Ibnu Abi Hatim Menuntut Ilmu Sampai Tak Sempat Fikir Pasal Makan!
Al-Imam ‘Abdurrahman Ibn Abi Hatim rahimahullah (Wafat: 327H) berkata:
كنا بمصر سبعة أشهر، لم نأكل فيها مرقة، كل نهارنا مقسم لمجالس الشيوخ، وبالليل: النسخ والمقابلة.
قال: فأتينا يوما أنا ورفيق لي شيخا، فقالوا: هو عليل، فرأينا في طريقنا سمكة أعجبتنا، فاشتريناها، فلما صرنا إلى البيت، حضر وقت مجلس، فلم يمكنا إصلاحه، ومضينا إلى المجلس، فلم نزل حتى أتى عليه ثلاثة أيام، وكاد أن يتغير، فأكلناه نيئا، لم يكن لنا فراغ أن نعطيه من يشويه.
ثم قال: لا يستطاع العلم براحة الجسد
“Kami pernah tinggal di Mesir selama 7 bulan, sepanjang di sana kami tidak pernah makan makanan yang berkuah, setiap siangnya kami sentiasa membahagi-bahagikan waktu untuk duduk belajar dengan para syaikh (guru), manakala di malam harinya kami sibuk memperbaiki catatan dan berbincang.
Suatu hari aku dan temanku ingin menemui salah seorang dari guru kami, (ketika dalam perjalanan) ada yang menyatakan bahawa beliau (guru kami tersebut) sedang sakit. Kemudian kami melihat di laluan yang kami lalui, ikan yang menarik hati kami, maka kami pun membelinya. Ketika sampai saja di rumah, tibalah pula waktu untuk majlis ilmu yang lain, sedang kami belum sempat menyiang (atau menguruskan) ikan (yang kami beli) tersebut. Dan kami pun langsung bergegas ke majlis ilmu tersebut. Majlis ilmu tersebut terus berlanjutan sehingga 3 hari lamanya, dan ikan tersebut pun hampir membusuk. Maka kami pun memakannya dalam keadaan mentah (tanpa dimasak), pada ketika itu kami tidak punya kesempatan untuk memberikan kepada sesiapa pun untuk memanggangnya.”
Kemudian beliau berkata, “Tidaklah ilmu itu didapatkan dalam keadaan jasad yang rehat (santai-santai).” [Siyar A’lam An-Nubala’ oleh Adz-Dzahabi, 13/266 – Tahqiq Syu’aib Al-Arnauth]
Dan para salaf mengingatkan, yang di antara mereka adalah Al-Imam ‘Abdurrahman bin Mahdi rahimahullah (Wafat: 198H), kata beliau:
الرَّجُلُ إِلَى الْعِلْمِ أَحْوَجُ مِنْهُ إِلَى الْأَكْلِ وَالشُّرْبِ
“Seorang lelaki (yang berguna) itu lebih memerlukan ilmu (agama) berbanding keperluaannya terhadap makan dan minum.” [Hilyatu Al-Auliyaa’ oleh Abu Nu’aim, 9/4]
Demikianlah betapa berharganya waktu di sisi mereka. Dan betapa mereka memuliakan dan mengagungkan nilai ilmu agama berbanding selainnya. Mereka menghargai nikmat waktu dan keamanan yang mereka kecapi untuk menutut ilmu-ilmu syar’i sehingga kehidupan, waktu, dan ilmu yang mereka kuasai menjadi berkah dan bermanfaat!
Adapun kita hari ini, lebih sibuk dengan masalah/urusan makan sampai terluput waktu belajarnya?! Atau bahkan ada yang menuju ke majlis-majlis ilmu kerana jamuan makannya yang enak-enak.
Allaahul musta’aan…