Hukum Solat Di Dalam Gereja dan Tempat Yang Digantung Gambar Makhluk Bernyawa

Hukum Solat Di Dalam Gereja dan Tempat Yang Digantung Gambar Makhluk Bernyawa

www.ilmusunnah.com

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan di Kitab Shahihnya (pada bab Solat di Gereja):no-photos-please

‘Umar radhiyallahu ‘anhu berkata:

إِنَّا لاَ نَدْخُلُ كَنَائِسَكُمْ مِنْ أَجْلِ التَّمَاثِيلِ الَّتِي فِيهَا الصُّوَرُ

“Sesungguhnya kami tidak akan masuk ke dalam rumah-rumah ibadah kamu disebabkan ada gambar-gambar di dalamnya.”

Kemudian Al-Imam Al-Bukhari menyebutkan pula:

وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ: يُصَلِّي فِي البِيعَةِ إِلَّا بِيعَةً فِيهَا تَمَاثِيلُ

“Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma pernah solat di dalam rumah ibadah orang kafir (gereja) kecuali rumah ibadah yang ada patung di dalamnya.” (Shahih Al-Bukhari, 1/94)

Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:

وَلا بَأْسَ بِالصَّلاةِ فِي الْبِيَعِ، كَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ يُصَلِّي فِي الْبِيعَةِ إِلا بِيعَةً فِيهَا تَمَاثِيلُ، فَإِنْ كَانَ فِيهَا تَمَاثِيلُ، خَرَجَ فَصَلَّى فِي الْمَطَرِ. وَقَالَ عُمَرُ: إِنَّا لَا نَدْخُلُ كَنَائِسَهُمْ مِنْ أَجْلِ التَّمَاثِيلِ الَّتِي فِيهَا الصُّورَةُ.

“Tidak mengapa solat di dalam gereja. Bahawasanya Ibnu ‘Abbas pernah solat di dalam gereja kecuali gereja yang ada patung di dalamnya. Apabila di dalamnya terdapat patung, maka beliau keluar dan solat dalam keadaan hujan. Dan ‘Umar berkata:

“Sesungguhnya kami tidak masuk ke gereja mereka (atau rumah-rumah ibadah orang kafir) disebabkan oleh patung-patung dan gambar-gambar yang terdapat di dalamnya.” (Syarh-As Sunnah Al-Baghawi, 2/413. Fath Al-Bari, 1/532)

Al-Imam ‘Abdurrazzaq Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 211H) meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas:

أنه كان يكره أن يصلى في الكنيسة إذا كان فيها تماثيل

“Sesungguhnya beliau (Ibn ‘Abbas) membenci solat di gereja apabila di dalamnya terdapat patung-patung.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 1608)

‘Beliau juga turut meriwayatkan perkataan ‘Umar Al-Khaththab di mana beliau mengatakan:

لاتعلموا رطانة الأعاجم ولا تدخلوا عليهم في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم

“Janganlah kalian pelajari bahasa ‘Ajam (selain bangsa ‘Arab) dan janganlah kamu masuk ke dalam gereja-gereja mereka pada hari kebesaran (perayaan) mereka kerana kemurkaan Allah turun ke atas mereka (pada ketika itu).” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 1609)

Yang dimaksudkan dengan bahasa kaum ‘Ajam dalam atsar ini adalah nyanyian-nyanyian keagamaan mereka di rumah-rumah ibadah mereka, serta hal-hal yang menjadikan meremehkan bahasa ‘Arab seraya mengutamakan bahasa selainnya.

Selain itu, faktor gambar sebagai sebab untuk tidak memasuki sesebuah rumah ini juga turut diriwayatkan sahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.[1]

Di sini menunjukkan tidak dibolehkan memasuki rumah-rumah ibadah orang kafir tanpa sebarang sebab terutamanya yang di dalamnya ada patung-patung atau gambar-gambar. Juga ketika berlangsungnya hari-hari kebesaran atau perayaan mereka.[2]

Demikian juga tidak dibolehkan solat di dalamnya yang mana terdapat patung-patung atau gambar-gambar makhluk bernyawa (seperti gambar manusia, haiwan, patung, dll). Melainkan jika di dalamnya tidak terdapat patung-patung atau gambar-gambar maka dibolehkan solat, itupun jika memang telah dipastikan memang tiada tempat lain untuk digunakan bersolat.

Patung-patung atau gambar-gambar yang dimaksudkan adalah yang berupa atau menyerupai makhluk bernyawa seperti haiwan, manusia dan berhala-berhala mereka.[3]

Menurut Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَأَمَّا الصَّلَاةُ فِيهَا فَفِيهَا ثَلَاثَةُ أَقْوَالٍ لِلْعُلَمَاءِ فِي مَذْهَبِ أَحْمَد وَغَيْرِهِ : الْمَنْعُ مُطْلَقًا وَهُوَ قَوْلُ مَالِكٍ . وَالْإِذْنُ مُطْلَقًا وَهُوَ قَوْلُ بَعْضِ أَصْحَابِ أَحْمَد . وَالثَّالِثُ : وَهُوَ الصَّحِيحُ الْمَأْثُورُ عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَغَيْرِهِ وَهُوَ مَنْصُوصٌ عَنْ أَحْمَد وَغَيْرِهِ أَنَّهُ إنْ كَانَ فِيهَا صُوَرٌ لَمْ يُصَلَّ فِيهَا لِأَنَّ الْمَلَائِكَةَ لَا تَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ وَلِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَدْخُلْ الْكَعْبَةَ حَتَّى مُحِيَ مَا فِيهَا مِنْ الصُّوَرِ وَكَذَلِكَ قَالَ عُمَرُ : إنَّا كُنَّا لَا نَدْخُلُ كَنَائِسَهُمْ وَالصُّوَرُ فِيهَا . وَهِيَ بِمَنْزِلَةِ الْمَسْجِدِ الْمَبْنِيِّ عَلَى الْقَبْرِ فَفِي الصَّحِيحَيْنِ أَنَّهُ ذُكِرَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَنِيسَةٌ بِأَرْضِ الْحَبَشَةِ وَمَا فِيهَا مِنْ الْحُسْنِ وَالتَّصَاوِيرِ فَقَالَ : ” { أُولَئِكَ إذَا مَاتَ فِيهِمْ الرَّجُلُ الصَّالِحُ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلْكَ التَّصَاوِيرَ أُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ } وَأَمَّا إذَا لَمْ يَكُنْ فِيهَا صُوَرٌ فَقَدْ صَلَّى الصَّحَابَةُ فِي الْكَنِيسَةِ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

Adapun solat di rumah orang kafir, atau di rumah ibadah orang kafir itu padanya ada tiga pendapat dari kalangan ulama dalam mazhab Ahmad dan selainnya. Salah satu pendapat melarang hal tersebut secara muthlaq, dan ini adalah pendapat Imam Malik.

Pendapat kedua, mereka membolehkan secara muthlaq, dan itu adalah pendapat sebahagian ulama dari kalangan mazhab Ahmad.

Sedangkan pendapat yang ketiga, dan inilah pendapat yang sahih (lebih tepat), diriwayatkan secara ma’tsur dari ‘Umar bin Al-Khaththab dan selainnya, dan ia merupakan nash yang dipegang oleh Imam Ahmad dan selainnya, bahawa jika di dalam tempat tersebut (yakni di rumah orang kafir atau rumah ibadah orang kafir tersebut) terdapat patung atau gambar-gambar menyerupai makhluk bernyawa, maka ia tidak boleh dijadikan sebagai tempat untuk solat, kerana para malaikat tidak masuk ke tempat-tempat seperti ini, yakni para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada gambar-gambar menyerupai makhluk bernyawa. Manakala Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak memasuki Ka’bah sampailah patung-patung yang terdapat di dalamnya dikeluarkan (serta dimusnahkan). Demikian pula dengan ‘Umar, beliau berkata:

“Sesungguhnya kami tidak memasuki gereja-gereja mereka yang di dalamnya terdapat gambar-gambar (yang menyerupai makhluk bernyawa).”

Hukum kedudukan tempat-tempat seperti ini tiada bezanya dengan masjid (tempat ibadah) yang dibina di atas perkuburan. Di dalam dua kitab Shahih, disebutkan bahawa ketika diceritakan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang gereja di Habsyah, di mana gereja-gereja tersebut dihiasi dengan gambar-gambar dan lukisan-lukisan, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“(Sesungguhnya) mereka itu adalah orang-orang yang apabila ada orang yang soleh dari kalangan mereka mati, maka mereka pun akan membinakan sebuah masjid (yakni tempat ibadah) di atas kuburnya, lalu melukiskan padanya dengan gambar-gambar tersebut di dalamnya. Mereka adalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada hari Kiamat.”

Adapun jika di dalamnya tidak terdapat gambar-gambar atau patung-patung, bahawasanya salah seorang sahabat pernah solat di dalamnya. Wallaahu a’lam.” (Majmu’ Al-Fatawa, 22/162-163)

Di sini, kami kemukakan kesimpulan dari website di islamqa:

أن الصلاة داخل الكنسية لا حرج فيها، إذا خلت من التصاوير والتماثيل، سواء كانت صلاة الجمعة أو غيرها .

أنه تكره الصلاة في الكنيسة إذا كان فيها تصاوير أو تماثيل، فإن احتاج المسلمون للصلاة فيها لعدم وجود مكان آخر ، وستروا هذه التماثيل بما يخفيها ، فلا بأس ولا كراهة .

“Bahawa solat di dalam gereja tidaklah mengapa, sekiranya padanya tidak ada gambar-gambar atau patung-patung sama ada untuk solat Juma’at atau solat-solat yang lainnya.

Adalah dibenci solat di dalam gereja apabila di dalamnya ada gambar atau patung-patung. Maka jika umat Islam memerlukan tempat untuk solat di dalamnya dan tidak menemukan tempat yang lain, lalu dia menutupi patung-patung ini sehingga ianya tersembunyi (tidak kelihatan), maka ini tidak mengapa dan tidak dibenci.”[4]

Kemudian sebagai tambahan, dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mencela perbuatan kaum Nashara yang menjadikan kuburan sebagai tempat ibadah dan meletakkan gambar-gambar padanya. Ini sebagaimana hadis daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha di mana ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:

Ummu Habibah dan Ummu Salamah pernah menceritakan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa mereka melihat gereja di Habasyah yang di dalamnya terdapat gambar-gambar. Maka Nabi pun bersabda:

إِنَّ أُولَئِكَ إِذَا كَانَ فِيهِمْ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلكَ الصُّوَرَ فَأُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Mereka (ahli kitab), jika ada seseorang yang soleh dari kalangan mereka meninggal, mereka pun membinakan masjid (tempat ibadah) di atas kuburnya, lalu mereka membuat (atau meletakkan) gambarnya pada kubur tersebut. Merekalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada hari kiamat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 427, 434)

Dari hadis ini turut menunjukkan dilarangnya menyerupai mereka yang menjadikan kuburan sebagai tempat ibadah dan larangan meletakkan gambar-gambar di tempat-tempat ibadah atau di dalam masjid. Bahkan kita turut dilarang menggantung gambar-gambar di rumah kerana ia termasuk sebab yang menghalang masuknya para malaikat.[5]

Selain tempat yang ada gambar atau patung-patung, tempat yang padanya terdapat kuburan juga dilarang solat di situ berdasarkan hadis ini dan beberapa hadis yang lain.[6]

Di antaranya dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلَّا الْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَّامَ

“Muka bumi ini seluruhnya adalah masjid (tempat beribadah) kecuali perkuburan dan tempat mandi (tandas).” (Musnad Ahmad, no. 11788. Shahih Ibn Hibban, no. 2321. Sunan At-Tirmidzi, no. 317)

Wallahu a’lam..


[1] Boleh disemak pada artikel ini, https://ilmusunnah.com/kewajiban-memenuhi-undangan-kenduri-kecuali/

[2] Telah dibahaskan pada artikel berasingan, https://ilmusunnah.com/orang-beriman-tidak-akan-menghadiri-perayaan-kaum-kafir/

[3] Sebagaimana yang kami kemukakan pada artikel Hukum Melukis dan Menggantung Gambar Makhluk Bernyawa.

[4] Dinukil dari website islamqa.info.

[5] Sebagaimana yang kami kemukakan pada artikel, Malaikat Tidak Masuk ke Dalam Rumah Yang Ada Anjing dan Gambar.

[6] Lihat artikel: Kuburan Bukan Tempat Ibadah.