Ganjaran dan Keutamaan Orang-orang Berpuasa

Ganjaran dan Keutamaan Orang-orang Yang Puasa

www.ilmusunnah.com

puasa adalah perisaiAmalan puasa sama ada puasa-puasa sunnah mahupun puasa yang difardhukan di bulan Ramadhan adalah termasuk amalan yang memiliki banyak keutamaan. Puasa merupakan amalan orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Berikut kami paparkan sebahagian dari keutamaan-keutamaan dimaksudkan sebagaimana yang terdapat di dalam dalil-dalil yang sahih.

Pertama; Mendapat ganjaran khusus dari Allah, mendapat dua kegembiraan, dan bau mulutnya seharum kasturi di sisi Allah.

Dalam sebuah hadis disebutkan tentang amalan puasa ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ، قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: إِلَّا الصَّوْمَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي” ” لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ” وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

“Setiap amal (kebaikan) yang dilakukan oleh anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisalnya hingga tujuh ratus kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Kecuali amalan puasa, amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku, Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwatnya dan makanannya kerana Aku.”

Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika dia berbuka, dan kegembiraan ketika dia berjumpa dengan Rabb-nya. Sungguh, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari harumnya misk (kasturi).” (Shahih Muslim, no. 1151)

Hadis ini menunjukkan betapa besarnya keutamaan dan keagungan ibadah puasa secara umum berbanding ibadah-ibadah sunnah lainnya.

Kedua; Merupakan ciri atau sifat wali-wali Allah, iaitu orang yang dekat lagi dicintai Allah, iaitu apabila dia sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan amal-amal sunnah yang dicintai Allah sehingga dia mendapat keutamaan dan kedudukan di sisi Allah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman sebagaimana dalam sebuah hadis qudsi:

مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ: كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ

“Sesiapa yang menyakiti wali-Ku (kekasih-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang ke atasnya. Dan tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku yang lebih Aku sukai dari dari sesuatu yang telah Aku wajibkan atasnya. Dan tidak henti-hentinya seseorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amal-amal sunnah sehinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, maka Aku akan menjadi pendengaran yang ia mendengar dengannya, penglihatan yang ia melihat dengannya, tangan yang ia memukul dengannya, dan kaki yang ia berjalan dengannya. Jika ia meminta, maka Aku akan memberinya. Dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku, maka Aku akan memberikan perlindungan kepadanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6502)

Ketiga; Doa orang-orang yang berpuasa dinyatakan mustajab Oleh Nabi.

Ini adalah sebagaimana hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثَلاَثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لاَ شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Tiga doa yang mustajab tanpa syak adalah doa ibu bapa, doa orang yang dalam safar (perjalanan), dan doa orang yang dizalimi.” (Sunan Abi Dawud, no. 1536)

Dalam hadis yang lain:

ثَلَاثٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ، الإِمَامُ العَادِلُ، وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ، وَدَعْوَةُ المَظْلُومِ

“Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2526)

Keempat; di Syurga terdapat sebuah pintu khas disebut Ar-Rayyaan, iaitu salah satu pintu Syurga yang khusus hanya bagi orang-orang yang berpuasa.

Dari Sahl bin Sa’d, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أَيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَدْخُلُونَ مِنْهُ، فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ، أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

“Sesungguhnya di Syurga ada pintu disebut dengan nama Ar-Rayyaan. Mereka yang dibenarkan masuk melaluinya di hari Kiamat adalah dari kalangan orang-orang yang berpuasa, tidak dibenarkan masuk seorang pun selain dari mereka yang berpusa. Mereka akan dipanggil:

“Mana dia orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk. Apabila telah masuk yang terakhir dari mereka, maka pintu pun ditutup dan tidak dibenarkan seorang pun lagi masuk melaluinya.” (Shahih Muslim, no. 1152)

Kelima; Puasa Adalah Perisai.bau mulut orang puasa

Selain itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turut menjelaskan bahawa:

الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ

“Puasa itu adalah perisai, maka janganlah bercakap kotor (atau keji), jangan seperti orang jahil, jika ada seseorang yang memusuhi atau menyakitinya, maka katakanlah:

“Sesungguhnya aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1894)

Hadis ini menunjukkan bahawa dengan berpuasa, Allah mendidik kita agar bersifat sabar, menjaga tutur kata, dan menjauhi kelakuan orang-orang bodoh.

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H), “Kata “جُنَّةٌ” maksudnya adalah penutup atau penghadang dari perbuatan keji dan dosa-dosa, sekaligus perisai dari api Neraka.” (Syarh Shahih Muslim, 8/30-31)

Kata Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

أن الصيام يضيق مجاري الدم التي هي مجاري الشيطان من ابن آدم فإن الشيطان يجري من ابن آدم مجرى الدم فتسكن بالصيام وساوس الشيطان وتنكسر سورة الشهوة والغضب ولهذا جعل النبي صلى الله عليه وسلم “الصوم وجاء” لقطعه عن شهوة النكاح.

“Puasa itu memperkecil kapilari (atau saluran-saluran) darah yang merupakan tempat laluan Syaitan untuk masuk ke dalam tubuh anak Adam, maka dengan berpuasa, bisikan-bisikan Syaitan pun akan dapat ditenangkan (dan dilemahkan), demikian pula syahwat dan kemarahan. Oleh kerana itulah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadikan puasa sebagai benteng (perisai) yang mampu memutuskan syahwat dari menikah (bagi yang belum berkemampuan).” (Lathaa’if Al-Ma’aarif, m/s. 155)

Keenam; Menjauhkan dari Neraka.

Kemudian dalam hadis yang lain dari Abi Sa’iid Al-Khudri, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ، بَاعَدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

“Sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, maka Allah akan menjauhkan wajahnya dari Neraka sejauh (perjalanan) tujuh puluh tahun.” (Shahih Muslim, no. 1153)

Dari hadis Abi Umamah dalam Sunan At-Tirmidzi, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ جَعَلَ اللَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّارِ خَنْدَقًا كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ

“Sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, maka Allah menjadikan di antaranya dengan Neraka sebuah parit seperti (jarak) antara langit dan bumi.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1624)

Ketujuh; Puasa Sebagai Kaffarah (Penggugur) Dosa.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meriwayatkan dari Rabb kalian, Allah berfirman:

لِكُلِّ عَمَلٍ كَفَّارَةٌ، وَالصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ

“Setiap amal (anak Adam) itu adalah kaffarah (penebus dan penggugur dosa), manakala puasa pula adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya. Dan bahawa mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah berbanding aroma kasturi.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7538)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

“Solat 5 waktu, Juma’at ke Juma’at berikutnya, dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah pelebur dosa antara keduanya apabila dosa-dosa besar dijauhi.” (Shahih Muslim, no. 233)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu.” (Musnad Ahmad, no. 7170. Shahih Al-Bukhari, no. 38. Muslim, no. 760. Sunan Abi Dawud, no. 137)

Dari hadis Hudzaifah Ibn Al-Yaman radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَنَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ، يُكَفِّرُهَا الصِّيَامُ، وَالصَّلَاةُ، وَالصَّدَقَةُ، وَالْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيُ عَنِ الْمُنْكَرِ

“Fitnah (permasalahan atau dosa-dosa kecil) seseorang terhadap keluarganya, hartanya, jiwanya, anak-anaknya, dan jiran-tetangganya dapat digugurkan dengan puasa, solat, sedekah, dan amar ma’ruf serta nahi munkar.” (Shahih Al-Bukhari, no. 525. Shahih Muslim, no. 144. Lafaz hadis adalah dari Shahih Muslim)

Kelapan; Puasa Membawa Ke Syurga.

Dari hadis Abu Umamah Al-Bahili, beliau berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: مُرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ. قَالَ: ” عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ؛ فَإِنَّهُ لَا عِدْلَ لَهُ “. ثُمَّ أَتَيْتُهُ الثَّانِيَةَ فَقَالَ لِي: ” عَلَيْكَ بِالصِّيَامِ “

“Aku mendatangi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu bertanya:

“Perintahkanla aku dengan suatu amal yang dapat memasukkanku ke Syurga.”

Rasulullah bersabda:

“Hendaklah engkau berpuasa (yakni dengan tetap menjaganya). Kerana tidak ada yang sebanding dengannya.”

Kemudian aku mendatangi Rasulullah untuk kali kedua dan beliau tetap mengatakan:

“Hendaklah engkau berpuasa.” (Musnad Ahmad, no. 22149)

Kesembilan; Menjadi Syafa’at Pada Hari Kiamat.

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ”، قَالَ: فَيُشَفَّعَانِ

“Puasa dan Al-Qur’an akan memberi syafa’at kepada seorang hamba kelak di hari Kiamat. Puasa berkata:

“Wahai Rabb, aku telah menghalangi seseorang dari makanan dan syahwat di siang harinya, maka izinkan aku memberi syafa’at padanya.” Al-Qur’an juga berkata:

“Aku telah menghalanginya untuk tidur di malam hari, maka izinkan aku memberi syafa’at padanya.” Maka keduanya pun diizinkan untuk memberikan syafa’at kepadanya.” (Musnad Ahmad, no. 6626. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Demikian sebahagian dari keutamaan-keutamaan yang dijanjikan bagi orang-orang yang berpuasa dan menjaga puasanya. Dan sudah tentu di sana terdapat banyak lagi dalil-dalil yang menyebutkan tentang keutamaannya dan keutamaan-keutamaan amal-amal soleh secara umum yang puasa tercakup di dalamnya.

Semoga padanya terdapat manfaat dan motivasi bagi kita untuk melaksanakan ibadah puasa dengan baik dengan bentuk penjagaan yang sungguh-sungguh di atas ilmu dan iman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Wallaahu a’lam.