Hormati Hak-hak Jalan, Jangan Diperkosa

Jalan-jalan Ini Punya Haknya…

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Sebahagian besar dari kita mungkin pernah menyaksikan pelbagai aksi demonstrasi jalanan sama ada di luar negara mahupun dalam negara kita Malaysia. Siapa yang tidak ingat dengan peristiwa 1998 lalu. Kemudian peristiwa 2007. Begitu juga dengan peristiwa 9 Julai 2011 baru-baru ini.

Demonstrasi jalanan telah menjadi faktor terganggunya lalu-lintas dan sesaknya jalan-jalan milik awam. Pelbagai lapisan masyarakat yang memiliki urusan di ibukota menjadi panik, gusar, runsing, dan marah kerana pelbagai aktiviti yang telah direncanakan terganggu.

Kita semua maklum bahawa jalan-jalan yang disediakan adalah milik awam. Ia memiliki fungsi khas bersama peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan demi kemaslahatan bersama.

Dalam Islam sendiri jalan-jalan ini memiliki hak-haknya yang perlu ditunaikan.

Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu pernah mengkhabarkan sebuah hadis Nabi berkaitan hak-hak jalan. Kata beliau, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ

 فَقَالُوا مَا لَنَا بُدٌّ إِنَّمَا هِيَ مَجَالِسُنَا نَتَحَدَّثُ فِيهَا قَالَ فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلاَّ الْمَجَالِسَ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهَا قَالُوا وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ

 قَالَ غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّ الْأَذَى وَرَدُّ السَّلاَمِ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ

“Janganlah kamu duduk-duduk di atas jalan.”

Maka mereka (para sahabat) berkata, “Sesungguhnya kami perlu duduk-duduk untuk berbincang-bincang.” Nabi menjawab, “Jika kamu tidak dapat berganjak melainkan perlu duduk-duduk, maka berikanlah hak-hak jalan tersebut.” Mereka bertanya, “Apa hak-hak jalan tersebut wahai Rasulullah?”

Nabi menjawab, “Menundukkan pandangan, tidak mengganggu (atau menyakiti) orang, menjawab salam, dan memerintahkan kepada yang ma’ruf serta mencegah dari kemungkaran.” (Shahih al-Bukhari, no. 2465)

Dalam riwayat yang lain dari Abu Thalhah:

كُنَّا قُعُودًا بِالْأَفْنِيَةِ نَتَحَدَّثُ فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ عَلَيْنَا فَقَالَ مَا لَكُمْ وَلِمَجَالِسِ الصُّعُدَاتِ اجْتَنِبُوا مَجَالِسَ الصُّعُدَاتِ فَقُلْنَا إِنَّمَا قَعَدْنَا لِغَيْرِ مَا بَاسٍ قَعَدْنَا نَتَذَاكَرُ وَنَتَحَدَّثُ قَالَ إِمَّا لَا فَأَدُّوا حَقَّهَا غَضُّ الْبَصَرِ وَرَدُّ السَّلَامِ وَحُسْنُ الْكَلَامِ

“Kami pernah duduk-duduk di halaman (berdekatan jalan) sambil berbincang-bincang, lalu datanglah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seraya berdiri di hadapan kami. Beliau pun bersabda:

“Kenapa kalian duduk-duduk di jalanan? Jauhilah perbuatan duduk-duduk di jalanan!

Lalu kami berkata:

“Sesungguhnya kami duduk bukan untuk perkara yang buruk (atau mengganggu). Kami duduk untuk saling mengingatkan dan berbicara.”

Rasulullah pun bersabda:

“Jika kalian tidak dapat meninggalkannya (yakni tetap perlu duduk juga di jalanan), maka tunaikan hak-haknya; yakni menundukkan pandangan, menjawab salam, dan berkata yang baik-baik.” (Shahih Muslim, no. 4020)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H):

وأشار بغض البصر إلى السلامة من التعرض للفتنة بمن يمر من النساء وغيرهن وبكف الأذى إلى السلامة من الاحتقار والغيبة ونحوها وبرد السلام إلى إكرام المار وبالأمر بالمعروف والنهي عن المنكر إلى استعمال جميع ما يشرع وترك جميع ما لا يشرع

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengisyaratkan dengan “menundukkan pandangan” adalah bagi mengisyaratkan keselamatan dari fitnah kerana melintasnya para wanita (yang bukan mahram) ataupun selainnya.

Menyebutkan “tidak mengganggu (atau menyakiti) orang” untuk mengisyaratkan supaya memelihara diri dari perbuatan menghina, mengata orang lain, atau yang serupa.

Menyebutkan perihal “menjawab salam” untuk mengisyaratkan kewajiban memuliakan atau mengormati orang yang melalui jalan tersebut.

Menyebutkan perintah amar ma’ruf nahi mungkar bagi mengisyaratkan kewajiban mengamalkan apa yang disyari’atkan dan meninggalkan apa-apa yang tidak disyari’atkan.” (Fath Al-Bari, 5/113)

Kata beliau juga:

ويؤخذ منه أن دفع المفسدة أولى من جلب المصلحة لندبه أولا إلى ترك الجلوس مع ما فيه من الأجر لمن عمل بحق الطريق وذلك أن الاحتياط لطلب السلامة آكد من الطمع في الزيادة

“Dapat difahami dari hadis ini, bahawa menolak mafsadah (kerosakan) adalah lebih utama dari mencari mashlahah (kebaikan). Ini kerana pada mulanya Nabi menganjurkan agar tidak duduk di jalanan walaupun mereka yang menunaikan hak-hak jalan mendapatkan pahala. Yang demikian adalah kerana dalam rangka ikhtiyaat (berhat-hati) dalam meraih keselamatan lebih ditekankan berbanding mendapatkan tambahan kebaikan.” (Fath Al-Bari, 5/113)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) pula menjelaskan:

 

والمقصود منه أنه يكره الجلوس على الطرقات للحديث ونحوه وقد أشار النبى صلى الله عليه و سلم إلى علة النهى من التعرض للفتن والاثم بمرور النساء وغيرهن وقد يمتد نظر اليهن أو فكرفيهن أو ظن سوء فيهن أو فى غيرهن من المارين ومن أذى الناس باحتقار من يمر أو غيبة أو غيرها أو إهمال رد السلام فى بعض الأوقات أو إهمال الأمر بالمعروف والنهى عن المنكر ونحو ذلك من الأسباب التى لو خلا فى بيته سلم منها ويدخل فى الأذى أن يضيق الطريق على المارين أو يمتنع النساء ونحوهن من الخروج فى أشغالهن بسبب قعود القاعدين فى الطريق أو يجلس بقرب باب دار إنسان يتأذى بذلك أو حيث يكشف من أحوال الناس الناس شيئا يكرهونه وأما حسن الكلام فيدخل فيه حسن كلامهم فى حديثهم بعضهم لبعض فلا يكون فيه غيبة ولا نميمة ولا كذب ولا كلام ينقص المروءة ونحو ذلك من الكلام المذموم ويدخل فيه كلامهم للمار من رد السلام ولطف جوابهم له وهدايته للطريق وارشاده لمصلحته ونحو ذلك

“Dan maksud dari hadis ini dan yang seumpama dengannya adalah bahawasanya Nabi membenci perbuatan duduk-duduk di jalanan.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengisyaratkan tentang alasan larangan beliau (terhadap perbuatan duduk-duduk di jalanan) bahawa perkara tersebut boleh mencampakkan ke dalam fitnah dan dosa di ketika ada para wanita (yang bukan mahramnya) atau selainnya yang melintasi mereka, sehingga membuatkannya memandang ke arah orang yang melintas tersebut, atau berfikir yang bukan-bukan tentang mereka, atau berprasangka buruk kepadanya, atau terhadap sesiapa sahaja yang melintas.

Dan di antara bentuk mengganggu (atau menyakiti) manusia adalah dengan menghina (atau mengejek) orang yang melintas, mengumpat, atau selainnya, atau terkadang tidak menjawab salam mereka, tidak melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, serta alasan-alasan lainnya yang bila dia berada di rumah dapat selamat dari perbuatan seperti itu.

Turut termasuk perbuatan menyakiti orang lain adalah bila menyempitkan jalan orang-orang yang ingin melintas, atau dirinya menjadi sebab terhalangnya para wanita, atau selainnya yang ingin keluar menyelesaikan keperluan mereka disebabkan ada orang-orang yang duduk di jalanan (yakni menyebabkan orang lain merasa malu atau takut)…

… Adapun perkataan yang baik-baik, maka termasuk di dalamnya perkataan yang baik dalam perbicaraan sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain, tidak ada ghibah (umpatan), namimah (adu domba atau hasutan), pendustaan, atau perkataan-perkataan yang menunjukkan rendahnya muru’ah (keperibadian dan wibawa), serta perkataan-perkataan tercela lainnya. Juga termasuk dalam makna ini adalah menjawab salam, berkelakuan sopan, menujukkan jalan yang benar (jika ada yang bertanya), dan membimbing pada kemaslahatan serta yang seumpamanya.” (Syarh Shahih Muslim, 14/142-143)

Melalui hadis di atas berserta penjelasannya oleh dua ulama tersebut sepatutnya kita semua dapat mengambil iktibar. Jika duduk-duduk pun ditegur oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka apatah lagi dengan melakukan perbuatan demonstrasi jalanan yang bukan sekadar duduk-duduk dan bincang-bincang! Sebaliknya bertindak membangkitkan emosi rakyat untuk memprotes. Bersama-sama mereka adalah kaum wanita, anak-anak, para gadis, orang-orang kafir, dan seumpamanya. Mereka berhimpun sambil bercampur-baur sesama mereka atas dasar emosi dan semangat memprotes. (lihat artikel terkait ikhtilath)

Dari sini saja telah dapat kita saksikan hak-hak jalan yang diperingatkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam gagal mereka patuhi, bahkan mereka langgar dengan berani sekali.

Maka, pelbagai perkara boleh kita persoalkan!

Antaranya adakah mereka dapat menundukkan pandangan, sedangkan bersama-sama mereka ada anak-anak gadis dan kaum wanita sama ada yang yang muslim mahupun yang kafir, yang jahil mahupun yang fasiq. Sama ada yang menutup aurat atau sebaliknya. Di manakah amar ma’ruf nahi mungkar dalam kalangan mereka sendiri? Bagaimanakah mereka mencegah gejala ikhtilath dari berlaku sesama mereka?

Sehingga kita juga akan bertanya, di manakah rasa malu anak-anak gadis ini terutamanya yang muslimat terhadap orang-orang yang saling memandang kepadanya tanpa sebarang keperluan syar’i? Malah gambar-gambar mereka turut dirakam dan tersebar seantero dunia menjadi tatapan jutaan manusia.

Dari sudut ini, urusan mereka sendiri tampak kabur. Walupun demikian, mereka tetap terus sibuk memprotes urusan orang lain dari menyibukkan kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Ibarat kuman diseberang laut sibuk diteropong, tetapi gajah di depan mata buat-buat tak nampak.

Demonstrasi jalanan selain mengganggu lalu-lintas, ia juga melanggar peruntukan perundangan jalan-raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa atau pemerintah. Sedangkan hukum mentaati pemerintah dalam urusan ini adalah wajib dan melanggarnya adalah haram.

Kata Al-Imam Al-Mubarakfuri rahimahullah, “Apabila seseorang pemimpin memerintahkan sesuatu yang sunnah atau mubah (atas alasan kemaslatahan), maka hukumnya menjadi wajib.” (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)

Sebagaimana yang telah dapat kita saksikan apabila jalan-jalan menjadi sesak dan terdapat pelbagai unsur provokasi, pihak polis pasti akan dikerahkan bagi mengawal keadaan dan keselamatan. Sekaligus berusaha menghalang dari berlaku sebarang kemungkinan tidak diingini. Pihak pemerintah atau pihak berkuasa berhak menetapkan larangan-larangan tertentu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak baik dari berlaku.

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menegaskan:

وَيَمْنَعُ مِنْ الِاجْتِمَاعِ فِي مَظَانِّ التُّهَمِ

“Dan dia (pihak berkuasa) berhak melarang mereka berhimpun di tempat-tempat yang dianggap boleh menimbulkan tohmahan (atau tuduhan).” (Majmu’ al-Fatawa, 28/106)

Lebih dari kesesakan dan gangguan lalu-lintas, demonstrasi jalanan juga turut melahirkan rasa takut di kalangan orang awam. Ini dapat dilihat apabila para aktivis demonstrasi yang berhimpun bersama-sama pengikut mereka sehingga ratusan, ribuan, atau mungkin lebih dari itu. Mereka berjalan dengan penuh agresif sambil terjerit-terjerit dan terpekik-terlolong. Malah mulut mereka sering tidak lepas dari turut menghamburkan kata-kata caci, herdik, maki, provokasi, celaan dan kejian.

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

“Seseorang muslim (yang sempurna keislamannya) adalah bila mana umat Islam lainnya selamat dari lisan dan tangannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 10. Muslim, no. 41)

Juga dari hadis ‘Abdullah bin Mas’oud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

“Mencaci orang muslim adalah perbuatan fasiq dan membunuhnya (tanpa haq) adalah perbuatan kufur.” (Shahih Al-Bukhari, no. 48)

Dan juga melalui sabdanya:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah dia berkata yang baik-baik atau hendaklah ia diam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6135. Muslim, no. 47)

Selain memenuhi hak-hak jalan, satu lagi perkara penting yang sering diabaikan adalah sunnah menghilangkan gangguan yang ada di jalanan.

Menghilangkan gangguan di jalan-jalan termasuk salah satu tanda iman. Sesiapa yang sengaja menghalang-halang jalan tanpa hak yang benar termasuk dengan mengadakan demonstrasi jalanan yang tidak syar’i, ia sebenarnya telah menzahirkan sikap bertentangan dengan sebahagian ciri-ciri iman.

Sehingga perbuatan mereka tersebut menyebabkan pihak polis terpaksa dikerahkan berkawal di setiap jalan-jalan berkaitan. Rasa takut, bimbang, marah, dan risau menguasai para penguna jalan-raya apabila jalan-jalan ditutup dan banyak sekatan dibuat.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الإِيمَانِ

“Iman itu tujuh puluh cabang lebih atau enam puluh cabang lebih. Yang paling utama adalah ucapan “Laa ilaaha illallah” dan yang paling rendah adalah menyingkirkan rintangan (gangguan) dari jalanan. Dan rasa malu itu juga termasuk salah satu cabang iman.” (Shahih Muslim, no. 51)

Tanyakan khabar iman kita. Sejauh mana rasa malu yang kita miliki ini telah mampu menghalang dari bermaksiat kepada Allah? Adakah rasa malu kita telah menghalang kita dari melanggari perintah-perintah Nabi? Adakah iman kita saat ini mengarahkan kita menunaikan hak-hak jalan dan menyingkirkan gangguan di jalanan? Jawab sejujurnya pada diri masing-masing. Kerana apa yang pernah kita saksikan dalam demonstrasi-demonstrasi jalanan lalu, ibukota negara terganggu dengan kesesakan, kacau-bilau, malah hampir lumpuh operasi terutamanya pada 9 Julai 2011 dan siri demonstrasi 1998.

Kalaulah setiap orang bebas berhimpun tanpa menghiraukan hak-hak pengguna lain atau undang-undang yang telah ditetapkan, nescaya huru-haralah dunia. Sedangkan mahu meletakkan kenderaan saja sudah ada undang-undangnya, inikan pula demonstrasi jalanan? Kalau mahu berniaga pun perlu ada kebenaran dan lesen, inikan pula untuk berhimpun sambil terjerit-jerit, membawa provokasi serta mengganggu para pengguna jalan lainnya.

Tidakkah nanti orang-orang berniaga, orang yang mahu meletak kenderaan, orang yang bermain sukan, orang yang mahu makan-makan kenduri juga akan mengatakan kami juga mahu melakukannya di jalan-jalan dan tempat-tempat yang kami suka. Alasannya, “Bebas berhimpun dan hak asasi manusia!?” Atau mereka mengatakan, “Kami juga punya hak!?”

Kacau sungguh kalau manusia tidak reti untuk diatur. Akhirnya menzalimi manusia atau pengguna lainnya. Bukankah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

مَنْ طَلَبَ حَقًّا فَلْيَطْلُبْهُ فِي عَفَافٍ وَافٍ، أَوْ غَيْرَ وَافٍ

“Sesiapa yang menuntut haknya, maka hendaklah dia menuntutnya dengan cara yang mulia (dengan mengikuti sunnah), sama ada ia berjaya atau pun tidak.” (Shahih Ibnu Hibban, no. 5080)

Maka, ambillah hak-hak dengan cara yang mulia,  iaitu dengan cara yang telah disusun-aturkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasul-Nya melalui sunnah-sunnahnya yang mulia. Bukan dengan cara yang menyelisihi sunnah dan mengikuti hawa nafsu sehingga mendatangkan kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta’ala serta menjadikan keadaan menjadi lebih buruk lagi.

Wallahu a’lam… Semoga Allah memberikan hidayah dan taufiq-Nya kepada kita dan mereka.