Dibolehkan Menjamak Solat Disebabkan Hujan

Dibolehkan Menjamak Solat Disebabkan Hujan
(Tanpa Meng-Qasharkannya)

www.ilmusunnah.com

Al-Imam Malik rahimahullah (Wafat: 179H) meriwayatkan dalam Al-Muwaththa’:solat di rumah bila hujan

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ إِذَا جَمَعَ الْأُمَرَاءُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ فِي الْمَطَرِ جَمَعَ مَعَهُمْ

“Bahawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar, apabila ‘amir (imam solat) menjama’kan solat antara maghrib dan isya’ di hari hujan, maka beliau pun turut menjama’kannya bersama-sama mereka.” (Al-Muwaththa’ oleh Imam Malik, no. 481. Ma’rifatus Sunan wal-Atsar oleh Al-Baihaqi, no. 6249 dan Sunan Al-Kubra oleh Baihaqi, no. 5556. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dalam atsar yang lain, daripada Musa bin ‘Uqbah:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ كَانَ يَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ الْآخِرَةِ إِذَا كَانَ الْمَطَرُ، وَأَنَّ سَعِيدَ بْنَ الْمُسَيِّبِ وَعُرْوَةَ بْنَ الزُّبَيْرِ، وَأَبَا بَكْرِ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَمَشْيَخَةَ ذَلِكَ الزَّمَانِ كَانُوا يُصَلُّونَ مَعَهُمْ وَلَا يُنْكِرُونَ ذَلِكَ

“Bahawasanya ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz beliau menjama’kan solat maghrib dan isya’ apabila hujan turun. Dan demikian juga Sa’id bin Al-Musayyib, ‘Urwah bin Az-Zubair, dan Abu Bakr bin ‘Abdirrahman, para masyaikh (ulama) zaman tersebut, mereka solat bersama-sama para imam dan mereka tidak mengingkarinya.” (As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 5558. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kata Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H):

وذلك يدل على أن الجمع للمطر كان معهودا لديهم

“(Dua dalil atsar) ini menunjukkan bahawa menjama’ solat disebabkan hujan memang telah sedia dimaklumi (berlangsung) dalam kalangan mereka (para salaf).” (Irwa’ul Ghalil oleh Al-Albani, 3/40)

Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) berkata:

وَالعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهْلِ العِلْمِ: أَنْ لَا يَجْمَعَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ إِلَّا فِي السَّفَرِ أَوْ بِعَرَفَةَ، وَرَخَّصَ بَعْضُ أَهْلِ العِلْمِ مِنَ التَّابِعِينَ فِي الجَمْعِ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ لِلْمَرِيضِ، وَبِهِ يَقُولُ أَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ ” وقَالَ بَعْضُ أَهْلِ العِلْمِ: يَجْمَعُ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ فِي المَطَرِ، وَبِهِ يَقُولُ الشَّافِعِيُّ، وَأَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ، وَلَمْ يَرَ الشَّافِعِيُّ لِلْمَرِيضِ أَنْ يَجْمَعَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ

“Sebahagian ahli ilmu mengamalkan (dari makna) hadis ini (lihat Sunan At-Tirmidzi, no. 188);

Bahawasanya tidak boleh menjama’kan dua solat melainkan pada ketika hujan atau ketika di ‘Arafah (Haji). Sebahagian ahli ilmu dari kalangan tabi’in memberikan rukhshah (keringanan) pada menjama’kan dua solat bagi orang yang sakit. Di antara yang berpendapat demikian adalah Al-Imam Ahmad dan Ishaq Ibn Rahawayh. Dan berkata sebahagian ahli ilmu, dibolehkan menjama’ dua solat dengan sebab hujan, dan antara yang berpendapat demikian adalah Al-Imam Asy-Syafi’i, Ahmad, dan Ishaq. Adapun Asy-Syafi’i tidak berpandangan bolehnya menjama’ solat untuk orang sakit.” (Sunan At-Tirmidzi, 1/356)

Di hadis yang lain dalam Shahih Muslim, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا مَطَرٍ فِي حَدِيثِ وَكِيعٍ: قَالَ: قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ: لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ قَالَ: كَيْ لَا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ، وَفِي حَدِيثِ أَبِي مُعَاوِيَةَ: قِيلَ لِابْنِ عَبَّاسٍ: مَا أَرَادَ إِلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjama’kan solat antara zuhur dengan ‘ashar, dan maghrib dengan isya’ di Madinah bukan disebabkan takut, dan tidak juga kerana hujan.”

 Dalam hadis Wakii’, beliau berkata, aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas, “Kenapa beliau melakukan begitu?” Ibnu ‘Abbas jawab, “Yang demikian kerana beliau tidak mahu memberatkan umatnya.”

Dan pada hadis Abi Mu’awiyah, ditanyakan kepada Ibnu ‘Abbas, “Apa yang dikehendaki (oleh Nabi) dengan berbuat begitu (menjama’)? Jawab Ibnu ‘Abbas:

“Beliau mahu agar tidak memberatkan umatnya.” (Shahih Muslim, no. 705)

Hadis ini menunjukkan jama’ solat disyari’atkan dalam keadaan takut (huru-hara), hujan, dan dalam keadaan selain dari keduanya, iaitu ketika dalam suasana yang menyebabkan perlaksanaan solat menjadi berat (yakni ketika adanya udzur dan halangan tertentu yang menyukarkan). Ini dapat difahami dari hadis tersebut yang mana Rasulullah menjama’kan solat tersebut kerana mahu menghilangkan kesulitan dari umatnya.

Kata Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H):

حديث ابن عباس المتقدم قبل حديث: من غير خوف ولا مطر فإنه يشعر أن الجمع للمطر كان معروفا في عده صلى الله عليه وآله وسلم

“Perkataan Ibnu ‘Abbas “bukan disebabkan takut, dan tidak juga kerana hujan…” ini menunjukkan bahawa menjama’kan solat ketika hujan sudah ma’ruf (dimaklumi) di masa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘alaihi wa Sallam.” (Irwa’ul Ghalil, 3/40)

Berdasarkan dua atsar yang dikemukakan tersebut menunjukkan bahawa jama’ solat yang dimaksudkan tersebut dilakukan di masjid bersama-sama (secara jama’ah) dengan imam sekiranya imam menjama’kannya. Dan bukan dilakukan ketika di rumah secara sendiri-sendiri.

Kemudian, adakah jama’ tersebut dilakukan pada waktu solat yang pertama (taqdim) atau yang kedua (ta’khir). Maka dalam hal ini menurut Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah, dibolehkan memilih sama ada taqdim mahupun ta’khir bergantung kepada keadaan yang memudahkan. Dan yang paling utama (afdhal) adalah di waktu yang pertama, iaitu jama’ taqdim.

Ini sebagaimana dikemukakan oleh Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah di kitab beliau, Asy-Syarhul Mumti’:

الأفضل لمن يباح له الجمع فعل الأرفق به من تأخير وتقديم، فإن كان التأخير أرفق فليؤخر، وإن كان التقديم أرفق فليقدم

“Keutamaan (yang afdhal) di sini adalah dibenarkan memilih yang mudah baginya sama ada ta’khir atau taqdim, seandainya ta’khir (mengakhirkan) lebih mudah maka boleh mengakhirkannya, dan seandainya taqdim lebih mudah maka boleh dia mengawalkannya (menjama’ di waktu yang pertama).” (Asy-Syarhul Mumti’ oleh Ibn ‘Utsaimin, 4/393)

Kemudian Syaikh Al-‘Utsamin menjelaskan lagi:

مسألة: الجمع في المطر هل الأفضل التقديم أو التأخير؟ الأفضل التقديم؛ لأنه أرفق بالناس، ولهذا تجد الناس كلهم في المطر لا يجمعون إلا جمع تقديم

“Permasalahan: Jama’ ketika hujan itu yang paling utamanya adakah taqdim atau ta’khir? Yang utamanya (afdhal) adalah jama’ taqdim, kerana itu lebih memudahkan manusia, dan kerana itulah mereka tidaklah menjama’kan solat di waktu hujan melainkan dengan jama’ taqdim.” (Asy-Syahul Mumti’, 4/396)

Namun yang nampak lebih tepat adalah sebagaimana dikatakan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah, wallahu a’lam. Di mana beliau menjelaskan:

ويجوز الجمع بالمطر في وقت الأولى ولا يجوز في وقت الثانية على الأصح لعدم الوثوق باستمراره إلى الثانية وشرط وجوده عند الإحرام بالأولى والفراغ منها وإفتتاح الثانية

“Dan dibolehkan menjama’kan solat disebabkan turunnya hujan pada waktu yang awal dan tidak boleh pada waktu yang kedua (jama’ ta’khir) berdasarkan pendapat yang benar kerana tidak ada kepastian bahawa hujan itu akan terus berlangsung sehingga masuknya waktu solat yang kedua. Dan syarat bolehnya jama’ tersebut adalah apabila hujan turun ketika takbiratul ihram pada solat yang pertama, sampai ketika seseorang membaca doa iftitah pada solat yang kedua.” (Syarh Shahih Muslim, 5/213)

Hujan yang bagaimana dibolehkan menjama’ solat? Maka Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) menjelaskan:

وَالْمَطَرُ الْمُبِيحُ لِلْجَمْعِ هُوَ مَا ( يَبُلُّ ) الثِّيَابَ، وَتَلْحَقُ الْمَشَقَّةُ بِالْخُرُوجِ فِيهِ. وَأَمَّا الطَّلُّ، وَالْمَطَرُ الْخَفِيفُ الَّذِي لَا يَبُلُّ الثِّيَابَ، فَلَا يُبِيحُ، وَالثَّلْجُ كَالْمَطَرِ فِي ذَلِكَ، لِأَنَّهُ فِي مَعْنَاهُ، وَكَذَلِكَ الْبَرَدُ

“Hujan yang menjadi sebab dibolehkan jama’ adalah hujan yang dapat menyebabkan pakaian basah kuyup serta menjadikan seseorang merasa payah (berat dan sukar) untuk keluar menuju masjid. Manakala gerimis dan hujan yang renyai-renyai yang tidak sampai menyebabkan pakaian basah, maka ini tidak boleh menjadi penyebab dibolehkan jama’. Hujan air batu (salji) juga disamakan dengan hujan air, kerana ia adalah termasuk jenis hujan, dan demikian juga dengan suasana sejuk yang amat.” (Al-Mughni, 4/62)

Menjamakkan solat yang dimaksudkan di sini adalah menjamakkannya bersama imam di masjid. Di antara hikmah dibolehkan jamak adalah dalam rangka mengambil rukhshah dan kemudahan, kerana wujudnya halangan dan kepayahan untuk tetap ke masjid disebabkan hujan lebat, banjir, jalan yang berlumpur, turunnya salji, malam yang terlalu sejuk atau gelap, angin yang bertiup kencang, atau yang semisal dengannya.

Al-Imam Malik bin Anas meriwayatkan dari Naafi’, beliau berkata:

إِذَا جَمَعَ الْأُمَرَاءُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ فِي الْمَطَرِ، جَمَعَ مَعَهُمْ

“Apabila umara’ (imam atau penguasa) menjamakkan solat maghrib dengan ‘isyak ketika hujan lebat, maka beliau pun menjamakkannya bersama mereka.” (Muwaththa’ oleh Imam Malik, no. 333. Dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Al-Irwa’ Al-Ghaliil)

Dari atsar ini menjelaskan bahawa menjamak solat ketika hujan itu adalah bersama imam (di masjid). Jika imam menjamakkannya, maka kita pun menjamakkannya bersama-sama mereka.

Namun bagaimana seandainya imam di masjid enggan untuk mengambil rukhshah ini? Maka yang benar, hendaklah dia tetap solat bersama imam walaupun tanpa dijamakkan. Dan itulah yang benar, dan tidak sepatutnya dia pulang ke rumah lalu solat sendirian, atau dia menjamakkannya sendiri-sendiri di rumah.

Dalam hal ini Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) pernah diajukan dengan soalan berkaitan.

Dari Majmu’ Al-Fatawa dinukilkan:

وَسُئِلَ – رَحِمَهُ اللَّهُ – : عَنْ رَجُلٍ يَؤُمُّ قَوْمًا ، وَقَدْ وَقَعَ الْمَطَرُ وَالثَّلْجُ فَأَرَادَ أَنْ يُصَلِّيَ بِهِمْ الْمَغْرِبَ فَقَالُوا لَهُ : يَجْمَعُ فَقَالَ : لَا أَفْعَلُ فَهَلْ لِلْمَأْمُومِينَ أَنْ يُصَلُّوا فِي بُيُوتِهِمْ ؟ أَمْ لَا ؟

فَأَجَابَ : الْحَمْدُ لِلَّهِ ، نَعَمْ يَجُوزُ الْجَمْعُ لِلْوَحْلِ الشَّدِيدِ وَالرِّيحِ الشَّدِيدَةِ الْبَارِدَةِ فِي اللَّيْلَةِ الظَّلْمَاءِ وَنَحْوِ ذَلِكَ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ الْمَطَرُ نَازِلًا فِي أَصَحِّ قَوْلَيْ الْعُلَمَاءِ وَذَلِكَ أَوْلَى مِنْ أَنْ يُصَلُّوا فِي بُيُوتِهِمْ بَلْ تَرْكُ الْجَمْعِ مَعَ الصَّلَاةِ فِي الْبُيُوتِ بِدْعَةٌ مُخَالِفَةٌ لِلسُّنَّةِ إذْ السُّنَّةُ أَنْ تُصَلَّى الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ فِي الْمَسَاجِدِ جَمَاعَةً وَذَلِكَ أَوْلَى مِنْ الصَّلَاةِ فِي الْبُيُوتِ بِاتِّفَاقِ الْمُسْلِمِينَ . وَالصَّلَاةُ جَمْعًا فِي الْمَسَاجِدِ أَوْلَى مِنْ الصَّلَاةِ فِي الْبُيُوتِ مُفَرَّقَةً بِاتِّفَاقِ الْأَئِمَّةِ الَّذِينَ يُجَوِّزُونَ الْجَمْعَ : كَمَالِكٍ وَالشَّافِعِيِّ وَأَحْمَد . وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ .

Ibnu Taimiyyah rahimahullah ditanya tentang seorang yang mengimami suatu kaum, yang pada ketika itu hujan dan salji sedang turun, dan ia hendak mengimami untuk solat maghrib. Lalu berkatalah makmum kepadanya, “Jamakkanlah solat.” Lalu jawab imam tersebut, “Aku tidak akan melakukan (jamak).”

Maka adakah dalam keadaan seperti ini dibolehkah bagi makmum untuk solat sendiri-sendiri di rumah?

Maka jawab Ibnu Taimiyyah rahimahullah, “Alhamdulillah, benar dibolehkan jamak solat disebabkan jalan yang berair/berlumpur, angin sejuk yang bertiup sangat kencang, malam yang terlalu gelap, dan yang seumpama dengannya walaupun tidak turun hujan, berdasarkan pendapat ulama yang lebih sahih. Dan demikianlah yang lebih utama berbanding solat sendirian di rumah-rumah mereka. Sebaliknya meninggalkan jama’ah lalu solat di rumah masing-masing adalah perbuatan bid’ah yang menyelisihi sunnah. Adalah yang disunnahkan, engkau tetap solat lima waktu di masjid secara berjama’ah. Demikianlah yang lebih utama berbanding solat di rumah masing-masing menurut kesepakatan kaum muslimin.

Dan adalah menjamakkan solat di masjid itu adalah lebih utama berbanding solat sendirian di rumah-rumah dengan kesepakatan para ulama yang membolehkan untuk menjamak semisal Malik, Asy-Syafi’i, dan Ahmad. Wallaahu Ta’ala A’lam.” (Majmu’ Al-Fatawa, 24/29-30)

Wallaahu a’lam.

Syarah_Shahih_Muslim2