Siapa Sebenarnya ULAMA?

Siapa Sebenarnya ULAMA?

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Penggunaan kalimat ulama di sisi kita bukanlah suatu yang asing. Gelaran ulama dalam kalangan masyarakat kita hari ini banyak diguna untuk penjenamaan tertentu seperti kepimpinan ulama, ulama tradisional, persatuan ulama, dewan ulama, ulama muda, dan yang seumpamanya.

Sejauh manakah kefahaman kita terhadap kalimat “ulama” dan siapakah sebenarnya yang tepat untuk dimaksudkan sebagai ulama? Lebih tidak enak, sejak akhir-akhir ini, nampak seakan-akan begitu mudah meletakkan gelaran ulama kepada sesiapa sahaja dalam rangka meraih populariti, publisiti dan tujuan-tujuan yang amat meragukan. Pakai jubah, pakai serban, dan boleh cakap tentang agama di atas pentas terus digelar ulama.

Dalam sejarah era para sahabat, Khalifah ‘Ali radhiyallahu ‘anhu pernah mengerahkan tentera memerangi sekumpulan manusia (kaum Khawarij) yang mana mereka yang diperangi ini memiliki sifat tekun beribadah seperti rajin solat malam, selalu berpuasa, dan begitu hebat bacaan al-Qur’annya. Disebutkan juga riwayat tentang ibadah-ibadah yang mereka lakukan adalah jauh lebih hebat mengatasi ibadah para sahabat. Namun, kumpulan manusia tersebut tetap diperangi dan dihapuskan atas beberapa sebab yang kritikal iaitu menyelisihi manhaj para sahabat dalam memahami agama dan berpisah dari ketaatan terhadap pemerintah (menjadi pemberontak).

Ini sebagaimana yang dijelaskan melalui hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa tekun beribadah semata-mata bukanlah sebuah jaminan bahawa seseorang itu berada di atas landasan yang benar, apatah lagi untuk meletakkan mereka di dalam barisan alim ulama. Sabdanya:

يَخْرُجُ فِيكُمْ قَوْمٌ تَحْقِرُونَ صَلَاتَكُمْ مَعَ صَلَاتِهِمْ وَصِيَامَكُمْ مَعَ صِيَامِهِمْ وَعَمَلَكُمْ مَعَ عَمَلِهِمْ وَيَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنْ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنْ الرَّمِيَّةِ

“Akan datang kepada kamu suatu kaum yang kamu akan merasa rendah apabila solat kamu dibandingkan dengan solat mereka, puasa kamu dibandingkan dengan puasa mereka, dan amal-amal kamu dibandingkan dengan amal-amal mereka. Mereka membaca al-Qur’an (tetapi) tidak melepasi kerongkong. Mereka keluar dari batas-batas (disiplin) agama seperti anak panah menembus keluar dari tubuh sasarannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5058)

Pernahkah pula kita menekuni kisah imam Malik bin Anas, imam Ahmad bin Hanbal, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, dan beberapa ulama lainnya yang berfatwa dari dalam penjara? Jika kita perhatikan dari kisah mereka, bukankah ia juga dapat menterjemahkan kepada kita bahawa kriteria seseorang ulama itu bukanlah semestinya mereka berada di dalam barisan Majlis Fatwa Negara, Dewan Ulama, atau pun yang menyandang jawatan-jawatan khas hal ehwal agama tertentu di dalam negaranya. Bahkan pernah terjadi di zaman mereka ini orang-orang yang menyandang jawatan keagamaan adalah dari kalangan sesat berfahaman Jahmiyah dan Muktazilah yang menyelewengkan begitu banyak perkara-perkara agama.

Dari itu, apakah kriteria-kriteria yang tepat untuk menunjukkan seseorang itu sebagai manusia yang layak dipanggil atau digelar ulama? Sekaligus tidaklah setiap pihak atau individu bermudah-mudah dalam mengkategorikan sesiapa sahaja yang disukainya sebagai ulama yang wajar dijadikan sebagai contoh atau ikutan (diambil pendapatnya) dan berhak mengeluarkan fatwa (menyelesaikan masalah masyarakat dan umat Islam).

Seorang tokoh besar tabi’in, Muhammad bin Sirin rahimahullah (Wafat: 110H) berkata:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

“Sesungguhnya ilmu itu adalah dien (petunjuk kehidupan), oleh itu telitilah dengan baik daripada siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Muqaddimah Shahih Muslim, 1/14)

Kriteria seseorang ulama yang paling utama adalah paling takut dan paling taat kepada Allah, disebabkan mereka sangat mengenali Allah Subhanahu wa Ta’ala, nama-nama-Nya, dan sifat-sifat-Nya berdasarkan ilmu yang benar.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

“Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah yang paling takut (tunduk) kepada-Nya adalah para ulama (orang-orang yang berilmu).” (Surah Fathir, 35: 28)

Juga firman-Nya:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

“Katakanlah, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”.” (Surah Az-Zumar, 39: 9)

Dari ayat di atas, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma menyatakan:

العالم بالرحمن [من عباده] مَنْ لم يشرك به شيئا، وأحل حلاله، وحرم حرامه، وحفظ وصيته، وأيقن أنه ملاقيه ومحاسب بعمله

“Orang ‘aalim (yang berilmu) tentang Allah yang Maha Pengasih [dari kalangan hamba-Nya] adalah orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun, menghalalkan dan mengharamkan sebagaimana yang ditetapkan Allah, menjaga dan memelihara tuntutan dan kehendak Allah, meyakini bahawa Allah akan menemuinya dan menghisab amal perbuatannya.” (Tafsir Ibn Katsir, 6/544)

Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) berkata, “Di antara sifat para ulama adalah banyak meneliti tentang ilmu berkaitan amal yang berkaitan dengan perkara-perkara yang mampu menjadikan amal-amal itu rosak, mengotorkan hati, dan menimbulkan keragu-raguan. Kerana asal amalan itu adalah dekat dan mudah, tetapi yang sukar adalah bagi menjadikannya bersih. Sementara ushul agama adalah menjauhi dari segala bentuk keburukan. Dan tidak dapat menjauhi keburukan melainkan dengan apabila dia mengetahuinya. Dan sebahagian lagi sifat para ulama adalah sentiasa meneliti rahsia amal-amal berkaitan syari’ah dan mengamati hukum-hakamnya. Sehingga mereka mengetahui dengan mendalam sebab-musabab sesuatu hukum itu berada di dalam agama. Kemudian, termasuk sikap mereka juga adalah mereka sentiasa megikuti jejak langkah para Sahabat dan  generasi terbaik dari kalangan Tabi’in serta mereka menjauhi segala bentuk perkara baru dalam agama (bid’ah).” (Mukhtashar Minhaj Al-Qashidin, m/s. 26 – Maktabah Daar Al-Bayaan)

Baca juga artikel, Siapakah Orang Yang Paling Berilmu.

Keduanya, ulama itu adalah mereka yang mewarisi dan menyampaikan apa yang disampaikan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berupa Al-Qur’an, hadis-hadis dan sunnahnya bersertakan kefahaman yang benar (faqih). Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Sunan Abi Dawud, no. 3641. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Berkata Imam Ibnu Hibban rahimahullah (Wafat: 354H):

في هذا الحديث بيان واضح أن العلماء الذين لهم الفضل الذي ذكرنا هم الذين يعلمون علم النبي صلى الله عليه وسلم دون غيره من سائر العلوم ألا تراه يقول: “العلماء ورثة الأنبياء” والأنبياء لم يورثوا إلا العلم وعلم نبينا صلى الله عليه وسلم سنته فمن تعرى عن معرفتها لم يكن من ورثة الأنبياء

“Dalam hadis ini terdapat penjelasan yang sangat jelas bahawa ulama yang memiliki keutamaan yang kami ulas adalah mereka yang mengajarkan ilmu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sahaja, bukan yang mengajarkan ilmu-ilmu lain. Bukankah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Ulama adalah pewaris para nabi” dan para nabi tidak mewariskan apa pun melainkan ilmu dan ilmu Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sunnahnya. Sesiapa pun yang tidak mengetahui sunnah, maka bukanlah pewaris para nabi.” (Shahih Ibn Hibban, 1/291 – Tahqiq Syua’ib Al-Arna’uth)

Ilmu di sini adalah meliputi sehingga kepada seluruh cabang-cabang ilmu dalam agama, sama ada aqidah, hadis, tafsir, fiqh, atsar para sahabat dan termasuklah penguasaan bahasa (bahasa arab). Dan ilmu tersebut dibawa pula oleh orang-orang yang terpercaya sebagaimana hadis berikut:

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين

“Ilmu agama ini akan terus dibawa oleh orang-orang yang adil (terpercaya dan bukan fasiq) dari generasi ke generasi, yang selalu berjuang membersihkan agama dari penyelewengan maksud-maksud agama, pendustaan orang-orang sesat yang mempergunakan nama agama, dan pentakwilan agama yang salah yang dilakukan oleh orang-orang yang jahil.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi, Ath-Thabrani, dan Ath-Thahawi. Al-Albani menyatakan, “Hadis ini masyhur tetapi diperselisihkan keabsahannya.” (Tahrim Alat Ath-Tharb, m/s. 69) Lihat juga: Misykah Al-Mashabih dengan Tahqiq Al-Albani, no. 248)

Dari itu, mereka yang menyampaikan segala sesuatu yang tidak terdapat dalam sunnah-sunnah Rasulullah dengan menyandarkannya atas nama agama atau sunnah, maka tindakan tersebut memerlukan kepada penelitian dan perincian kerana takut-takut ianya termasuk ke dalam ciri-ciri penyebar dan pembuat bid’ah (mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama).

Sebab itulah Al-Imam Al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) mengatakan:

واعلم أن العلم ليس بكثرة الرواية والكتب ولكن العالم من اتبع الكتاب والسنة وإن كان قليل العلم والكتب ومن خالف الكتاب والسنة فهو صاحب بدعة وإن كان كثير الرواية والكتب

“Dan fahamilah bahawa ilmu itu bukanlah dengan banyaknya riwayat dan kitab, tetapi yang dikatakan sebagai ‘aalim (orang yang berilmu) itu adalah orang yang mengikuti Al-Kitab dan sunnah walaupun hanya sedikit ilmu dan kitabnya. Sesiapa yang menyalahi Al-Kitab dan As-Sunnah maka dia adalah ahli bid’ah walaupun ilmu dan kitabnya banyak.” (Syarh As-Sunnah, m/s. 45, no. 81)

Seterusnya, ulama memiliki ilmu yang mendalam terhadap agama dan mampu menganalisa serta merungkaikan kepelbagaian persoalan agama dan ilmu-ilmunya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ وَمَا يَعْقِلُهَا إِلَّا الْعَالِمُونَ

“Dan itulah contoh-contoh yang kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.” (Surah Al-Ankabut, 29: 43)

Abu Qasim Al-Ashbahani rahimahullah (Wafat: 425H) memberitahu kepada kita, “Bahawasanya ahli kalam (golongan pemikir atau ahli falsafah) tidaklah termasuk ulama. Para ulama Salaf (terdahulu) berkata, “Seseorang tidak boleh menjadi imam di dalam agama sehingga dia memiliki kriteria berikut, 1 – Memahami bahasa arab berserta pelbagai perkara yang berhubung dengannya termasuk menguasai makna-makna syair arab, 2 – memahami perbezaan pendapat di antara para ulama atau ahli fiqh, 3 – seorang yang berilmu, 4 – mengerti tentang i’rab (tatabahasa arab dari kata per kata), 5 – memahami al-Qur’an berserta bacaan-bacaannya dan perbezaan di antara para qurra’ (para periwayat bacaan al-Qur’an), 6 – menguasai tafsir sama ada berkaitan ayat-ayat muhkam (yang jelas) atau pun mutasyabihat (yang samar-samar), yang nasikh (yang memansuhkan) mahu pun yang mansukh (yang dimansuhkan) serta pelbagai kisah di dalamnya, 7 – memahami hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dapat membezakan di antara yang sahih dan sebaliknya, yang bersambung atau pun terputus, hadis-hadis mursal dan sanad-sanadnya, yang masyhur, dan yang gharib, 8 – serta mengetahui perkataan-perkataan (atsar) para Sahabat radhiyallahu ‘anhum, 9 – kemudian dia wajib wara’, menjaga diri, jujur, terpercaya, membina (mengeluarkan) pendapat dan agamanya berpandukan kitabullah dan sunnah Rasul-Nya”.” (Sallus Suyuf wal Asinnah ‘ala Ahlil Hawa wa Ad’iya’ As-Sunnah oleh Tsaqil Shalfiq Al-Qasimi, m/s. 85-86 – Terjemahan/Terbitan Pustaka As-Sunnah)

Dengan ilmu tersebutlah kemudiannya orang-orang yang berilmu dari kalangan ulama ini menegakkan tauhid dan menegakkan keadilan (al-haq). Iaitu dengan tidak menyembunyikan ilmu serta sentiasa menyebarkan kebenaran dengan cara mengajar, menerapkan nilai-nilai agama, mengajak kepada kebaikan, dan melarang manusia dari segala bentuk kemungkaran di atas prinsip-prinsipnya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Allah mempersaksikan bahawasanya tiada yang berhak diibadahi (dengan benar) melainkan Dia, dan para Malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian), yang menegakkan dengan keadilan. Tiada yang berhak diibadahi (dengan benar) melainkan Dia, yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 18)

Yang terakhir, dengan kriteria dan keilmuan tersebutlah masyarakat menjadikan mereka sebagai tempat rujukan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala agar kita sentiasa merujuk kepada orang yang mengetahui (berilmu). Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Bertanyalah kamu kepada Ahl Adz-Dzikri (orang yang berilmu iaitu dari kalangan ulama) apabila kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl, 16: 43)

Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah menyatakan:

واهل الذكر هم اهل العلم بما انزل على الانبياء

“Dan Ahli dzikir itu adalah orang-orang yang memiliki ilmu terhadap apa-apa yang Allah turunkan kepada para nabi.” (Miftah Daar As-Sa’aadah, 1/52)

Al-Imam Ibn Qutaibah rahimahullah (Wafat: 276H) berkata, “Sekiranya masalah yang rumit di antara kedua perkara tersebut dikembalikan kepada orang yang berilmu yang memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah, maka jelaslah bagi mereka manhaj tersebut dan jalan keluarnya pun menjadi luas, tetapi ada sesuatu yang menghalang mereka, iaitu sibuk mencari kekuasaan, suka mengikut keyakinan dan perkataan-perkataan saudara-saudaranya.” (Sallus Suyuf wal Asinnah ‘ala Ahlil Hawa wa Ad’iya’ As-Sunnah, m/s. 83 – Terjemahan/Terbitan Pustaka As-Sunnah)

Al-Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) mengatakan:

إذا كان عند الرجل الكتب المصنفة فيها قول رسول الله – واختلاف الصحابة و التابعين فلا يجوز أن يعمل بما شاء ويتخير فيقضي به ويعمل به حتى يسأل أهل العلم ما يؤخذ به فيكون يعمل على أمر صحيح

“Jika di hadapan seseorang itu ada beberapa kitab yang disusun di mana di dalamnya mengandungi perkataan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, pendapat-pendapat yang berbeza dari kalangan para sahabat dan tabi’in, maka dia tidak boleh mengamalkan, memilih, dan memutuskan sesuatu pendapat berdasarkan kehendaknya (semata-mata), tetapi dia perlu bertanya terlebih dahulu kepada ahlul ilmi (para ulama) tentang apa yang harus dia ambil sehingga dia dapat bertindak berdasarkan suatu pendapat yang sahih.” (I’lam al-Muwaqqi’in, 1/44)

Demikianlah beberapa kriteria yang dapat diungkapkan dari beberapa sumber rujukan berkenaan ciri-ciri ulama yang dengannya supaya kita tidak bermudah-mudah menobatkan seseorang sebagai ulama atau mengangkat perkataan sesiapa sahaja atas tiket gelaran ulama tanpa asas yang tepat. Bahkan kitalah yang perlu bersama-sama duduk bersimpuh menuntut ilmu kepada para ulama yang memiliki ciri-ciri pewaris Nabi serta berhati-hati kepada sesiapa sahaja yang sering mendabik dada bahawa dirinya adalah ulama, terutamanya dalam rangka meraih populariti politik demokrasi akhir-akhir ini. Tidaklah dinamakan sebagai ulama orang-orang yang mempergunakan agama untuk mengkritik, mencela, mengumpat, dan mengaibkan pemerintah walaupun kebanyakan orang menggelarkannya sebgai ulama. Sebaliknya sikap suka mengkritik, mencela, mengumpat, dan mengaibkan pemerintah adalah sebahagian ciri-ciri ahli bid’ah dari kalangan khawarij.

Tidak juga dikatakan sebagai ulama kepada mereka yang pantang ditanya terus berfatwa itu dan ini tanpa landasan fakta yang boleh dipertanggungjawabkan (dari Al-Qur’an dan As-Sunnah di atas kefahaman ahli sunnah wal-jama’ah).

Al-Imam ‘Abdurrahman bin Mahdi rahimahullah (Wafat: 198H) berkata:

احْفَظْ، لَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ الرَّجُلُ إِمَامًا حَتَّى يَعْلَمَ مَا يَصِحُّ مِمَّا لَا يَصِحُّ، وَحَتَّى لَا يحْتَجُّ بِكُلِّ شَيْءٍ، وَحَتَّى يَعْلَمَ بِمَخَارِجِ الْعِلْمِ

“Hafalkanlah, tidak boleh seseorang itu menjadi imam (orang yang diambil pendapatnya dan teladan) sampailah dia mengetahui apa yang sahih dari apa yang tidak sahih, dan sampailah dia tidak berhujah dengan setiap sesuatu (yang dia capai), dan sampai dia mengetahui tempat keluarnya ilmu (iaitu dari mana ilmu seharusnya diambil).” (Hilyat ul-Awliyaa oleh Abu Nu’aim, 9/3)

Dan ketahuilah bahawa ulama juga adalah manusia. Dan tidak semestinya ulama wajib untuk mengetahui setiap perkara dan apa yang dipertanyakan. Bahkan termasuk ciri-ciri orang yang berilmu juga adalah orang yang mampu mengatakan, “Aku tidak tahu” terhadap apa yang tidak diketahuinya. Dia tidak menokok-tambah sesuatu pun ke dalam agama, dan dia tidak mengolah agama mengikut hawa nafsunya.

‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu mengatakan:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ مَنْ عَلِمَ شَيْئًا فَلْيَقُلْ بِهِ وَمَنْ لَمْ يَعْلَمْ فَلْيَقُلْ اللَّهُ أَعْلَمُ فَإِنَّ مِنْ الْعِلْمِ أَنْ يَقُولَ لِمَا لَا يَعْلَمُ اللَّهُ أَعْلَمُ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لِنَبِيِّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنْ الْمُتَكَلِّفِينَ

“Wahai manusia, sesiapa yang mengetahui sesuatu hendaklah dia mengatakannya, dan sesiapa yang tidak mengetahui hendaklah dia mengatakan, “Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui)”.

Kerana termasuk sebahagian dari ilmu adalah mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya.” Kemudian beliau menyebutkan firman Allah (Surah Shaad, 38: 86),

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikitpun padamu atas dakwahku dan bukanlah aku dari kalangan orang yang mengada-adakan.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 4809)

Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) pernah mengatakan:

ينبغي للرجل إذا حمل نفسه على الفتيا أن يكون عالما بالسنن عالما بوجوه القرآن عالما بالأسانيد الصحيحة وذكر الكلام المتقدم

“Wajib bagi seseorang yang meletakkan dirinya sebagai pemberi fatwa untuk mengetahui (dengan mendalam) tentang As-Sunnah, mengetahui (dengan mendalam) kepelbagaian ilmu Al-Qur’an, sanad-sanad yang sahih, dan pendapat (perkataan-perkataan) orang-orang terdahulu.” (I’lam Al-Muwaqqi’in, 1/46)

Sehingga Imam Malik rahimahullah (Wafat: 179H) yang merupakan seorang tokoh dan bintang kepada para ulama menegaskan pendiriannya dengan penuh tawadhu’:

ما أفتيت حتى شهد لي سبعون أني أهل لذلك

“Aku tidak berfatwa sehinggalah tujuh puluh orang (ulama) mengakui bahawa aku layak berfatwa.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 8/96)

Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) pula menyatakan:

لا يحل لأحد أن يفتي في دين الله إلا رجلا عارفا بكتاب الله بناسخه ومنسوخه ومحكمه ومتشابهه وتأويله وتنزيله ومكيه ومدنيه وما أريد به ويكون بعد ذلك بصيرا بحديث رسول الله ص – وبالناسخ والمنسوخ ويعرف من الحديث مثل ما عرف من القرآن ويكون بصيرا باللغة بصيرا بالشعر وما يحتاج إليه للسنة والقرآن ويستعمل هذا مع الإنصاف ويكون بعد هذا مشرفا على اختلاف أهل الأمصار وتكون له قريحة بعد هذا فإذا كان هكذا فله أن يتكلم ويفتي في الحلال والحرام وإذا لم يكن هكذا فليس له أن يفتي

“Tidak halal memberikan fatwa dalam permasalahan agama melainkan bagi seseorang yang memiliki pengetahuan tentang Al-Qur’an, sama ada berkaitan ayat nasikh dan mansukhnya, ayat muhkamat dan mutasyabihatnya, tafsir dan sebab turunnya, ayat makiyah dan madaniyahnya, dan setiap isi kandungannya. Setelah itu dia wajib mengetahui hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sama ada hadis nasikh atau mansukhnya, dan dia wajib mengetahui hadis tersebut sebagaimana dia mengetahui Al-Qur’an serta perlu menggunakan perkara tersebut dengan adil. Kemudian dia wajib mengetahui perbezaan pendapat orang-orang yang berilmu (para ulama) dari pelbagai penjuru lalu mendalaminya. Apabila telah seperti itu, maka dibolehkan baginya untuk mengemukakan pendapat dan memberikan fatwa dalam persoalan halal dan haram. Seandainya tidak seperti itu, maka tidak boleh baginya untuk berfatwa.” (I’lam Aal-Muwaqqi’in, 1/46)

Wallahu a’lam.