Hukum dan kaedah Solat Sunnah Secara Berjama’ah
Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah
www.ilmusunnah.com
Berikut disenaraikan beberapa nukilan dari beberapa sumber dalil dan perkataan para ulama.
Dari hadis Ibn ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
اجْعَلُوا مِنْ صَلَاتِكُمْ فِي بُيُوتِكُمْ، وَلَا تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا
“Jadikanlah solat-solat (yakni solat sunnah) kalian di rumah-rumah kalian, dan jangan jadikan rumah kalian seperti kuburan (kerana kubur bukan tempat untuk solat).” (Shahih Muslim, no. 777)
Dari hadis Jaabir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا قَضَى أَحَدُكُمُ الصَّلَاةَ فِي مَسْجِدِهِ، فَلْيَجْعَلْ لِبَيْتِهِ نَصِيبًا مِنْ صَلَاتِهِ، فَإِنَّ اللهَ جَاعِلٌ فِي بَيْتِهِ مِنْ صَلَاتِهِ خَيْرًا
“Apabila salah seorang dari kalian telah solat di masjid, maka hendaklah dia jadikan rumahnya sebagai tempat sebahagian solatnya kerana Allah menjadikan solat di rumahnya sebagai kebaikan.” (Shahih Muslim, no. 778)
Dari hadis Zaid bin Tsaabit, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
فَعَلَيْكُمْ بِالصَّلَاةِ فِي بُيُوتِكُمْ، فَإِنَّ خَيْرَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ
“Solatlah kalian di rumah-rumah kalian kerana sebaik-baik solat seseorang itu adalah di rumahnya kecuali solat al-maktubah (solat yang fardhu).” (Shahih Al-Bukhari, no. 6113. Muslim, no. 781)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
قوله صلى الله عليه و سلم فإن خير صلاة المرء في بيته إلا الصلاة المكتوبة هذا عام في جميع النوافل المرتبة مع الفرائض والمطلقة إلا في النوافل التي هي من شعائر الإسلام وهي العيد والكسوف والاستسقاء وكذا التراويح على الأصح فإنها مشروعة في جماعة في المسجد والاستسقاء في الصحراء وكذا العيد إذا ضاق المسجد والله أعلم
“Sabda beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “sebaik-baik solat seseorang itu adalah di rumahnya kecuali solat al-maktubah (solat yang fardhu).” Ini adalah umum bagi seluruh solat nawafil (solat-solat sunnah), solat rawatib yang mengiringi solat fardhu, serta solat-solat sunnah yang muthlaq kecuali solat nawafil yang mana merupakan syi’ar Islam (untuk dilaksanakan secara jama’i atau di masjid) seperti solat ‘Ied, gerhana, istisqaa’, demikian juga dengan tarawih berdasarkan pendapat yang aashah (paling tepat) bahawa ia disyari’atkan dilaksanakan di masjid, solat istisqaa’ di tanah lapang (atau padang pasir), dan demikian pula solat ‘Ied (juga di tanah lapang) jika masjid telah sempit (atau sesak). Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 6/70)
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menjelaskan:
ظاهره أنه يشمل جميع النوافل لأن المراد بالمكتوبة المفروضة لكنه محمول على ما لا يشرع فيه التجميع وكذا ما لا يخص المسجد كركعتى التحية كذا قال بعض أئمتنا
“Zahirnya, ini mencakup seluruh solat nawafil (solat-solat sunnah), kerana yang dimaksudkan dengan al-maktubah adalah solat-solat yang difardhukan. Tetapi ia boleh juga difahami untuk apa-apa solat yang tidak disyari’atkan berjama’ah kecuali apa yang dikhaskan di masjid seperti solat tahiyatul masjid. Demikianlah yang dikatakan oleh para ulama kami.” (Fathul Bari, 2/215)
Dari hadis Mujahid, beliau berkata:
دَخَلْتُ أَنَا وَعُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ الْمَسْجِدَ، فَإِذَا عَبْدُ اللهِ بْنُ عُمَرَ جَالِسٌ إِلَى حُجْرَةِ عَائِشَةَ، وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ الضُّحَى فِي الْمَسْجِدِ، فَسَأَلْنَاهُ عَنْ صَلَاتِهِمْ؟ فَقَالَ: بِدْعَةٌ
“Aku dan ‘Urwah bin Az-Zubair masuk ke masjid, maka ‘Abdullah Ibn ‘Umar duduk menyandar ke bilik ‘Aisyah, manakala orang-orang sedang melaksanakan solat dhuha di masjid. Maka kami pun bertanya kepada Ibn ‘Umar tentang solat mereka. Maka beliau pun jawab, “(Ianya) bid’ah.” (Shahih Muslim, no. 1255)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
( انهم سألوا بن عمر عن صلاة الذين كانوا يصلون الضحى في المسجد فقال بدعة ) هذا قد حمله القاضي وغيره على أن مراده أن اظهارها في المسجد والاجتماع لها هو البدعة لا أن أصل صلاة الضحى بدعة وقد سبقت المسألة في كتاب الصلاة والله أعلم
“Bahawa mereka bertanya Ibn ‘Umar tentang solat yang mana orang-orang solat dhuha di masjid, lalu beliau berkata ianya bid’ah. Al-Qadhi dan selainnya berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengannya adalah menzahirkannya di masjid (yakni menzahirkan solat dhuha di masjid) dan berkumpul-kumpul padanya (yakni berjama’ah melaksanakan solat dhuha dengan sengaja), itu adalah bid’ah. Bukanlah yang dimaksudkan bid’ah itu pada asal solat dhuha, dan perkara ini telah dibahaskan sebelumnya di kitab Ash-Shalah. Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 8/237)
Al-Hafiz Ibn Hajar turut menukil perkataan Al-Imam An-Nawawi ini lalu menambah:
ويؤيده ما رواه بن أبي شيبة عن بن مسعود أنه رأى قوما يصلونها فأنكر عليهم وقال أن كان ولا بد ففي بيوتكم
“Dan ini didukung berdasarkan apa yang diriwayatkan Ibn Abi Syaibah daripada Ibn Mas’oud, bahawasanya beliau (Ibn Mas’oud) melihat sekumpulan orang sedang solat (yakni solat sunnah atau solat dhuha di masjid), maka beliau pun mengingkarinya, dan beliau berkata:
“Kalau engkau memang mahu melaksanakannya (solat-solat sunnah), maka lakukanlah di rumah-rumah kalian.” (Fathul Bari, 3/53)
Di kitab Al-Muwaththa’, terdapat atsar dari ‘Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu:
‘Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:
دَخَلْتُ عَلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ بِالْهَاجِرَةِ، فَوَجَدْتُهُ يُسَبِّحُ. فَقُمْتُ وَرَاءَهُ. فَقَرَّبَنِي حَتَّى جَعَلَنِي حِذَاءَهُ عَنْ يَمِينِهِ. فَلَمَّا جَاءَ يَرْفَا، تَأَخَّرْتُ. فَصَفَفْنَا وَرَاءَهُ.
“Aku masuk mengunjungi ‘Umar di waktu matahari sedang naik (waktu pagi/dhuha), aku dapati beliau sedang solat sunnah, maka aku pun berdiri di belakangnya (sebagai makmum). Lalu beliau menarikku sampai aku sejajar dengan bahunya (atau buku lalinya) di sebelah kanan beliau. Lalu datanglah Yarfa’ (pembantu ‘Umar), aku pun mundur dan membuat saf di belakang beliau (yakni di belakang ‘Umar radhiyallahu ‘anhu).” (Muwaththa’ Imam Malik, no. 532. Fathul Bari, 2/191)
Ini menguatkan lagi bahawa solat-solat sunnah itu dilaksanakan di rumah, tidak dizahirkan secara umum atau terbuka, dan dibolehkan berjama’ah namun tanpa dirancang terlebih dahulu.
Dari kitab Fathul Bari, terdapat perkataan Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) ketika menjelaskan hadis Ibnu ‘Abbas yang bermalam di rumah Maimunah (makcik beliau yang merupakan isteri Nabi) lalu beliau mengikuti sebagai makmum kepada Nabi yang sedang solat di malam hari. Kata Al-Hafiz Ibn Hajar:
وفيه مشروعية الجماعة في النافلة والائتمام بمن لم ينو الإمامة
“Pada hadis tersebut terdapat syari’at berjama’ah pada solat nafilah (solat sunnah) dan bermakmum kepada imam yang tidak berniat sebagai imam.” (Fathul Bari, 2/485)
Al-Imam An-Nawawi ketika mengulas hadis tentang qiyam Ramadhan, kata beliau:
قوله ان رسول الله صلى الله عليه و سلم صلى في المسجد ذات ليلة فصلى بصلاته ناس وذكر الحديث ففيه جواز النافلة جماعة ولكن الاختيار فيها الانفراد الا في نوافل مخصوصة وهي العيد والكسوف والاستسقاء وكذا التراويح عند الجمهور كما سبق وفيه جواز النافلة في المسجد وان كان البيت أفضل ولعل النبي صلى الله عليه و سلم إنما فعلها في المسجد لبيان الجواز وأنه كان معتكفا وفيه جواز الاقتداء بمن لم ينو امامته وهذا صحيح على المشهور من مذهبنا ومذهب العلماء ولكن ان نوى الامام امامتهم بعد اقتدائهم حصلت فضيلة الجماعة له ولهم وان لم ينوها حصلت لهم فضيلة الجماعة ولا يحصل للإمام على الأصح لأنه لم ينوها والأعمال بالنيات وأما المأمومون فقد نووها
“Perkataan beliau (‘Aisyah), bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah solat di masjid pada sebahagian malam, lalu orang-orang pun mengikuti solat beliau. Dan pada hadis yang disebutkan terkandung maksud bolehnya solat nafilah secara berjama’ah tetapi yang terpilih (lebih baik) adalah melaksanakannya secara sendiri-sendiri kecuali bagi solat nafilah yang telah dikhususkan (untuk dilaksanakan secara berjama’ah) iaitu solat gerhana, solat istisqaa’, demikian pula tarawih di sisi jumhur ulama sebagaimana telah dijelaskan terdahulu. Dan padanya mengandungi maksud bolehnya melaksanakan solat nafilah di masjid walaupun di rumah itu lebih afdhal. Dan kebarangkalian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukan perbuatan tersebut (solat nafilah di masjid) adalah bagi menjelaskan tentang keharusannya dan beliau ketika itu sedang i’tikaf.
Dan pada hadis ini juga mengandungi faedah tentang bolehnya mengikuti (untuk menjadi makmum) kepada seseorang yang tidak berniat menjadi imam, dan inilah yang sahih berdasarkan pendapat yang masyhur dalam mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i) dan mazhab para ulama yang lainnya. Akan tetapi jika si imam meniatkannya sebagai imam setelah mengetahui bahawa dirinya sedang diikuti oleh makmum, maka fadhilat (keutamaan) berjama’ah pun akan diperolehi olehnya dan oleh para makmum. Tetapi jika orang yang dijadikan sebagai imam tidak berniat menjadi imam, maka fadhilat berjama’ah tetap diraih oleh para makmum manakala si imam tidak mendapatkannya berdasarkan pendapat yang aashah (lebih tepat) kerana ia tidak berniat menjadi imam, di mana amalan itu tergantung pada niatnya dan adapun bagi makmum sesungguhnya mereka telah meniatkannya.” (Syarh Shahih Muslim, 6/41)
Berkata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H):
صَلَاةُ التَّطَوُّعِ فِي جَمَاعَةٍ نَوْعَانِ: أَحَدُهُمَا: مَا تُسَنُّ لَهُ الْجَمَاعَةُ الرَّاتِبَةُ كَالْكُسُوفِ وَالِاسْتِسْقَاءِ وَقِيَامِ رَمَضَانَ فَهَذَا يُفْعَلُ فِي الْجَمَاعَةِ دَائِمًا كَمَا مَضَتْ بِهِ السُّنَّةُ.
الثَّانِي: مَا لَا تُسَنُّ لَهُ الْجَمَاعَةُ الرَّاتِبَةُ: كَقِيَامِ اللَّيْلِ وَالسُّنَنِ الرَّوَاتِبِ وَصَلَاةِ الضُّحَى وَتَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ وَنَحْوِ ذَلِكَ. فَهَذَا إذَا فُعِلَ جَمَاعَةً أَحْيَانًا جَازَ. وَأَمَّا الْجَمَاعَةُ الرَّاتِبَةُ فِي ذَلِكَ فَغَيْرُ مَشْرُوعَةٍ بَلْ بِدْعَةٌ مَكْرُوهَةٌ فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالصَّحَابَةَ وَالتَّابِعِينَ لَمْ يَكُونُوا يَعْتَادُونَ الِاجْتِمَاعَ لِلرَّوَاتِبِ عَلَى مَا دُونَ هَذَا. وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إنَّمَا تَطَوَّعَ فِي ذَلِكَ فِي جَمَاعَةٍ قَلِيلَةٍ أَحْيَانًا فَإِنَّهُ كَانَ يَقُومُ اللَّيْلَ وَحْدَهُ؛ لَكِنْ لَمَّا بَاتَ ابْنُ عَبَّاسٍ عِنْدَهُ صَلَّى مَعَهُ وَلَيْلَةً أُخْرَى صَلَّى مَعَهُ حُذَيْفَةُ وَلَيْلَةً أُخْرَى صَلَّى مَعَهُ ابْنُ مَسْعُودٍ وَكَذَلِكَ صَلَّى عِنْدَ عتبان بْنِ مَالِكٍ الْأَنْصَارِيِّ فِي مَكَانٍ يَتَّخِذُهُ مُصَلًّى صَلَّى مَعَهُ وَكَذَلِكَ صَلَّى بِأَنَسِ وَأُمِّهِ وَالْيَتِيمِ. وَعَامَّةُ تَطَوُّعَاتِهِ إنَّمَا كَانَ يُصَلِّيهَا مُفْرَدًا
“Solat sunnah (Tathawwu’) dalam berjama’ah ada dua bentuk, (iaitu):
Pertama, solat sunnah yang disyari’atkan berjama’ah secara terus menerus, seperti (solat) kusuf (gerhana), (solat) al-istisqaa’ (meminta hujan), dan qiyam ramadhan (tarawih). Ini dilaksanakan dengan cara berjama’ah terus-menerus sebagaimana yang berlangsung menurut ketentuan sunnah.
Kedua, solat sunnah yang tidak disunnahkan dilaksanakan secara berjama’ah dengan terus-menerus, seperti solat rawatib, solat qiyam al-lail, solat dhuha, tahiyyatul masjid, dan yang semisalnya. Ini apabila kadang-kadang dilakukan secara berjama’ah tidak masalah. Adapun berjama’ah secara terus-menerus bagi solat tersebut adalah hal yang tidak disyari’atkan, bahkan suatu bid’ah yang dibenci, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para sahabat, dan para tabi’in tidak memiliki kebiasaan berkumpul untuk tujuan tersebut.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanya kadang-kadang melakukan tathawwu’ pada perkara tersebut untuk suatu jama’ah yang sedikit. Beliau biasanya solat malam sendirian, namun ketika ada Ibnu ‘Abbas tidur di rumahnya, Ibnu ‘Abbas turut ikut serta solat bersamanya [sebagaimana dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim – pent.]. Pada malam yang lain, Hudzaifah solat bersama beliau [sebagaimana dalam hadis riwayat Muslim – pent.]. Pada malam yang lain (lagi), Ibnu Mas’oud solat bersama-sama beliau [sebagaimana dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim – pent.]. Demikian pula beliau solat di rumah ‘Itbaan B. Malik al-Anshari di suatu tempat yang dia jadikan sebagai tempat solat, (Itbaan) ikut solat bersama beliau [sebagaimana dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim – pent.]. Demikian juga beliau solat bersama-sama Anas, Ibu (Anas), dan seorang anak yatim [sebagaimana dalam hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim – pent.]. Dan kebanyakan tathawwu’ Nabi, beliau laksanakannya secara sendirian…” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 23/414)
Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
وفيه ما ترجم له هنا، وهو صلاة النوافل جماعة، وروى ابن وهب عن مالك: أنه لا بأس بأن يؤم النفر في النافلة، فأما أن يكون مشتهراً ويجمع له الناس؛ فلا، وهذا بناء على قاعدته في سد الذرائع لما يخشى من أن يظن من لا علم له أن ذلك فريضة، واستثنى ابن حبيب من أصحابه قيام رمضان لاشتهار ذلك من فعل الصحابة ومن بعدهم رضي الله عنهم
“Di dalamnya (pada bab dalam Shahih al-Bukhari – pent.) terdapat penafsiran oleh al-Bukhari, iaitu solat sunnah berjama’ah. Diriwayatkan oleh Ibnu Wahab, daripada Malik, bahawasanya tidak ada masalah bagi seseorang untuk mengimami beberapa orang dalam solat sunnah. Adapun jika diumumkan dan dengan cara mengumpulkan banyak orang, hal itu tidak dibolehkan. Hal ini adalah berpandukan kaedah Saddudz Dzara’i’ (pencegahan) kerana dibimbangi hal tersebut (berjama’ah bagi solat-solat sunnah) akan dianggap wajib (disyari’atkan) oleh orang-orang yang tidak berilmu. Ibnu Habib mengecualikan qiyaam Ramadhan kerana hal tersebut memang sedia dimaklumi dilaksanakan oleh para sahabat dan orang-orang setelah mereka radhiyallahu ‘anhum.” (Fathul Bari, 3/62)
Di lembaran yang lain, beliau (Al-Hafiz Ibnu Hajar) ketika menjelaskan Anas yang solat bersama anak yatim di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara berjama’ah, beliau mengatakan:
وأن محل الفضل الوارد في صلاة النافلة منفردا حيث لا يكون هناك مصلحة كالتعليم بل يمكن أن يقال هو إذ ذاك أفضل ولا سيما في حقه صلى الله عليه و سلم
“Bahawa keutamaan yang warid solat nafilah adalah dilakukan secara sendiri-sendiri jika padanya tidak ada maslahat seperti untuk mengajar orang lain. Mungkin juga dapat dikatakan bahawa pada keadaan demikian lebih utama khasnya bagi diri beliau sebagai seorang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (dalam rangka mengajarkan).” (Fathul Bari, 1/491)
Ringkasan dan kesimpulan:
1, Solat-solat sunnah secara umumnya atau khasnya seperti dhuha dan qiyamullayl, atau tahajjud, hendaklah dilakukan secara sendiri-sendiri di rumah. Inilah yang afdhal.
2, Dibolehkan dilakukan secara jama’i dalam rangka mengajar, namun bukan untuk dijadikan sebagai syi’ar dan tidak boleh mengumpulkan orang untuk menjayakannya secara besar-besaran serta terbuka.
3, Boleh dilakukan secara berjama’ah kadang-kadang namun tanpa dirancang terlebih dahulu, tidak diumumkan bagi tujuan mengumpul orang, dan tidak dilakukan di masjid atau tempat-tempat terbuka sehingga menjadi syi’ar. Ini sebagaimana perbuatan ‘Abdullah bin ‘Utbah yang mengikuti ‘Umar dan Ibn ‘Abbas yang mengikuti Nabi yang sedang solat sunnah di rumah mereka masing-masing.
4, Solat-solat sunnah yang tidak diriwayatkan daripada Nabi mahupun sahabat dilaksanakan secara berjama’ah, seumpama solat-solat sunnah rawatib dan tahiyyatul masjid, maka hendaklah ditinggalkan dari dilaksanakan secara berjama’ah. Manakala apa-apa solat sunnah yang memang lazimnya dilakukan secara jama’ah oleh Nabi dan para sahabat, maka hendaklah ia dilaksanakan secara berjama’ah, seumpama solat sunnah gerhana, al-istisqaa’, dan tarawih.
5, Adapun solat-solat sunnah yang lazimnya dilakukan secara sendirian, tetapi ada riwayat menunjukkan Nabi pernah melakukannya secara jama’ah atas maslahah dan tujuan tertentu, maka yang seperti ini boleh dilakukan berjama’ah atas tuntutan maslahah dan tujuan tertentu seperti untuk tujuan pengajaran dan pendidikan, asalkan bukan secara lazim lagi terus menerus sehingga dikenali (atau menjadi syi’ar) bahawa solat tersebut disunnahkan secara berjama’ah. Ini contohnya adalah seperti solat malam selain bulan Ramadhan.
Wallaahu a’lam.