Hukum Memelihara Anjing
www.ilmusunnah.com
Dari hadis Salim bin ‘Abdillah daripada ayahnya, beliau berkata:
أَيُّمَا أَهْلِ دَارٍ اتَّخَذُوا كَلْبًا، إِلَّا كَلْبَ مَاشِيَةٍ، أَوْ كَلْبَ صَائِدٍ، نَقَصَ مِنْ عَمَلِهِمْ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ
“Mana-mana penghuni rumah yang mengambil (memelihara) anjing melainkan anjing untuk menjaga ternakkan, atau anjing untuk berburu, akan dikurangi dari amalannya sebanyak dua qirath setiap harinya.” (Shahih Muslim, no. 1574)
Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا، لَيْسَ بِكَلْبِ صَيْدٍ، وَلَا مَاشِيَةٍ، وَلَا أَرْضٍ، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ قِيرَاطَانِ كُلَّ يَوْمٍ
“Siapa yang mendapatkan (yakni memelihara atau memanfaatkan) anjing yang bukan untuk berburu, bukan untuk menjaga ternakkan, dan bukan pula untuk menjaga tanah (kebun/tanaman), maka akan dikurangi dari pahalanya sebanyak dua qirath pada setiap harinya.” (Shahih Muslim, no. 1575)
Manakala lafaz dalam riwayat Al-Bukhari daripada Ibnu ‘Umar:
نَقَصَ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطَانِ
“… berkurang dari amalnya sebanyak dua qirath setiap hari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5480)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:
مَنِ اتَّخَذَ كَلْبًا إِلَّا كَلْبَ مَاشِيَةٍ، أَوْ صَيْدٍ، أَوْ زَرْعٍ، انْتَقَصَ مِنْ أَجْرِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطٌ
“Sesiapa yang mengambil anjing (untuk dipelihara) kecuali anjing untuk menjaga ternakkan, atau untuk berburu, atau untuk menjaga tanaman, maka akan dikurangi dari pahalanya setiap hari sebanyak satu qirath.” (Shahih Muslim, no. 1575)
Dijelaskan dalam hadis yang lain, dua qirath adalah semisal dua gunung yang besar. Disebutkan juga bahawa yang paling kecilnya bagi ukuran satu qirath adalah semisal gunung Uhud. (lihat Shahih Al-Bukhari, no. 47, 1325. Muslim, no. 945)
Disebutkan juga bahawa al-qirath (satu qirath) adalah semisal gunung Uhud. (lihat Shahih Muslim, no. 946)
Hadis-hadis ini menjelaskan bahawa memelihara anjing adalah diharamkan dan mendapat ancaman berkurangnya pahala sebanyak satu atau dua qirath per hari melainkan bagi apa yang dikecualikan oleh hadis.
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah wafat: 676H) menyebutkan:
وقد اتفق أصحابنا وغيرهم على أنه يحرم اقتناء الكلب لغير حاجة مثل أن يقتنى كلبا اعجابا بصورته أو للمفاخرة به فهذا حرام بلا خلاف
“Para ulama mazhab kami (yakni mazhab Asy-Syafi’i) telah ittifaq (bersepakat) bahawa hukum memelihara anjing tanpa haajah (keperluan yang syar’i) seperti memeliharanya kerana merasa kagum (tertarik) pada rupa bentuknya atau berbangga dengannya, maka ini adalah haram tanpa khilaf.” (Syarah Shahih Muslim, 3/186)
Di bab yang lain, Al-Imam An-Nawawi menyebutkan:
وأما اقتناء الكلاب فمذهبنا أنه يحرم اقتناء الكلب بغير حاجة ويجوز اقتناؤه للصيد وللزرع وللماشية وهل يجوز لحفظ الدور والدروب ونحوها فيه وجهان أحدهما لا يجوز لظواهر الأحاديث فإنها مصرحة بالنهى الا لزرع أو صيد أو ماشية وأصحها يجوز قياسا على الثلاثة عملا بالعلة المفهومة من الاحاديث وهى الحاجة وهل يجوز اقتناء الجرو وتربيته للصيد أو الزرع أو الماشية فيه وجهان لأصحابنا أصحهما جوازه
“Adapun memiliki anjing menurut mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i), bahawa memiliki anjing adalah diharamkan tanpa sebarang haajah (keperluan), dan dibolehkan memilikinya untuk berburu, menjaga kebun (atau tanaman), dan ternakkan.
(Kemudian) adakah dibolehkan mengambil anjing untuk menjaga rumah, jalan (atau laluan), dan yang seumpamanya? Dalam perkara ini terdapat dua pandangan.
Salah satu pendapat tersebut tidak membolehkannya berdasarkan makna zahir hadis-hadis tersebut yang telah menegaskan larangannya melainkan untuk keperluan penjagaan kebun, perburuan, dan menjaga ternakkan.
Adapun yang paling aashah (yakni yang paling tepat menurut Al-Imam An-Nawawi – pent.), adalah dibolehkan dengan berdasarkan qiyas atas tiga perkara tersebut sebagai bentuk pengamalan terhadap ‘illah (alasan dan sebab) yang dapat difahami dari hadis-hadis, iaitu adanya keperluan.
Namun, adakah boleh memiliki anak anjing dan melatihnya untuk tujuan perburuan, menjaga kebun atau ternakkan? Terdapat dua pendapat dalam perkara ini dalam kalangan sahabat-sahabat kami (yang bermazhab Asy-Syafi’i), dan yang aashah (yang tepat) dari dua pendapat ini adalah dibolehkan.” (Syarah Shahih Muslim, no. 10/236)
Namun, Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) memiliki pendapat berbeza. Beliau menegaskan dalam kitabnya Al-Mughni:
وَإِنْ اقْتَنَاهُ لِحِفْظِ الْبُيُوتِ، لَمْ يَجُزْ؛ لِلْخَبَرِ.وَيَحْتَمِلُ الْإِبَاحَةَ .وَهُوَ قَوْلُ أَصْحَابِ الشَّافِعِيِّ؛ لِأَنَّهُ فِي مَعْنَى الثَّلَاثَةِ، فَيُقَاسُ عَلَيْهَا.وَالْأَوَّلُ أَصَحُّ؛ لِأَنَّ قِيَاسَ غَيْرِ الثَّلَاثَةِ عَلَيْهَا، يُبِيحُ مَا يَتَنَاوَلُ الْخَبَرُ تَحْرِيمَهُ. قَالَ الْقَاضِي: وَلَيْسَ هُوَ فِي مَعْنَاهَا، فَقَدْ يَحْتَالُ اللِّصُّ لِإِخْرَاجِهِ بِشَيْءِ يُطْعِمُهُ إيَّاهُ، ثُمَّ يَسْرِقُ الْمَتَاعَ . وَأَمَّا الذِّئْبُ، فَلَا يَحْتَمِلُ هَذَا فِي حَقِّهِ، وَلِأَنَّ اقْتِنَاءَهُ فِي الْبُيُوتِ يُؤْذِي الْمَارَّةَ، بِخِلَافِ الصَّحْرَاءِ .
“Dan mendapatkan anjing untuk menjaga rumah-rumah, itu tidaklah dibolehkan berdasarkan khabar (hadis-hadis). Dan ada yang membawa kepada makna al-ibahah (pembolehan). Dan ia adalah pendapat pengikut Asy-Syafi’i (yakni ulama dari kalangan mazhab Asy-Syafi’i). Kerana ianya termasuk dalam makna tiga pengecualian yang disebutkan oleh hadis, maka ia diqiyaskan dengannya.
Walau bagaimanapun, pendapat pertamalah yang aashah (lebih benar – yakni menurut Ibnu Qudamah – pent.). Kerana penggunaan qiyas akan menyebabkan bolehnya hal-hal yang dilarang oleh hadis selain dari tiga perkara tersebut.
Berkata Al-Qadhi: Pengecualian yang disebutkan dalam hadis tidaklah mengandungi makna tersebut (yakni tidak memiliki maksud bolehnya memelihara anjing bagi tujuan menjaga rumah – pent.). Si pencuri mungkin boleh membuat tipu-daya dengan memberinya makanan lalu si anjing pun diam dan si pencuri pun bebas mengambil barang-barang yang ada di dalam rumah.
Adapun serigala (jika hendak mengganggu ternakkan), maka tidak mungkin dia melakukan (tipu-daya seperti pencuri), dan adalah anjing yang diposisikan sebagai penjaga rumah itu biasanya akan mengganggu orang yang lalu-lalang, berbeza dengan anjing yang ditempatkan di luar kota (pedalaman, ladang atau kebun).” (Al-Mughni, 4/191)
Dari itu, sebagai langkah pertengahan; Hendaklah tidak bermudah-mudah dalam memelihara anjing bagi selain dari tiga pengecualian yang disebutkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam walaupun padanya memiliki ‘illah (alasan/sebab) yang dianggap serupa (dengan tiga bentuk pengecualian yang disebutkan dalam hadis), walaupun bagi tujuan menjaga rumah. Lebih-lebih lagi pada hari ini terdapat pelbagai pilihan yang lain yang dianggap baik serta sebagai usaha untuk keluar dari ikhtilaf ulama bagi selain dari tiga pengecualian tersebut. Dan tidak pula disebutkan dalam hadis pembolehan untuk mendapatkan khidmat anjing untuk menjaga rumah walaupun pada zaman Nabi lebih memerlukan hal tersebut. Maka, hendaklah diusahakan dengan selain mendapatkan khidmat anjing telebih dahulu.
Di samping itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga banyak mengajarkan amalan dan dzikir-dzikir serta doa-doa bagi mendinding rumah dari pelbagai gangguan yang tidak diingini. Wallahu a’lam.
Adapun perbezaan tentang penyebutan jumlah qirath (sama ada satu atau dua qirath) pada riwayat yang berbeza, maka Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menyebutkan:
فقيل يحتمل أنه في نوعين من الكلاب أحدهما أشد أذى من الآخر ولمعنى فيهما
1, Disebutkan (salah satu pendapat), dikaitkan kepada jenis anjing tersebut yang salah satunya lebih membahayakan berbanding yang lainnya dan apa-apa yang semakna dengannya.
أو يكون ذلك مختلفا باختلاف المواضع فيكون القيراطان في المدينة خاصة لزيادة فضلها والقيراط في غيرها
2, Atau kerana melibatkan perbezaan tempat, di mana dua qirath terkhusus di Madinah disebabkan Madinah memiliki keutamaan melebihi lain-lain tepat, manakala satu qirath merujuk kepada selain Madinah.
أو القيراطان في المدائن ونحوها من القرى والقيراط في البوادى
3, Atau al-qirathain (dua qirath) merujuk kepada kawasan bandar dan tempat yang sarat dengan kemudahan, manakala al-qirath (satu qirath) merujuk kepada al-badawi (pedalaman atau perkampungan).
أو يكون ذلك في زمنين فذكر القيراط أولا ثم زاد التغليظ فذكر القيراطين
4, Atau kerana keadaan tersebut terjadi di dua masa yang berbeza yang mana pada awalnya Nabi menyebutkan satu qirath, lalu setelah itu ditambah penekanan larangannya maka disebutkan menjadi dua qirath. (lihat: Syarah Shahih Muslim, 10/239)
Wallahu a’lam.
Baca artikel lengkap di, https://ilmusunnah.com/?p=11567