Ibumu, Ibumu, Ibumu…
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Pada hari ini, ramai yang terlepas pandang betapa mulianya kedudukan seorang ibu yang diberikan amanah oleh Allah melahirkan dan membesarkan anak-anak. Ibu-lah yang menjaga makan dan minum di kala sakit mahupun sihat, di kala riang mahupun merengek. Menjadi pembimbing dan guru pertama. Ibu, dia insan penuh kesabaran…
Berbahagialah wahai ibu-ibu…
Sebab itu tidak hairanlah betapa Islam memandang tingginya kedudukan seorang ibu.
Banyak hadis-hadis yang menunjukkan kedudukan dan keutamaan seorang ibu dan kewajiban supaya berbakti terhadap mereka. Dari hadis-hadis ini menunjukkan betapa mulianya posisi seorang ibu di dalam Islam secara khusus, dan secara umum bagi seorang wanita.
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan bertanya:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي؟ قَالَ: «أُمُّكَ» قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ أَبُوكَ
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.” (Shahih al-Bukhari, no. 5971. Bab: Siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik)
‘Abdullah B. ‘Amr radhiyallahu ‘anhu menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan berkata:
أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنِّي جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ، وَلَقَدْ تَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ قَالَ: ارْجِعْ إِلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا
“Sesungguhnya aku datang untuk memberi bai’ah (janji taat setia) kepada engkau untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepadanya:
“Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (ceria kembali) sebagaimana engkau jadikan mereka menangis.” (Sunan an-Nasaa’i, no. 4163)
Berhijrah (pada ketika itu) adalah salah satu tuntutan Islam yang amat penting. Malah Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi amaran keras kepada sesiapa yang enggan berhijrah tanpa alasan yang munasabah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا (97) إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا (98) فَأُولَئِكَ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَعْفُوَ عَنْهُمْ وَكَانَ اللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًا
“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.” Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (Surah an-Nisaa’, 4:97-99)
Termasuk orang yang dimaafkan kerana tidak berhijrah adalah sebagaimana hadis di atas, di mana jika berhijrah akan menyedihkan ibu-bapanya, maka yang lebih utama adalah dia tidak berhijrah dan kembali menggembirakan mereka.
Dalam hadis-hadis ini mengandungi petunjuk bahawa menggembirakan ibu-bapa adalah termasuk salah satu tuntutan agama. Oleh itu janganlah kita melakukan sesuatu tindakan yang menjauhkan ibu-bapa daripada kegembiraan, apatah lagi jika ia menyedihkan mereka.
Tidak ada cara yang tertentu untuk menggembirakan ibubapa, asalkan ia tidak melibatkan sesuatu yang dilarang oleh syari‘at. Ini umpamanya seperti kerap menghubungi mereka, mengambil tahu hal-ehwal kebajikan mereka, mmenuhi keperluan mereka, sering menziarahi mereka, membawa mereka bersiar-siar, membelikan mereka hadiah, atau yang lainnya yang baik-baik yang mereka sukai.
Sebaliknya dengan meninggalkan mereka kesunyian, tidak menziarahi mereka, tidak prihatin akan hal-ehwal mereka, bercakap dengan nada yang keras, memarahi mereka, ini semua adalah beberapa contoh tindakan yang akan menjadikan mereka bersedih hati lagi berduka-cita.
Seorang sahabat bernama Jahimah radhiyallahu ‘anhu datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.
Rasulullah bertanya:
هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ
“Adakah kamu masih mempunyai ibu?”
Jahimah menjawab:
نَعَمْ
“Ya.”
Lalu Rasulullah bersabda:
فَالْزَمْهَا، فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا
“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” (Sunan an-Nasa’i, no. 3104. Kitab al-Jihad, Bab: Keringanan meninggalkan perang bagi orang yang memiliki ibu)
Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar berbanding seorang ayah sepertimana dijelaskan melalui hadis di atas.
Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulianya kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu-bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, 31: 14)
Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman:
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu-bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah-payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah-payah.” (Surah al-Ahqaf, 46: 15)
Susah-Payah Seorang Ibu Sebagaimana Dikhabarkan al-Qur’an
Ketahuilah bahawa seorang ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, bermula dari proses mengandungkan seorang anak sampailah sehingga melahirkan, kemudian membesarkannya. Allah mengkhabarkan kesusahan ini melalui firman-Nya (yang bermaksud):
“…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah…” (Surah al-Ahqaf, 46: 15)
Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan:
“…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…” (Surah Luqman, 31: 14)
Kemudian kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut:
“…dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” (Surah al-Ahqaf, 46: 15)
Kesusahan ini turut diungkapkan oleh Allah Ta’ala dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:
فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَى جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَذَا وَكُنْتُ نَسْيًا مَنْسِيًّا
“(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); beliau berkata, “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” (Surah Maryam, 19: 23)
Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan ini, terdapat sebuah atsar (riwayat) di mana Abi Burdah radhiyallahu ‘anhu pernah melihat Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma bersama seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.
Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh:
إني لها بعيرها المذلل إن أذعرت ركابها لم أذعر ثم قال يا بن عمر أترانى جزيتها
“Sesungguhnya aku baginya umpama tunggangan yang hina (lagi patuh). Apabila tunggangan yang lain lari, maka aku tidak akan lari.” Kemudian dia bertanya, “Wahai Ibn ‘Umar, adakah aku dianggap telah membalas budinya?” Ibnu ‘Umar menjawab:
لا ولا بزفرة واحدة
“Tidak! Walaupun sekadar hanya setarik nafasnya (ketika dia melahirkan).” (Al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, no. 11)
Ketika fasa setelah melahirkan pula, sang ibu secara normal dan fitrah benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak sihat atau hilang sekejap dari perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang dan cemas. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat sedih sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.
Ini adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala tentang kisah ibu Musa. Allah memerintahkan kepada ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun:
وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ (7) فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ لِيَكُونَ لَهُمْ عَدُوًّا وَحَزَنًا إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا خَاطِئِينَ (8) وَقَالَتِ امْرَأَتُ فِرْعَوْنَ قُرَّتُ عَيْنٍ لِي وَلَكَ لَا تَقْتُلُوهُ عَسَى أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ (9) وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَى فَارِغًا إِنْ كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلَا أَنْ رَبَطْنَا عَلَى قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (10) وَقَالَتْ لِأُخْتِهِ قُصِّيهِ فَبَصُرَتْ بِهِ عَنْ جُنُبٍ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ (11) وَحَرَّمْنَا عَلَيْهِ الْمَرَاضِعَ مِنْ قَبْلُ فَقَالَتْ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى أَهْلِ بَيْتٍ يَكْفُلُونَهُ لَكُمْ وَهُمْ لَهُ نَاصِحُونَ (12) فَرَدَدْنَاهُ إِلَى أُمِّهِ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ وَلِتَعْلَمَ أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susu-kanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami. Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah. Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:
“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.”
Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya). Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).
Dan berkatalah dia kepada kakak Musa:
“Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya. Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun):
“Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”
Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu).” (Surah al-Qashash, 28: 7-13)
Semoga Berbuat Baik Kepada Ibu Akan Lebih Mendekatkan Diri Kepada Allah Dan Menjadi Sebab Diterima Taubat
Ini adalah dengan mengambil iktibar dari sebuah kisah di mana seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma:
أنى خطبت امرأة فأبت أن تنكحني وخطبها غيرى فأحبت أن تنكحه فغرت عليها فقتلتها فهل لي من توبة قال أمك حية قال لا قال تب إلى الله عز و جل وتقرب إليه ما استطعت فذهبت فسألت بن عباس لم سألته عن حياة أمه فقال أنى لا أعلم عملا أقرب إلى الله عز و جل من بر الوالدة
“Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan saya. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya pun membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?”
Ibn ‘Abbas bertanya, “Adakah ibu kamu masih hidup?”
Dia menjawab, “Tidak.”
Ibn ‘Abbas berkata, “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.”
Atha’ B. Yasar (yang turut hadir ketika itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas, “Kenapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?”
Ibn ‘Abbas menjawab, “Aku tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala melainkan berbakti kepada ibu.” (Al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, no. 4)
Wallahu a’lam..