Dimakruhkan Memotong Kuku Dan Rambut Bagi Yang Ingin Berkorban
Dari hadis Umm Salamah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:
إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ، وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ، فَلَا يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا
“Jika telah masuk sepuluh hari pertama (bulan Dzulhijjah) dan salah seorang dari kalian ingin berkorban, maka janganlah dia menyentuh (memotong atau mencabut) sesuatu dari rambut dan bulu-bulu di kulitnya.” (Shahih Muslim, no. 1977)
Dalam sanad yang lain:
إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ، وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ، فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ
“Jika kalian telah melihat hilal (anak bulan) Dzulhijjah, dan salah seorang dari kalian ingin berkorban, maka janganlah dia menyentuh (memotong) dari rambut dan kukunya.” (Shahih Muslim, no. 1977)
Dalam sanad yang lain lagi:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
“Sesiapa yang memiliki haiwan sembelihan yang akan disembelih (sebagai korban) maka jika telah nampak hilal (anak bulan) Dzulhijjah, maka janganlah dia mengambil (memotong atau mencabut) dari rambutnya, dan juga jangan kukunya sedikitpun sampailah dia menyelesaikan sembelihan korbannya.” (Shahih Muslim, no. 1977)
Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) mengatakan:
وَاخْتَلَفَ الْعُلَمَاءُ فِي الْقَوْلِ بِظَاهِرِ الْحَدِيثِ، فَذَهَبَ قَوْمٌ إِلَى أَنَّهُ لَا يَجُوزُ لِمَنْ يُرِيدُ الأُضْحِيَّةَ بَعْدَ دُخُولِ الْعَشْرِ أَخْذَ شَعْرَهُ وَظُفْرَهُ مَا لَمْ يَذْبَحْ، وَإِلَيْهِ ذَهَبَ سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيِّبِ، وَبِهِ قَالَ رَبِيعَةُ، وَأَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ. وَكَانَ مَالِكٌ، وَالشَّافِعِيُّ يَرَيَانِ ذَلِكَ عَلَى النَّدْبِ وَالاسْتِحْبَابِ
“Para ulama berselisih pendapat pada mengambil zahir hadis ini. Sekelompok ulama berpendapat bahawa sesiapa yang (telah berniat) hendak berkorban setelah masuknya sepuluh hari pertama Dzulhijjah, maka dia tidak boleh mengambil (memotong) rambut dan kukunya selama dia belum menyembelih. Dan inilah pendapat Sa’id bin Al-Musayyib, dan dengannya juga oleh Rabii’ah, Ahmad, dan Ishaq. Manakala Imam Malik dan Asy-Syafi’i, mereka berpendapat bahawa yang demikian itu menunjukkan maksud anjuran dan sunnah (mustahab).” (Syahus Sunnah Al-Baghawi, 4/348 – Al-Maktabah Al-Islami)
Demikian juga yang dikatakan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
واختلف العلماء فيمن دخلت عليه عشر ذى الحجة وأراد أن يضحى فقال سعيد بن المسيب وربيعة وأحمد وإسحاق وداود وبعض أصحاب الشافعى أنه يحرم عليه أخذ شئ من شعره وأظفاره حتى يضحى فى وقت الأضحية وقال الشافعى وأصحابه هو مكروه كراهة تنزيه وليس بحرام وقال أبو حنيفة لايكره وقال مالك فى رواية لايكره وفى رواية يكره وفى رواية يحرم فى التطوع دون الواجب
“Para ulama berselisih pendapat tentang orang yang telah memasuki sepuluh hari bulan Dzulhijjah dan dia hendak berkorban. Sa’id bin Al-Musayyib, Rabii’ah, Ahmad, Ishaq, Dawud, dan sebahagian dari pengikut-pengikut Imam Asy-Syafi’i mengatakan, “Diharamkan baginya untuk memotong rambut dan kukunya sedikit pun sampailah ia selesai menyembelih korban di waktu Al-Udh-hiyyah.
Berkata Imam Asy-Syafi’i dan sahabat-sahabatnya, “Hukumnya makruh (dibenci) dengan makruh yang tanziih (ringan) dan bukan haram.” Berkata Abu Hanifah, “Tidak dimakruhkan.” Berkata pula Imam Malik dalam satu riwayat, “Tidak makruh.” Manakala dalam riwayat lain beliau mengatakan, “Makruh.” Dalam riwayat yang lain pula beliau mengharamkannya jika untuk korban tathawwu’ (sunnah) bukan pada korban wajib.”
Kata Imam An-Nawawi lagi:
واحتج من حرم بهذه الأحاديث واحتج الشافعى والآخرون بحديث عائشة رضى الله عنها قالت كنت أفتل قلائد هدى رسول الله صلى الله عليه و سلم ثم يقلده ويبعث به ولايحرم عليه شيء أحله الله حتى ينحر هديه رواه البخارى ومسلم … ذلك وحمل أحاديث النهى على كراهة التنزيه
“Para ulama yang berpegang dengan pendapat haram, mereka berhujah dengan hadis-hadis ini (hadis-hadis di atas). Manakala Imam Asy-Syafi’i dan yang lainnya, mereka berhujah dengan hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. ‘Aisyah berkata:
“Aku biasa memintal kalung (sebagai tanda) yang digunakan untuk sembelihan milik Rasulullah, kemudian beliau mengalungkannya di leher haiwan tersebut dan mengirim haiwan sembelihan tersebut. Beliau tidak mengharamkan sesuatu pun yang dihalalkan oleh Allah sampailah hari menyembelih hadyu (korban)-nya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari da Muslim…
Dengan demikian, bahawa hadis-hadis yang melarang tersebut dibawa kepada hukum makruh tanziih (makruh yang ringan).” (Syarah Shahih Muslim, 13/138)
Wallahu a’lam, adapun sebagai langkah hati-hati dan keluar dari perselisihan, maka yang lebih selamat dan menenangkan bagi kita adalah dengan meninggalkan apa yang dilarang oleh hadis-hadis tersebut. Iaitu kita mengambil dan memahaminya sesuai zahirnya.
Kerana dalam kaedah ushul fiqh disebutkan bahawa, “Asal setiap larangan itu membawa maksud haram.” Iaitu selagi mana tiada dalil lain atau qarinah yang lain yang dapat membawa atau memalingkan makna zahir tersebut kepada maksud yang lain.
Sebagaimana kata Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):
ظَاهِرُ هَذَا تَحْرِيمُ قَصِّ الشَّعْرِ. وَهُوَ قَوْلُ بَعْضِ أَصْحَابِنَا
“Zahir keterangan ini menunjukkan larangan memotong rambut, dan ia juga adalah qaul sebahagian sahabat-sahabat kami (dari kalangan mazhab Ahmad bin Hanbal)…”
Kata Ibnu Qudamah lagi, “Dan bagi kami (yang menjadi landasan hujah bagi kami) adalah hadis Ummu Salamah.. (sebagaimana dikemukakan di atas) riwayat Muslim, dan hukum asal bagi suatu larangan adalah haram.” Kata beliau lagi:
وَهَذَا يَرُدُّ الْقِيَاسَ وَيُبْطِلُهُ، وَحَدِيثُهُمْ عَامٌّ، وَهَذَا خَاصٌّ يَجِبُ تَقْدِيمُهُ، بِتَنْزِيلِ الْعَامِّ عَلَى مَا عَدَا مَا تَنَاوَلَهُ الْحَدِيثُ الْخَاصُّ؛ وَلِأَنَّهُ يَجِبُ حَمْلُ حَدِيثِهِمْ عَلَى غَيْرِ مَحَلِّ النِّزَاعِ لِوُجُو
“Dan hadis ini (hadis Ummu Salamah tersebut) telah menjadi bantahan atas qiyas yang mereka gunakan dan membatalkan pendapat tersebut (pendapat yang menganggap tidak mengapa dan sekadar makruh). Sedangkan hadis yang menjadi hujah mereka tersebut berbentuk umum, manakala hadis yang menjadi landasan kami sifatnya khusus (mengkhususkan dan merincikan dari yang umum), maka hendaklah ia didahulukan dari hadis yang masih bersifat umum tersebut. Lebih-lebih lagi hadis yang mereka ambil sebagai hujah tersebut masih boleh difahami dengan maksud yang lain di luar konsteks permasalahan dengan beberapa alasan…” (Al-Mughni, 9/437)
Kemudian berkaitan maksud memotong rambut dan kuku tersebut, kata Imam An-Nawawi rahimahullah:
قال أصحابنا والمراد بالنهى عن أخذ الظفر والشعر النهى عن إزالة الظفر بقلم أوكسر أو غيره والمنع من إزالة الشعر بحلق أو تقصير أو نتف أو إحراق أو أخذه بنورة أو غير ذلك وسواء شعر الابط والشارب والعانة والرأس وغير ذلك من شعور بدنه
“Berkata para sahabat kami (dari kalangan ulama bermazhab Syafi’i), dan yang dimaksudkan dengan larangan mengambil kuku dan rambut tersebut adalah larangan dari memotongnya dengan pemotong (kuku), atau menyayatnya, atau juga dengan selainnya. Manakala larangan terhadap rambut adalah dilarang dari menghilangkannya, mencukur, memendekkan, mencabut, membakar, atau menghilangkannya dengan ubat dan selainnya. Semuanya dilarang sama ada bulu yang di ketiak, misai, kemaluan, rambut kepala, dan rambut-rambut yang lainnya yang ada pada badan.” (Syarah Shahih Muslim, 13/138-139)
Terakhir dari bab ini, kata Imam Ibnu Qudamah rahimahullah:
إذَا ثَبَتَ هَذَا، فَإِنَّهُ يَتْرُكُ قَطْعَ الشَّعْرِ وَتَقْلِيمَ الْأَظْفَارِ، فَإِنْ فَعَلَ اسْتَغْفَرَ اللَّهَ تَعَالَى. وَلَا فِدْيَةَ فِيهِ إجْمَاعًا، سَوَاءٌ فَعَلَهُ عَمْدًا أَوْ نِسْيَانًا
“Jika telah tsabit (ditetapkan) demikian, maka bagi mereka yang hendak berkorban, maka hendaklah dia meninggalkan dari memotong rambut dan memotong kukunya. Tetapi jika dia telah melakukannya, maka hendaklah dia beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah Ta’ala, dan tidak ada fidyah (atau denda) padanya secara ijma’, sama ada dia melakukannya secara sengaja atau tidak sengaja.” (Al-Mughni, 9/437)
Dan zahir dari hadis Ummu Salamah di atas serta dari hadis ‘Aisyah yang dibawakan oleh Imam An-Nawawi tersebut, maka larangan tersebut adalah khusus bagi ketua keluarga sahaja, iaitu tidak termasuk ahli keluarganya. Atau dalam kata lain untuk mereka yang berkorban secara khusus sahaja.
Wallahu a’lam.