Etika dan Akhlak Peniaga Muslim
Jual-beli adalah aktiviti mu’amalah yang dihalalkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
“… Dan Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba.” (Surah Al-Baqarah, 2: 275)
Dalam perjalanan sejarah umat Islam, jual-beli termasuk bidang pekerjaan yang masyhur, ia telah menjadi sarana penghidupan, simbol amanah, penzahiran tawakkal, dan laluan dalam pengembangan dakwah.
Jual-beli merupakan sarana dalam memiliki sesuatu dan sudah pasti padanya terikat dengan syarat-syarat dan adab-adabnya yang perlu diperhatikan.
Pada catatan ini penulis hanya akan menyenaraikan sebahagian dari adab-adab dan etika seorang peniaga Muslim secara umum. Adapun hal-hal yang menyangkut hukum-hakam, syarat, mahupun halal/haram jual-beli secara khusus, penulis mencadangkan agar para pembaca melazimi majlis-majlis ilmu khas tentangnya dan menela’ah kitab-kitab fiqh berkaitan untuk mempelajari dan memahami rinciannya secara benar.
Kerana perbahasan jual-beli ini termasuk perbahasan yang luas, rumit dan sekaligus memerlukan kepada pengajian yang teliti untuk difahami dengan baik. Ianya tidak akan sempurna jika hanya sekadar membaca dan menela’ah pada dalil-dalil secara sendiri.
1, Mendahulukan dan Mengiringi Perniagaan Dengan Ilmu.
Dari hadis Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لاَ يُبَالِي المَرْءُ بِمَا أَخَذَ المَالَ، أَمِنْ حَلاَلٍ أَمْ مِنْ حَرَامٍ
“Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli terhadap harta yang dia perolehi itu adakah dari yang halal ataupun dari yang haram.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2083)
Kata ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu:
لاَ يَتَّجِرْ فِي سُوقِنَا إلاَّ مَنْ فَقِهَ وإلاَّ أَكْلَ الرِّبَا
“Janganlah berniaga di pasar kami melainkan siapa yang faqih (berilmu tentang hukum-hakam perniagaan), jika tidak, pasti dia akan terjebak ke dalam riba.” (Ibnu ‘Abdil Barr, 2/247. Asy-Syarbini, Mughni Al-Muhtaj, 6/310)
Sangat disayangkan, pada hari ini banyak sekali perdagangan atau perniagaan yang berlangsung di sekitar kita jauh dari aturan-aturan yang syar’i sedang mereka beranggapan berada dalam kebenaran.
Di antara yang menjadi sebabnya adalah kerana mengabaikan ilmu-ilmu yang syar’i dan kurangnya kelas-kelas pengajian yang syar’i yang membahas perbahasan jual-beli secara khusus.
2, Bertaqwa dan Bertawakkal Kepada Allah.
Dari Rifa’ah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ فُجَّارًا، إِلَّا مَنْ اتَّقَى اللَّهَ، وَبَرَّ، وَصَدَقَ
“Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti sebagai orang-orang yang fajir (jahat), kecuali peniaga yang bertaqwa kepada Allah, berbuat baik, dan berlaku jujur.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1210. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
Dari Jaabir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ فَإِنَّ نَفْسًا لَنْ تَمُوتَ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا وَإِنْ أَبْطَأَ عَنْهَا فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ خُذُوا مَا حَلَّ وَدَعُوا مَا حَرُمَ
“Wahai manusia, takut-lah kepada Allah, dan bersungguhlah dalam berusaha. Sesungguhnya suatu jiwa tidak akan mati sampailah disempurnakan rezekinya (oleh Allah) walaupun lambat, maka bertaqwalah kepada Allah, bersungguhlah dalam berusaha, ambillah apa yang halal, dan tinggalkanlah apa-apa yang haram.” (Sunan Ibnu Majah, no. 2135)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka. Dan siapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3)
Seorang peniaga muslim harus bertaqwa dan memperkuatkan tawakkalnya hanya kepada Allah, meyakini rezeki itu datang dari Allah, seraya mencukupkan perusahaannya hanya pada jalan yang dihalalkan oleh Allah dan pada apa-apa yang dibenarkan oleh syara’.
3, Sentiasa Menjaga Kewajiban, Tidak Lalai.
Dari Ibn Syauzab, dari Mathr (bin Thahman Al-Warraq) rahimahullah (Wafat: 125H) berkata tentang firman Allah:
رِجَالٌ لا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ
“Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual-beli dari mengingati Allah…”
Beliau berkata:
أَمَا إِنَّهُمْ قَدْ كَانُوا يَشْتَرُونَ وَيَبِيعُونَ, وَلَكِنْ كَانَ أَحَدُهُمْ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ, وَمِيزَانُهُ فِي يَدِهِ خَفَضَهُ وَأَقْبَلَ إِلَى الصَّلاةِ”.
“Adapun mereka (para sahabat Nabi), mereka saling menjual dan membeli (yakni berniaga), namun apabila salah seorang dari mereka mendengar adzan sedang timbangan berada di tangannya, maka dia pun melepaskannya seraya memenuhi seruan tersebut menuju solat.” (Tafsir Ibn Abi Hatim, no. 14653)
Dari satu atsar, dari Salim (anak Ibn ‘Umar), beliau berkata:
أنه كان في السوق فأقيمت الصلاة، فأغلقوا حوانيتهم ودخلوا المسجد، فقال ابن عمر: فيهم نزلت: { رِجَالٌ لا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ }
“Bahawa Ibn ‘Umar ketika di pasar, lalu seruan solat dikumandangkan, maka orang-orang pun menutup kedai-kedai mereka seraya masuk ke masjid. Lalu Ibnu ‘Umar pun berkata, “Pada orang-orang seperti merekalah ayat berikut diturunkan:
“Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual-beli dari mengingati Allah…”.” (Tafsir Ibn Abi Hatim, no. 14647. Tafsir Ibn Katsir, 6/68)
Lihat huraian lanjut di artikel, “Lelaki Yang Tidak Dilalaikan oleh Perniagaannya.”
4, Menjual Barangan Yang Halal dan Bermanfat, Bukan Yang Haram atau Najis.
Dari hadis Ibnu ‘Abbas, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى إِذَا حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ
“Sesungguhnya jika Allah Ta’ala mengharamkan sesuatu, maka Allah mengharamkan harganya (hasil jual belinya).” (Sunan Ad-Daruquthni, no. 2815. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Manakala dalam Musnad Ahmad:
وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا حَرَّمَ عَلَى قَوْمٍ أَكْلَ شَيْءٍ حَرَّمَ عَلَيْهِمْ ثَمَنَهُ
“Sesungguhnya jika Allah mengharamkan bagi suatu kaum dari memakan sesuatu, maka Dia juga akan mengharamkan harganya.” (Musnad Ahmad, no. 2221. Sunan Abi Daud, no. 3488. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dalam Shahih Al-Bukhari, dari Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaannya:
إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ»، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: «لاَ، هُوَ حَرَامٌ»، ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: «قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ
“Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli khamr, bangkai, babi, dan patung-patung.” Maka ditanyakan kepada Rasulullah:
“Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau dengan lemak bangkai haiwan? Kerana sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, menyapu kulit, dan dijadikan minyak lampu oleh ramai orang.” Maka Jawab Rasulullah:
“Tidak boleh, ianya haram.” Kemudian beliau bersabda lagi pada ketika itu:
“Semoga Allah memerangi para Yahudi, sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya lalu mereka menjualnya kemudian memakan hasil darinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2236. Muslim, no. 1581)
Kata Al-Imam Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah:
تضمن هذا الحديث أن مالا يحل أكله والانتفاع به لا يجوز بيعه ولا يحل أكل ثمنه كما في الشحوم المذكورة في الحديث
“Hadis ini mengandungi kaedah yang sangat penting, iaitu sesuatu yang tidak halal dimakan dan dimanfaatkan itu tidak-lah boleh diperniagakan dan tidak halal hasil dari jualannya sebagaimana disebutkan dalam hadis.” (Syarh Shahih Muslim, 11/8)
Di antara contoh yang terlarang jual-belinya adalah seperti khamr, rokok, alat-alat muzik, patung, gambar makhluk bernyawa, buku-buku sesat dan maksiat, pakaian yang tidak syar’i, insurans, dan anjing.
5, Tidak Menjual Sesuatu Yang Belum Jelas Dimiliki.
Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنِ ابْتَاعَ طَعَامًا فَلاَ يَبِعْهُ حَتَّى يَسْتَوْفِيَهُ
“Siapa yang membeli bahan makanan, maka janganlah dia menjualnya semula sampai dia selesai menerimanya.”
Ibnu ‘Abbas mengatakan:
وَأَحْسِبُ كُلَّ شَيْءٍ مِثْلَهُ
“Aku berpendapat bahawa setiap sesuatu hukumnya sama dengan bahan makanan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2136. Muslim, no. 1525)
Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
كُنَّا فِى زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- نَبْتَاعُ الطَّعَامَ فَيَبْعَثُ عَلَيْنَا مَنْ يَأْمُرُنَا بِانْتِقَالِهِ مِنَ الْمَكَانِ الَّذِى ابْتَعْنَاهُ فِيهِ إِلَى مَكَانٍ سِوَاهُ قَبْلَ أَنْ نَبِيعَهُ.
“Kami dahulu di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam membeli bahan makanan. Lalu seseorang diutus ke atas kami di mana beliau memerintahkan kami agar memindahkan bahan makanan yang telah dibeli tadi dari tempat dibeli ke tempat yang lain sebelum kami menjualnya kembali.” (Shahih Muslim, no. 1527)
Hakim bin Hizaam pernah bertanya pada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
يَا رَسُولَ اللَّهِ يَأْتِينِي الرَّجُلُ فَيَسْأَلُنِي الْبَيْعَ لَيْسَ عِنْدِي أَبِيعُهُ مِنْهُ ثُمَّ أَبْتَاعُهُ لَهُ مِنْ السُّوقِ قَالَ لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ
“Wahai Rasulullah, ada seorang lelaki mendatangiku lalu beliau meminta agar aku menjual sesuatu yang bukan (atau belum) aku miliki, adakah aku boleh menjual kepadanya kemudian aku pun membelikan untuknya dari pasar?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:
“Janganlah engkau menjual sesuatu yang bukan milik engkau.” (Sunan Abi Dawud, no. 3503. Bab: Pada lelaki berjual-beli apa yang bukan dalam kepemilikannya. Sunan At-Tirmidzi, no. 1232. Bab: dibencinya jual beli apa yang bukan dalam milikmu)
Zaid bin Tsabit radhiyallahu ‘anhu berkata:
فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ تُبَاعَ السِّلَعُ حَيْثُ تُبْتَاعُ، حَتَّى يَحُوزَهَا التُّجَّارُ إِلَى رِحَالِهِمْ
“Kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang langsung menjual barang yang baru dibeli sampailah si pedagang menempatkan barangan tersebut di rumah atau tempat-tempat mereka sendiri.” (Sunan Abi Dawud, no. 3499. Dinilai hasan oleh Al-Albani)
Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ، وَلَا شَرْطَانِ فِي بَيْعٍ، وَلَا رِبْحُ مَا لَمْ تَضْمَنْ، وَلَا بَيْعُ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ
“Tidak halal memberi hutang dan menjual dalam masa yang sama, tidak halal dua syarat dalam satu transaksi jual-beli, tidak halal mengambil untung dari barang yang belum terjamin, dan tidak halal menjual apa yang bukan milikmu.” (Musnad Ahmad, no. 6671. Sunan Abi Dawud, no. 3504. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
6, Meninggalkan Jual-beli yang mengandungi gharar (ketidak-jelasan).
Dari hadis Abu Hurairah, beliau berkata:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari jual beli hashaah, dan melarang dari jual beli gharar.” (Shahih Muslim, no. 1513)
Al-Hashaah adalah jual-beli menggunakan lemparan batu, dan ianya menyerupai undian nasib. Iaitu mana-mana barangan yang terkena dengan batu yang dibalingkan padanya, maka itulah yang dijual dan harus dibeli.
Manakala Al-Gharar adalah jual beli yang mengandungi ketidak-jelasan yang perbahasannya mencakup sudut-sudut tertentu. Contohnya seperti mengandungi riba, menjual ikan yang masih berada di lautan, menjual burung yang sedang terbang, menjual barang yang belum dipastikan sifatnya, menjual barang yang belum ada di tangan, menjual susu yang masih berada dalam kantong haiwannya, menjual janin di dalam perut (haiwan), menjual buah-buahan yang belum dipastikan masak atau tidaknya, dan seumpamanya.
Termasuk urusniaga gharar yang banyak berlaku pada hari ini adalah jual-beli insurans, membeli dengan kad diskaun, urusniaga dengan dua transaksi dalam satu aqad seperti menggabungkan aqad sewa dan pembelian dalam satu masa.
7, Tidak Melakukan Najsy.
Dari hadis Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ النَّجْشِ
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari najsy.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2142)
Iaitu mendatangkan orang lain untuk memuji, berpura-pura untuk membeli, dan menawarkan harga yang tinggi pada suatu barangan di hadapan seorang pembeli agar si pembeli ini tertarik dan terpengaruh untuk membelinya.
8, Meninggalkan Perbuatan Banyak Bersumpah.
Dari hadis Abu Qotadah Al-Anshari, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِيَّاكُمْ وَكَثْرَةَ الْحَلِفِ فِي الْبَيْعِ، فَإِنَّهُ يُنَفِّقُ، ثُمَّ يَمْحَقُ
“Hati-hatilah kalian dari banyak bersumpah dalam jual-beli, kerana ianya dapat melariskan jualan namun menghilangkan (keberkahan).” (Shahih Muslim, no. 1607)
9, Meninggalkan Sumpah Palsu dan Dusta.
Dari hadis ‘Abdurrahman bin Syibl, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ التُّجَّارَ هُمُ الْفُجَّارُ ” قَالَ: قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَوَلَيْسَ قَدْ أَحَلَّ اللهُ الْبَيْعَ ؟ قَالَ: بَلَى، وَلَكِنَّهُمْ يُحَدِّثُونَ فَيَكْذِبُونَ، وَيَحْلِفُونَ، وَيَأْثَمُونَ
“Sesungguhnya para peniaga itu termasuk orang-orang fajir (yang banyak dosanya).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bukankah Allah telah menghalalkan jual-beli?”
Jawab Rasulullah, “Benar, tetapi mereka berbicara lalu berdusta, mereka bersumpah dan mereka pun berdusta.” (Musnad Ahmad, no. 15530. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)
10, Jujur dan Tidak Memperdayakan Pembeli.
Dari hadis Abu Hurairah, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا، فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ: «مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ؟» قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: «أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melintasi seorang peniaga makanan berupa bebijian (atau kekacang). Lalu Rasulullah pun memasukkan tangannya ke dalam bebijian tersebut, seraya beliau mendapati ianya basah (lembab). Maka beliau bertanya:
“Apa ini wahai pemilik makanan?” Peniaga itu pun menjawab:
“Tertimpa hujan wahai Rasulullah.” Rasulullah pun bersabda:
“Mengapa tidak engkau letakkan yang basah itu di atas supaya orang dapat melihatnya, kerana siapa menipu, maka dia bukanlah dari golongan kami.” (Shahih Muslim, no. 102)
Dari hadis Hakiim bin Hizaam radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
البَيِّعَانِ بِالخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا، – أَوْ قَالَ: حَتَّى يَتَفَرَّقَا – فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا، وَإِنْ كَتَمَا وَكَذَبَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا
“Dua orang yang berjual-beli itu memiliki khiyaar (pilihan dan saling tawar-menawar) selagi keduanya belum berpisah, [atau beliau bersabda: sampai keduanya berpisah]. Jika keduanya jujur dan menjelaskan (hakikat barang dagangannya secara jujur), keduanya akan diberkahi pada jual-beli tersebut. Tetapi jika ia menyembunyikan (ciri barang dagangannya) dan berdusta, maka keberkahan pun menghilang dari jual-beli mereka berdua.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2079, 2082, 2110, 2114. Muslim, no. 1532)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْخَائِنِينَ
“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.” (Surah Al-Anfaal, 8: 58)
11, Melebihkan Timbangan, Bukan Mengurangi.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ (1) الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ (2) وَإِذَا كَالُوهُمْ أَوْ وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ
“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima timbangan (sukatan) dari orang lain mereka minta dipenuhi, tetapi apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.” (Surah Al-Muthaffifin, 83: 1-3)
Di ayat yang lain Allah Ta’ala berfirman:
وَأَوْفُوا الْكَيْلَ إِذَا كِلْتُمْ وَزِنُوا بِالْقِسْطَاسِ الْمُسْتَقِيمِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
“Dan sempurnakanlah timbangan (atau sukatan) apabila kamu menimbang, dan timbanglah dengan neraca yang benar. Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah Al-Israa’, 17: 35)
Suwaid bin Qays menceritakan:
جَلَبْتُ أَنَا وَمَخْرَفَةُ الْعَبْدِيُّ، بَزًّا مِنْ هَجَرَ فَأَتَيْنَا بِهِ مَكَّةَ فَجَاءَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْشِي فَسَاوَمَنَا بِسَرَاوِيلَ، فَبِعْنَاهُ، وَثَمَّ رَجُلٌ يَزِنُ بِالْأَجْرِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «زِنْ وَأَرْجِحْ
“Aku dan Makhrafah Al-‘Abdi datang ke Makkah dengan membawa beberapa kain dari Hajar, lalu datanglah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kami menawar beberapa helai sarawil (seluar) lalu beliau membelinya. Kemudian kami melihat seseorang menggunakan timbangan untuk menilai harga barangan, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:
“Timbang dan lebihkanlah timbangannya.” (Sunan Abi Dawud, no. 3336. Dinilai sahih ole Al-Albani)
12, Bersikap Pemurah dan Mempermudah Urusan Jual-Beli.
Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ رَجُلًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى
“Semoga Allah merahmati orang yang pemurah ketika menjual, ketika membeli, dan ketika menuntut haknya.” (Shahih Al-Bukhari, no.2076)
Dari hadis ‘Utsman bin ‘Affan radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَدْخَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ الْجَنَّةَ رَجُلًا كَانَ سَهْلًا مُشْتَرِيًا، وَبَائِعًا وَقَاضِيًا، وَمُقْتَضِيًا
“Allah ‘Azza wa Jalla memasukkan ke dalam Syurga orang yang mempermudah dalam membeli, menjual, melunasi, dan ketika meminta haknya.” (Musnad Ahmad, no. 410, 508. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
13, Tidak Saling Memaksa, Tetapi Hendaklah Saling Redha.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian saling memakan harta di antara sesama kalian dengan jalan yang bathil, tetapi lakukanlah dengan jalan perniagaan yang berlangsung dengan saling redha di antara kalian.” (Surah An-Nisaa’, 4: 29)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا يَفْتَرِقَنَّ اثْنَانِ إِلَّا عَنْ تَرَاضٍ
“Janganlah kalian berdua (penjual dan pembeli) berpisah melainkan dalam keadaan saling redha.” (Sunan Abi Dawud, no. 3458. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ
“Bahawa jual beli itu apabila saling meredhai.” (Sunan Ibn Majah, no. 2185. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
14, Tidak Menahan Upah Para Pekerja.
Dalam sebuah hadis qudsi dari Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ، رَجُلٌ أَعْطَى بِي ثُمَّ غَدَرَ، وَرَجُلٌ بَاعَ حُرًّا فَأَكَلَ ثَمَنَهُ، وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِهِ أَجْرَهُ
“Alla Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Tiga golongan manusia yang mana Aku akan menjadi lawannya di hari kiamat; (iaitu) seseorang yang berjanji atas nama-Ku lalu mengkhianati, seseorang yang menjual orang merdeka (sebagai hamba) lalu dia memakan hasil penjualannya, dan seseorang yang mengambil pekerja lalu pekerja ini menyelesaikan tugasannya namun upahnya tidak dibayar kepadanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2270)
15, Menjauhi Permusuhan, Hasad, dan Saling Menjatuhkan.
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا تَحَاسَدُوا، وَلَا تَنَاجَشُوا، وَلَا تَبَاغَضُوا، وَلَا تَدَابَرُوا، وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ، وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ «بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ، كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ»
“Janganlah kalian saling hasad (mendengki), melakukan najsy, saling membenci, dan janganlah sebahagian kalian menjual (atau membeli) atas jualan (atau pembelian) sebahagian yang lain. Tetapi hendaklah kalian menjadi hamba-hamba Allah yang saling bersaudara.
Seorang Muslim adalah saudara bagi seorang Muslim yang lainnya, maka janganlah kalian saling menzalimi, saling merendahkan (menjatuhkan atau mengkhianati), dan janganlah kalian saling menghina saudaranya. Ketaqwaan itu di sini [sambil Nabi menunjuk ke dadanya tiga kali].
Cukuplah keburukan pada seorang lelaki apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim yang lain itu haram darahnya, hartanya, dan maruahnya.” (Shahih Muslim, no. 2564)
Dari hadis ini juga menjelaskan bahawa seorang peniaga hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah.
16, Tidak Menjual atas Jualan Saudaranya.
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ
“Janganlah sebahagian kalian menjual di atas jualan sebahagian yang lain.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2140, 2150. Muslim, no. 1515, 2563, 2564)
Juga dari Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لاَ يَبِعِ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلاَ يَخْطُبْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَهُ
“Janganlah seorang lelaki menjual di atas jualan saudaranya, dan janganlah dia melamar di atas lamaran saudaranya melainkan jika dia mendapat izin padanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2139. Muslim, no. 1412)
Huraian hadis boleh dicapai pada artikel, “Larangan Menjual Atas Jualan Saudaranya.”
17, Tidak Menimbun dan Memonopoli Barang Dagangan Tertentu.
Dari hadis Ma’mar bin ‘Abdillah Al-‘Adawi, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا يَحْتَكِرُ إِلَّا خَاطِئٌ
“Janganlah seseorang menimbun barangan (bertujuan memonopoli pasaran) melainkan dia seorang pesalah (berdosa).” (Musnad Ahmad, no. 15761. Shahih Muslim, no. 1605)
Menimbun barangan yang dimaksudkan di sini adalah sekiranya perbuatannya tersebut menjadi sebab mudharat kepada orang lain dan pasaran. Contohnya, seseorang sengaja membeli suatu jenis barangan keperluan asas dari pasaran dalam jumlah yang besar (bertujuan menguasai pasaran barangan tersebut) sehingga menyebabkan stok dalam pasaran susut. Lalu permintaan pun meningkat sehingga menyebabkan harga melambung.
Lihat sebahagian rinciannya di Syarh Shahih Muslim oleh Al-Imam An-Nawawi (11/43), Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani (3/25), dan yang lainnya.
18, Tidak Boleh Membuat Mudharat dan Tidak Boleh Memudharatkan.
Dari hadis Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
“Tidak boleh membuat mudharat dan tidak boleh memudharatkan orang lain.” (Musnad Ahmad, no. 2865. Sunan Ibn Majah, no. 2341)
Para peniaga hendaklah saling jujur, bantu-membantu, saling menjalin persaudaraan, dan tidak menjual barangan yang menghasilkan mudharat atau memudharatkan orang lain sama ada kepada pembeli atau peniaga yang lain.
Tidak boleh berniaga dengan tujuan merosakkan harga pasaran yang telah stabil, kejatuhan nilai, dan mejatuhkan para peniaga yang lainnya.
19, Menjauhi Budaya Suka Berhutang.
Termasuk akhlak yang buruk pada sebahagian peniaga hari ini adalah sikap gemar berhutang dan mungkir janji pada pengembalian hutang sehingga melahirkan sikap suka menunda-nunda pembayaran dan berhutang pada hal yang bukan merupakan keperluan.
Malah pada sebahagian keadaan, sampai ada yang sengaja melarikan diri dari membayar hutang.
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
“Jiwa seorang mukmin masih tergantung dengan sebab hutangnya sampailah dia melunasinya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1078. Musnad Ahmad, no. 10599)
Hadis ini memberi peringatan bahawa sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan belum melunasi hutangnya, maka urusan jiwanya atau ruhnya akan tertahan di akhirat sampai dapat dipastikan hutangnya dapat dilangsaikan atau tidak.
Di hadis yang lain dari Shuhaib Al-Khayr, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَيُّمَا رَجُلٍ يَدَيَّنُ دَيْنًا وَهُوَ مُجْمِعٌ أَنْ لاَ يُوَفِّيَهُ إِيَّاهُ لَقِىَ اللَّهَ سَارِقًا
“Sesiapa yang berhutang lalu berniat untuk tidak membayarnya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) sebagai seorang pencuri.” (Sunan Ibnu Majah, no. 2410)
Sedang orang yang terbebas dari sebarang bebanan hutang, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ فَارَقَ الرُّوحُ الْجَسَدَ وَهُوَ بَرِىءٌ مِنْ ثَلاَثٍ دَخَلَ الْجَنَّةَ مِنَ الْكِبْرِ وَالْغُلُولِ وَالدَّيْنِ
“Siapa yang ruhnya terpisah dari jasadnya dalam keadaan dia terbebas dari tiga perkara:
[1] sombong,
[2] ghulul (khianat), dan
[3] hutang,
maka dia akan masuk Syurga.” (Sunan Ibnu Majah, no. 2412)
Manakala bagi mereka yang tetap terbeban dengan hutang tanpa sempat melunasinya atau dilunasi oleh ahli warisnya (atau seumpamanya), maka hutangnya kelak akan dibayar dengan kebaikan-kebaikan (atau pahala) yang ada padanya.
Ini adalah sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ دِينَارٌ أَوْ دِرْهَمٌ قُضِىَ مِنْ حَسَنَاتِهِ لَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ
“Siapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (di hari kiamat nanti) kerana di sana tidak ada lagi dinar mahupun dirham.” (Sunan Ibnu Majah, no. 2414)
Siapa yang berhutang, kemudian telah sampai waktu untuk melunasinya serta dia telah mampu namun dia sengaja tidak melunasinya (yakni menunda-nunda pembayarannya tanpa sebarang udzur), maka ianya adalah sebahagian dari bentuk perbuatan zalim dan dia berhak dikenakan tindakan (undang-undang), serta jatuh pula kehormatannya.
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْمٌ
“Penangguhan (sengaja menunda-nunda dari membayar hutang) bagi seorang yang kaya (berkemampuan) itu adalah kezaliman.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2287, 2288, 2400. Muslim, no. 1564)
Dari hadis ‘Amr bin Asy-Syariid, dari ayahnya, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَيُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عِرْضَهُ، وَعُقُوبَتَهُ» قَالَ ابْنُ الْمُبَارَكِ: يُحِلُّ عِرْضُهُ يُغَلَّظُ لَهُ، وَعُقُوبَتَهُ يُحْبَسُ لَهُ
“Penangguhan (hutang) dari orang yang berkemampuan itu menghalalkan kehormatannya dan membolehkan tindakan ke atasnya.”
Kata Al-Imam Ibn Al-Mubarak, “Halal kehormatannya itu adalah membolehkan celaan dan amaran baginya, manakala membolehkan tindakan padanya itu adalah dibolehkan baginya dikenakan hukuman penjara (tindakan undang-undang).” (Sunan Abi Dawud, no. 3628)
Maka, di antara sikap dan akhlak yang baik ketika berhutang adalah dengan segera melunasinya sebaik sampai masanya atau apabila telah punya kemampuan.
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ خِيَارَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
“Bahawa yang terbaik di antara kalian adalah yang paling bagus (akhlaknya) dalam melunasi hutang.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2305, 2393)
Dari hadis Ummul Mukminin (Maimunah binti Al-Harits), bahawa beliau telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدَّانُ دَيْنًا، يَعْلَمُ اللَّهُ مِنْهُ أَنَّهُ يُرِيدُ أَدَاءَهُ، إِلَّا أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ فِي الدُّنْيَا
“Siapa dari kalangan muslim yang memiliki hutang, dan Allah mengetahui bahawa dia berhasrat untuk melunasinya, maka Allah pun akan memudahkannya akan hal tersebut ketika dunia.” (Sunan Ibn Majah, 2408)
Dari hadis ‘Utsman bin ‘Affan radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَدْخَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ الْجَنَّةَ رَجُلًا كَانَ سَهْلًا مُشْتَرِيًا، وَبَائِعًا وَقَاضِيًا، وَمُقْتَضِيًا
“Allah ‘Azza wa Jalla memasukkan ke dalam Syurga orang yang mempermudah dalam membeli/menjual, melunasi, dan ketika meminta haknya.” (Musnad Ahmad, no. 410, 508. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
Dan adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah mencontohkan kepada kita agar sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah Ta’ala agar dilindungi dan dijauhkan dari budaya suka berhutang serta dari memperbanyakkan hutang.
Bahawa ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha mengkhabarkan, beliau biasa mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa di dalam solat (dengan doa):
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ»، فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِنَ المَغْرَمِ؟ قَالَ: «إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ، وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan hutang.” Lalu beliau ditanya oleh seseorang, “Apa yang membuat engkau banyak memohon perlindungan dari hutang wahai Rasulullah?”
Maka jawab beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Bahawasanya (kebiasaan) bagi seseorang yang berhutang apabila dia berkata dia akan mudah berdusta, dan apabila berjanji dia mungkiri.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2397)
20, Tidak ada batasan “margin” keuntungan, tapi hendaklah bersederhana dan saling redha.
Diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dalam kitab Shahih-nya, dari hadis ‘Urwah (bin Abu Al-Ja’d Al-Baariqi):
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْطَاهُ دِينَارًا يَشْتَرِي لَهُ بِهِ شَاةً، فَاشْتَرَى لَهُ بِهِ شَاتَيْنِ، فَبَاعَ إِحْدَاهُمَا بِدِينَارٍ، وَجَاءَهُ بِدِينَارٍ وَشَاةٍ، فَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ فِي بَيْعِهِ، وَكَانَ لَوِ اشْتَرَى التُّرَابَ لَرَبِحَ فِيهِ.
“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberi ‘Urwah wang satu dinar agar membeli seekor kambing untuk Nabi. Lalu dengan wang tersebut, ‘Urwah pun berjaya membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar.
Kemudian (dalam perjalanan balik) ‘Urwah menjual salah satu dari kambing tersebut dengan harga satu dinar.
(Setelah itu) ‘Urwah pun datang kembali (kepada Nabi) dengan membawa satu dinar dan satu ekor kambing.
(Melihatkan kejayaan ‘Urwah tersebut) Nabi pun mendoakan untuknya dengan keberkahan dalam jual-belinya dan (berkata):
“Kalau seandainya dia (‘Urwah) membeli tanah sekalipun, nescaya dia akan mendapatkan keuntungan padanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3642)
Di antara faedah yang dapat diambil dari hadis ini adalah:
1, Halanya mencari keuntungan melalui jual-beli.
2, Tidak ada ketetapan harga dan “margin” keuntungan dalam menjual, namun perlu berpada (tidak tamak), saling redha, memudahkan, dan bersesuaian dengan kadar harga/nilai barangan serta pasaran.
3, Telah wujud mata wang (dinar) di zaman Nabi. Dan nilai kambing pada ketika itu antaranya dinilai dan diperniagakan menggunakan dinar dan dirham.
4, Disunnahkan mendoakan keberkahan untuk orang yang berbuat kebaikan, jujur dalam berniaga dan menjalankan amanah dengan sempurna.
21, Memperbanyakkan Sedekah.
Dari hadis Qays bin Abi Ghorozah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ، إِنَّ الْبَيْعَ يَحْضُرُهُ اللَّغْوُ وَالْحَلْفُ، فَشُوبُوهُ بِالصَّدَقَةِ
“Wahai para pedagang (atau peniaga), sesungguhnya pada jual beli itu dihadiri dengan al-laghwu (perkara sia-sia) dan sumpah, maka bersihkanlah dengan sedekah.” (Sunan Abi Dawud, no. 3326. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dalam Musnad Ahmad:
يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ – فَسَمَّانَا بِاسْمٍ أَحْسَنَ مِنْ اسْمِنَا – إِنَّ الْبَيْعَ يَحْضُرُهُ الْحَلِفُ، وَالْكَذِبُ، فَشُوبُوهُ بِالصَّدَقَةِ
“Wahai para peniaga, – beliau menamakan kami dengan nama (panggilan) yang lebih baik dari nama kita sendiri – sesungguhnya jual-beli itu dihadiri oleh sumpah dan kedustaan, maka bersihkanlah dengan sedekah.” (Musnad Ahmad, no. 16134. Isnadnya sahih)
Demikianlah sebahagian dari catatan berkaitan yang dapat penulis senaraikan. Semoga Allah memberi manfaat untuk diri penulis.
Wallaahu a’lam.