta perlu berusaha untuk menangani hal-hal di persekitarannya dengan penuh kesabaran.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
“Dan benar-benar akan Kami berikan ujian kepada kamu semua dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.” Mereka itulah yang mendapat selawat (keselamatan) yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk” (Surah al-Baqarah, 2: 155-157)
Allah Ta’ala memberitahu kita bahawa Dia akan menguji para hamba-Nya dengan kesenangan dan kesusahan, rasa takut, lapar, hilangnya harta, hilangnya orang yang disayangi, dan merosotnya hasil bumi. Ini semua adalah termasuk bentuk-bentuk ujian yang diberikan Allah kepada para hamba-Nya. Sesiapa yang bersabar dengannya maka ia mendapat pahala melimpah-ruah dan khabar gembira di Syurga, sebaliknya sesiapa yang putus-asa, maka ia sendiri yang rugi malah akan beroleh azab.
Dari itu, sesiapa yang sentiasa bersabar dengan setiap keadaan yang dihadapinya sama ada yang menyenangkan mahupun yang menyakitkan kerana semata-mata mencari keredhaan Allah, bererti dia telah menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia lagi terpuji.
Bergantung Harap Hanya Kepada Allah
Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kepada para hamba-Nya agar sentiasa bersabar dan memohon pertolongan (dengan berdoa harap) hanya kepada-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan melaksanakan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, 2: 153)
اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ
“Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi (ini) adalah milik Allah; diberikan kepada sesiapa yang dihendaki-Nya dari kalangan hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-A’raaf, 7: 128)
Ini kerana hanya dengan bergantung harap kepada Allah-lah, hati akan merasa tenang dan tenteram. Orang-orang yang bersabar tidak putus asa malah semakin teguh dan yakin hatinya dengan apa yang ada di sisi Allah. Orang yang bersabar, dia pasti akan mengembalikan setiap perkara dan urusannya hanya kepada Allah. Dengan itu, keimanan dan tauhidnya pun akan menjadi semakin sempurna.
Sesiapa yang bersabar, dia tahu Allah sentiasa bersamanya sekaligus mengetahui bahawa dirinya sentiasa dipelihara dan diawasi. Hasilnya, dia akan sentiasa redha terhadap ketentuan dari Allah dan tidak berkeluh-kesah bila menghadapi ujian. Dengannya dia pun akan tetap tekun beribadah hanya kepada Allah Ta’ala walau apa pun keadaannya dan sedikit pun tidak berhajat untuk melakukan hal-hal yang boleh mencemarkan ke-Islamannya dengan melakukan hal-hal yang syirik, hal-hal yang haram, serta hal-hal yang maksiat lagi melampaui batas.
Dengan sebab sabar, setiap musibah yang datang akan menjadi nikmat. Ia akan diberi pahala yang tidak terkira, darjatnya dinaikkan, Allah mengasihinya, beroleh petunjuk, rahmat turun kepadanya, dan dosa-dosanya pula disucikan.
Allah Ta’ala berfirman:
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tidak terkira.” (Surah az-Zumar, 39: 10)
Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman:
إِنَّهُ مَنْ يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ
“Sesungguhnya siapa saja yang bertaqwa dan bersabar, nescaya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Yusuf, 12: 90)
Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:
وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ
“Jika kalian bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu-daya mereka sedikit pun tidaklah membahayakan kalian. Sesungguhnya Allah mengetahui segala sesuatu yang mereka kerjakan.” (Surah Ali ‘Imraan, 3: 120)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ وَصَبٍ، وَلَا نَصَبٍ، وَلَا سَقَمٍ، وَلَا حَزَنٍ حَتَّى الْهَمِّ يُهَمُّهُ، إِلَّا كُفِّرَ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِ
“Tidaklah menimpa seorang mukmin itu penderitaan, kesusahan, penyakit dan juga kesedihan, sehinggalah kerisauan yang merunsingkan, melainkan akan dihapuskan dari dirinya keburukan-keburukannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2573)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا مِنْ شَيْءٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ حَتَّى الشَّوْكَةِ تُصِيبُهُ، إِلَّا كَتَبَ اللهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً أَوْ حُطَّتْ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةٌ
“Tidaklah seseorang muslim yang tertusuk duri atau yang lebih kecil dari itu, melainkan dituliskan baginya satu darjat dan dihapuskan pula satu kesalahannya.” (Shahih Muslim, no. 2572)
Selain dari itu, musibah juga adalah termasuk peringatan bagi manusia yang terleka dan terlalai. Apabila ia tersedar dan bersabar dengannya, maka pasti ia akan kembali mengingat Rabb-Nya. Sebaliknya jika tiada kesabaran, pasti ia akan hanyut dan semakin lalai lalu dengan musibah itu ia pun tersesat lebih jauh lagi.
Demikianlah sebahagian keindahan buah tangan kesabaran. Ia terbentuk hasil dari keimanan yang benar lagi sempurna.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ
“…dan orang-orang yang sabar dalam kesusahan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, 2: 177)
Orang-orang yang beriman dan beramal soleh sentiasa mengharap pahala dari sisi Allah. Kebergantungan dan harapannya hanya kepada Allah. Dan tidaklah diperolehi pahala itu melainkan dengan kesabaran.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (79) وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ
“Maka keluarlah Qaaruun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: “Sungguh jika kita memiliki seperti apa yang telah diberikan kepada Qaaruun, sesungguhnya ia benar-benar memiliki keberuntungan yang besar.” Berkatalah orang-orang yang dikurniakan ilmu: “Kecelakaan besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidaklah diperolehi pahala itu melainkan bagi orang-orang yang sabar.”.” (Surah al-Qashash, 28: 79-80)
Dalam satu hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَاعْلَمْ أَنَّ النَّصْرَ مَعَ الصَّبْرِ
“Ketahuilah bahawa kemenangan itu bersama kesabaran.” (Al-Mustadrak al-Hakim, no. 6304)
Wallahu a’lam.